JERANTUT: Pembinaan Pusat Perniagaan dan Informasi serta Pusat Rekreasi dan Perkhemahan di Kampung Pagi, di sini, dijangka siap Mac tahun depan.
Projek menelan belanja RM236,590 itu merupakan di bawah seliaan Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang menerusi Program Sukarelawan Pengakap.
Pengerusinya, Muhammad Asmawi Sulaiman berkata, seramai 25 ahli pengakap yang berusia 17 hingga 25 tahun bergotong-royong bersama penduduk kampung membina pusat informasi berkenaan.
Beliau berkata, pembinaan pusat perniagaan dan informasi dibina bertujuan memberi maklumat mengenai aktiviti serta penginapan yang terdapat di Kampung Pagi memandangkan kampung berkenaan berhampiran dengan Taman Negara.
“Pusat tersebut juga akan mempamerkan produk dan barangan tempatan hasil daripada penduduk Kampung Pagi selain merupakan lokasi persinggahan pelancong untuk merehatkan diri seketika setelah merantau perjalanan yang panjang.
“Sementara pusat rekreasi dan perkhemahan pula dibina untuk kemudahan pelancong yang ingin merasakan suasana berkhemah di dalam hutan.
Alatan perkhemahan juga disediakan bagi pelancong yang ingin merasai penginapan dengan kadar yang rendah,” katanya kepada wartawan SAHIH, di sini, hari ini.
Katanya, selepas projek tersebut selesai, ia dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung untuk berkhidmat di pusat tersebut selain memberi peluang perniagaan kepada mereka sekaligus menjana pendapatan masing-masing.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Madrid: Gara-gara mahu menyerupai wajah karakter jahat dalam filem fiksyen CaptainAmerica, seorang lelaki sanggup menjalani 15 pembedahan menyakitkan termasuk memotong sebahagian hidungnya bagi menjiwai watak Red Skull.
Pelukis tatu, Henry Rodriguez, 34, dari Galicia, Sepanyol itu mengakui bahawa 15 pembedahan dijalani sangat menyakitkan, tetapi dia tidak menyesal.
Portal TheSun melaporkan, katanya, dia memutuskan untuk menjalani pembedahan pada 2012 demi menyerupai watak pejahat utama dalam filem fiksyen keluaran Marvel itu.
Setahun sebelumnya, dia melakukan rundingan dengan doktor pakar untuk melihat karakter sesuai buat dirinya.
“Kami ingin sesuatu yang unik. Idea awalnya adalah tengkorak. Ketika doktor menunjukkan rancangannya, saya kemudian melihat Red Skull,” katanya.
Katanya, pembedahan itu antara projek yang sudah dirancang bertahun lamanya dan memerlukan banyak prosedur.
“Antara prosedur pertama adalah menghitamkan mata dengan jumlah keseluruhan kos pembiayaan pembedahan mencecah 27,255 pound sterling (RM147,933).
“Pembedahan ini membabitkan pemotongan hidung, cuping telinga serta implan silikon di dahi, pipi, dan kening,” katanya.
Menurutnya, berikutan ingin kelihatan seperti Red Skull, dia memutuskan melakukan lebih banyak pengubahsuaian.
WAJAH Henry Rodriguez sebelum menjalani pembedahan.
Akuinya, prosedur pembedahan dilakukan sangat menyakitkan, namun dia menegaskan tidak akan menyerah kerana itu adalah impiannya.
“Ia seperti melakukan aktiviti larian. Tanpa rasa sakit tidak akan dapat kemenangan. Itulah daya tarikannya,” katanya.
Rodriguez mengakui, dia menjalani transformasi itu tanpa pengetahuan keluarga yang berada di Venezuela.
Dia memutuskan pindah dari Venezuela ke daerah Galicia dikenali Ourense, dan bekerja di studio tatu, Bonshyo.
Rodriguez mengatakan setiap kali dia dibedah, dia tidak memberitahu keluarganya menyebabkan mereka terkejut dengan perubahannya dirinya.
“Awalnya, mereka sangat takut dan terkejut dengan perubahan. Tapi lama-kelamaan mereka sudah biasa,” katanya.
Katanya, anak lelakinya berusia tujuh tahun sangat menyukai perubahan dirinya dan memanggilnya Superdad.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang peragut terpaksa menahan kesakitan apabila motosikal ditunggangnya terhumban ke dalam longkang selepas meragut seorang remaja perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah di Jalan Sekolah, Seri Kembangan dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa ragut yang berusia 17 tahun dikatakan menjerit meminta pertolongan sebaik diragut dan dipercayai menyebabkan suspek panik sebelum memecut motosikalnya untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh masuk ke dalam longkang tidak jauh dari tempat kejadian.
Orang ramai yang mendengar jeritan mangsa berjaya menangkap suspek yang ketika itu terbaring kesakitan di tepi longkang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata polis yang menerima laporan kejadian pada jam 5.30 petang, menghantar sepasukan anggota dan menahan suspek.
“Pemeriksaan menemui beberapa telefon bimbit yang disyaki dicuri dan juga beberapa paket disyaki berisi dadah.
“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Katanya, suspek kemudian dihantar ke sebuah hospital berhampiran kerana mengalami pendarahan di kepala selain dipercayai patah kaki dalam kejadian itu.
Siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DERMAWAN MUDA, DATUK SERI NICKY LIOW SOON HEE SERAH SUMBANGAN BULANAN RM10 RIBU KEPADA PUSAT PENJAGAAN KANAK-KANAK TERENCAT AKAL MELAKA
MELAKA: Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia (PINLM) menyampaikan sumbangan bulanan RM10,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka, dekat sini, Rabu lalu.
Penyampaian sumbangan itu adalah kesinambungan kepada sumbangan berterusan PINLM bagi tujuan kebajikan sejak tahun 2016.
Majlis penyampaian sumbangan berkenaan turut dihadiri Pengerusi dan Pengasas WinnerDynastyGroup, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Penasihat Eksekutif PINLM, Datuk John Lee Kim Tian mewakili Winner DynastyGroup menyampaikan sumbangan cek RM10,000 kepada pengendali pusat jagaan berkenaan, M Thomas.
Datuk John Lee Kim Tian (kiri) menyampaikan cek RM10,000 sumbangan PINLM kepada M Thomas
Selain wang RM10,000, pihak WinnerDynastyGroup dan PINLM turut menyumbang barangan keperluan asas untuk kegunaan pusat jagaan terbabit.
Kim Tian dalam ucapan ringkasnya berkata, pihak WinnerDynastyGroup dan PINLM akan terus komited dan konsisten memberikan sumbangan kepada pusat jagaan berkenaan, walaupun keadaan ekonomi semasa kurang memberangsangkan akibat gelombang ketiga COVID-19.
“Saya difahamkan ada pusat jagaan dan rumah kebajikan yang berdepan masalah (kewangan) berikutan terdapat NGO atau persatuan yang terpaksa mengurangkan sumbangan mereka kepada tempat seperti ini.
“Kami memberi jaminan bahawa pihak WinnerDynastyGroup dan PINLM akan terus menyalurkan sumbangan seperti dijanjikan walaupun kita tahu dengan keadaan semasa ekonomi negara dan global akibat COVID-19 sejak awal tahun ini,” katanya dalam majlis yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Winner Dynasty Group dan PINLM turut menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas
Sejak tahun 2016, WinnerDynasty Group dan PINLM sudah menyalurkan sumbangan berjumlah kira-kira RM550,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka.
Sementara itu, M Thomas merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada WinnerDynastyGroup dan PINLM serta Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee kerana terus membantu pihaknya sejak empat tahun lalu.
Selain bantuan kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka, WinnerDynastyGroup turut menyalurkan pelbagai sumbangan lain sejak Mac lalu, antaranya mengagihkan kira-kira 11 juta pelitup muka percuma; hand sanitizer untuk diedarkan ke sekolah, warga penjara dan petugas barisan hadapan; warga media serta agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat yang memerlukan.
Sumbangan ini juga mendapat pengiktirafan MalaysiaBookOfRecords sebagai PenyumbangTerbesardiMalaysia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MUAR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang ke Pagoh hari ini bagi bertemu penduduk kawasan Parlimen berkenaan.
Muhyiddin tiba di pekarangan Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, dekat sini, kira-kira jam 10.25 pagi bagi merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad.
Perdana Menteri kemudian dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Haji Muhammad Yassin, di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di Bandar Universiti Pagoh tengah hari ini.
Masjid itu mengambil nama bapanya, Tuan Guru Muhammad Yassin Muhammad iaitu seorang ulama terkenal di negeri ini.
Muhyiddin selepas itu dijangka menghadiri program Sembang Santai Bersama Masyarakat Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Pagoh di Restoran Taman Pagoh pada jam 2.45 petang.
Program rasmi Perdana Menteri dijadualkan berakhir dengan majlis perjumpaan bersama kepemimpinan masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh pada jam 4 petang.
Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir.
BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cenderawasih, di sini, cedera apabila motosikal dinaikinya melanggar pokok tumbang dekat Indera Mahkota 2, akibat angin kencang, lewat petang semalam.
Mangsa, Adib Mahfuza Mufli, 14 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian kepala dalam kemalangan itu.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya turut menerima 37 laporan polis berkaitan kerosakan kediaman penduduk berikutan kejadian hujan lebat dan angin kencang di sekitar daerah ini, semalam.
Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali
“Semua laporan polis itu diterima daripada penduduk di kawasan Indera Mahkota 2 dan kebanyakannya mengalami kerosakan akibat atap atau zink rumah diterbangkan angin kencang.
“Berdasarkan laporan itu, kejadian angin kencang lewat petang semalam membabitkan 36 keluarga dan jumlah keseluruhan mangsa ialah 134 orang,” katanya.
Gambar Hiasan
Beliau bagaimanapun berkata, tiada pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan mangsa kejadian itu dan bantuan awal seperti barangan keperluan asas sudah diagihkan kepada semua mangsa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW YORK: Ketua sebuah badan antiekstremisme dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyuarakan kebimbanganmendalam berhubung ketegangan kian memuncak susulan isu karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW.
Miguel Angel Moratinos yang mengetuai Perikatan Ketamadunan PBB turut menggesa penganut agama berlainan dan mereka yang mempunyai pandangan politik berbeza agar salingmenghormati.
Kenyataan itu menyusul berikutan kemarahan semakin membara di dunia Islam terhadap tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang berkeras mempertahankan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW atas alasan kebebasan bersuara.
“Menghina agama serta simbol suci dalam agama, memprovokasi ekstremisme keganasan dan kebencian yang membawa polarisasi serta perpecahan dalam masyarakat,” katanya tanpa merujuk secara eksplisit kepada tindakan Macron.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak Sabah terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2020 yang bakal membuka tirai pada 6 November ini, akibat pandemik COVID-19 yang masih mengganas di negeri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Ab Ghani Hassan yang mengesahkan bahawa kejohanan berprestij itu akan diteruskan mengikut jadual, berkata Sabah tidak dapat pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November.
Malah, bagi aksi terakhir Liga Super antara Sabah dan UiTM FC yang tertunda sejak 11 Oktober, sebelum dijadualkan semula ke 31 Oktober di Stadium Hang Jebat Melaka, UiTM FC diberikan kemenangan 3-0 selepas permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dapat dilangsungkan. Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada hari ini) melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) Piala Malaysia.
“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di pusingan pertama Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke suku akhir. Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman bakal dikenakan terhadap Sabah kerana isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini .
Ab Ghani berkata keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-23 semalam, dengan undian Piala Malaysia akan diteruskan seperti dijadual pada Ahad ini.
Mengulas mengenai pasukan yang sedang di bawah PKPB seperti Selangor, Petaling Jaya (PJ) City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur, Ab Ghani berkata pihaknya akan membantu kelab-kelab berkenaan berkaitan proses untuk bermain di venue zon hijau.
“Sudah pasti kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik COVID-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan ini,” katanya.
Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama melibatkan 16 pasukan (11 Liga Super, lima Liga Premier ) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November.
Ahli Lembaga Pengarah MFL juga memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa, selepas tiada penyingkiran di Liga Premier susulan Liga M3 2020 dibatalkan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan percaya keputusan dibuat oleh MKN itu demi mengutamakan keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan khususnya di Sabah ketika ini.
“Tentulah keputusan ini masih mengejutkan kami semua tetapi saya bersama pemain memahami hal ini kerana semestinya kita harus tetap mematuhi arahan dikeluarkan oleh MKN dan pihak kerajaan, jadi sebagai warganegara yang prihatin, kami menerima keputusan ini.
“Apa pun, ia tidak akan melunturkan semangat kami untuk memastikan terus menjadi sebuah pasukan kuat bagi mengharungi musim 2021 walaupun hakikatnya ketika ini, pastinya semua masih sedih kerana tidak dapat beraksi dan terpaksa melupakan aksi Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Perkembangan itu menyaksikan Sabah mengakhiri kempen Liga Super 2020 di tempat ke-10 daripada 12 pasukan dengan mengumpul sembilan mata, manakala UiTM FC melonjak ke tangga keenam dengan 17 mata.
Sumber: Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: UMNO malam tadi, menuntut supaya Pilihan Raya Umum (PRU) segerakan diadakan selepas pandemik COVID-19, dapat dikawal pada tahap minimum.
Dalam mengemukakan tuntutan itu, UMNO mendakwa langkah itu dapat memberi peluang kepada rakyat memberi mandat bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa mengutamakan agenda rakyat, lapor BH Online.
“UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah pandemik COVID-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.
AHMAD ZAHID HAMIDI
“UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.
Malam tadi adalah kali kedua, MKT UMNO mengadakan mesyuarat khas minggu ini.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tidak hadir.
Susulan pendirian itu, Ahmad Zahid berkata, semua anggota Kabinet daripada UMNO akan terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, mereka beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti itu.
Ketika ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) dalam pentadbiran kerajaan PN.
Pemimpin lain daripada UMNO termasuklah Ketua Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Luar.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Shah Alam: Akibat tiada kad TouchnGo, seorang lelaki warga emas memandu secara melawan arus di Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) menghala ke Pusat Bandar Shah Alam, hari ini.
Kejadian pada 5 petang itu menyebabkan sebuah kenderaan terbabas manakala sebuah lagi kereta bertembung dengan kereta Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 73 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada mulanya lelaki itu memandu dari rumah di Seksyen 8 menuju ke pasar raya di Seksyen 13, namun tersalah jalan dan memasuki LKSA.
“Sebaik tiba di Plaza Tol Sri Muda, pemandu terbabit tiada kad Touch n Go lalu berpatah balik melawan arus untuk pulang ke rumah.
“Sebuah kereta Honda City dipandu di lorong kanan cuba mengelak Perodua Kelisa melawan arus itu lalu terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan di Kilometer 3.1 Lebuhraya LKSA.
“Ketika kejadian, pemandu Honda City berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Klang hendak pulang ke rumah di Kota Kemuning dan kemudian dibawa ke hospital oleh rakannya,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Baharudin berkata, pemandu warga emas itu kemudian berlanggar dengan kereta Perodua Myvi yang datang dari arah pusat bandar Kilometer 6.6 LKSA.
Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Bukit Jelutong dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Muda.
“Bagaimanapun pemandu Perodua Kelisa dan Perodua Myvi itu tidak cedera.
“Ketiga-tiga pihak sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
“Pemandu Perodua Kelisa itu ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu,” katanya.
Beliau berkata, anak kepada warga emas itu menyatakan bapanya dibawa balik ke rumah oleh orang awam dan dia membawa bapanya ke IPD Shah Alam untuk membuat laporan polis.
Menurutnya, lelaki itu agak berumur dan kurang sihat sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.
Kejadian lelaki itu memandu melawan arus sejauh 2 kilometer tular di media sosial apabila dirakam pemandu lain.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!