MARAN: Seramai 64 orang lelaki Melayu diserbu dan ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontigen Pahang dalam operasi ‘Ops Sarang Khas’, di sebuah lokasi ‘port’ penagihan dadah, hari ini.
Seramai 8 pegawai polis dan 41 anggota polis telah melaksanakan serbuan tersebut bermula 29 Jun 2021 dan berakhir tengah hari, hari ini.
Penagih berada di sarang penagihan diserbu polis. – Foto hiasan
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, 64 orang yang ditahan dalam serbuan itu berusia antara 23 hingga 57 tahun, ketika itu sedang berada di sarang penagihan tersebut dan kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh ladang.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman
“Enam orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah merbahaya, lima kesalahan memiliki dadah dan 53 orang disiasat di bawah akta dadah merbahaya 1952.
“Tiga lagi diambil tindakan langkah-langkah pencegahan dan tindakan kompaun dikenakan kepada semua yang ditahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 17(1) No.3, 2021,” katanya.
Katanya, tujuan operasi itu dijalankan bagi mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap ancaman dadah di kawasan Felda dalam daerah Maran.
Norzamri (kanan) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan itu
“Ada antara yang ditahan mempunyai kesalahan lampau, mereka semua dibawa ke Balai Polis Maran untuk tindakan selanjutnya, “ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
1,022 SUDAH BUAT UJIAN ‘SWAB’ SECARA PANDU LALU DI JERANTUT
JERANTUT: Seramai 1,022 penduduk daripada lokaliti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Baru dan PAKR Mat Kilau, Kampung Mat Kilau dan Kampung Melayu telah membuat saringan menjalani ujian saringan ‘mass sampling’ RTK-Ag (swab hidung) secara pandu lalu.
Selain itu, kira-kira 90 peratus daripada 58,525 penduduk di kawasan Bandar Jerantut patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris berkata, PKPD yang melibatkan sebanyak 11,795 rumah ini dikenakan ekoran jumlah kes harian yang tinggi membabitkan 64 lokaliti terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris
Bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut telah melaksanakan saringan bersasar di kawasan PKPD secara berperingkat.
“Kesihatan, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan, justeru saringan bersasar ini dilaksanakan secara berperingkat menggunakan beberapa kaedah termasuklah pandu lalu.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga sentiasa berusaha agar akses terhadap fasiliti dan kemudahan di kawasan PKPD dapat menampung segala keperluan penduduk termasuklah fasiliti kesihatan, pasaraya dan stesen minyak,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, saringan bersasar ini mula dilaksanakan bermula Selasa lalu hingga 9 Julai depan bertempat di Terminal Bas Bandar Baru, di Jerantut bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang.
Orang ramai memberi sambutan menggalakan berduyun ke Terminal Bas Jerantut untuk mendapatkan ujian saringan, hari ini
Katanya, pasukan polis bersama pasukan sahabat juga akan meneruskan sekatan jalan raya dan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi oleh semua pihak.
Beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam mengawal penularan wabak COVID-19 di lokaliti Bandar Jerantut yang telah bermula 28 Jun sehingga 11 Julai depan.
Daerah Jerantut mencatatkan sebanyak 35 kes baharu pada hari ini melibatkan Kluster Lorong Empat dan Kluster Kampung Lada. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LUPAKAN BIDANG KULINARI, CEBURI URUS JENTERA BAJAK SAWAH
JERANTUT: Anas Azizie Rosli, 25, yang memegang diploma Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pulau Pinang mula berjinak dengan pengurusan sewaan jentera pembajak kepada pesawah Kampung Gintong, dekat sini.
Anas Azizie Rosli, 25, yang memegang diploma Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), mula berjinak dengan pengurusan sewaan jentera pembajak kepada pesawah
Dia yang berasal dari Kampung Tokai, Kedah menyewakan jenteranya ketika musim mengerjakan sawah di Kampung Gintong dengan membawa jenteranya dari kampungnya.
“Saya sudah memiliki dua buah traktor dan dua buah Kubota yang bernilai hampir RM60,000 untuk disewakan kepada pesawah bagi membajak setiap kali awal musim.
“Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan jentera Kubota untuk meratakan tanah antara kerja awal sebelum benih padi ditabur,” katanya.
Anas Azizie anak ketiga daripada lima beradik berkata, buat masa ini dia komited dan amat seronok dengan pekerjaan sebagai pesawah moden berkemungkinan melupakan terus cita-citanya sebagai chef dan perniagaan makanan.
Anas mengendalikan jentera merata tanah di sawah di Kampung Gintong, Jerantut
Katanya, sehingga ini dia menumpukan sepenuhnya pengurusan sewa jentera serta kerja membajak sawah di Kampung Gintong sebelum kembali ke Kampung Tokai, untuk memulakan musim persawahan di sana.
“Bapa saya, Rosli Saad sudah mengamanahkan kepada saya menguruskan jentera pembajak dan peluang ini saya sambut untuk membeli lebih banyak jentera pembajak memandangkan permintaan untuk sewaan dalam kalangan petani di Pahang dan Kedah semakin menggalakkan.
“Diharap semua graduan jangan terlalu memilih pekerjaan, agak sukar ketika ini, oleh itu rebut peluang apa yang ada termasuk pertanian,” katanya.
Katanya, kepada graduan, jangan malu untuk bermain dengan lumpur kerana zaman ini semua menggunakan teknologi dan jentera, malah pertanian akan terus hidup disebabkan hasil pertanian menjadi keperluan harian manusia.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Gadis Kampung Gintong, dekat sini, Khadijah Shamsudin, 31, merupakan graduan universiti tempatan sudah serik menunggu lamaran pekerjaan daripada sektor kerajaan, kini mula mengalih peluang membabitkan diri dalam bidang pertanian.
Khadijah Shamsudin, 31, merupakan graduan universiti tempatan mula mengalih peluang membabitkan diri dalam bidang pertanian.
Khadijah merupakan pemegang Ijazah Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, setelah hampir empat tahun mencuba melamar pekerjaan di sektor kerajaan, tetapi hampa belaka sehingga dia mula bertekad mencuba pekerjaan di bidang pertanian.
“Saya tidak pun menyesal apabila gagal menjadi penjawat awam dan swasta lantas bertekad menumpukan bidang pertanian di tanah milik keluarga.
“Setiap kali melihat petani membanting tulang, mengerah keringat dan bermain lumpur di sawah kampung ini terdetik di hati saya untuk mencuba bidang ini yang turut mendapat sokongan daripada kedua ibu dan bapanya” katanya kepada SAHIH di Kampung Gintong, Jerantut semalam.
Khadijah mengendalikan traktor membajak sawah di Kampung Gintong.
Katanya, dia terus menyimpan ijazah dan ‘resume’ di dalam almari dan mulalah bermain dengan lumpur dan dikejar lintah setelah menjejak kaki dalam sawah padi.
“Saya mula mengusahakan tanah yang disewa seluas lapan hektar milik keluarga terdekat dengan harapan untuk mencipta lembaran baharu sejarah hidup sebagai petani, pada hari pertama saya sudah dicabar oleh pesawah di situ yang juga dalam kalangan saudara maranya supaya mengendalikan (memandu) traktor.
“Saya sahut cabaran mereka dan mula belajar memandu traktor dengan bantuan tunjuk ajar beberapa orang petani di sini lagipun sangat berminat apabila kerap kali melihat jentera pembajak berada di tengah sawah sebelum ini, “katanya.
Memahirkan diri untuk mengendalikan traktor atas tunjuk ajar pesawah lain
Anak ketiga daripada empat beradik berkata, berkat tunjuk ajar serta keyakinan, saya mampu menguasai pemanduan jentera pembajak ini termasuk jenis Kubota dalam tempoh seminggu dan mulalah bersemangat untuk meneruskan kerja,” katanya.
“Kini saya tidak kekok lagi dan dalam tempoh dua minggu semua kawasan sawah telah selesai dibajak secara bergilir-gilir mengendalikan traktor dengan dua orang pemandu lelaki.
“Saya sudah memperoleh kemahiran mengendalikan traktor termasuk pembajak jenis Kubota dan kini beralih pula mempelajari teknik menyembur benih padi MR219 yang akan bermula minggu ini dan rutin seterusnya, menguruskan pengairan, pembajaan dan sehinggalah penuaian hasil (padi) nanti,” katanya.
Lulusan graduan universiti itu berkata, selama dua minggu kakinya berendam lumpur di bawah panas terik matahari dan melihat lintah menghisap darah di betis seolah-olah seperti bermimpi, tetapi sebenarnya berada di alam nyata sebagai seorang petani.
“Saya bercita-cita untuk menjadi petani moden dan selepas ini ingin menyertai kursus mengenai pengurusan tanaman padi dan melanjutkan kemahiran mengendalikan jentera pembajak dan menuai (harvesting) termasuk mengambil lesen bagi persediaan musim akan datang.
“Kepada rakan siswazah kembalilah ke kampung kerana banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian dan perniagaan di samping tanamkan minat, tekad serta kesungguhan dengan meneroka sesuatu kemahiran sebagai pelantar untuk kita berjaya,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
23,000 DOKTOR DI SELURUH NEGARA MERAYU DILANTIK KE JAWATAN TETAP DENGAN SEGERA
TEMERLOH : Kira-kira 23,000 pegawai perubatan atau doktor yang masih berstatus lantikan kontrak di seluruh negara merayu agar mereka diserap dan dilantik ke jawatan perkhidmatan perubatan dengan segera.
Terdapat pegawai perubatan kontrak sudah berkhidmat sejak 2016 dan masih belum diserapkan dan risau dengan masa depan mereka yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya serta telah melalui latihan kedoktoran ‘housemanship’.
Pegawai perubatan melalukan ujian ‘swab’ di Jerantut, hari ini
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba telah memaklumkan perkembangan itu dan meminta semua pihak kekal bertenang, sementara polemik berkenaan diselesaikan secara menyeluruh.
Seorang doktor kontrak yang ditemui yang enggan namanya disiarkan merayu agar pihak berkaitan segera melantik mereka ke jawatan tetap bagi memudahkan mereka merencana kerjaya mereka.
“Saya merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengkhususan perubatan, oleh kerana isu perlantikan ini masih di awang-awangan agak sukar saya dan rakan lain untuk merancang.
“Selain itu, kedudukan kami yang masih tidak menentu, ibarat telur di hujung tanduk dan boleh bila-bila masa akan ditamatkan perkhidmatan kontrak,” katanya ketika ditemui.
Katanya, oleh kerana sektor perkhidmatan kesihatan awam negara masih bergelut dengan pelbagai usaha untuk memerangi penularan Covid-19 sejak Mac 2020 sehingga sekarang dan dibimbangkan akan ditamatkan apabila wabak ini reda.
Seorang rakannya turut merayu agar kerajaan melantik mereka dengan segera kerana sektor perkhidmatan kesihatan ialah antara barisan terpenting untuk memerangi musuh pandemik, selain sektor keselamatan, ekonomi dan sosial.
“Diharapkan pihak atasan segera melakukan proses perlantikan ke jawatan tetap agar kami mendapat ‘tonik’ untuk lebih bersemangat menjalankan tugas, bukan itu sahaja, walaupun kami sudah memiliki ijazah, ada di kalangan kami daripada keluarga susah yang turut membantu keluarga,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
“KALAU PKP SAMBUNG LAGI TAK TAHU LA NASIB KAMI”- KETUA KELUARGA
TEMERLOH: Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, setelah dua kali dilaksanakan yang melibatkan hampir tempoh sebulan, tempoh itu disambung lagi buat kali ketiga bermula 29 Jun dan tidak tahu bila kesudahannya ini bukan suatu cerita rekaan bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Dugaan mengharungi tempoh PKP 3.0 atau Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak tahu bila akan tamat amat menyeramkan bagi golongan peniaga yang kesannya mungkin pendapatan mereka berkurangan akibat kekurangan pelanggan dan tidak dapat bekerja kerana tempat kerja masing-masing tidak beroperasi.
Aktivis NGO Laskar, Mahyuddin Salleh turut serta meninjau keluarga yang terkesan.-Foto Mahyuddin Salleh
Orang-orang yang terkesan ini tentu ada di sekeliling kita, tidak jauh mungkin dekat sahaja dan tidak mustahil mungkin jiran sebelah rumah kita, kata Pengerusi Laskar, Abdul Razak Endot.
Baru-baru ini Abdul Razak melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) Laskar, menghantar bantuan di Taman Tualang Indah, Mentakab selepas dihubungi oleh sebuah keluarga di sana.
Katanya, ada yang meminta bantuan lampin dewasa kerana ada ahli keluarga seorang wanita warga emas yang terlantar uzur. Ketika menghantar bantuan yang diminta, mereka turut membawa pek makanan buat mereka.
“Ketua keluarga itu tidak boleh bekerja kerana kilang tutup. Jadi buat masa ini bergantung dengan wang simpanan yang ada namun tidak mencukupi untuk menanggung kos membeli lampin dewasa.
“Sambil berbual, ketua keluarga itu mengatakan bahawa jika PKP 3.0 ini disambung lagi selepas 28 Jun, dia sudah tidak tahu cara apa lagi untuk mendapatkan pendapatan bagi menanggung keluarga,” katanya.
Membawa bantuan daripada NGO Laskar Temerloh kepada keluarga terkesan.
Katanya, namun sekarang apa yang keluarga itu bimbangkan sudah menjadi realiti apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa PKP 3.0 dilanjutkan.
“Sebelum meninggalkan mereka kami sempat berpesan jika perlukan bantuan hubungilah kami dan kami akan cuba membantu. Saya pasti bukan keluarga ini sahaja yang mengalami nasib seperti ini dan tidak mustahil jumlahnya adalah besar di luar sana.
“Jika dalam kesusahan, jangan malu jangan segan untuk meminta bantuan dengan jiran, saudara-mara atau mana-mana pihak yang menawarkan bantuan.
“Tempoh sukar ini mari kita tempuhi bersama. Pastikan tiada yang tertinggal kerana sinar di hujung terowong adalah kemenangan kita semua,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HARAP AHLI PARLIMEN GUNA PERUNTUKAN BANTU RAKYAT TERKESAN TERUK
TEMERLOH: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kome Cakna mahukan semua ahli parlimen yang menerima peruntukan sebanyak RM300,000 yang diluluskan oleh kerajaan pusat memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan memberi bantuan bakul makanan dengan segera.
Pengerusinya, Jamil Yaakub berkata, wakil rakyat yang dipilih segera turun padang ke akar umbi untuk melihat kesukaran golongan yang terkesan kerana memerlukan bantuan bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan melebihi sebulan.
Pengerusi Kome Cakna, Jamil Yaakub mahu wakil rakyat segera santuni rakyat yang terkesan.
“Kebanyakan yang terkesan adalah golongan yang bekerja dengan mendapat upah harian, peniaga kecil-kecilan serta ada yang telah diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing.
“Dengan situasi yang sedang berlaku, ada yang mengadu tiada bekalan makanan atau terputus bekalan di rumah kerana tiada pendapatan untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Katanya, diharap wakil rakyat sentiasa menyantuni dan membuka ruang untuk rakyat sekitar kawasan parlimen masing-masing untuk mengadu masalah mereka.
“Dengan bajet yang diluluskan oleh kerajaan pusat, ahli parlimen boleh membeli barangan keperluan untuk diagihkan kepada yang sangat memerlukan.
“Bantuan itu diharapkan diberikan kepada orang ramai tanpa memikirkan fahaman politik, kaum dan agama untuk disalurkan kepada yang terkesan semasa darurat pandemik ini,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa kumpulan anggota masyarakat yang berkongsi sesama sendiri mengumpul dana untuk membeli barang keperluan dan dihantar ke rumah yang sudah terputus bekalan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ORANG RAMAI SAMBUT BAIK UJIAN ‘SWAB’ SECARA PANDU LALU
DIADAKAN DI STESEN BAS DAN TEKSI JERANTUT
JERANTUT: Orang ramai yang menjalani ujian saringan ‘mass sampling’ RTK-Ag (swab hidung) secara pandu lalu, memuji langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut untuk mencegah penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa di negara ini.
Ujian itu dijalankan di Stesen Bas dan Teksi Jerantut bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang, bermula hari ini sehingga Jumaat kepada penduduk di 64 kawasan taman perumahan dan penempatan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jerantut.
Seramai kira-kira 25 orang anggota PKD Jerantut termasuk doktor menjalankan ujian itu kepada orang ramai.
Seorang surirumah, Mariam Bahari (60) yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Bandar Baharu Jerantut berkata, program yang sangat bagus dan memudahkan secara pandu lalu serta cepat dan selamat untuk mencegah penularan wabak.
Sanggari (kiri) dan Mariam Bahari (kanan)
Penduduk (PAKR), Bandar Baharu Jerantut, Sharif Abu Bakar (64), menyokong program ujian calitan itu untuk mendapatkan ‘swab’ untuk mengetahui tubuh seseorang itu sihat selain mencegah, orang ramai sewajarnya memberi kerjasama kepada kerajaan melakukan ujian calitan serta untuk mendapatkan vaksin.
Ibu muda, Rosniza Muda (43) berkata, program itu yang dilakukan secara pandu lalu untuk keselamatan bersama dan mengajak orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan PKPD melakukan ujian ‘swab’.
Rosniza Muda (kiri) dan Sharif Abu Bakar (kanan)
Penduduk PAKR Bandar Baharu Jerantut, Sanggari (20) berkata, cara ujian pandu lalu sangat cepat serta selamat demi kesihatan khususnya penduduk di Jerantut.
Penduduk Taman Mutiara, Ahmad Nazri Arifin berkata, program secara pandu lalu memberi kemudahan dan tidak perlu turun kereta atau motosikal dan percuma, berharap penduduk merebut peluang untuk membuat ujian ‘swab’.
Program saringan itu dilakukan secara sukarela untuk penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas serta diutamakan kepada penduduk di kawasan ‘hotspot’ yang melibatkan ahli keluarga yang aktif bergerak seperti ketua keluarga atau isteri dan anak serta warga emas yang ada pergerakan keluar masuk dari kawasan kediaman.
Ujian calitan dilakukan secara pandu lalu kepada penunggang dan pembonceng motosikal di Stesen Bas dan Teksi Jerantut , hari ini.
Manakala penduduk di kawasan lain akan dipanggil dari masa ke semasa bergantung atas lokaliti kes Covid-19 dan akan dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut secara harian.
Penduduk di dalam lokaliti PKPD yang lain yang mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak juga dijemput datang untuk pengambilan sampel.
Disebabkan ini adalah saringan survelan, Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut akan menghubungi individu jika ujian mendapati positif. Jika tidak dihubungi oleh PKD Jerantut, bermakna keputusan ujian adalah negatif.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UJIAN CALITAN HIDUNG DIADAKAN SECARA PANDU LALU DI STESEN BAS DAN TEKSI JERANTUT
SARINGAN INI BERMULA 29 JUN DENGAN PENDUDUK PAKR BANDAR BARU JERANTUT
JERANTUT: Saringan ‘mass sampling’ RTK-Ag (swab hidung) untuk mengesan Covid-19 secara pandu lalu ‘drive-thru’ akan dijalankan di Stesen Bas dan Teksi Jerantut bermula esok, pada 29 Jun 2021 bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jerantut.
Ujian calitan akan dilakukan secara pandu lalu di Stesen bas dan Teksi Jerantut,
Saringan itu dilakukan secara sukarela untuk penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas serta diutamakan kepada penduduk di kawasan ‘hotspot’ yang melibatkan ahli keluarga yang aktif bergerak seperti ketua keluarga atau isteri dan anak yang ada pergerakan keluar masuk dari kawasan kediaman.
Ini termasuk warga emas. Manakala penduduk di kawasan lain akan dipanggil dari masa ke semasa bergantung atas lokaliti kes Covid-19 dan akan dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut secara harian.
Bermula 29 Jun 2021, hari Selasa, saringan ini difokuskan kepada lokaliti penduduk Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Baru, Jerantut.
Penduduk di dalam lokaliti PKPD yang lain yang mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak juga dijemput datang untuk pengambilan sampel.
Disebabkan ini adalah saringan survelan, Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut akan menghubungi anda jika ujian ini positif. Jika tidak dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut, bermakna keputusan ujian anda adalah negatif.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Seramai 541 orang peneroka Felda Jengka 7, termasuk masyarakat Orang Asli masing-masing menerima suntikan vaksin dos pertama di Sekolah Kebangsaan Jengka 7, hari ini.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, Felda Jengka 7 sudah dua kali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), maka sesuai suntikan vaksinasi diberi kepada penduduk di Felda itu.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib
“Kali ini kita membawa pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Maran untuk menjalankan suntikan vaksinasi di sini sebagai memudahkan masyarakat di kawasan ini menerima suntikan tanpa bergerak jauh.
“Mereka tidak perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedia ada kerana bakal mendatangkan kesukaran untuk bergerak serta mengambil masa yang lama,” katanya di lokasi pemberian vaksin di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini daerah Maran masih tidak mencapai sasaran 80 peratus untuk mendapat suntikan, Maran mempunyai kira-kira 150,000 penduduk, diharap suntikan dapat disegerakan bagi menyekat penularan wabak menjelang bulan Julai ini.
“Saya gembira ramai masyarakat Orang Asli sudah memberi gambaran yang positif berkaitan dengan suntikan ini, malah mereka tidak sabar untuk mendapatkan suntikan kerana sebelum ini mereka banyak dimomokkan oleh golongan anti-vaksin.
Melawat pusat pemberian vaksin di SK Jengka 7, seramai 541 orang menerima suntikan vaksin hari ini.
“Terima kasih kepada semua anggota pasukan yang melaksanakan suntikan vaksin pada hari ini yang berusaha melaksanakan dengan baik,”katanya.
Katanya, semua anggota masyarakat diharap sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi membenteras penularan wabak supaya boleh hidpu seperti biasa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!