KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang menerima sumbangan berjumlah RM2.5 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk Tabung Bencana Banjir Negeri Pahang, semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana keprihatinan yang tinggi dengan musibah yang dialami rakyat.
GAMBAR IHSAN PEJABAT MB PAHANG
Sumbangan diterima daripada Pahang Corporation sebanyak RM310,000; Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang RM200,000; Pengurusan Pasir Pahang Berhad RM200,000 dan Yayasan Pahang RM200,000.
Sumbangan juga turut diterima daripada Amanah Saham Pahang Berhad RM200,000 dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang RM200,000.
Pengurusan Air Pahang (PAIP) turut memberikan rebat sebanyak RM15 setiap 30 meter padu untuk sebulan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Full Waiver kepada Ketua Isi Rumah yang rumahnya disahkan tidak boleh didiami untuk 2 bulan, kedua-dua sumbangan ini dianggarkan berjumlah RM1.2 juta.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAIWAN ITU MUSNAHKAN TANAMAN, ANCAM KESELAMATAN PENDUDUK
JERANTUT: Enam ekor gajah dapat ditangkap di Kampung Ulu Retang yang telah memusnahkan tanaman dan ketenteraman 1,200 penduduk kampung di kawasan itu sejak seminggu lalu, semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menggunakan dua ekor gajah denak yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang.
DATUK NAZRI NGAH BERSAMA PEGAWAI PERHILITAN DAN PENDUDUK KAMPUNG ULU RETANG
Gajah liar yang ditangkap itu telah mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk di situ akan dihantar ke Taman Negara Kenyir untuk dilepaskan tidak lama lagi.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud yang berada di lokasi tangkapan berkata kemungkinan enam ekor gajah itu tersesat dari kawasan habitatnya di samping mungkin keluar mencari makanan.
RAZAK DAUD TURUT MENYERTAI OPERASI BERSAMA PERHILITAN
“Tanaman orang kampung habis musnah sejak seminggu lalu selain turut mengancam keselamatan penduduk setempat yang bimbang untuk ke kebun masing-masing,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut bersama pihak PERHILITAN untuk melihat kerja menangkap gajah tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pemaju kawasan perumahan di Taman Gambang Damai, dekat sini, diarahkan untuk membaiki enam kediaman yang rosak akibat kejadian tanah runtuh, awal Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, pemaju juga diminta membaiki kerosakan cerun yang runtuh dengan pemantauan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
GAMBAR IHSAN PEJABAT ADUN LEPAR
Katanya, keputusan mesyuarat antara Kerajaan Negeri yang diwakili beliau dengan MPK, Pejabat Tanah Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pemaju, Sentoria Alpa Sdn Bhd pada 29 Januari lalu, juga bersetuju supaya pemaju membaiki beberapa infrastruktur lain di taman perumahan itu.
“Anataranya membaiki keretakan longkang dan rumah, membaiki tembok jalan masuk ke tangki air PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) dan membuat laluan air keluar dari kolam yang terdapat di atas bukit.
“Selain itu, sistem bekalan air bypass akan dibaiki pihak PAIP,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, 5 Januari lalu, dua unit rumah berkembar di Lorong 29, Taman Gambang Damai, dilaporkan musnah, apabila runtuh dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di cerun bukit.
Empat rumah dikenal pasti sangat berisiko selepas terdapat kerosakan pada struktur binaan rumah selain kesan pergerakan tanah yang serius.
Difahamkan, hanya 11 rumah termasuk satu yang roboh, berpenghuni manakala selebihnya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JENGKA 20 DIKENAKAN PERINTAH KAWALAN KESELAMATAN LOKALITI
JERANTUT: Perintah Kawalan Keselamatan Lokaliti (PKKL) dikenakan mulai 4 Februari sehingga 18 Februari kepada seramai 435 keluarga peneroka di FELDA Jengka 20 setelah 17 orang dikenal pasti positif Covid-19.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata pada 28 Januari, ahli jawatankuasa (AJK) masjid diberi pemakaian gelang setelah 10 orang kontak rapat dikenal pasti positif .
GAMBAR HIASAN
“Hari berikutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pihak polis sudah membuat sekatan antara blok dan saringan setiap keluarga telah dibuat setelah mendapati seorang lagi disahkan positif.
“Penduduk yang tinggal di Blok 8, 9, 10, 11, 12 dan 13 telah melakukan saringan Covid-19, manakala penduduk yang tinggal di Blok 1 hingga 7 akan menjalani saringan hari ini dan esok,” katanya.
Katanya, pihak Masjid Jengka 20 akan cuba menyelaras bantuan makanan untuk dibekalkan kepada keluarga peneroka dalam tempoh PKKL.
Kepada pihak yang berhasrat untuk menyalurkan bekalan makanan boleh menghantar ke Jengka 20.
Pengurus FELDA Jengka 20, Sahabudin Ishak berkata kes pertama positif Covid-19 di FELDA itu dikesan pada 28 Januari lalu dan sehingga terkini seramai 35 individu bergejala dikuarantin di rumah masing-masing dan dipakaikan gelang merah.
Katanya, ketika dihubungi berharap semua peneroka dalam Jangka 20 menjaga kesihatan dan sentiasa mematuhi SOP selain memberi kerjasama kepada pihak KKM, RELA dan polis demi kesejahteraan semua.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Dua exco kerajaan negeri turun padang melawat tapak Pekan Sehari Jerantut untuk memantau perjalanan pematuhan dan amalan prosedur operasi standard (SOP) oleh pengujung ke situ, pagi ini,
Dua exco berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad turut berada di situ.
Datuk Seri Syed Ibrahim turut membeli-belah di Pekan Sehari Jerantut
Datuk Nazri menasihati orang ramai patuh dengan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bagi memutuskan penularan wabak Covid-19 yang membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Diharap bilangan kes baharu dapat dikurangkan dan melandaikan keluk yang pada yang satu ketika melebih 5,000 kes sehari selain dapat mengurangkan kes kematian.
“Walau pun bilangan kes banyak di lembah Kelang tetapi kalau kita alpa dan cuai tidak mustahil akan merebak ke zon hijau seperti Jerantut, untuk itu bagi memastikan jangan berlaku penularan ke sini, maka kita cuba menghindari kawasan yang sesak dan elak keluar rumah jika tidak perlu.
“Seandai penularan ini semakin buruk, semua kegiatan akan disekat termasuk aktiviti ekonomi, sosial dan keagamaan, tidak lama lagi kita akan sambut bulan Ramadan dan Syawal, maka elok kita cuba elak pandemik ini dikurangkan agar dapat melaksanakan ibadah dengan tenang dan aman,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penyaluran maklumat kepada masyarakat di negeri Pahang seharusnya cepat dan tepat khususnya yang berhubung rapat dengan rakyat dan perkembangan semasa negeri.
“Penyaluran maklumat untuk membasmi pendemik ini perlu lebih tegas dan dipatuhi khususnya di kawasan yang sukar menerima maklumat tempatan dengan baik, “ katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERA: Kunjungan pegawai kebajikan daerah ke Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat sini, baru-baru ini adalah sebahagian usaha meneruskan tradisi hubungan rapat antara pihak pengurusan dan agensi kerajaan berkenaan.
Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Mey berkata, kehadiran pegawai kebajikan daerah yang baharu, Murni Azraniza Umar disambut baik pihak pengurusan dan penghuni rumah kebajikan itu.
PEGAWAI KEBAJIKAN MASYARAKAT DAERAH BERA, MURNI AZRANIZA UMAR (TIGA DARI KIRI) MENGUNJUNGI RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG BARU-BARU INI
“Sudah pasti kunjungan Puan Murni Azraniza menyuntik semangat kami untuk terus memberikan khidmat terbaik bagi penghuni di sini.
“Ia juga menjadi simbolik kepada hubungan dan kerjasama rapat antara kami dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang sedia terjalin sekian lama.
“Kami harap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan semua perancangan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Turut menyertai Murni Azraniza dalam kunjungan itu adalah Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah, Abdul Halim Rabu dan Wan Nuzuffa Wan Daud.
Yoke Mey berkata, JKM Daerah Bera sangat membantu pihak pengurusan rumah kebajikan itu, termasuk mempermudahkan proses pembaharuan lesen dan penempatan warga emas sebatang kara ke rumah orang tua yang bersesuaian.
Katanya, hubungan baik sejak 18 tahun antara Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dan JKM banyak membantu perkembangan rumah kebajikan berkenaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan selesa kepada semua penghuni.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG SUMBANG RM10,000 UNTUK 19 PELAJAR DIKUARANTIN
KUANTAN: Nasib 19 pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikuarantin di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau melakukan lawatan ke pusat kuarantin itu pagi tadi bagi memantau keadaan pelajar berkenaan dan memastikan semua kemudahan diperlukan 12 pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan dapat disediakan sebaik mungkin.
Dalam lawatan itu juga, Wan Rosdy turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM10,000 kepada pelajar terbabit bagi tujuan membeli barangan peribadi mengikut keperluan masing-masing.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK RASMI WAN ROSDY WAN ISMAIL
“Pelajar ini ditempatkan di sini berikutan ibu bapa atau penjaga mereka disahkan positif COVID-19.
“Untuk memastikan persediaan pelajar ini tidak terganggu memandangkan peperiksaan SPM juga sudah semakin hampir iaitu pada 22 Februari ini, jadi kita bawa mereka ke sini untuk memudahkan proses ulang kaji pelajaran.
“Saya berpuas hati dengan kemudahan disediakan pihak KUIPSAS dan saya harap semua pelajar terbabit dapat menumpukan dan fokus kepada pelajaran mereka sepanjang ditempatkan di sini,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat kuarantin berkenaan.
Wan Rosdy berkata, sumbangan kerajaan negeri itu adalah untuk meringankan bebanan pelajar terbabit bagi membeli peralatan tulis dan barangan penjagaan kebersihan diri mereka.
Beliau turut menggalakkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan ahli keluarga mereka disahkan positif COVID-19 untuk datang ke pusat kuarantin KUIPSAS serta ditempatkan di sini sehingga peperiksaan SPM berakhir.
“Saya dimaklumkan bahawa setiap pelajar diberikan satu bilik dan secara keseluruhan boleh memuatkan sehingga 200 pelajar untuk satu masa.
“Kita akan tambah peruntukan RM10,000 ini jika tidak mencukupi dan saya diberitahu juga tadi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang diberi tanggung jawab untuk memastikan keperluan makan, minum kepada pelajar mencukupi serta bilik disediakan juga dalam keadaan baik dan selesa,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA BANTU MANGSA KEBAKARAN
MARAN: Selepas rumah ditenggelami banjir baru-baru ini kini sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Jengka 8 petang semalam.
Seorang mangsa, Fadilah Saari,48, berkata, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu difahamkan bermula di ruang tamu rumah ketika seorang anaknya berumur enam tahun bermain pemetik api.
GAMBAR IHSAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
“Ketika api sudah marak anak saya yang berkumur 14 tahun yang berada di tandas tersedar dan berlari keluar melalui pintu dapur sebelum orang ramai mencari dan menyelamatkan bapa mentua saya.
“Semasa dalam keadaan kelam kabut itulah orang ramai menyatakan anak saya yang berusia enam tahun berada di dalam rumah tetapi nasib baik dia telah pun berlari keluar mengikut pintu dapur,”katanya ketika ditemui di Jengka 8 di sini, hari ini.
Menurut Fadilah semasa kejadian dia berada di ladang kelapa sawit bagi menguruskan lembu manakala isterinya keluar ke bandar bagi membeli barangan keperluan.
Katanya, akibat kejadian menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas lebih 90 peratus rumahnya musnah bersama sebuah motosikal yang baru dibelinya empat bulan lalu.
GAMBAR IHSAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
“Pada mulanya memang saya hendak menaiki motosikal baharu ke ladang tetapi saya menukar menaiki motosikal lama menyebabkan motosikal baharu musnah terbakar, kereta saya juga mengalami kerosakan akibat kebakaran.
“Saya reda dengan ujian ini meskipun baru sahaja menggantikan barang-barang selepas rumah ditenggelami air banjir baru-baru ini tetapi kini semuanya musnah dalam kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pada masa ini keluarga mangsa ditempatkan sementara di rumah inap desa Masjid Jengka 8 sehingga rumah baharu dibina.
PENGERUSI GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
Katanya, Gabungan Masjid Wilayah Felda bersama pemimpin setempat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta telah tampil menghulurkan bantuan.
“Semua masjid di Felda Wilayah Jengka juga membuat kutipan bagi membantu membina semula rumah mangsa membolehkan mereka kembali hidup seperti biasa,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan yang ditugaskan di Kampung Kemansur, dekat sini, pegawai khas kepada Menteri Besar Pahang menyediakan sumbangan makanan panas kepada mereka, bermula hari ini.
PEGAWAI KHAS MENTERI BESAR PAHANG, DATUK JASVIR SINGH RAM SINGH MENYEDIAKAN BUNGKUSAN MAKANAN UNTUL DIAGIHKAN KEPADA FRONTLINERS BERTUGAS DI KAMPUNG KEMANSUR, DEKAT BENTONG
Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga aktivis masyarakat mengambil inisiatif itu selepas melakukan tinjauan di pos kawalan berhampiran pintu keluar-masuk kampung terbabit.
“Ini adalah sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka yang sudi menjaga keselamatan semua penduduk kampung (Kampung Kemansur) yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semua masakan panas ini akan disediakan petugas atau tukang masak di Dewan Gurdwara yang berada betul-betul sebelah pondok kawalan menempatkan anggota keselamatan,” katanya yang juga ahli Majlis Perbandaran Bentong (MPB).
Beliau berkata sumbangan itu akan diteruskan sehingga PKPB di kampung berkenaan ditamatkan.
“Kita akan teruskan penyediaan makanan panas ini sehingga keadaan pulih.. kepada penduduk kampung pula, kita juga sediakan makanan atau sarapan pagi kepada mereka.
MENU ISTIMEWA UNTUK SARAPAN PAGI YANG DIAGIHKAN KEPADA FRONTLINERS DI KAMPUNG KEMANSUR, DEKAT BENTONG
“Semua ini dapat kita lakukan melalui sokongan padu daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pegawai daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim; Yang Dipertua MPB, Datuk Aida Munira Abdul Rafar dan juga tuan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, beliau amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan diberikan pelbagai pihak kepada petugas barisan hadapan di daerah ini.
PEGAWAI DAERAH BENTONG, DATUK MOHD ZULKIFLI HASHIM MENYAMPAIKAN BUNGKUSAN MAKANAN KEPADA FRONTLINERS YANG BERTUGAS DI SEKITAR DAERAH BENTONG
Beliau memberitahu setakat ini terdapat 12 kes positif Covid 19 dan 68 individu yang dilaksanakan Perintah Pengawasan Pemerhatian di kediaman masing-masing.
“Pemasangan kawat-kawat di sekitar Kampung Kemansur ini adalah untuk memperketatkan kawalan dan bukannya PKPD kerana di sini masih lagi terbabit dalam pelaksanaan PKP 2.0,”ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
12 KOMPAUN DIKELUARKAN, GAGAL PATUHI SOP DI RUMAH MAYAT
KUANTAN : Polis Pahang mengeluarkan 12 kompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan, semalam.
Kompaun berkenaan dikeluarkan terhadap 12 orang yang gagal mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal dantidak memakai pelitup muka ketika berada di sebuah rumah mayat (bukan Islam) di daerah Bentong, petang semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihak polis ketika melakukan pemantauan pertamatelah menasihatkan mereka agar mematuhi SOP yang ditetapkan namun mereka masih berdegil.
Beliau berkata, ketika pemantauan kali kedua dilakukan, semua mereka yang berusia antara 18 hingga 60 tahun didapati masih melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 kerana tidak mematuhi SOP.
“Mereka masing-masing perlu membayar kadar kompaun sebanyak RM1,000.
“Kita pergi dua kali, pertama kita bagi nasihat dan amaran terlebih dahulu, kepada waris-waris tetapi kali kedua selepas dua atau tiga jam kita lihat mereka tidak mematuhi SOP dan terus kita keluarkan kompaun pada mereka-mereka yang hadir di upacara tersebut.
“Polis faham mereka sedang bersedih, namun SOP perlu dipatuhi bagi bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
“Masyarakat perlu memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa demi menjaga keselamatan dan kesihatan bersama,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Polis Pahang meluluskan 3,666 permohonan merentas daerah dan negeri selepas meneliti permohonan yang dikemukakan.
Sebanyak 107 permohonan ditolak kerana alasan yang tidak munasabah seperti menguruskan hal peribadi seperti meraikan hari lahir.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!