JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut melawat dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada pesakit dalam Program Ziarah Kasih Kampung Koi, dekat sini, hari ini.
Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, program itu adalah sebagai tanda keprihatinan kepada warga emas serta pesakit yang pernah memberi khidmat bakti kepada masyarakat sebelum ini.
Datuk Ahmad Nazlan meziarahi Saadon Sibon di Kampung Koi, hari ini
Antara yang dilawati, Ketua Kampung Koi, Saadon Sibon yang kurang kemampuan berjalan selepas menjalani pembedahan apendix serta mengalami penyakit kencing manis turut menerima bantuan lampin pakai buang, susu, tongkat dan keperluan rumah.
Manakala Mantan Ketua Kampung Koi, Mat Hashim Mat Aris yang diserang angin ahmar dan Alias Osman serta Hamidah Dolah mengalami sakit tua, turut menerima keperluan rumah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Kira-kira 600 penduduk di Desa Murni, dekat sini bergotong-royong menghiasi setiap pintu gerbang di kampung berkenaan dengan Jalur Gemilang bersempena Hari Malaysia.
Penduduk menggunakan daya kreativiti masing-masing menggunakan bahan terbuang untuk mencantikkan semua pintu gerbang di kampung yang mempunyai enam blok itu.
Ketua Kampung Desa Murni, Mohamad Fazrul Ahmad, 34 tahun, berkata, kebanyakan hiasan menggunakan barang-barang terpakai seperti botol plastik, tayar lama, tempurung kelapa dan pelbagai lagi.
“Konsep hiasan ini tidak memerlukan modal besar, paling penting penduduk boleh menonjolkan idea kreatif mereka dan melakukannya secara gotong-royong.
“Kebanyakan hiasan tertumpu di pintu masuk setiap blok dan ia akan kekal untuk tatapan penduduk atau pengunjung ke kampung… sebelum ini pun banyak juga program kami buat, tapi program ini paling meninggalkan kesan kepada kami kerana ia adalah peluang terbaik meraikan sambutan Hari Malaysia, selain dapat membuktikan semangat cintakan negara,” katanya.
Bagi Ketua Blok 6, Mohd Rahimi Ibrahim, 53 tahun, selain menggunakan barang terpakai beliau bersama penduduk lain turut sepakat untuk mempamerkan barang-barang lama yang masih disimpan bagi tatapan generasi muda.
“Kami pamerkan sekali barang-barang lama dan antik dan setiap ahli yang ada barang lama, kami kumpulkan dan kita wujudkan satu galeri… mungkin anak muda kita tak pernah lihat batu giling, kita ada alat menangkap ikan… selain tu kita ada kukur nyior ada… kita ada periuk tembaga lama, jadi mereka (generasi muda) boleh tahu sejarah barang-barang lama ini,” katanya.
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Selain Gunung Tahan setinggi 2187 meter, potensi baharu boleh dimanfaatkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah Jerantut yang kaya dengan khazanah tanah tinggi yang boleh dijadikan nilai tambah pendapatan negara dalam sektor pelancongan.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kawasan tanah tinggi di sekitar daerah itu boleh menarik pelancong dalam dan luar negara dalam sukan atau riadah lasak pendakian yang menjadi kegemaran masa kini.
Datuk Ahmad Nazlan (2 dari kiri), Datuk Idros Yahya (tengah) di puncak Bukit Panau
“Saya kagum dengan kehadiran dan kecekalan penduduk tempatan, malah orang luar dari daerah ini yang suka mendaki kawasan tanah tinggi seperti Bukit Panau sebagai riadah lasak serta sanggup datang dari jauh.
“Di Jerantut banyak kawasan tanah tinggi terletak tidak jauh dari bandar dan mempunyai kemudahan yang lengkap, maka mudah untuk pendaki khususnya dari luar daerah dan luar negeri Pahang untuk mencabar diri mendaki,”katanya.
Datuk Ahmad Nazlan (depan) turut mendaki
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pendakian bersama dengan kira-kira 100 orang termasuk pendaki daerah ini dan Persatuan Pencinta Burung, di Bukit Panau, Kampung Bharu, pagi ini.
“Bukit Panau setinggi 396 meter sesuai untuk pendaki amatur yang mula berjinak dengan sukan ini, walau begitu laluan ke puncak bukit ini agak mencabar dengan kecuraman yang memerlukan bantuan menggunakan tali.
Datuk Ahmad Nazlan menunjukkan tanda ketinggian Bukit Panau, 396 meter
“Produk seperti ini turut memberi peluang pendapatan sampingan kepada belia dan komuniti setempat seperti menjadi juru arah dan juga perniagaan kecilan untuk memberi kemudahan kepada pendaki ke sini,” katanya.
Antara laluan ke puncak bukit
Turut hadir, Pengarah Pelancongan Dan Kesenian Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya, Penghulu Mukim Ulu Cheka, Ketua-ketua Kampung Koi, Kampung Bahru, Kampung Damak, Kampung Perlok, Kampung Som dan Kampung Kuala Tahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka menamakan Pengarah Teknikal badan induk itu yang baharu dalam masa terdekat, selepas peyandangnya, Peter De Roo melepaskan jawatan itu baru-baru ini.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sedang meneliti calon yang paling sesuai, walaupun Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, Datuk Ong Kim Swee yang juga penolong De Roo, dilihat paling sesuai mengisi kekosongan jawatan itu.
“Mungkin sebelum akhir September atau awal Oktober, kita umumkan Pengarah Teknikal FAM yang baharu.
“Kita perlu mengambil masa untuk meneliti calon sesuai di peringkat Jawatankuasa Teknikal, sebelum nama calon itu dibawa kepada mesyuarat exco FAM untuk proses kelulusan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Baru-baru ini, De Roo mengumumkan melepaskan jawatan disandangnya sejak 2017, namun tidak mendedahkan punca beliau mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bagi jawatan yang tamat pada penghujung 2020.
De Roo yang berasal dari Belanda, menjadi antara watak penting dalam membangunkan DNA bola sepak negara yang baharu, sejak dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 2017.
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PESARA GURU RUGI SETENGAH JUTA RINGGIT AKIBAT MACAU SCAM
JOHOR BAHRU: Seorang bekas guru mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit, termasuk wang persaraan dan hasil jualan barang kemas isteri selepas diperdaya sindiket Macau Scam bulan lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jenayah Korporat dan Kewangan Johor, Superintendan Amran Md Jusin berkata, lelaki berusia 64 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai petugas Pos Laju pada 1 Ogos lalu.
Katanya suspek memaklumkan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan mangsa serta memberitahu mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke beberapa akaun bank bagi tujuan siasatan lanjut.
“Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu membuat 20 transaksi pemindahan wang berjumlah RM459,041.90 ke beberapa akaun seperti diarahkan suspek (secara berperingkat) antara 11 hingga 28 Ogos,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Amran berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek sekali lagi menghubunginya memberitahu mahu mendakwa mangsa di mahkamah walaupun mangsa sudah membuat pembayaran seperti diarahkan suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.
Amran menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai individu yang membuat panggilan dan mendakwa daripada mana-mana agensi penguatkuasaan kerana pihak berkuasa tidak akan meminta butiran akaun bank atau mengarahkan wang dipindahkan ke akaun bank lain.
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Fenomena tanah runtuh dan kepala air di Gunung Rajah, dekat sini adalah perkara biasa, terutamanya ketika musim hujan lebat.
Selain itu, kejadian kumpulan pendaki diancam panahan petir juga sering dilaporkan di kawasan gunung setinggi 576 meter dan menjadi antara destinasi pendakian popular di Pahang.
Paling terbaharu, beberapa pendaki merakam gambar kejadian tanah runtuh dan fenomena kepala air ketika mendaki Gunung Rajah, Sabtu lalu.
IHSAN PEMBACA
Seorang pendaki, Ahmad Amirul Naim Mohamad, 26, berkata, ketika bersama rakannya melakukan pendakian mendapati kesan tanah runtuh di bahagian puncak gunung berkenaan.
Selain itu, katanya terdapat kesan sampah dan sisa kayu dan daun dipercayai dibawa kepala air setinggi kira-kira lima meter di kawasan sekitar trek pendakian.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, tiada kejadian mangsa dihanyutkan arus kepala air atau ditimpa tanah runtuh diterima pihaknya.
IHSAN PEMBACA
“Kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kejadian itu… mungkin kejadian tidak membabitkan mangsa dan semasa kejadian tiada pendaki,”ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seramai 146 murid dan 17 guru Sekolah Kebangsaan Sungai Dua (SKSD), Bentong menyambut Hari Malaysia dengan penuh warna-warni dan pakaian lengkap Melayu tradisional, hari ini.
Murid SKSD turut sertai meraikan Hari Malaysia
Guru Besar sekolah itu, Siti Anita Kasmuri, berkata tahun ini SKSD memilih tema sambutan pakaian tradisional Melayu untuk mengembalikan nostalgia, khususnya kepada generasi muda di sekolah itu.
Guru Besar, SKSD, Siti Anita Kasmuri
“Pakaian tradisional Melayu memang mudah dan cantik dipakai, tetapi ketika membincangkan tema sebelum majlis diadakan, semua guru terpinga-pinga dengan jenis pakaian apa yang sesuai untuk digayakan… malah ada yang melayari internet untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai cara pemakaian tradisional yang betul dan lengkap.
Salah seorang murid menerima hadiah bagi acara mewarna Hari Malaysia
“Paling sukar adalah bagi guru wanita untuk memperagakan pakaian seperti ini, malah ada yang tersilap apabila pakaian dikenakan menjadi pakaian petani perempuan di sawah dan sebagainya… Alhamdulillah, masing-masing dapat juga memperagakan pakaian tradisonal Melayu di majlis kali ini,” katanya.
Penyelaras majlis, Muhammad Syaraff Alwi, berkata ketika pihak sekolah memutuskan untuk memilih pakaian tradisional Melayu sebagai tema majlis sambutan, pada awal agak sukar memikirkannya, tetapi perbincangan diadakan menjelang majlis, selain membuat kajian melalui internet banyak membantu melancarkan sambutan.
Dua orang guru memperagakan pakaian Melayu
“Hanya guru sahaja yang berpakaian tradisonal memandangkan majoriti murid sekolah ini adalah anak-anak Orang Asli dari Suku Kaum Temuan… selain itu, satu ceramah ringkas berkaitan sejarah kemerdekaan negara turut disampaikan kepada murid,” katanya.
Tidak mahu ketinggalan merakamkan kenangan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia
Syaraf juga meniup Tetuang sebagai simbolik bagi menandakan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2020 berakhir.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengacau lima kawah bubur asyura dan dihadiri 150 ahli persatuannya di Rumah Transit PVATM, Taman Saujana Utama, Jerantut, kelmarin.
Pengerusinya, Hashim Aziz berkata, tujuan utama program itu selain menyambut hari kebesaran dalam kalender Islam , mereka turut meraikan bulan kemerdekaan dan sambutan hari Malaysia.
“Program mengacau bubur asyura ini juga merapatkan siratulrahim antara ahli dan keluarga bekas tentera yang bermastautin di daerah ini.
“Kami mengadakan program ini setiap tahun, ia menjadi satu program yang ditunggu-tunggu dan bubur itu turut diagihkan di kalangan ahli dan juga kumpulan yang sudah dikenal pasti,”katanya.
Sementara itu, ahli PVATM, Nordin Mat Sam berkata, dengan adanya bangunan sendiri di Rumah Transit itu, memudahkan persatuannya menjalankan pelbagai aktiviti selain menjadi rumah sewa harian yang dibuka kepada orang ramai.
“Musim cuti sekolah rumah transit ini banyak ditempah untuk rombongan keluarga yang menghadiri majlis kenduri kahwin dan juga hari keluarga. Sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di nombor 019-4975579,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
FELDA JENGKA 24 JOHAN HARI MERDEKA, HARI MALAYSIA PERINGKAT WILAYAH JENGKA
JERANTUT: FELDA Jengka 24, dekat sini, dinobatkan sebagai Johan Kategori Kampung Patriotik dalam Pertandingan Sempena Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia Peringkat Wilayah Jengka yang berlangsung sepanjang bulan Ogos lalu.
Pemilihan itu dibuat selepas mengambilkira komitmen dan kreativiti ditunjukkan kira-kira 300 warga peneroka FELDA berkenaan dalam menceriakan kawasan mereka dengan menggunakan lebih 6,000 bendera Jalur Gemilang.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keputusan pemenang itu dibuat oleh gabungan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Ketua Peneroka, Pengerusi Gabungan Peneroka Wanita serta Pengurus Rancangan FELDA.
“Sebanyak 37 tanah rancangan dalam Wilayah FELDA mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan dan objektif utama kita menganjurkan pertandingan adalah bagi menunjukkan rasa penghargaan kepada pejuang kemerdekaan Tanah Air yang berkorban demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan makmur seperti kita kecapi ketika ini.
“Selain itu, melalui penganjuran pertandingan seperti ini juga dapat menaikkan semangat anak muda (generasi muda FELDA) untuk bersama-sama menghargai nikmat kebebasan, selain menanamkan rasa patriotik dalam jiwa mereka,” katanya.
Razak berkata, pertandingan itu bukanlah untuk mencari pemenang dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian, tetapi lebih kepada melihat inisiatif setiap warga peneroka dalam kawasan Wilayah Jengka membuktikan rasa kasih dan sayang mereka terhadap Malaysia.
Sementara itu, Pengurus Besar Wilayah Jengka, Afzal Hanis Hamid Abd Kadir berkata, pertandingan tahunan itu dilihat sebagai antara usaha FELDA dalam memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dan kebetulan tahun ini, sambutan diadakan secara sederhana tetapi meriah, berikutan penularan wabak COVID-19.
“Suasana (sambutan) tahun ini agak berbeza kerana kita kena lakukan dengan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.
“Walaupun agak terbatas kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ia tidak mengganggu kemeriahan dan penyertaan warga peneroka dalam pertandingan kita anjurkan,” katanya.
FELDA Jengka 24 selaku johan menerima wang tunai RM1,500; bagi Naib Johan pula menerima RM1,000; tempat ketiga menerima RM700 dan tempat keempat memperoleh RM500.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Polis Daerah Raub sedang memburu seorang wanita yang meloloskan diri dari tahanan selepas selesai proses sebutan kes di Mahkamah Raub, dekat sini, petang semalam.
Suspek yang masih bergari ketika kejadian, sempat melarikan diri dengan bantuan seorang lelaki dipercayai teman lelakinya, dengan menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Raub. Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, anggota polis wanita bertugas mengiringi 12 orang kena tahan (OKT), termasuk suspek wanita itu, naik ke lori polis untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Raub.
“Ketika semua OKT sedang menaiki lori, tiba-tiba datang seorang lelaki Melayu menaiki motosikal jenis YAMAHA LC berwarna hitam dari arah belakang anggota polis dan berhenti di tepi suspek wanita berkenaan.
“Suspek wanita itu dengan pantas melompat ke atas motosikal terbabit dan kedua-duan mereka kemudiannya terus meluru dengan laju meninggalkan perkarangan tempat letak kereta Mahkamah Raub.
“Anggota kita cuba mengejar motosikal dinaiki suspek, namun gagal selepas terjatuh hingga mengalami kecederaan pada bahagian tapak tangan,” katanya.
Kama Azural berkata, suspek wanita itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C (1) ADB 1952, dan turut mempunyai empat sabitan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Suspek (wanita) berusia 23 tahun itu berasal dari Kampung Ulu Lepar Dong, Raub itu sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Raub semalam dan mengaku tidak bersalah… mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 September depan,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis sudah mengenal pasti teman lelaki suspek yang berasal Kampung Pulau Kabong Budu, Benta, Lipis dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan berkenaan diminta menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!