JERANTUT: Bekas Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3, Nordin Yit menjadi mangsa berita palsu apabila dikatakan meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan, pagi tadi.
Berita itu dikatakan mula tersebar kira-kira jam 10 pagi tadi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Bekas Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3, Nordin Yit
Beberapa rakan beliau yang menerima berita itu berasa amat terkejut dan terus menghubungi ahli keluarga Nordin bagi tujuan pengesahan.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, perkara itu bagaimanapun dinafikan ahli keluarga Nordin dan memaklumkan beliau mengalami kecederaan serius dalam kemalangan dekat Bandar Pusat Jengka.
“Ahli keluarga beliau memaklumkan ada menerima kiriman Whatsapp ucapan takziah daripada beberapa orang kawan rapat Nordin, namun selepas dimaklumkan keadaan sebenar, mereka terkejut kerana mendakwa mendapat berita mengenai kematian bekas Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3 itu.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud
“Perkara ini sangat dikesali kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak sahih melalui laman sosial Facebook hingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan kenalan Nordin,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, wakil peneroka sempat ke Hospital Jengka untuk memeriksa keadaan sebenar Nordin dan mendapati beliau mengalami kecederaan patah kaki dan mendapat rawatan awal di hospital berkenaan.
Katanya, Nordin masih ditempatkan di Hospital Jengka bagi rawatan lanjut dan tidak mengalami kecederaan parah seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya harap benda macam ini tidak berulang… sebelum nak sebarkan atau kongsi apa-apa berita, terutamanya berita membabitkan kematian, eloklah kita periksa kesahihan berita itu terlebih dahulu.
“Benda macam ini (kematian) bukan boleh dibuat main… kena tengok dan jaga sensitiviti ahli keluarga dan saudara-mara mangsa kemalangan… apatah lagi, kita kenal dengan mereka, jadi elok lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita seperti ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Polis merampas 794 permainan menyerupai senjata api seperti pistol, senapang dan mesingan dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Serbuan pertama pada jam 3 petang itu, membabitkan premis di Lorong Industri Inanam Juta di sini, sebelum polis menyerbu sebuah lagi premis di Bangunan ITCC, Penampang dekat sini, selepas ia didapati menjual senjata api tiruan tanpa permit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata lapan individu termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, hasil dua serbuan berkenaan, polis merampas semua senjata api tiruan dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000 termasuk cukai yang dipercayai dibawa masuk untuk dijual kepada orang awam.
“Semua barangan dirampas dipercayai diimport dari China sebagai permainan kanak-kanak sebelum dijual kepada orang ramai.
“Risikan mendapati, senjata tiruan berkenaan juga dijual secara dalam talian bermula belasan ringgit hingga RM150 setiap satu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Cawangan Khas IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Salleh Yahya; Pegawai Turus D9, Superintendan Zairolnizal Ishak dan Pegawai Turus D7, Alhusin Halil.
Jauteh berkata, semua senjata tiruan dirampas itu menyerupai senjata api seperti AK47, Glock dan beberapa jenis senjata lain serta berfungsi dengan menggunakan bateri cas semula.
“Semua senjata tiruan itu dibawa masuk menggunakan lesen alat permainan dan dicampur aduk dengan alat permainan lain untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Jauteh menegaskan kejayaan ini hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas IPK Sabah.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan o-cha, semalam menegaskan tidak akan berundur meskipun terdapat desakan oleh parti pembangkang pada sesi Parlimen khas.
Sesi itu diadakan bagi membincangkan protes yang sedang berlangsung, menuntut perubahan politik selain mahu Perdana Menteri meletak jawatan.
“Negara sedang berhadapan masalah. Saya tidak akan lari daripada masalah. Saya akan terus bekerja,” katanya pada sidang khas itu yang berakhir jam 10 malam tadi (waktu tempatan).
Prayuth meminta sesi parlimen khas diadakan bagi membincangkan tunjuk perasaan yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan.
Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan antikerajaan yang berhimpun di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik.
Ia termasuk pengunduran perdana menteri, pembubaran Parlimen, penggubalan semula perlembagaan, dan perubahan monarki.
Sementara itu, Prayuth bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dianggotai semua pihak termasuk perwakilan gabungan pemerintah dan kumpulan penunjuk perasaan dalam usaha mengakhiri ketegangan politik yang kian memuncak.
Beliau mengingatkan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan supaya tidak mengheret negara lain ke kancah urusan dalaman kerajaan.
“Jangan bawa masuk negara lain. Kita harus mengekalkan kedaulatan negara,” katanya.
Prayuth juga melahirkan kebimbangan sekiranya pergolakan politik akan mempengaruhi pemulihan ekonomi Thailand daripada pandemik COVID-19.
Sementara itu, dalam ucapan penutupnya, Ketua Whip pembangkang, Sutin Klangsang, berkata parti pembangkang akan meminta Parlimen membahaskannya bulan depan sebelum tunjuk perasaan semakin berleluasa.
“Prayuth mesti letak jawatan. Jika beliau enggan, saya khuatir tunjuk perasaan akan terus memuncak. Oleh itu, saya meminta perdana menteri berkorban,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun, antara Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak tirinya di bilik utama sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, antara 17 Mac hingga 29 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja T hitam dilihat terpinga-pinga dan keliru ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Ia menyebabkan jurubahasa berulang kali bertanya sama ada dia memahami pertuduhan berkenaan selain pengakuan yang mahu dibuatnya.
Hakim bertanya latar belakang dan usul tertuduh yang berasal dari Sabah itu, namun dia terus mendiamkan diri.
Kamarudin kemudian bertanya semula sama ada tertuduh memahami pertuduhan dan pengakuannya sama ada mahu mengaku atau tidak, apabila dia dilihat terus terpinga-pinga.
“Kamu berasal dari mana? Sabah. Faham Bahasa Malaysia kan? Takkanlah sudah 30 tahun masih tidak faham Bahasa Malaysia, ” katanya.
Tertuduh akhirnya meminta untuk dibicarakan selepas diterangkan semula pertuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan ke atas tertuduh berikutan dia dan mangsa serta ibunya masih tinggal di rumah sama dan dibimbangi akan mengganggu mangsa.
Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh selepas dia terus mendiamkan diri ketika diminta membuat rayuan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember bagi penyerahan dokumen.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew ditahan polis berhubung kenyataannya didakwa berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata Liu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 10.40 pagi tadi.
“Kita akan rakam keterangan Lui dan sama ada beliau akan dibebaskan atau tidak bergantung kepada keterangan diberikan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,
Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid
Semalam, polis melakukan siasatan terhadap empat pemilik akaun Twitter dan Facebook (FB) kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed semalam berkata, antara individu yang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman itu ialah pemilik akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew.
Polis turut dilaporkan menyiasat pemilik akaun Twitter Uncle Ireeve kerana memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap YDPA, selain Liew Lip Nan yang mempertikaikan video dimuat naik Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.
Siasatan juga dibuat ke atas pemilik akaun Facebook Ho Ruey Terng yang memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap YDPA.
Polis meminta pemilik akaun media sosial terbabit tampil menyerah diri dan jika ingkar, tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung lebih empat jam malam kelmarin, namun ‘bahangnya’ terus memanaskan suhu politik negara.
Bermula jam 8.30 malam dan tamat jam 12.30 tengah malam, hasil mesyuarat itu ditunggu-tunggu ramai pihak apabila Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataan tujuh perenggannya, selain memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama UMNO dengan PKR dan DAP, mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid itu turut menekankan inisiatif Agenda Perdamaian Nasional perlu disegerakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti pembangkang.
Selepas MKT UMNO mencapai kata sepakat, ia tidak tamat begitu sahaja apabila pelbagai tanda tanya apakah sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan.
Pelbagai andaian dan telahan dibuat oleh pemerhati dan penganalisis politik, termasuk media mengenai agenda mesyuarat yang diadakan beberapa jam selepas semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO menganjurkan mesyuarat tergempar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Difahamkan, antara isu yang memanaskan perbincangan adalah mengenai cadangan beberapa pemimpin parti itu untuk bekerjasama dengan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika diajukan pertanyaan mengenainya, Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perbincangan sokongan terhadap Anwar sememangnya dikemukakan dalam mesyuarat itu, namun itu hanya salah satu pilihan cadangan saja.
Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin hadir pada mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, PWTC, Kuala Lumpur. -Ihsan BH
Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun ditolak majoriti ahli MKT kerana kerjasama dengan Anwar tidak boleh dilaksanakan memandangkan mereka bersekutu dengan DAP.
“Jelas ramai berpendapat Anwar tidak akan boleh bekerjasama dengan UMNO tanpa DAP.
“UMNO pula sebelum ini sudah menjelaskan memang tidak akan bekerjasama dengan DAP,” katanya kepada BH, semalam.
Mesyuarat MKT UMNO dan Ahli Parlimen BN yang berasingan diadakan sehari selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatullah Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat tidak perlu buat masa ini.
Seri Paduka juga memberi amaran agar ahli Parlimen berhenti membuat langkah politik yang boleh mengancam kestabilan kerajaan.
Titah baginda, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Mengenai sama ada tempoh masa dinyatakan berhubung sokongan dan kerjasama dengan PN serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata: “Ia tidak ditetapkan tetapi semuanya bergantung kepada situasi semasa COVID-19.
“Banyak yang kita pertimbangkan dan kita harap permintaan UMNO seperti jawatan penting dalam kerajaan, termasuk kuota jawatan Timbalan Perdana Menteri dipertimbangkan,” katanya.
Seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim pula menjelaskan parti itu juga memutuskan untuk menyokong Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula berkata isu sokongan terhadap Anwar tidak dibincangkan kerana parti memang sudah menolak Anwar dan DAP.
“Semua konsisten dalam keputusan semalam (kelmarin). ‘No DAP, No PKR,” katanya.
Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii ketika keluar selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, PWTC, Kuala Lumpur. – Foto ihsan BH dan bernama
Bagi Datuk Razlan Rafii yang juga ahli MKT UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, persetujuan untuk menyokong PN dibuat tanpa syarat dan tiada tempoh masa diberikan.
Katanya, Agenda Perdamaian Nasional yang dicadangkan UMNO malam kelmarin akan dimulakan dengan sokongan kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November depan.
“Ia mengambil semangat yang dilaksanakan di beberapa negara di Eropah yang mana belanjawan disokong kerana ia membabitkan nasib rakyat.
“Kita sepakat akan terus menyokong belanjawan kerana ini soal rakyat, jika belanjawan tidak lulus, kakitangan awam tidak dapat gaji,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mengakui menyokong UMNO bekerjasama dengan PKR dengan syarat tanpa penyertaan DAP, lewat petang semalam, menyangkal dakwaan beliau mahu membawa UMNO ke arah kerjasama dengan Anwar.
Dalam satu hantaran Facebook, Najib berkata kerjasama dengan Anwar yang menurutnya dengan syarat ia tidak membabitkan DAP, adalah satu daripada beberapa cadangan yang dibawanya ketika mesyuarat Ahli Parlimen BN di PWTC, petang kelmarin.
“Keputusan ini juga satu daripada tiga cadangan yang saya sebut semalam (kelmarin),” kata Najib.
Menurut Najib, selain kerjasama dengan Anwar atau PN, beliau turut mencadangkan agar UMNO menggesa penetapan tarikh untuk Pilihan Raya Umum (PRU) setelah wabak COVID-19 dalam keadaan terkawal.
BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Harga siling runcit baharu bagi pelitup muka jenis tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping, berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga maksimum pelitup muka jenis tiga lapis di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen.
Mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat kajian semula harga pelitup muka melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport, katanya.
“Harga baru ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” menurutnya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Nanta berkata, harga siling runcit bagi pelitup muka satu lapisan pula ditetapkan tujuh sen sekeping, pelitup muka dua lapisan 20 sen sekeping manakala pelitup muka N95 pada RM6 sekeping.
Sementara itu, beliau berkata KPDNHEP telah menjalankan 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Jan sehingga Ahad lepas.
“Tindakan pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73 kes dengan nilai rampasan RM543,737 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya.
Peniaga yang gagal mematuhi perintah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti seperti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.
Pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala pesalah syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan harga terkawal pula, pesalah individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala pesalah syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000, katanya.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mendapati bekas pemain importnya, Mohamadou Sumareh bersalah terhadap empat kesalahan, mengenakan hukuman gantung dua tahun bagi setiap kesalahan tersebut, daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP, Rizal Chek Hashim berkata, hukuman bagi keempat-empat kesalahan itu yang dilakukan sewaktu pemain itu bersama skuad TokGajah, berjalan serentak dan pemain naturalisasi pertama Malaysia itu hanya perlu menjalani hukuman selama dua tahun.
BEKAS penyerang skuad Tok Gajah, Mohamadou Sumareh
“Keputusan dibuat selepas Jawatankuasa Tatatertib PBNP bersidang hari ini, bagi meneliti dan mengkaji pertuduhan terhadap pemain tersebut, yang didapati melanggar terma-terma kontrak yang dilaporkan PBNP dan pasukan Liga Super Pahang kepada kami.
“Pertuduhan ini telah melalui proses notis dan pendengaran seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang PBNP dan pemain terlibat telah diberikan notis sebanyak dua kali, bagi menjawab pertuduhan terhadapnya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa berlangsung petang semalam.
Rizal mendakwa Sumareh yang kini bersama kelab Thailand, PoliceTeroFC, juga telah diminta untuk berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib PBNP bagi menjawab semua pertuduhan terhadapnya, namun pemain itu dikatakan memilih untuk tidak hadir.
Sehubungan itu, Rizal berkata, pihaknya akan memaklumkan hukuman tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), untuk dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Rizal berkata Sumareh yang mendapat gelaran KeliBoy daripada penyokong TokGajah didapati telah membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran PBNP, yang telah melanggar artikel 61 kod tatatertib FAM, artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 Perlembagaan PBNP 2004.
Bagi pertuduhan kedua, pemain kelahiran Gambia berusia 26 tahun itu didapati telah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain kerana merujuk terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (DisputeResolutionChamber), tanpa terlebih dahulu merujuk kepada FAM.
“Pemain itu turut didapati gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama pasukan mulai 3 hingga 28 Ogos lalu dan pertuduhan terakhir ialah gagal menghadiri perlawanan Liga Super bertarikh 28 Ogos lalu antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim, yang merupakan pelanggaran artikel 5.1 kontrak beliau,” katanya.
Sumareh yang mula menyarungkan jersi TokGajah pada tahun 2017 dikatakan telah menghantar surat pembatalan kontrak kepada PBNP pada 4 Ogos lalu, berdasarkan klausa 8.6 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukan tidak membayar gaji lebih daripada satu kali.
Bagaimanapun, PBNP dilaporkan menafikan dakwaan itu sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama oleh kedua-dua pihak.
Sumber: Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Florida: Sekeluarga di Palm Harbor, di sini terkejut apabila melihat ular berkepala dua yang ditemui kucing peliharaan mereka.
Kay Rogers berkata, kucing milik anak perempuannya yang dinamakan Olive menggonggong ular bersaiz kecil itu ke ruang tamu rumah sebelum, mereka menyedari sesuatu yang pelik.
“Pada mulanya saya ingatkan anak saya bergurau apabila mengatakan Olive menggonggong ular berkepala dua, tetapi apabila melihatnya sendiri, saya jadi kagum
“Saya tidak pernah melihat reptilia begitu sebelum ini,” kata Rogers kepada WKMG-TV seperti dilapor portal berita UPI.
Berikutan itu, anak Roger menamakan ular berkenaan Dos dan mereka menyerahkan ia untuk jagaan
Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar, Institut Penyelidikan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC).
FWC menjelaskan ular hitam berkepala dua adalah penemuan ganjil dan jarang berlaku.
“Fenomena ini disebut bicephaly, yang bukan kebiasaan tetapi boleh terjadi ketika perkembangan embrio apabila dua monozigot kembar gagal berpisah, akhirnya meninggalkan dua kepala pada satu badan,” kata FWC dalam hantaran di Facebook.
Menurut institut itu lagi, Dos sukar bertahan di luar berikutan bergantung kepada sepasang otak yang menyulitkan ia untuk makan dan melepaskan diri daripada pemangsa.
Dalam pada itu, Live Science yang dipetik Fox News melaporkan keluarga Roger menemui ular itu pada September lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HOUSTON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Texas, Amerika Syarikat (AS) maut tertembak diri sendiri pada majlis sambutan hari jadinya.
Tragedi menyayat hati itu berlaku selepas kanak-kanak malang itu menemui sepucuk pistol yang tercicir dari poket salah seorang saudaranya yang menghadiri majlis berkenaan.
Polis berkata kanak-kanak malang itu sedang diraikan oleh keluarga dan sahabat dalam satu majlis di Porter, timur laut Houston pada Sabtu lalu apabila kedengaran bunyi tembakan ketika sedang bermain kad.
Budak lelaki itu ditemui bersama senjata api dengan kecederaan parah di dada dan segera dikejarkan ke stesen bomba, namun meninggal dunia di situ.
Pihak berkuasa berkata, mangsa menemui pistol yang terjatuh dari poket seorang saudara.
Menurut pertubuhan Everytownfor GunSafety, sejak awal tahun ini, AS merekodkan 229 kes tembakan tidak sengaja oleh kanak-kanak, dengan 97 kematian dilaporkan.
Satu pertiga rakyat AS kini memiliki senjata api dan berhak memilikinya berdasarkan peruntukan Pindaan Kedua Perlembagaan AS, dengan Texas sebagai negeri yang mempunyai undang-undang paling longgar bagi pemilikan senjata api.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!