3 PENGADIL DITUGASKAN MENGADILI LIGA PERDANA DHIRAAGU DHIVEHI
KUALA LUMPUR: Seramai tiga pengadil dari Malaysia dipilih untuk mengendalikan perlawanan liga utama Maldives, Dhiraagu Dhivehi Premier League (DDPL).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengumumkan secara rasmi – Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (pengadil FIFA), Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi (pengadil kebangsaan) dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman (ahli program Akademi Pengadil AFC) akan bertugas selama dua bulan di Maldives.
“Ketiga-tiga pengadil kebangsaan itu telah pun berlepas ke Maldives pada 12 Disember dan hanya akan pulang ke tanah air pada 15 Februari, tahun hadapan.
“Mereka telah menjalani ujian calitan pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Maldives dan akan menjalani tempoh kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik mereka pulang dari Maldives nanti,” menurut kenyataan tersebut yang disiarkan Bernama.
FAM menjelaskan prestasi ketiga-tiga pengadil sepanjang saingan liga di Maldives itu akan dipantau oleh Unit Pengadil FAM, bagi memastikan kualiti kepengadilan mereka sentiasa pada tahap terbaik.
Ia turut menyebut bahawa undangan daripada Persatuan Bolasepak Maldives ini sebahagian usaha kerjasama FAM bersama persatuan bola sepak negara lain bagi memberi pengalaman antarabangsa kepada pengadil tempatan terutamanya selepas pengurangan jumlah perlawanan Liga Super dan Liga Premier.
“Ini juga susulan pembatalan Piala Malaysia musim ini, selain sebagai persiapan menjelang musim baharu 2021. FAM turut menghantar pengadil kita bertugas ke Vietnam, Jepun, Bangladesh dan Timor-Leste pada sepanjang 2019,” menurut kenyataan itu.
Liga Perdana Dhiraagu Dhivehi, kelolaaan Persatuan Bola Sepak Maldives disertai lapan pasukan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PROFESOR DIRAJA ITU MENINGGAL DUNIA PADA USIA 98 TAHUN
KUALA LUMPUR: Tokoh ekonomi dan pendidikan negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court di sini, hari ini.
Allahyarham yang berusia 98 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang tadi dan berita kematiannya dimaklumkan oleh isterinya, Rahaiah Baheran.
Memetik laporan BHOnline, jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.
Ungku Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom (UK), pada 28 Januari 1922 adalah seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Allahyarham mendapat ijazah dalam bidang ekonomi pada 1951, di Universiti Malaya (UM), Singapura sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo pada 1964.
Ungku Aziz pernah berkhidmat di Fakulti Ekonomi UM, Kuala Lumpur pada 1961 hingga 1965 dan pernah menjadi Dekan di fakulti itu.
Pada 1968 Allahyarham dilantik sebagai Naib Canselor UM sehingga 1988. Beliau adalah naib canselor paling lama berkhidmat di universiti berkenaan.
Allahyarham yang juga bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AKTIVITI PELANCONGAN DIBUKA BAGI MERANGSANG KEMBALI INDUSTRI TERBABIT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membuka beberapa aktiviti pelancongan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha merangsang semula industri itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam meluluskan permohonan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) termasuk aktiviti pelancongan luar antaranya di Zoo Negara.
GAMBAR HIASAN
“Beberapa perkara antaranya seperti tarikh berkuatkuasa, ditetapkan namun sedang menunggu pembentangan prosedur operasi standard (SOP) oleh kementerian terbabit,” katanya pada sidang media seperti dilaporkan BHOnline hari ini.
Kerajaan sebelum ini melarang aktiviti pelancongan kerana sukar untuk mengawal kehadiran orang awam dalam jumlah ramai, bimbang terdedah kepada jangkitan, sukar mengawal perilaku dan kemungkinan menjadi kontak rapat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEKAS SUAMI JUMPA MAYAT TERGANTUNG KETIKA DATANG HANTAR MAKANAN
MACHANG: Seorang wanita ditemui mati tergantung dalam rumahnya di Kampung Dusun Buruk, Temangan, di sini malam tadi.
Mayat mangsa ditemui bekas suaminya berusia 50 tahun jam 11 malam sebelum memaklumkan kepada polis.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, berkata sebaik polis tiba di lokasi kejadian, mangsa berusia 34 tahun itu terbaring di lantai dapur selepas diturunkan bekas suaminya.
“Mangsa ditemui oleh bekas suaminya yang datang ke rumah berkenaan untuk menghantar makanan dan mendapati wanita itu dalam keadaan tergantung dan tidak sedarkan diri.
“Bekas suami mangsa kemudiannya menggunakan gunting bagi menurunkannya.
“Siasatan mendapati mangsa tinggal di rumah kayu lama yang usang dan pemeriksaan di dalam rumah mendapati tidak terurus, namun tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi seperti dilaporkan BHOnline.
Beliau berkata, terdapat kesan lilitan tali di bahagian leher mangsa.
“Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa sudah bercerai dengan bekas suaminya itu yang bekerja sebagai tukang rumah sejak sebulan lalu dan tinggal berseorangan.
“Mangsa juga tidak mempunyai anak hasil daripada perkahwinan itu, namun menjadi rutin bekas suaminya datang ke rumah untuk menghantar makanan kepadanya,” katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perbualan WhatsApp antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai sebuah projek melalui rundingan terus di Kedah dipetik di luar konteks.
Setiausaha politik Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud, berkata perbualan yang dibocorkan di media sosial itu mendedahkan Takiyuddin memohon pendapat Zafrul mengenai projek loji rawatan air Plubang di Kedah.
Takiyuddin menyatakan kepada Zafrul bahawa pemilik projek, Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah, sudah pun mempunyai rakan usaha sama.
GAMBAR HIASAN
Ini susulan tindakan Taliwork Corporation, yang menguruskan bekalan air Langkawi selama 25 tahun tetapi konsesinya bakal berakhir tidak lama lagi, memohon kerajaan persekutuan untuk menjadi rakan usaha sama dengan BDB.
Walaupun projek loji rawatan air Plubang adalah projek kerajaan Kedah, namun kerajaan persekutuan masih mempunyai suara kerana ia dibiayai melalui pinjaman persekutuan.
“Brother (Saudara), BDB dah ada partner (rakan) untuk projek ini, jadi apa pendapat kamu,” soal Takiyuddin kepada Zafrul dalam perbualan yang bocor itu.
Zafrul kemudian menjawab bahawa adalah lebih baik bagi BDB untuk berjumpa dengan pemegang saham syarikat Taliwork, Lim Chee Meng terlebih dahulu.
“Dan kemudian, saya akan memberi taklimat kepada perdana menteri. Kerana (negeri) memerlukan rakan teknikal,” katanya.
Cheng Meng dikaitkan dengan anak lelaki Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Fakhri Yassin Mahiaddin melalui Thriven Global Bhd.
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Tahun lalu, adalah dilaporkan bahawa Cheng Meng muncul sebagai pemegang saham ketiga terbesar di Thriven Global Bhd dengan Fakhri sebagai pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.
Walau bagaimanapun, menurut Takiyuddin, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sudah pun mencadangkan projek air berasingan di Langkawi dengan Taliwork yang bernilai RM550 juta.
Untuk itu, Zafrul menjawab “Oh OK” tetapi menambah:
“Tetapi untuk rundingan terus, kami juga perlu memastikan bahawa rakan kongsi / usaha sama untuk syarikat negeri itu kukuh dari segi teknikal dan kewangan.”
Rakan usaha sama yang menjadi pilihan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS berhubung Taliwork tidak dinyatakan dalam perbualan itu, lapor Malaysiakini.
Perbualan itu mencetuskan kritikan terhadap Takiyuddin dengan bekas peguam PAS, Zulhazmi Shariff menyoal sama ada Takiyuddin bertindak sebagai ejen untuk membiayai projek rundingan terus bagi pihak Menteri Besar Kedah.
Bagaimanapun, setiausaha politik Takiyuddin berkata, dakwaan itu tidak benar dan menteri berkenaan hanya menjalankan tugasnya.
“Cetakan perbualan melalui applikasi WhatsApp tersebut sengaja dipetik di luar konteks dan ditularkan dengan niat yang curang untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan,” kata Wan Rohimi dalam satu kenyataan.
Wan Rohimi berkata, Takiyuddin dilantik sebagai menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dengan Kedah berkuat kuasa 1 September lalu.
Selaras itu, Wan Rohimi berkata, menjadi tugas Takiyuddin untuk menjadi pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian/jabatan/agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah.
Katanya, Takiyuddin juga ditugaskan untuk menjadi pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada rakyat negeri Kedah daripada kerajaan persekutuan.
“Sehubungan itu, suka saya nyatakan bahawa cetakan perbualan (perbincangan) melalui aplikasi WhatsApp tersebut adalah sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab Takiyuddin atas kapasiti beliau selaku menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah, untuk memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan yang melibatkan kementerian/jabatan/agensi persekutuan dan kerajaan negeri Kedah,” katanya.
Wan Rohimi juga melampirkan kenyataan Menteri Besar Kedah bertarikh semalam yang menjelaskan projek-projek yang dibincangkan dalam perbualan yang dibocorkan itu.
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Sementara itu, Sanusi berkata berdasarkan amalan lalu, kerajaan negeri berhak untuk meluluskan kontraktor sendiri sekiranya projek tersebut adalah projek kerajaan negeri walaupun dibiayai melalui pinjaman persekutuan.
Katanya, kelulusan hanya diperlukan daripada kerajaan persekutuan jika ia dibiayai oleh geran persekutuan. Dan untuk empat loji rawatan air lain yang ditugaskan mengikut kaedah ini, semuanya akan dijalankan berdasarkan tender terbuka.
Walau bagaimanapun, Sanusi berkata, memandangkan dasar kerajaan pusat tentang kaedah perolehan projek telah berubah, kerajaan negeri terpaksa mendapat kelulusan kementerian kewangan juga walaupun ia adalah projek dibiayai secara pinjaman dan bukannya geran.
Dalam konteks ini, katanya, beberapa surat dan dokumen berkaitan telah dihantar oleh kerajaan negeri untuk semakan dan kelulusan menteri kewangan.
“Memandangkan masa semakin suntuk untuk loji rawatan air Plubang disegerakan bagi menjamin bekalan air ke beberapa daerah tidak mengalami krisis, maka saya memohon bantuan menteri penyelaras Kedah-Persekutuan (Takiyuddin) untuk memeriksa status permohonan Kedah itu dengan Menteri Kewangan,” katanya.
Menurut Sanusi, Kementerian Kewangan memaklumkan kepada Takiyuddin bahawa Taliwork telah memohon untuk menjadi rakan usaha sama dengan BDB.
“Oleh kerana BDB telah selesai melantik kontraktor dan rakan usaha sama bagi projek LRA Plubang sejak bulan Ogos lagi, malah telah melaksanakan majlis pecah tanah bagi projek itu, maka kerajaan negeri mencadangkan Taliwork boleh dipertimbangkan untuk bekerjasama dalam projek akan datang, antaranya projek LRA ke Langkawi yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada kaedah dan proses perolehan kerajaan yang ditentukan oleh Persekutuan (tander terbuka atau rundingan terus dengan GLC),” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 108 tidak bersetuju.
Usul dibawakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz itu disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.
GAMBAR HIASAN
Undi belah bahagian dilaksanakan susulan usul Ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun melebihi 15 orang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun kemudian mengarahkan undi belah bahagian dilaksanakan tanpa sebarang tempoh masa berikutan undi sama baru saja dijalankan untuk kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.
“Oleh kerana semua Ahli-Ahli Yang Berhormat ada di dalam dewan ini maka saya tidak akan tempohkan lagi dalam 10 minit,” katanya dipetik dari Malaysiapost, sebelum memerintahkan Setiausaha Dewan Rakyat membunyikan loceng selama dua minit.
Sebaik selesai proses undi belah bahagian dijalankan, Azhar mengumumkan keputusan undi yang mana ia memihak kepada kerajaan apabila mendapat 111 undi sokong, 108 tidak sokong manakala seorang tidak hadir.
Justeru, bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 diluluskan walaupun berbekalkan majoriti tiga undi.
Ia sekali gus menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal mentabir negara di sebalik usaha beberapa pemimpin cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Pada masa sama, usaha bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengajak Ahli-Ahli Parlimen menolak Belanjawan itu tidak berhasil.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pihak polis menasihati orang ramai tidak perlu panik dengan kes ketukan misteri tengah malam sebaliknya menjaga tahap keselamatan di rumah dan sekitar kediaman.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan kampung khususnya selepas pukul 12 tengah malam.
Jelasnya, skuad keselamatan kampung yang terdiri anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan masyarakat boleh digerakkan mengawal sekitar kampung dan Taman Perumahan demi keselamatan penduduk .
Katanya, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) perlu bertindak proaktif memainkan peranan mengadakan rondaan bersama bersama pihak polis.
Baru-baru ini, sebuah keluarga di Kampung Perias, Batu Embun dan yang terbaru di Kampung Ulu Cheka di Jerantut bukan sahaja pintu rumah diketuk dengan kuat dengan ketukanmisteri malah terdapat bau busuk seperti bangkai mayat.
Abd. Jalil berkata, pada peringkat awal ini, pihak beranggapan bahawa kejadian sedemikian berpunca perbuatan manusia yang bertujuan menakutkan penduduk setempat.
Namun tegasnya, polis tidak mengambil remeh dengan ketukanmisteri ini , jadi rondaan bersama penduduk setempat perlu dilakukan khususnya dalam waktu-waktu tertentu yang dikenal pasti.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG : Polis merampas dadah bernilai kira-kira RM488,000, dipercayai untuk pasaran di Bentong dan Kuala Lumpur, serbuan di Genting Highlands kira-kira pukul 7.45 malam pada 10 Disember lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri itu menahan seorang lelaki Cina berusia 48 tahun berasal dari Petaling Jaya, Selangor dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah restoran di pusat peranginan terkenal berkenaan.
Jelasnya , dadah jenis syabu dalam 10 bungkusan teh Cina kedap udara itu dipercayai diperoleh dari negara jiran.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu bernilai RM488,788 yang boleh dibekalkan kepada 20,776 penagih khususnya penduduk tempatan dan pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.
Beliau berkata, rampasan dadah di Genting Highlands tersebut adalah yang terbesar di daerah Bentong .
“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di sekitar daerah Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod lampau kesalahan dadah serta jenayah.
Katanya, suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori sampai mati jika sabit kesalahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kira-kira 1,500 pekerja di Genting Highlands ditempatkan di sebuah hotel di pusat peranginan itu selepas disahkan positif COVID-19.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata hasil saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kesemua pekerja terlibat negatif COVID-19, namun ditempatkan di hotel itu bagi tujuan kuarantin selama 14 hari.
DATUK SERI ABD JALIL HASSAN
“Langkah itu (kuarantin) diambil oleh pihak Genting Highlands selepas merujuk jawatankuasa task–force COVID-19 Pahang bagi memudahkan usaha menjaga kebajikan kakitangan mereka dan kita berterima kasih atas inisiatif tersebut.
“Dakwaan bahawa Genting Highlands diletakkan dalam situasi lockdown juga tidak benar dan orang ramai masih boleh berkunjung ke situ, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di Bentong, hari ini.
Abd Jalil menjelaskan hanya tiga lokaliti di Bentong iaitu Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 23 Disember ini.
Jelasnya, kira-kira 2,363 penduduk di tiga lokaliti itu juga memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKPD selain aspek kebajikan mereka dipantau kerajaan negeri.
Mengulas mengenai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) di Kuantan kira-kira 180 kilometer dari sini, Abd Jalil berkata ia kini menempatkan 131 warga asing berisiko rendah daripada kluster Jalan Genting di Bentong.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IKAN PATIN, IKAN TAPAH SELUDUP DARI INDONESIA KE SARAWAK DITAHAN PGA SIBU
KUCHING: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup masuk lapan guni ikan patin dan tapah bernilai RM 10,000 dari Indonesia ke Sarawak digagalkan Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu.
Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Mancha Ata, berkata pada jam 6.30 pagi semalam anggota petugas Op Benteng COVID-19 sedang membuat rondaan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) di Jalan Enswang, Lubok Antu.
“Mereka telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang datang dari arah persempadanan Indonesia.
“Hasil pemeriksaan terdapat dua lelaki warga tempatan cuba menyeludup masuk ikan jenis patin dan tapah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari BHOnline hari ini.
Mancha berkata, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM 50,000 yang digunakan suspek.
“Laporan polis telah dibuat dan suspek telah ditangkap bersama barangan.
“Rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!