JERANTUT: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sudah menguasai 81 peratus saham FGV dan ia adalah hadiah bermakna menjelang sambutan Hari Peneroka FELDA yang bakal disambut 7 Julai ini.
Walaupun tidak ada acara sambutan besar-besaran seperti tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19 belum berakhir, namun ia tidak menghalang pihak pengurusan FELDA menganjurkan sambutan berskala kecil di tanah rancangan masing-masing.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, pihak pengurusan FELDA juga sudah memilih FELDA Jengka 25 untuk mewakili Wilayah Jengka bagi pertandingan sempena sambutan Hari FELDA peringkat kebangsaan.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud
“Banyak program yang kita anjurkan sebelum COVID-19 terpaksa kita batalkan bagi mengelak penularan pandemik yang masih membimbangkan.
“Warga peneroka juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan FELDA, terutamanya Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dan hasil pimpinan beliau yang profesional menyaksikan harga sawit kekal stabil, mencecah RM1, 000 satu tan.
“Sudah tentu peningkatan harga sawit ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup dan sosio ekonomi warga peneroka FELDA di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak turut meminta lebih ramai generasi kedua FELDA mengambil peluang dengan mengikuti projek pembangunan peneroka (PPP) untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Program PPP ini adalah hasil inisiatif Datuk Seri Idris Jusoh dan FELDA memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi memastikan kejayaan program yang akan membantu memberi nilai tambah kepada warga peneroka, terutama generasi kedua.
“Amatlah rugi jika peluang terhidang ini tidak dimanfaatkan sebaik mungkin dan saya sangat berharap lebih ramai tampil merebut tempat dalam program PPP yang dikhaskan untuk warga peneroka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS : Dua puluh orang pekerja dikenakan kompaun oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Lipis sempena Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Ops Patuh di daerah ini, hari ini.
Operasi yang bermula pada pukul 9 pagi melibatkan penugasan seramai 13 orang pegawai dan 46 orang terdiri daripada anggota PDRM , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia serta kakitangan Majlis Daerah Lipis dan Pejabat Kesihatan Daerah membabitkan pemeriksaan sebanyak 17 buah premis, kilang dan tapak pembinaan serta 95 orang turut diperiksa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, tiga buah tapak pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) telah diperiksa dan hasilnya lokasi (CSR) di Simpang Gua didapati seramai empat orang pekerja tiada penjarakan fizikal, manakala seorang pekerja namanya tidak tersenarai dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun dikenakan kompaun.
Ketua Polis Daerah Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor
“Kita juga membuat pemeriksaan di lokasi tapak CSR, kilometer 20 Padang Tengku mendapati kecuaian yang sama, iaitu seramai empat orang tiada penjarakan fizikal dan seorang pekerja tidak didaftarkan di bawah MITI serta seorang lagi gagal mengimbas kod QR.
“Masing-masing pekerja di tapak pembinaan CSR dikenakan kompaun bernilai RM2,000 atas kesalahan tersebut,” katanya di sini.
Menurut Azli, Ops Patuh juga melibatkan penugasan tiga kumpulan pemantau yang diketuai seorang pegawai PDRM juga memeriksa premis, kilang dan stesen minyak di daerah ini.
“Semasa operasi ini, polis telah mengenakan kompaun masing-masing bernilai RM2,000 kepada enam orang pekerja beberapa premis kerana tiada memakai pelitup muka, tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera seramai 2 orang dan seorang pekerja namanya tiada tersenarai dalam MITI,” katanya.
Operasi Ops Patuh yang dijalankan di tiga buah tapak pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), hari ini. -Foto PDRM.
Azli berharap orang ramai dan pekerja di semua premis wajar mematuhi SOP terutamanya penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, mempunyai aplikasi MySejahtera dan berdaftar di bawah MITI yang terlibat dengan kerja di kawasan pembinaan.
“Polis menerusi Ops Patuh sama ada ketika membuat pemantauan tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun bagi kesalahan tersebut sebagai usaha menyedarkan masyarakat supaya mematuhi SOP PKP khususnya membantu kerajaan memulihkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum berpenghujung,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGUSAHA IKAN SANGKAR DI TEMERLOH BAKAL MENGALAMI KERUGIAN
TEMERLOH: Perusahaan ternakan ikan sangkar Sungai Semantan, Sungai Pahang di Temerloh terjejas dan bakal mengalami kerugian yang besar disebabkan ikan Patin mereka tidak dapat dipasarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) yang sedang dilaksanakan sekarang.
Pasaran ikan sangkar di sungai itu terencat kerana berlaku pelbagai sekatan yang dilaksanakan menyebabkan permintaan terhadap ikan sungai terutama jenis patin yang menjadi kebanggaan daerah Temerloh itu merudum.
Ikan sangkar Sungai Semantan tidak dapat dipasarkan seperti biasa kerana prosedur PKP dan jualan ke kedai makan kurang kerana waktu operasi yang singkat.
Ini termasuk kedai makan yang menjual gulai patin tempoyak mengurangkan kuantiti jualan mereka kerana kekurangan pelanggan terutama pelanggan dari luar daerah atau negeri ini termasuk masa operasi kedai makan yang disingkatkan.
Pengusaha ikan sangkar juga turut terjejas kerana kesukaran untuk menghantar ikan ke luar daerah atau Pahang kerana tiada kebenaran merentas sempadan.
Seorang pengusaha , Mohamad Fikri Abdul Rahman, 30, dari Kampung Paya Kecil, di sini, berkata, dia bimbang akan berlaku lambakan ikan-ikan sangkarnya kerana tidak dapat dipasarkan.
Mohamad Fikri Abdul Rahman - Pengusaha Patin Sangkar
“Pengeluaran yang bakal dipasarkan mengikut jadual kali ini dianggarkan seberat lebih 10 tan, jika tidak dijual dengan segera, saiz ikan yang semakin membesar, seterusnya menanggung kerugian kerana perlu terus memberikan makan.
“Masa PKP 1.0 dulu kita juga mengalami masalah seperti ini, tetapi tidak seteruk kali ini. Kebetulan PKP 3.0 ini saiz ikan dan berat yang sesuai untuk dijual tetapi kami tidak dapat menjualnya seperti biasa,” katanya.
Beliau yang kini hanya bergantung kepada pelanggan tempatan dengan menggunakan kaedah penghantaran ke rumah (COD) dan turut menghantar ikan ke pasar.
Namun, sebelum ini kira-kira 100 kilogram (kg) ikan boleh dijual sehari, sekarang 10 kg ikan sukar untuk dipasarkan, selain itu harga makanan ikan turut meningkat.
Bagi Norzainal Faridan Zainal Abidin, 30, dia berharap pihak berwajib dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi pengusaha ikan sangkar di sungai Semantan dan sungai Pahang.
“Saya berharap dapat dipermudahkan terutama prosedur untuk menghantar ikan-ikan ke negeri-negeri lain seperti sebelum ini.
“Walaupun mungkin tidak dalam menjual dalam kuantiti banyak, tetapi sekurang-kurangnya ikan-ikan yang ada ini dapat dipasarkan ke tempat lain,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Dua buah kilang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) 60 peratus pekerja yang sepatutnya berada di tempat kerja seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dikompaun, di sini, semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan pasukannya telah melakukan ‘Ops Patuh’ Bersepadu bersama pasukan sahabat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penguatkuasa Majlis Perbandaran Bentong dan Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bentong secara mengejut ke atas tiga buah kilang di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, tujuan utama operasi itu bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP di kilang dan asrama pekerja.
Zaiham turut memeriksa penggunaan aplikasi MySejahtera salah seorang pekerja di kilang tersebut, semalam.
“Selain itu, kilang yang beroperasi tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tidak mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN dan pekerja yang bekerja melebihi 60 peratus.
“Hasil pemantauan ke atas tiga kilang di sini, mendapati sebanyak dua kilang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan dikenakan kompaun sebanyak RM10,000,” katanya.
Katanya, kilang-kilang itu melanggar SOP di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit( PPPDPPB) (No. 4) 2021.
Manakala pemeriksaan individu yang bekerja di kilang tersebut, seramai sembilan warganegara tempatan dikompaun kerana tidak mengimbas aplikasi MySejahtera, kesemua mereka dikompaun di bawah Peraturan 18 (1) PPPDPPB (No. 4) 2021 dan kompaun sebanyak RM 1,500.00 setiap seorang.
Pekerja diperiksa penggunaan aplikasi MySejahtera dalam Ops Patuh SOP bersepadu, semalam
“Seramai sepuluh orang warganegara asing berusia di antara 20 tahun hingga 40 tahun ditangkap kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.
Zaiham berkata, Ops Patuh itu akan terus dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil ke atas individu dan syarikat yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Pihak polis akan sentiasa memantau pematuhan SOP dengan kerjasama agensi lain. Sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bertentangan dengan SOP boleh disalurkan kepada IPD Bentongdi talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PASIR TUMBUH: Sebuah rumah dihuni oleh wanita itu termasuk 13 anak yang masih kecil serta turut memelihara 3 anak yatim-piatu telah terputus bekalan makanan ditularkan di laman sosial Facebook, semalam.
Oleh kerana keadaan yang mendesak, keluarga ini mengantungkan baju berwarna putih agar bantuan bekalan makanan akan tiba.
Ini disedari oleh jiran yang bertanya mengapa mengantungkan baju putih sedangkan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Wanita berkenaan memaklumkan oleh kerana tiada bendera putih, wanita itu menggunakan baju putih untuk memberi isyarat memerlukan bantuan.
Badan Bukan Kerajaan yang prihatin segera menghulurkan bantuan kepada keluarga itu, semalam.
Suami kepada wanita itu sudah sebulan tidak bekerja sebagai buruh binaan dan bekalan di dapur sudah tiada.
Ini membuatkan sebuah Badan Bukan Kerajaan yang prihatin di situ menghulurkan makanan asas dapur termasuk sabun membasuh baju dan pinggan dengan segera termasuk wang tunai untuk memberi susu anak-anaknya.-SAHIH
Kredit : Raja Anita Raja Mukhtar
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Audio yang dimainkan oleh van Jabatan Penerangan Jerantut memberi penerangan dan nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah semasa pandemik Covid-19 dengan bunyi seperti bacaan talkin di kuburan satu inisiatif kreatif untuk mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada.
Pendekatan itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah untuk membenteras wabak tersebut selain menginsafkan penduduk mengenai bahayanya ancaman pandemik Covid-19, malahan sudah terbukti jutaan manusia maut di peringkat gobal ketika Bandar Jerantut kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Van Pejabat Penerangan Daerah turut memberi hebahan kepada penduduk di Bandar Jerantut yang sedang dalam PKPD sebagai ingatan menjaga keselamatan masing-masing
Seorang remaja, Afina Huda Amir yang tinggal di Taman Inderapura berkata, pada mulanya dia terkejut dengan bunyi audio yang kuat keluar dari corong pembesar suara daripada van itu seolah mendengar talkin, tetapi beranggapan satu cara terbaik untuk mengingatkan orang ramai.
“Seram dan menginsafkan, hebahan Pejabat Penerangan itu meminta orang ramai berwaspada mengenai ancaman penularan pandemik Covid-19 semasa di Bandar Jerantut dalam PKPD amat dipuji.
“Saya dimaklumkan van tersebut bergerak dari satu taman perumahan dan penempatan untuk membuat hebahan,” katanya.
Seorang penduduk Taman Koperasi dekat sini, Nasruddin Ramli berkata, ayat talkin iaitu berbunyi ‘Wahai insan … seandainya ajal kamu sudah sampai … maka pergilah kamu menghadap Tuhan kamu tanpa iringan insan tersayang …. ‘ cukup menyeramkam pendengar.
“Itulah antara pendekatan terbaik yang boleh menginsafkan penduduk lebih-lebih lagi ketika penularan wabak Covid-19 masih belum ada tanda berpenghujung.
“’Betul apa yang disebarkan itu … bagi keinsafan pada yang masih berdegil langgar SOP itu, kesan bunyi yang digunakan bersesuaian,” katanya. SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Operasi ‘Ops Patuh SOP’ mendapati empat kilang yang dipantau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta mendapati 96 peratus tahap kepatuhan SOP diikuti di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Yusoff berkata, tahap pematuhan SOP di daerah itu tinggi kerana hasil kerjasama semua pihak terdiri daripada orang ramai, pengurusan premis , penguatkuasa polis, pejabat kesihatan daerah dan juga agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Yusoff (kanan) bersama petugas kilang (kiri) tersebut dalam pemantau Ops SOP, di Mentakab, hari ini.
“Semasa operasi di sebuah kilang kitar semula kertas mendapati hampir semua pekerja dan pengurusan kilang mematuhi SOP yang dikehendaki, premis tersebut turut memiliki kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Teguran turut diberikan agar kod QR MySejahtera perlu banyak dipamerkan serta dikemaskini termasuk meletakkan cecair sanitasi perlu diperbanyakkan dan bukan sahaja diletakkan di pintu utama atau pintu masuk, sebaliknya wajar turut diletakkan di setiap unit di dalam kilang itu,” katanya kepada media, hari ini.
Katanya, pemeriksaan secara rawak terhadap pekerja di kilang di situ, semuanya memiliki aplikasi MySejahtera dan dikemaskini serta sentiasa menjaga pejarakan fizikal ketika bekerja.
Ketua Polis Daerah Temerloh turut meninjau pejabat pentadbiran kilang tersebut turut dipantau.
“Pihak polis dengan kerjasama agensi lain akan terus memantau bagi memastikan wabak ini dapat dikurangkan demi kesejahteraan umum.
“Setakat ini, sebanyak 223 kompaun telah dikeluarkan bermula tahun 2020 sehingga sekarang, bilangan tertinggi adalah pelbagai kesalahan daripada orang awam seperti tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga jarak, berkumpul malah tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika masuk ke sesuatu premis itu,” katanya.
Berkaitan Perintah kawalan Pergerakan Diperkatatkan (PKPD) di Taman Rimba, Taman Saga, Taman Saga Indah dan Taman Sri Layang, mendapati 40,000 penduduk di situ terjejas.
“Setakat ini keadaan terkawal dan ujian ‘swab’ telah dijalankan secara bersasar mengikut jadual seperti diamalkan di kawasan yang telah dikenakan PKPD sebelum ini,”katanya.
Beliau berharap orang ramai, pengurusan kilang dan premis sentiasa peka dengan keadaan semasa dan sering mematuhi SOP. Kesalahan gagal mematahui SOP akan dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 342, Seksyen 7(1).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK PASANG BENDERA PUTIH SEBAGAI ISYARAT MINTA BANTUAN SALAH?
KUANTAN – Kempen untuk mengibarkan bendera putih sebagai isyarat memohon bantuan keperluan makanan dapat disalurkan kepada insan yang memerlukan menjadi isu kepada pihak tertentu dan mahukan bendera yang dikibarkan itu diturunkan.
Ini berlaku kepada 13 keluarga yang tinggal di Bukit Setongkol di sini apabila tindakan mereka menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan tidak disenangi pihak tertentu hingga diarah diturunkan pada hari Rabu.
Perbuatan penduduk yang terjejas itu dikatakan satu kesalahan dan saman boleh dikeluarkan jika bendera yang dipasang gagal diturunkan.
Oleh kerana risau tindakan saman dikenakan, penduduk yang memasang bendera putih itu, tersu menurunkan bendera yang dipasang pada Selasa selepas diarah berbuat demikian oleh seorang individu yang datang bersama tiga anggota polis.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 43, berkata, dia bersama penduduk di situ sepakat untuk menaikkan bendera putih selepas rata-rata mereka hampir terputus bekalan makanan.
Menurutnya, bendera itu dipasang sebagai tanda penghuni rumah tersebut memerlukan keperluan bekalan makanan dan berharap ada piahk tertentu menghulurkan bantuan.
“Hampir semua di sini sudah hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, kerana di sini ramai bekerja buruh, berniaga kecil-kecilan dan berkerja bergaji harian.
” Sebuah persatuan datang hulurkan sumbangan setelah bendera putih dipasang, namun selepas itu seorang pemimpin setempat datang menegur minta bendera itu diturunkan segera kerana menjadi kesalahan dan tidak dibenarkan polis,” katanya.
Ana berkata, dia dan penduduk di situ keliru kerana dikatakan mengibarkan bendera putih sebagai satu kesalahan sedangkan kempen kibar bendera putih yang tular di laman sosial berlaku di seluruh negara malah ada yang berbuat demikian mendapat bantuan sewajarnya.
Video kejadian itu tular di laman sosial selepas dimuat naik pengguna Facebook hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) turut membantu pihak Kerajaan untuk menjayakan Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti (MOVAK).
Program itu dilaksanakan membantu proses pemberian vaksin kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib berkata, program itu dilaksanakan selepas mengambil kira faktor penduduk yang belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 disebabkan kekangan capaian internet dan ketiadaan telefon pintar.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib
Katanya, terdapat tiga unit gerak kerja ditubuhkan di bawah MOVAK merangkumi unit panggilan, unit mobilisasi dan unit tindakan komuniti bagi membantu kelancaran program serta pusat pemberian vaksin bergerak (PPV).
“Intipati lawatan ini ialah untuk melihat dan memantau kerja-kerja yang dijalankan oleh para sukarelawan MOVAK di PPV berkenaan bagi mengenalpasti keperluan tambahan dan penambahbaikan gerak kerja sedia ada.
“Selain itu, sukarelawan MOVAK terdiri daripada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), ahli-ahli Pertubuhan Penggerak Komuniti Nasional (PKN) serta sukarelawan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), “ katanya.
Katanya, kawasan sasaran Program MOVAK meliputi beberapa buah daerah di lima buah negeri. Jumlah PPV mengikut maklumat daripada vaksincovid.gov.my adalah di Pulau Pinang , 11 PPV, Wliayah Persekutuan Kuala Lumpur (7), Johor (26), Pahang (53) dan Selangor 30 PPV
“Sukarelawan akan membuat panggilan telefon kepada bakal penerima vaksin keesokan hari yang belum membuat pengesahan temujanji. Penerima vaksin dos kedua yang belum membuat pengesahan temujanji.
“Penerima vaksin dos pertama yang telah tidak hadir pada tarikh temujanji akan mendapatkan input status keperluan kenderaan penerima vaksin dari kediaman mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya..
Katanya, kemudian Unit Mobilisasi, kenderaan yang berpusat di Pusat Khidmat atau mana-mana lokasi sesuai yang bertugas mengambil dan menghantar penerima suntikan vaksin ke PPV.
“Ini termasuk memberi input diterima daripada Unit Panggilan, kenderaan mobilisasi turut dilengkapi seunit kerusi roda yang dibantu oleh Sukarelawan PKN.
“Kita mendapat kerjasama dengan Pihak Berkuas tempatan (PBT) melalui COB bagi mendapatkan senarai nama penduduk di kawasan berstrata, termasuk dengan KRT dan SRS bagi mendapatkan senarai nama serta melakukan tugasan jangkauan komuniti di kawasan-kawasan perumahan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGUSAHA SUSUN STRATEGI DENGAN KREATIF UNTUK MENARIK PENGUNJUNG SEBELUM PANDEMIK INI TAMAT.
Daerah Jerantut yang terkenal dengan Gunung Tahan setinggi 2,187 meter (7,175 kaki) dari paras laut dan tertinggi di semenanjung, sudah terkenal kepada pengunjung dan penggemar kawasan tanah tinggi untuk pendaki terutama dari luar negara.
Antara puncak bukit yang menjadi penggemar pendaki bukit yang berada di daerah Jerantut
Selain itu, terdapat Bukit Merah, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Batu dan Ferrata Paya Gunung yang terletak tidak jauh dari bandar dan mudah untuk pergi boleh ditawarkan kepada pengunjung luar yang berminat untuk mendaki.
Bukit Merah atau Bukit Buluh yang terkenal dengan pokok kelat gelam berwarna merah atau nama saintifiknyaEugenia Cerina Hend berdekatan Felda Padang Piol menjadi produk bukit yang unik.
Pemandangan di BUkit Merah atau Bukit Buluh.
Pokok yang banyak di sepanjang permatang bukit dan sekitar lereng menjadikan bukit itu sangat unik dan bakal menjadi tarikan utama pengunjung yang terletak pada ketinggian 331 meter khusus untuk peminat sukan lasak pendakian.
Jerantut turut mempunyai sungai yang bersih, cantik dan nyaman dan kebanyakannya berada di bahagian Hulu Tembeling, malah terdapat sungai yang belum diterokai atau tidak dipopularkan lagi.
Antara pemandangan di Gunung Senyum (kiri) dan Gua Gelanggi (kanan)
Daerah ini juga terdapat Gua Gelanggi yang perlu diaktifkan serta Gunung Senyum yang terletak di Jengka 24, perlu diperkenalkan dengan lebih agresif kepada orang luar.
Gua Kota Gelanggi di sini, sering dikaitkan dengan pelbagai mitos, termasuk kononnya ia berasal dari sebuah kota yang dibina di kawasan itu sebelum disumpah Sang Kelembai sehingga menjadi batu.
Namun, lebih penting daripada cerita itu, Kota Gelanggi menyimpan satu rahsia yang belum dapat dirungkai sehingga kini iaitu dipercayai adalah lokasi perkembangan Kesultanan Melayu selepas Kerajaan Melaka runtuh berikutan serangan Portugis.
Masakan ikan sungai seperti ikan patin, jelawat, kelah dan sebagainya perlu diperhebatkan sebagai menu tradisional Jerantut seperti masakan gulai masam tempoyak, pais tempoyak, gulai asam rom, sambal hitam dan juga menu seperti bubur liar.
Kalau di negeri Sembilan terkenal dengan gulai daging salai, di Jerantut, masak lemak cili padi patin salai boleh diperkenalkan sebagai salah satu menu yang menarik.
Menu popluar di Jerantut, gulai masam tempoyk ikan patin (kiri), gulai asam rom ikan jenahak (kanan)
Satu strategi pengusaha pelancongan perlu merancang dengan baik. Jadikan bandar Jerantut tempat persingahan sebelum ke Kuala Tahan.
Di sepanjang perjalanan bermula dari Lanchang yang terkenal dengan Pusat Pemeliharaan Gajah, Kuala Gandah, seterusnya ke Temerloh, Jerantut dan ke Kuala Tahan maka kluster pelancongan lain wajar diwujudkan.
Satu pakej perlu disediakan dengan membuatkan pelancong tidur semalaman di bandar dan dibawa ke Gua Gelanggi atau Gunung Senyum untuk mereka menikmati keindahannya di situ sebelum ke Kuala Tahan.
Secara tidak langsung, menghasilkan pendapatan kepada pengusaha di Gua Gelanggi, Gunung Senyum dan juga peniaga komuniti di sekitar tempat itu dan rumah penginapan di bandar Jerantut akan kembali segar.
Operator pelancongan di Kuala Tahan pula, selain fasiliti sedia ada, perlu kreatif dengan memikirkan aktiviti baharu di sana.
Mungkin boleh jadikan pokok tualang yang tinggi sebagai aktiviti memanjat dengan mempunyai prosedur keselamatan yang ketat. Aktiviti malam perlu difikirkan supaya pengunjung sentiasa mempunyai aktiviti yang menyeronokkan seperti membuat pondok atau ran di pokok.
Jambatan gantung di Kuala Tahan, antara terpanjang di dunia (kiri), pokok tualang (kanan)
Muzik tradisional Melayu Pahang, seperti gendang silat dan pesilatnya, kumpulan rebana atau mungkin membawa pasukan dikir barat dari Kelantan, tarian ulik mayang, caklempong dan gemelan boleh diketengahkan kepada pelancong semasa berada di Kuala Tahan untuk persembahan di waktu malam.
Kepada pengiat pelancongan iaitu pemandu pelancong seharusnya memikirkan satu prosedur yang standard dari sudut ketrampilan, komunikasi dan pengetahuan umum dengan persekitaran tempat kerja mereka.
Oleh itu, semua pihak perlu bertindak dan memikirkan dari sekarang untuk membuat persiapan “menyambut” pelancong selepas pandemik ini tamat, kerana pelancong sudah “resah dan gelisah” kerana berada di rumah atau negara masing-masing kerana tidak dapat ‘makan angin’.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!