GUA MUSANG : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 4.5 meter yang masuk ke bahagian dapur sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh 2 di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 11.40 pagi, ular seberat 15 kilogram itu dijumpai pemilik kedai terbabit ketika sedang membersihkan ruangan dapur berkenaan.
Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pemilik kedai yang berusia 41 tahun itu pada mulanya menyangka paip getah berada atas dapur itu.
GAMBAR IHSAN APM GUA MUSANG
Katanya, apabila lelaki terbabit menghampiri kawasan dapur, ular tedung selar itu bergerak dan terus lari menyelamatkan diri.
“Selepas menerima laporan, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi dan menjumpai ular terbabit masih berada dalam kawasan dapur rumah kedai berkenaan.
“Anggota APM berjaya menangkap ular itu dalam masa 20 minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi KOSMO!Online hari ini.
Mohd. Yussalmi berkata, ular berkenaan dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran sebelum masuk ke bahagian dapur sebuah rumah kedai terbabit untuk mencari makanan.
Katanya, ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Spesies pokok balak jenis Mersawa yang ditemui dalam kawasan Hutan Simpan Tekai, dekat Ulu Tembeling hanya tunggu masa untuk mati.
Difahamkan, pokok Mersawa adalah antara pokok kayu balak paling lama ditemui di kawasan hutan simpan itu dan sudah hampir pupus.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud ketika dihubungi berkata, penemuan pokok itu dikongsi rakan baiknya yang meneroka kawasan hutan berkenaan baru-baru ini.
“Berdasarkan maklumat diterima dari pejabat hutan daerah Jerantut, usia pokok Mersawa ini dianggarkan kira-kira 500 tahun dan berpotensi untuk mati jika tidak ditebang.
“Dengan ukur lilit 180 sentimeter, kita jangka ini adalah pokok terbesar yang pernah ditemui dalam kawasan simpan di negara kita,” katanya.
Razak berkata, spesies kayu Mersawa sangat terkenal sebagai kayu paling kuat dan tahan lama serta menjadi rebutan pembalak kerana kualiti dan harganya yang tinggi.
GAMBAR IHSAN PDRM
“Kayu ini biasanya diekspot ke Jepun dan menjadi pilihan utama untuk pembuatan landasan keretapi, tiang elektrik dan pembinaan rumah,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis berjaya menangkap seekor ular sawa seberat 30 kilogram, di Kampung Berchang, jam 8.40 pagi tadi.
Pegawai APM Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Azhar Yusof berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkaitan kejadian tersebut dan bergegas ke tempat kejadian.
Anggota APM Lipis berjaya menangkap seekor ular sawa di Kg Berchang, Lipis
“Ketika tiba di situ, didapati ular sawa itu melingkari di bahagian alang reban dan memerlukan masa untuk menurunkannya kerana kekenyangan, sebelum itu ular itu telah membaham seekor ayam.
“Anggota menggunakan alat pengepit ular untuk menangkapnya, ular yang ditangkap dilepaskan di hutan simpan oleh anggota APM,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: “Keh (saya) biase buat keje kecik, sebab korga keh orang susah, orang kampung, jadi keje-keje gini dah biase sangat dengan kehidupan keh,” kata Ahli parlimen Jerantut, dengan loghat kampungnya, Kampung Sokti, ketika melawat kediamannya di Sungai Jan, semalam.
Ahli parlimen itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, rumahnya seolah-olah dikelilingi kebun walau pun terletak dekat kawasan bandar dengan kawasan tanah rumahnya yang tidak luas.
Datuk Ahmad Nazlan bersama isterinya, Datin Saadiah Khonopiah menjadikan tumbuhan sekitar kediamannya sebagai riadah.
Katanya, ini hobinya ketika ada masa terluang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga parlimen tidak bersidang ketika perintah darurat, sambil beriadah untuk mengeluarkan peluh, bila berbuah , selain bukan kerana mahu makan hasilnya tetapi seronok melihatnya mengeluarkan hasil.
“Saya tidak pandai memancing cara moden… nak berbasikal macam tidak sesuai dengan usia saya, maka berkebun lah di sekitar rumah kalau tiada program bersama masyarakat.
“Isteri pula minat menanam pokok bunga, saya pula menanam pokok vanila dan muncul minat setelah menonton dalam Youtube cara menanam vanila dan melawat beberapa kawasan kebun pokok vanilla di Temerloh dan di Ulu Cheka, Jerantut,”katanya.
Ahmad Nazlan di kebun vanila di rumahnya
Katanya, menanam pokok vanila seronok , sesuai dengan kudratnya dan dikatakan vanila bakal memberi pulangan yang baik kerana Indonesia adalah pengeluar produk vanila terbesar di dunia dan penawaran vanila ketika ini tidak mencukupi.
“Kalau Indonesia boleh, mengapa kita (di Malaysia) tidak boleh kerana hawa dan iklim sama, saya sokong pengusaha pokok vanila di Temerloh dan di Ulu Cheka, mereka sudah nampak hasilnya.
“Saya juga dimaklumkan beberapa rumah di sekitar bandar Jerantut turut menanam pokok vanila di kawasan sempit di rumah masing-masing,”katanya.
Katanya, kalau zaman kecilnya, setakat pokok kelapa, mangga dan rambutan beliau dan adik beradiknya memanjat pokok untuk mendapatkan buahnya dan makan bersama.
“Tapi zaman sekarang, anak cucu kalau balik, kalau kita tak ambilkan (kaitkan) tak makanlah mereka, jadi melayan anak cucu masa mereka balik satu riadah dan terapi minda dalam kekeluargaan,” katanya.
Tebu turut ditanam dan menggunakan mini mesin tebu untuk mendapatkan air
Beliau menyarankan kepada sesiapa yang ada tanah yang sesuai berdekatan dengan rumah, bercucuk tanam dengan tanaman yang cepat mengeluarkan hasil dan boleh diambil bila-bila masa sambil berjimat seperti cili, serai, pandan, sawi dan pelbagai tanaman dapur.
“Saya memelihara beberapa ekor ayam kampung, itik dan angsa yang berada di dalam reban kecil berdekatan rumah saya, sebenarnya najis ayam, daun kering pokok buluh saling berguna untuk tanaman vanila.
“Najis haiwan ternakan jadi baja dan dicampur dengan daun buluh kering dan tanah sekam untuk membaja pokok vanila,”katanya.
Katanya, jom kita sama-sama manfaatkan tanah yang ada di sekitar rumah selain beriadah boleh berjimat cermat dengan pokok yang kerap digunakan untuk memasak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEPANJANG 50 METER TEBING PARIT RUNTUH SEJAK DISEMBER LALU
JERANTUT: Penghuni sederet rumah teres dua tingkat di Taman Wira, dekat sini berdepan kejadian parit besar yang mula runtuh sejak musim tengkujuh bulan Disember lalu, kini semakin bertambah buruk sejak minggu lalu.
Kejadian ini dibimbangi boleh mengundang kecelakaan lebih buruk jika tidak ditangani segera.
Tinjauan SAHIH, mendapati kedua-dua tebing parit itu telah runtuh sepanjang kira-kira 50 meter dan dijangka boleh berlaku sekiranya hujan lebat berlaku seperti dua hari lalu.
SEBAHAGIAN TEBING PARIT DEKAT TAMAN WIRA YANG MULA RUNTUH SEJAK DISEMBER LALU
Penghuni, Anuar Awang Chik, 67, berkata , taman perumahan itu mula diduduki pada tahun 1997, parit berada di hadapan rumahnya berkedalaman kira-kira 1.5 meter, tetapi dalam minggu ini hujan lebat membawa aliran deras turut menghakis dinding konkrit parit itu, menyebabkan tebing parit runtuh.
PENDUDUK TAMAN WIRA, ANUAR AWANG CHIK
“Semalam, kes terbaharu tebing runtuh mengakibatkan parit asalnya selebar kira-kira 2 meter semakin luas dan jalan di hadapan sederet rumah yang jarak dianggarkan 10 meter dari pagar rumah boleh menjejaskan struktur rumah berdekatan.
“ Surau taman itu yang terletak kira-kira 10 meter dari tebing parit yang runtuh itu turut menghantui masyarakat setempat apabila berlaku hujan lebat membawa aliran yang datang dari sebuah kawasan tanah tinggi di belakang taman perumahan ini,” katanya kepada SAHIH.
Seorang lagi penduduk, Hamdan Ramli yang rumahnya kira-kira 10 meter dari tebing yang terjejas turut risau dengan keadaan tersebut dan lebih membimbangkan sekiranya berlaku hujan lebat seperti berlaku dua hari lalu yang menjadi faktor hakisan tebing parit berkenaan.
PENDUDUK TAMAN WIRA, HAMDAN RAMLI
“Kalau dahulu, parit itu agak jauh dan tetapi sejak tebing runtuh seolah-olah semakin dekat, bimbang jalan di hadapan rumah saya akan terjejas seterusnya bangunan sederet rumah teres dua tingkat yang berdekatan turut terbabit.
“Selain itu, keadaan tebing parit runtuh kira-kira 50 meter itu dibimbangi kanak-kanak yang bermain di sekitar tempat itu akan terjatuh, oleh itu kami di sini melarang kanak-kanak bermain berdekatan surau dan jalan dengan tebing parit yang runtuh,” katanya.
Katanya, sebelum ini terdapat tebing konkrit berbentuk V dibina sebagai penahan tebing, tapi mungkin sudah agak lama dan aliran air yang begitu banyak dan memasuki kawasan rekahan konkrit sebelum ini, maka keadaan menjadi bertambah buruk dan meruntuhkan kawasan tersebut.
Sementara itu, laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, kejadian berlaku pada hari Khamis lalu, kira-kira jam 1 pagi, susulan hujan lebat berterusan melebihi 3 jam menyebabkan aliran air anak Sungai Nahar yang deras.
SEBAHAGIAN TEBING PARIT YANG RUNTUH BERHAMPIRAN TAMAN WIRA
Aliran air parit yang deras seterusnya menghakis tebing concrete slab sedia ada hingga meruntuhkannya.
Setakat ini, runtuhan tersebut tidak menjejaskan rumah di taman berkenaan tetapi tindakan pemindahan penghuni akan dibuat sekiranya keadaan semakin berisiko terutamanya daripada segi keselamatan mereka.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKAN: Seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di sini terharu menerima kurniaan bantuan bagi membina sebuah rumah baharu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas rumahnya rosak akibat banjir yang melanda daerah ini bulan lalu.
Norhasnah Mat Yunos, 60, berkata, beliau bangga dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa rumah yang akan dibina itu adalah hasil kurniaan bantuan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Makcik berasa bangga dan terkejut dengan kurniaan Tuanku, memang makcik tidak jangka ambil masa begitu cepat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mangsa yang yang terjejas di daerah Pekan hari ini.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Malah baginda turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri pembinaan dua Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Ganchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, hari ini.
Norhasnah, berkata beliau tidak pernah menyangka akan mendapat rumah diberikan secara percuma hasil kurniaan Yang di-Pertuan Agong.
“Makcik menjunjung kasih kepada Tuanku sebab buat rumah makcik dengan cepat. Memang makcik tidak pernah terfikir untuk dapat rumah setelah tinggal di sini sejak 40 tahun yang lalu.
“Terima kasih Yang di-Pertuan Agong. Saya mendoakan supaya baginda selamat dunia akhirat,” kata ibu kepada empat anak itu.
Katanya lagi, rumahnya biasanya menjadi kawasan pertama yang dinaiki air banjir setiap tahun dan yang terakhir yang akan surut.
“Memang boleh dikatakan setiap tahun rumah makcik akan banjir. Alhamdulillah makcik dimaklumkan rumah yang baharu ini akan dibina dengan tiang yang lebih tinggi. Insya-Allah air banjir tidak akan masuk rumah selepas ini, lapor BHOnline.
“Makcik juga dimaklumkan juga rumah ini akan disiapkan dalam tempoh 12 minggu lagi,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETUGAS BARISAN HADAPAN PAHANG TERIMA VAKSIN COVID-19 HUJUNG BULAN INI
KUANTAN: Petugas barisan hadapan di Pahang dijadualkan menerima suntikan vaksin COVID-19 hujung bulan ini.
Keputusan untuk memberi keutamaan kepada kira-kira 28,000 petugas barisan hadapan itu dibuat kerajaan negeri selepas dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, fasa pertama program suntikan vaksin COVID-19 itu membabitkan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Task Force COVID Negeri, lapor Utusan Online.
DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
“Fasa kedua pula membabitkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi antaranya warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta golongan berpenyakit kronik atau comorbid, bermula April ini.
“Bagi Fasa ketiga pula yang membabitkan kira-kira 700,000 individu berusia 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bermula Mei hingga Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, seluruh rakyat Pahang berjumlah kira-kira 1.12 juta atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk bakal menerima suntikan vaksin sebagai usaha membendung penularan pandemik COVID-19.
“Sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri, antara lain membabitkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan agensi tertentu. Jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang.
“Sukacita saya sarankan kepada semua pihak supaya memberi kerjasama penuh dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19 mengikut tatacara ditetapkan untuk memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan, insya-Allah,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Hujan lebat berterusan di bandar Jerantut dan sekitarnya mengakibat berlaku banjir kilat di kawasan rendah di Kampung Temin termasuk jalan utama Jerantut-Temerloh berdekatan Giat MARA Jerantut turut digenangi air dan surut pagi ini.
Hujan lebat berterusan mengakibatkan beberapa laman rumah digenangi air dan turut masuk ke dalam rumah di kawasan Kampung Temin.
Sebuah rumah di Kampung Temin dimasuki air, malam tadi
Hujan yang bermula kira-kira jam 7.00 petang semalam sehingga awal pagi ini turut menenggelamkan sebahagian sebuah nurseri yang terletak di kawasan berdekatan.
Pemilik nurseri, Roslan Ab Malek berkata, kawasan belakang nurseri diusahakannya itu dinaiki air dan menenggelamkan beberapa barisan tanamannya.
Sebuah nurseri turut ditenggelami air berdekatan Kampung Temin malam tadi.
“Musim tengkujuh Disember lalu, nurseri saya sudah dilanda banjir.. ini kali kedua selang sebulan berlaku banjir lagi, kemungkinan ada longkang tersumbat hingga mengakibatkan aliran air lambat,” katanya
Selain itu, jalan masuk ke Taman Ria turut dinaiki air termasuk beberapa rumah di kawasan Perumahan PRIMA di Paya Gunung turut digenangi air, walau begitu air surut pagi ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Yayasan PETRONAS hari ini meneruskan tradisi sejak tahun 2005 dengan menyampaikan sumbangan kepada keluarga memerlukan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Seramai 350 keluarga dari daerah ini menerima sumbangan yang disampaikan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dalam Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2021, di Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah.
Program itu turut dihadiri Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuantan, Liana Mohamed.
GAMBAR IHSAN YAYASAN PETRONAS
Che Ahmad Tarmizi berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha berpanjangan PETRONAS dalam membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan setiap kali tiba sambutan hari perayaan utama di negara ini, lapor KOSMO! Online.
“Memandangkan kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program hari ini kita teruskan dalam norma baharu dan seringkas mungkin.
“Setiap keluarga penerima diberikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, makanan dalam tin selain pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.
“Yayasan PETRONAS berharap sumbangan ini dapat meningkatkan rasa kasih sayang antara kita dan menambahkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina setiap keluarga menerima sumbangan hari ini,” katanya.
Che Ahmad Tarmizi berkata, secara keseluruhan seramai 700 keluarga di Pantai Timur Semenanjung menerima sumbangan Yayasan PETRONAS melalui program Sentuhan Kasih bagi perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
Selain Kuantan, Yayasan PETRONAS turut menyampaikan sumbangan sama di tiga daerah di Kelantan membabitkan 200 penerima dan 150 lagi penerima di daerah Dungun, Terengganu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
48 TUAL BALAK SPESIES KERUIN, MERANTI DAN BALAU DI HUTAN SIMPAN JENGKA DICURI
TEMERLOH: Pejabat Hutan Daerah (PHD) mematahkan cubaan memindahkan 48 tual balak spesies keruin, meranti dan balau bernilai lebih RM387,000 yang ditebang secara haram di Kompatmen 19 Hutan Simpan Jengka, di sini, semalam.
Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman, berkata kawasan itu yang dipercayai masih baru diceroboh dikesan hasil risikan diketuai Pengawas Hutan Mazrul Safpuan Mat Remli bersama tujuh anggota Pejabat Renjer Hutan Jempol, di sini.
Katanya, kegiatan menebang balak spesies berkualiti tinggi itu dipercayai didalangi beberapa individu berpengalaman.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, pemeriksaan menemui sebuah jengkaut yang digunakan untuk membuat jalan tarik, menyusun dan mangangkat balak yang ditebang.
Turut ditemui, tiga motosikal milik ahli sindiket terbabit.
“Balak yang ditebang, dikumpul di beberapa tempat dalam kawasan terbabit sebelum dipindahkan menggunakan lori balak pada waktu Subuh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Siasatan mendapati lima hingga tujuh individu tempatan menceroboh Hutan Simpan Jengka itu sejak dua hari lalu dan mereka mula menebang balak pada waktu petang hingga pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Azmi berkata, semua aktiviti dilakukan secara terancang bagi memastikan ia berjalan lancar.
Katanya, sindiket terbabit hanya memilih spesies balak berkualiti tinggi, antaranya keruing, meranti dan balau.
Pemeriksaan dalam Kompartmen 19 itu, katanya, menemui 65 tunggul pokok pelbagai spesies yang ditebang sindiket terbabit dengan setiap pokok dipotong antara dua hingga tiga tual.
“Sindiket ini dikesan menggunakan pemberi maklumat atau tonto untuk mengesan kehadiran anggota penguat kuasa.
“Ini membolehkan mereka segera meninggalkan kawasan ceroboh sebelum lokasi berkenaan diserbu,” katanya.
Beliau berkata, Hutan Simpan Jengka menjadi tumpuan pencuri balak berikutan terdapat banyak balak berkualiti tinggi, selain kedudukannya yang jauh daripada penempatan penduduk.
Katanya, sindiket terbabit dianggap profesional apabila turut menggunakan jentera berat bagi melancarkan aktiviti mereka.
“Setiap individu memiliki lebih daripada satu kemahiran. Sebagai contoh, selain menebang balak, dia turut boleh memandu jengkaut.
GAMBAR HIASAN
“Kami kini berusaha mengesan rangkaian sindiket terbabit. Kesalahan yang dilakukan amat besar kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan negeri tetapi turut merosakkan hutan, lapor BH Online.
“Balak yang disita akan segera dilelong selepas kes selesai. Jentera dan tiga motosikal kini disimpan di pusat simpanan barangan kes Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, di sini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!