GOOGLE KENANG PENCIPTA PELITUP MUKA WARGA MALAYSIA
LOS ANGELES: Gergasi internet, Google, memberi penghormatan dengan mengenang jasa ahli epidemiologi kelahiran Malaysia yang mencipta pelitup muka.
Kelmarin, Google Doodle memperingati Dr Wu Lien-teh dengan memaparkan lukisan imejnya di halaman utama enjin carian mereka berikutan tarikh 10 Mac lalu turut menandakan ulang tahun ke-142 kelahiran mendiang.
Paparan wajahnya pada halaman Google Doodle itu disertai dengan ungkapan Pakai Pelitup Muka, Selamatkan Nyawa.
Menurut laporan South China Morning Post, ciptaan Dr Lien-teh itu amat bermanfaat dan digunakan secara meluas dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.
Berdasarkan biografi di laman sesawang Google, anak kelahiran Pulau Pinang itu mencipta topeng pembedahan yang dianggap pelopor topeng N95, bagi mengekang penularan wabak Manchuria yang merebak di barat laut China pada 1910.
DR WU LIEN-TEH
Ketika itu, kerajaan China melantik beliau untuk menyiasat mengenai penyakit terbabit dan cara ia berjangkit antara manusia melalui pernafasan, lapor Agensi.
Berikutan itu, beliau menghasilkan topeng pembedahan khas menggunakan kapas dan kain kasa serta menambah beberapa lapisan kain sebagai penapis udara.
TOPENG PEMBEDAHAN GENERASI PERTAMA
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka bagi mengelak daripada terkena jangkitan.
Pakar bedah yang juga penerima Hadiah Nobel dalam bidang fisiologi itu turut bekerjasama dengan pemerintah China untuk menubuhkan stesen dan hospital kuarantin di negara itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LIPIS : Sebanyak 7,494 set bantuan persekolahan disampaikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada murid masyarakat Orang Asli di seluruh negara bagi menggelakkan berlaku keciciran dalam pendidikan.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui JAKOA memperuntukkan sejumlah RM 3.8 juta untuk bantuan set pakaian seragam sekolah kepada murid Orang Asli untuk sesi persekolahan tahun 2021 – 2023.
Timbalan Menteri I, KPLP, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bantuan itu adalah salah satu inisiatif KPLB untuk mengurangkan peratusan keciciran murid Orang Asli dan menggalakkan mereka untuk pergi ke sekolah.
Timbalan Menteri I, KPLP, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
“Selain pakaian seragam, KPLB turut menyediakan pengangkutan ke sekolah, bantuan wang saku dan pelbagai bantuan lain untuk memastikan mereka (murid Orang Asli) mendapat pendidikan sempurna.
“Kerajaan tidak mahu masyarakat ini ketinggalan dalam pendidikan dan mahu melahirkan generasi yang bakal menjadi pemimpin dan menyumbang bakti kepada masyarakat mereka dan negara,” katanya di Majlis Penyerahan Set Bantuan Persekolahan di sini, hari ini.
Katanya, kementerian turut berhasrat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat itu seperti kemudahan dan capaian liputan internet untuk memudahkan murid dan penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli agar mendapat capaian dan boleh belajar dan bekerja dari rumah.
“Selain itu, cuba meningkatkan kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, membina panel tenaga solar dan bekalan elektrik agar masyarakat ini tidak rasa terpinggir dan menikmati kemudahan seperti masyarakat lain serta cuba mendapatkan tambahan bagi membina rumah untuk golongan ini.
“Oleh itu, tahap pendidikan masyarakat ini perlu dipertingkatkan untuk menjana mobilti sosial masyarakat ke arah lebih baik,” katanya.
Datuk Seri Abdul Rahman (kri) dan Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi di majlis penyampaian set bantuan persekolahan
Katanya, di Pahang seramai 2,629 murid sekolah menengah dan rendah menerima set bantuan tersebut, manakala Perak (2,196) serta Kelantan dan Terengganu (672).
Sementara itu guru pengiring Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kechau 1, Nurul Fazillah Md Yusoff berkata, dia bagi pihak muridnya berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan persekolahan yang disumbangkan kepada murid Orang asli sekolahnya.
Guru pengiring Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kechau 1, Nurul Fazillah Md Yusoff
“Sumbangan seperti ini memberi suntikan semangat kepada mereka untuk lebih berdaya saing di dalam pendidikan, semua murid Orang Asli sekolah saya hadir sejak sekolah dibuka semula dan kehadiran harian mereka sangat memberangsangkan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WASHINGTON: Asteroid terbesar dijangka menghampiri bumi sekitar dua juta kilometer pada 21 Mac ini, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), semalam.
Menurut agensi angkasa AS, keadaan itu akan membolehkan ahli astronomi melihat lebih dekat objek itu.
Asteroid, 2001 FO32, dianggarkan mempunyai diameter kira-kira 3,000 kaki (914 meter) dan ditemui 20 tahun yang lalu, menurut NASA, lapor AFP.
“Kami mengetahui laluan orbit 2001 FO32 sekitar matahari dengan sangat tepat,” kata Pengarah Center for Near Earth Object Studies, Paul Chodas.
“Tidak mungkin asteroid mendekati bumi lebih daripada 1.25 juta batu (lebih dua juta kilometer).”
Jarak itu adalah 5.25 kali jarak bumi dari bulan tetapi masih cukup dekat untuk 2001 FO32 diklasifikasikan sebagai asteroid yang berpotensi berbahaya.
GAMBAR IHSAN NASA
Menurut NASA, 2001 FO32 akan bergerak sekitar 77,000 batu sejam (123,919 km sejam) lebih cepat daripada kebanyakan asteroid.
“Pada masa ini, hanya sedikit yang diketahui mengenai objek ini, jadi dengan jarak yang sangat dekat memberikan peluang yang luar biasa untuk mempelajari banyak perkara mengenainya,” kata saintis utama di Jet Propulsion Laboratory NASA, Lance Benner.
NASA berkata ahli astronomi berharap dapat memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai ukuran asteroid dan komposisinya dengan mengkaji cahaya yang memantulkan permukaannya.
“Ketika sinar matahari menyentuh permukaan asteroid, mineral di batu menyerap sambil memantulkan yang lain,” kata NASA.
“Dengan mengkaji spektrum cahaya yang memantulkan permukaan, astronomi dapat mengukur cap jari mineral di permukaan asteroid.”
Ahli astronomi amatur di beberapa negara seharusnya dapat melakukan pemerhatian mereka sendiri.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah melabelkan PAS sebagai pelacur politik yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yang undi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.
“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai UMNO pada tahun 1996.
Ku Li mengasaskan Semangat 46 setelah tewas dalam pemilihan UMNO pada 1988 apabila dia mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden UMNO.
Pada masa itu kumpulan Ku Li mendakwa terdapat cawangan UMNO tidak berdaftar, yang kemudiannya menyaksikan parti itu diharamkan oleh mahkamah.
GAMBAR HIASAN
Semangat 46 kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi menghadapi pilihan raya umum 1990.
Ku Li berkata isu PAS mengganggu UMNO bukan perkara baru.
“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau UMNO sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru,” katanya.
Justeru Ku Li turut menolak idea kerjasama antara UMNO dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kita tak boleh setuju kerana macam mana nak lakukan stategi setuju tiga penjuru di sini tapi satu lawan satu di tempat lain.
“Saya sokong kita lawan PAS (dalam pilihan raya umum akan datang),” kata pengerusi lembaga penasihat UMNO itu.
UMNO sebelum ini mengumumkan parti itu akan menentang BERSATU pada PRU15.
Bagaimanapun setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan pada Rabu lalu berkata rundingan kerusi dengan PAS sedang berlangsung untuk mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.
‘Di Gua Musang, BERSATU cuma ada 5 ahli’
Selain itu, Ku Li menegaskan bahawa UMNO tidak akan memberikan kerusi mereka kepada BERSATU dalam pilihan raya umum akan datang.
“BERSATU parti baru, tidak ada pengikut. Di Gua Musang mereka hanya ada empat ke lima orang ahli.
“(Setiausaha Agung BERSATU) Hamzah Zainuddin juga tidak ada tempat sebab itu kita beri di Larut kerana dia tidak boleh bertanding di Ipoh.
“(Ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed pula kita akan ambil balik kerusi itu. PAS kuat di sana tapi kita pernah kalahkan mereka.
“Lawan BERSATU lebih mudah daripada PAS tapi mereka mahu PAS tolong mereka, mereka juga harap UMNO pun tolong.
“Kalau UMNO tolong mudahlah (bagi BERSATU), tapi saya tak rasa kita akan tolong pengkhianat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan gaya bahasa yang digunakan Ku Li sehingga menggelarkan PAS sebagai pelacur.
“Ini bukan adab yang baik. Sudah pasti ramai yang tak senang.
“Politik yang kita perlu bawa ialah politik yang sihat dan bertamadun. Gelaran pelacur sama sekali tidak wajar digunakan,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin ABu Bakar memaklumkan yang dia telah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengenai isu pemberi maklumat yang mendedahkan kelemahan pemmberian vaksin Covid-19.
Menulis di Twitternya, Khairy mengulas laporan Bernama mengenai siasatan berhubung dakwaan bahawa 200 kakitangan setiausaha kerajaan negeri Kelantan cuba memotong barisan bagi mendapatkan vaksin Covid-19.
GAMBAR HIASAN
“Saya belum mendedahkan identiti mana-mana pemberi maklumat yang telah menghantar e-mel kepada saya secara langsung.
“Sebahagian maklumat ini telah digunakan untuk memperbetulkan senarai janji temu yang dibuat,” kata Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, lapor Malaysiakini.
“Setakat laporan polis berkenaan, proses sewajarnya harus diikuti tetapi saya telah meminta IGP untuk tidak menghukum pemberi maklumat,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat Selasa lalu memaklumkan polis akan merakam kenyataan seorang individu di Putrajaya, yang disyaki menyebarkan dakwaan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PESHWAR, PAKISTAN: Pakistan menyekat aplikasi perkongsian video TikTok untuk kali kedua selepas mahkamah mengarahkan platform itu ditutup kerana kandungan tidak beretika dan bermoral.
Aplikasi milik China yang popular dalam kalangan anak muda Pakistan itu disekat tahun lalu atas alasan yang sama oleh agensi telekomunikasi negara itu.
“Lembaga Telekomunikasi Pakistan (PTA) mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan untuk segera menyekat akses aplikasi TikTok,” menurut agensi itu berikutan perintah mahkamah.
Sebelum ini, aplikasi itu dipersalahkan oleh seorang Penasihat Perdana Menteri, Imran Khan kerana mempromosikan eksploitasi dan seksualisasi wanita muda.
Peguam, Sara Ali Khan berkata, Mahkamah Tinggi Peshawar memerintahkan aplikasi itu dihentikan segera kerana video bertentangan dengan standard etika dan nilai moral Pakistan.
Aplikasi ini tidak dapat diakses di Pakistan bermula semalam.
Sementara itu, TikTok mengatakan ia mempunyai perlindungan yang kuat untuk menjaga kandungan yang tidak sesuai daripada platform berkenaan.
Penyokong kebebasan bersuara sekian lama mengkritik penapisan dan kawalan pemerintah ke atas internet dan media cetak serta elektronik Pakistan, lapor AFP.
Tahun lalu kerajaan Pakistan meminta YouTube untuk segera menyekat semua video yang dianggap mendapat bantahan untuk diakses di negara itu dan ia dikritik oleh pejuang hak asasi.
Amerika Syarikat (AS) menuduh TikTok berisiko untuk keselamatan negara, tetapi di Pakistan selaku sekutu rapat China, tiada kebimbangan privasi yang ditimbulkan.
India pula sudah melarang aplikasi itu bersama dengan puluhan platform mudah alih China yang lain.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: “Kami tak sangka lelaki itu boleh masuk ke kedai dengan melakukan perbuatan tidak senonoh selain bertindak cuba menerkam kami dan nasib baik sempat melarikan diri,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Ana, 32.
Ana adalah seorang daripada tiga wanita yang bekerja di sebuah kedai telefon di bandar ini, di sini, berhadapan detik cemas selepas diserang seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang hanya memakai baju-T tanpa seluar dalam kejadian jam 2.30 petang semalam.
Katanya, mereka mengenali lelaki itu yang pernah bekerja di kedai berdekatan dan tidak menyangka dia boleh bertindak sedemikian, walaupun pada awalnya sudah melihat lelaki berulang-alik tanpa memakai seluar di hadapan kedainya.
“Sebenarnya, kami sudah biasa dengan pelbagai ragam orang kurang siuman di kawasan ini, tidak kurang juga yang masuk ke kedai, namun mereka akan keluar jika diminta tanpa mengamuk atau melakukan sebarang tindakan membahayakan.
“Kali ini, apa yang terjadi benar-benar membuatkan saya dan dua lagi rakan kerja berusia 23 dan 25 tahun berasa trauma kerana suspek datang dengan tangan di bahagian sulitnya, selain bertindak menerkam kami.
“Tanpa berfikir panjang, saya dan tiga rakan memanjat cermin kaca untuk menyelamatkan diri, malah saya sendiri jatuh tersungkur namun tidak mengendahkannya kerana berasa takut,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kejadian itu tular sejak semalam di media sosial selepas video berdurasi satu minit 16 saat, menunjukkan seorang lelaki berbaju jingga tanpa memakai seluar sehingga menampakkan alat sulit cuba menyerang tiga wanita.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Ana berkata, atas nasihat majikannya juga, mereka bertiga membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu hari ini selain mengakui masih lagi trauma dan berasa takut dengan kejadian semalam.
“Kebetulan, ketika kejadian orang tak ramai, jadi kami tiada pilihan hanya mampu melarikan diri meminta pertolongan.
“Ada beberapa lelaki cuba menghalang lelaki itu, sebaliknya mereka pula dimarahi olehnya. Kami berharap kejadian sebegini tidak berlaku lagi, selain menjadikan ia sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati kelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Hasil siasatan, suspek berusia 26 tahun mengalami masalah kemurungan sejak awal tahun ini dan beberapa kali mendapatkan rawatan, lapor BH Online.
“Kali terakhir suspek ditahan dan menerima rawatan pada 4 Februari lalu dan baru saja dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Keputusan pengisytiharan darurat tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah kerana ia termaktub dalam Perkara 150 Fasal (8) Perlembagaan Persekutuan.
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, mahkamah juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.
“Jadi perkara ini dinyatakan dengan jelas sekali bahawa apa-apa jua dalam Perlembagaan ini berkaitan hal berpuas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.
“Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan mengenai kesahan sesuatu proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu pengisytiharan yang dibuat dalam proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1).
“Mahkamah juga dinafikan bidang kuasa untuk memutuskan apa-apa soal tentang kuat kuasa berterusan proklamasi itu atau mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) atau penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada Khamis menolak permohonan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan berkenaan.
“Saya rasa ramai merasakan mahkamah akan menolak permohonan itu. Peruntukan Perkara 150 Fasal (8) ditafsirkan sebegitu untuk menolak sebarang cubaan mempersoalkan kesahihan proklamasi dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Apa jua bentuk cabaran di mahkamah nampaknya akan ditolak. Kalau pun mereka tidak mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi, proses untuk memohon supaya Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat pada pandangan saya pun tidak boleh dipersoal.
“Misalnya mempersoalkan bahawa Perdana Menteri tiada kuasa untuk memohon darurat daripada Yang di-Pertuan Agong atas alasan beliau tidak mempunyai majoriti di Parlimen juga tidak akan berhasil,” katanya.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa mengikut lunas Perlembagaan seperti dinyatakan dalam Perkara 150.
GAMBAR HIASAN
“Ia tidak bermakna Seri Paduka Baginda telah melebihi undang-undang, tidak sama sekali. Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan kuasa Seri Paduka Baginda mengikut lunas Perlembagaan seperti yang dinyatakan oleh Perkara 150. Tidak lebih, tidak kurang,” kata beliau.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAKARTA: Sebanyak 27 disahkan maut setakat ini dalam kejadian sebuah bas terbabas sebelum terjunam di sebuah gaung, di Sumedang, Jawa Barat, pada Rabu.
Menurut media tempatan, bas berkenaan yang membawa 66 penumpang itu dilaporkan mengalami masalah brek, sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 5 meter pada jam 6.30 petang semalam (waktu Indonesia Barat).
GAMBAR IHSAN AGENSI
Menurut Bupati Sumedang Dony Ahmad Munir, bas itu membawa rombongan pelajar dan guru Sekolah Menengah Pertama Al-Muawwanah, Subang itu dalam perjalanan dari Tasikmalaya ke Subang, selepas melakukan program ziarah dan melancong ke Tasikmalaya, lapor Bernama.
Mangsa ke-27 yang terkorban dikeluarkan dari bas yang terbalik itu kira-kira pukul 7.30 pagi tadi dan pasukan mencari dan menyelamat turut mengalami kesukaran ketika menjalankan operasi.
Mangsa yang cedera kini dirawat di Rumah Sakit Umum Sumedang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Satu laporan sensasi di Itali mendakwa Manchester United menolak peluang untuk menandatangani semula Cristiano Ronaldo selepas ditawarkan oleh Juventus.
Bintang sensasi berusia 36 tahun dan rakan sepasukannya mengalami kekecewaan minggu ini selepas disingkirkan dari Liga Juara-Juara oleh Porto.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Wartawan Itali, Emanuele Gamba memberitahu Calciomercato bahawa dia berpendapat Ronaldo akan kekal di Juventus sekurang-kurangnya 12 bulan lagi.
Namun, dia mendakwa bahawa ejen penyerang itu, Jorge Mendes menawarkan khidmat ikon itu kepada United dan Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas lalu.
Gamba berkata: “Adakah dia akan berhijrah? Saya fikir satu-satunya saat peluang itu muncul adalah pada musim panas lalu, dan saya rasa kakitangannya bergerak ke arah itu.
“Saya percaya Mendes berusaha untuk melihat adakah ada sebarang kemungkinan.
“Saya tidak pasti bahawa setahun kemudian, dengan Ronaldo yang semakin berusia, kemungkinan ia (perpindahan) akan muncul kembali,” tambahnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!