TAMPIN – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengutip RM10 juta hasil sumbangan daripada peneroka dan warga FELDA di seluruh negara menerusi program wakaf FELDA.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, konsep program yang dilaksanakan dapat memupuk budaya bersedekah dalam kalangan warga FELDA selain sebagai tanda kesyukuran serta keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini.
GAMBAR HIASAN
Katanya, setiap peneroka menyumbang RM300 seorang dan hasil sumbangan ini diserahkan kepada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing, lapor Sinar Harian.
“Setakat ini kita sudah mengutip hampir RM10 juta. Negeri Sembilan sahaja, sebanyak RM600,000 telah disumbangkan oleh peneroka di Wilayah Raja Alias kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menerusi dua fasa penyerahan,” katanya kepada pemberita selepas program Ihya Ramadan FELDA Wilayah Raja Alias di FELDA Jelai 3 dekat sini pada Selasa.
Beliau berkata, setakat ini kutipan di Johor mencecah RM3 juta dan Pahang RM2 juta.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: kira-kira 200 orang penduduk daripada 33 buah keluarga Orang Asli etnik Jakun yang beragama Islam menerima sumbangan pakaian terpakai di Kampung Matau, Sungai Rengai berdekatan Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, semalam.
Wakil penduduk Felda Kota Gelanggi Dua yang menyumbang pakaian itu, Anuar Mustaqim, 55, berkata, sumbangan pakaian itu dilakukan selepas mengetahui keluarga etnik Orang Asli etnik itu yang telah menetap di situ hampir 10 tahun berdepan kesusahan sejak penularan wabak pandemik COVID-19, musim tengkujuh bru-baru ini dan kurang pendapatan.
“Pakaian terpakai ini saya peroleh daripada penduduk kawasan Felda ini dan bandar Jerantut yang dikumpul untuk disumbangkan kepada Orang Asli di sini bagi meringankan beban belanja keperluan persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Wakil penduduk Felda Kota Gelanggi Dua, Anuar Mustaqim (kanan sekali) bersama antara penerima sumbangan pakaian.
“Semoga sumbangan ini dapat menceriakan penduduk Orang Asli di kampung ini khusus kepada kanak-kanak yang dapat berpakaian lebih sempurna walaupun bukan baharu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya di Kampung Matau, dekat sini hari ini.
Sementara itu, penduduk Orang Asli etnik Jakun, Jefri a/l Panjang, 30, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Anuar yang sudi datang menyumbangkan pakaian terpakai untuk keluarga di situ sebagai persiapan berhari raya.
“Sejak penularan pandemik COVID-19 tahun lalu, pekerjaan kami tidak menentu kerana bimbang keselamatan diri dan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan hanya untuk membeli keperluan dapur secara ala kadar untuk berbuka puasa termasuk susu anak.
“Dengan pendapatan ini, mana mampu kami berbelanja membuat persiapan pakaian hari raya untuk keluarga seperti insan lain yang bernasib baik di tempat lain,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KARAK: Sebuah pasar raya di Karak mengambil pendekatan untuk membantu insan yang sangat memerlukan bantuan barangan yang disediakan di rak yang diletakkan di luar pasar raya itu.
Rak Gerobok Makanan itu yang disediakan di luar pasar raya berkenaan bagi menempatkan beberapa barangan keperluan harian seperti tepung, garam, minyak masak, kicap dan susu termasuk beras yang boleh diambil secara percuma .
Tuan punya dan juga pengurus pasaraya itu, Farah Balqish Ahmad, 31, berkata, tujuan utama mengadakan Gerobok Makanan itu sebagai salah satu amal jariah dan sedekah kepada insan yang terkesan dengan kehidupan harian mereka.
Tuan punya dan juga pengurus pasaraya itu, Farah Balqish Ahmad (tengah.
Katanya, bermula pandemik Covid-19, ramai anggota masyarakat yang terkesan dengan tiada pekerjaan dan serba sedikit menjejaskan kehidupan seharian mereka terutama yang sudah berkeluarga.
“Dengan kesedaran itu, pasar raya ini serta dua cawangan lagi di FELDA Mempaga 3 dan Lanchang mengambil pendekatan yang sama dengan menyediakan Gerobok Makanan.
“Awalnya pihak pasar raya menyediakan barangan keperluan bernilai hampir RM1,000 dan kemudian hanya meletakkan tambahan barangan yang kurang dan dianggarkan RM300 sehari.
Katanya, konsep kongsi rezeki ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada bulan Januari tahun ini dan mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai termasuk pelanggan pasar raya ini.
“Terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO), pusat pengajian Al-Quran, guru sekolah di sekitar Bentong, Karak dan Lanchang menyumbang barangan di Gerobok ini untuk turut serta membantu masyarakat yang kurang mampu dan golongan asnaf.
“Malah ada pelanggan yang membeli barangan dan meletakkan sendiri di rak ini sebagai memupuk nilai murni dan semangat saling membantu di kalangan masyarakat dan memastikan barangan dan stok sumbangan sentiasa ada dan mencukupi, ”katanya.
Salah seorang penerima sumbangan Gerobok Makanan daripada Farah (kanan)
Katanya, terdapat individu yang datang dan sangat terdesak, hanya memerlukan sedikit barangan sahaja dan mengambilnya, malah memulangkan semula barang yang diambil itu kemudian hari.
Pengunjung pasar raya yang sempat ditemui, Mohd Tarmizi Che Ku, 62, dari Karak berkata, Gerobok Makanan ini sudah banyak diadakan di masjid dan surau, tapi inilah pertama kali saya jumpai diadakan di sebuah pasar raya.
“Alhamdulillah, bagus demi membantu golongan susah dan asnaf untuk meneruskan kehidupan harian mereka selain penyertaan orang ramai yang bernasib baik turut menyumbang.
“Malah, ada juga kaum lain yang datang mengambil bantuan makanan di sini, moga usaha murni seperti ini mendapat berkat dan rezeki berterusan buat pihak pasar raya ini serta orang ramai yang menyumbang,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MEMBAHAYAKAN PENGGUNA JALAN RAYA, DUA ‘KANCIL LEJEN’ DITAHAN POLIS
KUALA LUMPUR: Kereta Perodua ‘Kancil lejen’ yang tular di media sosial kerana keadaan fizikal kereta itu yang agak membimbangkan akhirnya ditahan polis untuk pemeriksaan di Kepong, dekat sini, awal pagi ini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, pemandu Kancil itu merupakan seorang lelaki berusia 47 tahun, beralamat di Jalan Raub, Pahang.
“Bertindak ke atas video yang tular di media sosial berkaitan Kancil berwarna kuning yang tiada bumbung, polis menahan dan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut dan pemandunya.
“Pemeriksaan mendapati pemandu tidak mempunyai lesen memandu malah kereta tersebut tidak mempunyai cukai jalan, tiada bumbung dan tayar hadapan sebelah kanannya pecah.
“Pemandunya turut menunjukkan sebuah lagi kereta Kancil berwarna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran serta pecah cermin di bahagian pintu belakang sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.., lapor BH ONLINE.
Zulkefly berkata, kedua-dua kereta Kancil itu tidak layak berada di atas jalan raya dan boleh membahayakan pengguna yang lain.
“Kedua-dua kenderaan itu ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan sekitar Kepong.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WANITA MAUT, ANAK PARAH DIREMPUH TOYOTA HILUX LANGGAR LAMPU MERAH
Muar: Wanita maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian pada 7.46 pagi itu, mangsa Norain Abu Samah, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.
“Sementara, anak Norain, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan parah, manakala 14 mangsa lain tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu Gui Chui, 69, dari arah Parit Jawa menghala ke pusat bandar Muar memandu dengan kelajuan yang tinggi. “Dia juga tidak berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar kereta Perodua Myvi yang baru bergerak selepas lampu hijau,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor HM online.
Katanya, akibat kemalangan itu Toyota Hilux terbabas dan masuk ke laluan bertentangan serta melanggar empat lagi kenderaan lain.
“Sampel darah dan air kencing pemandu Toyota Hilux berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk saringan alkohol dan dadah. “Kes kemudiannya disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, seramai 13 anggota bomba, satu jentera LFRT, satu jentera EMRS dan dua unit RIM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat.
“Kemalangan membabitkan enam kenderaan iaitu Perodua Myvi, Nissan Grand Lavina, Nissan Urvan, Van Ford Spectron dan dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux,” katanya.
Terdahulu, awal pagi tadi tular di media sosial rakaman video berdurasi 23 saat menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi dirempuh laju Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Muar.
Video/ gambar dari media
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) FELDA Jengka 24 meneruskan tradisi tahunan memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada warga peneroka FELDA berkenaan.
Tahun ini, sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak secara gotong-royong oleh ahli MBFM bersama penduduk.
KETUA PENEROKA FELDA JENGKA 24, RAZAK DAUD
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, memandangkan perkembangan semasa wabak COVID-19 masih ditahap membimbangkan, program gotong-royong itu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kita pastikan semua peserta mengenakan pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jumlah bubur lambuk disediakan tahun ini adalah sebanyak empat kawah dan boleh diedarkan kepada kira-kira 300 peneroka FELDA Jengka 24 sebagai juadah berbuka puasa,” katanya.
ANTARA PENDUDUK YANG BERGOTONG-ROYONG MEMASAK BUBUR LAMBUK
Razak berkata, kebiasaannya mereka menyediakan bubur lambuk hampir setiap hari, namun tahun ini hanya mengadakan program memasak bubur lambuk sebanyak dua kali sahaja berikutan situasi semasa COVID-19.
PENGERUSI MBFM JENGKA 24 NURUL NADIA AHMAD
Katanya, kerja menguruskan dan menyiapkan bahan untuk memasak bubur lambuk dilakukan ahli MBFM FELDA Jengka 24 yang diketuai Pengerusinya, Nurul Nadia Ahmad.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LORI TANGKI LPG TERBALIK DI PLUS, TRAFIK DILENCONGKAN
KUALA KANGSAR- Sebuah lori tangki yang membawa gas petroleum cecair (LPG) terbalik di Kilometer (KM) 241.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara menuju Changkat Jering di sini hari ini.
Difahamkan lori tangki itu terbabas sendiri sebelum terbalik dan menyebabkan lorong kanan terhalang.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubungan kemalangan itu pada jam 6.20 pagi.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ditugaskan ke lokasi kejadian untuk memeriksa sama ada terdapat kebocoran pada tangki itu, lapor Suara Perak.
“Setakat ini difahamkan tiada kebocoran tangki dan kerja-kerja pengalihan lori tangki sedang berjalan,”katanya dalan kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, menerusi twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Trafik memaklumkan aliran trafik perlahan dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering berikutan lorong kanan masih terhalang.
Difahamkan semua lorong ditutup bagi kerja-kerja pengalihan dan trafik dilencongkan ke laluan keluar mandatori Plaza Tol Kuala Kangsar.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEMANTAUAN PIHAK BERKUASA DAN PBT DI BAZAR RAMADAN DIPUJI
KERAJAAN NEGERI PUAS HATI PEMANTAUAN DILAKUKAN PATUH SOP
JERANTUT : Pemantauan oleh pihak berkuasa dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membendung berlaku penularan wabak di bazar Ramadan boleh dipuji kerana orang ramai dan peniaga sering mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasa pada masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kekerapan pemantauan tetap terus dilakukan di bazar Ramadan, pasar awam, pasar tani termasuk di ekspo perniagaan bazar Aidil Fitri.
Orang ramai mengnjung Bazar Ramadan di Jerantut beratur mengikut SOP yang ditetapkan
“Kerajaan negeri berpuas hati dengan tugas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan serta dapat membendung aktiviti peniaga dan peruncit yang cuba memanipulasikan harga barang.
“Peniaga sewajarnya lebih beretika serta bertanggungjawab mematuhi arahan SOP yang dikenakan serta penetapan harga barang dalam tempoh ini sekali gus keselesaan bagi pengguna khususnya ketika negara masih berdepan dengan ancaman pandemic,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMPHRP) di Pasar Raya Econsave di Bandar Jerantut, semalam.
Datuk Nazri Ngah melawat sebuah pasaraya di Jerantut di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021
Katanya, terdapat rungutan dan laporan daripada pengguna mengenai kenaikan harga ayam menjelang bulan Ramadan, tetapi berjaya ditangani oleh penguatkuasa KPDNHEP dan keadaan kembali pulih setelah pelancaran SHMMPHRP hari ini.
“Walaupun keadaan jualan stabil, KPDNHEP perlu melancarkan SHMMPHRP untuk menyekat kenaikan harga barang semasa bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri di samping mendidik peniaga lebih beretika,”katanya.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah KPDNHEP Pahang, Tuan Normaswari Nordin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
SHMMPHRP yang dilancarkan di seluruh negara mulai 21 April hingga 20 Mei ini membabitkan penetapan harga maksimum (terkawal) 11 jenis barang yang terbahagi kepada empat kategori, iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.
Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar juga memberikan peringatan kepada peniaga supaya mengelakkan daripada mengaut untung dengan menaikkan harga sesuka hati ketika permintaan pengguna meningkat tempoh ini di samping kerajaan masih lagi berdepan usaha memerangi penularan wabak COVID-19.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HANYA 20 PERATUS PEGAWAI, ANGGOTA BOMBA DIBENAR CUTI AIDILFITRI
KUALA LUMPUR – Hanya 20 peratus daripada lebih 15,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dibenar mengambil cuti sempena Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia bagi memastikan perkhidmatan pasukan tidak terjejas dalam keadaan yang memerlukan.
“Biarpun pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, JBPM akan terus dengan aktiviti kesiapsiagaan membabitkan 322 balai di seluruh negara. Anggota dan pegawai JBPM akan meneruskan rondaan dalam kawasan jagaan masing-masing selain meneruskan tugasan am lain.
“Hal ini kerana biarpun larangan (rentas negeri) masih ada, orang awam mungkin akan melaksanakan aktiviti dalam negeri sendiri termasuk berekreasi mahupun mencari nafkah yang jelasnya melibatkan aktiviti pergerakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM 2020 kepada 79 anggota dan pegawai di Kompleks Kuarters JBPM Cheras, di sini pada Jumaat.
Mohammad Hamdan berkata, anggota dan pegawai JBPM yang bekerja pada Aidilfitri akan dibenarkan bercuti secara bergilir, selepas itu.
“Kalau ada anggota dan pegawai yang nak memohon bagi tugas luar negeri mereka masih perlu mematuhi arahan prosedur operasi standard dengan mendapatkan kebenaran pihak polis.
“Hal ini supaya tiada dalam kalangan mereka dikesan melanggar peraturan ataupun bersiap sedia dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada aktiviti rondaan akan dilakukan di kebanyakan lokasi panas di lebuh raya negara sempena perayaan, beliau berkata, pihak JBPM masih menunggu arahan seterusnya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya, lapor Bernama.
Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya akan terus melaksanakan kempen keselamatan kebakaran menjelang perayaan ini selain membuat pemeriksaan di premis-premis yang berisiko tinggi bagi memastikan ia dalam keadaan selamat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAKTAB MAHMUD BALING DITUTUP, 35 PELAJAR POSITIF COVID-19
Alor Setar: Seramai 35 pelajar Maktab Mahmud Baling dikesan positif Covid-19 menyebabkan pusat pendidikan itu terpaksa ditutup sejak 18 April lalu hingga 25 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Datuk Najmi Ahmad berkata, kesemua pelajar yang positif kini sedang dikuarantin dan berada di dalam pengawasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling.
“Kesemua kes positif di maktab di bawah sekolah agama kerajaan negeri itu adalah membabitkan Kluster Jalan Weng dan usaha untuk mengekang penularan sedang dilaksanakan.
“Saringan kontak rapat sedang dijalankan termasuk isolasi pelajar turut dilakukan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling positif Covid-19 dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih lagi sedang menyiasat punca jangkitannya.
Sementara itu, Najmi berkata, seramai 29 pelajar serta tiga guru membabitkan beberapa sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri itu disahkan positif Covid-19 sejak 1 April lalu hingga semalam, lapor HM online.
“Kes positif ini membabitkan lapan sekolah di Kulim, Kuala Muda dan Baling antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Pegang, SK Bukit Selambau dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswhati.
“Kita baharu sahaja adakan perbincangan bersama Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mahu usaha bersepadu dilakukan bagi mengekang kluster pendidikan ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!