BENTONG: Empat puluh satu bungkus plastik air ketum yang diisi ke dalam tong air besar dan 6 bungkus plastik besar berwarna hitam berisi daun ketum ditemui di sebuah rumah dalam satu operasi Op Tapis di FELDA Mempaga, dekat sini, pada jam 7.30 malam semalam.
Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah Bentong bersama anggota Balai Polis Luruh Bilut melakukan serbuan tersebut hasil maklumat orang awam yang turut bekerjasama mahu membenteras penyalahgunaan dadah di sekitar daerah itu.
41 bungkusan plastik cecair dipercayai air ketum dianggarkan 41 liter.
Hasil serbuan ke rumah itu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dan turut menjumpai tong plastik berwarna biru yang berisi 41 bungkusan plastik cecair kehijauan dipercayai air ketum dianggarkan 41 liter dan 6 bungkus plastik hitam berisi daun ketum seberat kira-kira 26.4 kilogram.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, turut dirampas satu periuk, tong gas, dapur gas, besen plastik dan sudip kayu dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar
Katanya, suspek ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun dan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk sisatan lanjut.
“Terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat demi keharmonian orang awam dan turut membenteras penyalahgunaan dadah, dadah boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 146 saman trafik dalam Ops Khas di Bukit Aman, di sini pada Selasa.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi mengejut itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSPT bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bermula jam 7 pagi.
GAMBAR HIASAN
Menurutnya, operasi di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu bertindak memeriksa kenderaan yang digunakan oleh warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.
“Sebanyak 280 kenderaan telah diperiksa dan 146 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
“Antara saman yang direkodkan adalah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (fancy), tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan ubah suai ekzos,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan adalah secara menyeluruh.
Katanya, tindakan saman ke atas pesalah lalu lintas bukan hanya melibatkan orang awam semata-mata, namun pegawai dan anggota PDRM juga tidak terkecuali.
“PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya agar sentiasa patuh dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menerima vaksin COVID-19, pagi ini.
Sambil memaklumkan perkara itu melalui satu kenyataan dalam Facebook, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau mendapat suntikan berkenaan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.
“Terima kasih kepada pasukan petugas perubatan diketuai Dr Murugesu Raju, atas khidmat dan kerjasama baik yang diberikan sepanjang proses berlangsung,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali gus menggesa rakyat supaya segera mendaftar dalam program imunisasi melalui aplikasi MySejahtera.
“Saya mencadang permudahkan proses pendaftaran dan ketika mengambil vaksin, memandangkan terlalu rumit dengan borang serta semakan,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat sedar akan kepentingan vaksin dan meningkatkan pembacaan mengenainya.
“Penting juga untuk kita keluar dari zaman sakit ini, dan seterusnya dapat membina serta memulihkan ekonomi kita,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Koperasi Jaya Malaysia Berhad (KJMB), Kuala Lumpur menyumbangkan sebanyak 95 naskhah al-Quran termasuk kitab terjemahan kepada pelajar tafiz Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah, Sungai Salan dekat sini hari ini.
Majlis sumbangan tersebut berasaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu disempurnakan oleh Setiausaha Koperasi Jaya Malaysia Berhad, Borhan Mat Aris kepada mudir madrasah, Maulana Juhari Muhammad Ali Al-Jenderaki
Setiausaha Koperasi Jaya Malaysia Berhad, Borhan Mat Aris (kiri) dan Mudir madrasah, Maulana Juhari Muhammad Ali Al-Jenderaki (kanan)
Menurut Borhan, sumbangan berkenaan antara tujuan untuk menggalakkan pelajar di situ mendalami dan menghayati al-Quran sekali gus sebagai muncul sebagai hafiz yang cemerlang.
“Pembelian al-Quran ini antara dana hasil daripada perniagaan koperasi ini untuk pendidikan serta aktiviti keagamaan pelajar tahfiz di sini termasuk di madrasah tempat lain yang akan disumbangkan secara berperingkat.
“Saya juga bersyukur dan berterima kasih kerana sumbangan naskhah al- Quran ini juga daripada usaha kebajikan dan amal jariah seorang dermawan yang juga rakan, Hakim Amir Abd Wahab,” katanya di Sungai Salan dekat sini hari ini.
Borhan yang juga Pengarah Komunikasi Korporat, Institut Koperasi Malaysia seterusnya menambah sebelum ini usaha amal jariah koperasi tersebut juga menginfak naskhah al-Quran kepada seramai 160 orang penuntut Ambang Asuhan Jepun Sesi 2020/21, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada bulan lepas.
Penyerahan 95 naskhah al-Quran termasuk kitab terjemahan kepada pelajar tafiz Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah, Sungai Salan dekat sini hari ini.
Sementara itu, Maulana Juhari bersyukur serta berterima kasih kepada pihak pengurusan koperasi tersebut atas sumbangan naskhah al-Quran yang cukup signifikan untuk kegunaan seramai 300 orang pelajar tahfiz madsarah itu.
“Naskhah al-Quran ini akan mengisi sudut kelas pembelajaran tahfiz dan masjid di sini untuk kemudahan hafazan dan menguasai kemahiran tajwid termasuk pengetahuan agama menerusi kitab terjemahan yang kami terima.
“Selepas ditimpa musibah banjir awal tahun ini dan pembukaan semula madrasah serta kemasukan pelajar di sini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sumbangan ini memberikan kemudahan dan sedikit keselesaan pihak madrasah menguruskan aktiviti pembelajaran nanti,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar tahfiz tahun keempat dari Kemaman, Abd Aziz Habil berkata, dia serta rakannya sangat gembira dan teruja untuk kembali belajar lebih lagi menerima naskhah al-Quran baharu termasuk kitab terjemahan.
Pelajar Tahfiz tahun keempat dari Kemaman, Abd Aziz Habil
“Saya berterima kasih kepada dermawan hari ini sekali gus menyuntik galakan kami mendalami hafazan bersungguh sehingga menjadi seorang hafiz yang cemerlang.
“Sumbangan al-Quran yang mempunyai kaedah pembelajaran hafazan berasaskan hukum tajwid juga amat membantu kami mengasah kemahiran berkenaan,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lagu Gila ciptaan dan lirik ditulis oleh Ezra Kong, Ahmad Ikhwan Lee (Noki) dan Nabilah Hani Azali (Loca B) serta didendangkan oleh Kaka Azraff Noki dan Loca B dinobatkan sebagai juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 yang disiarkan secara langsung melalui stesen TV3 kelmarin.
Naib juara, lagu Semalam ciptaan dan lirik oleh Nurul Aina Abdul Ghani (Aina Abdul), dinyanyi sendiri oleh pencipta ini, manakala tempat ketiga lagu Belenggu Rindu ciptaan dan lirik oleh Ezra Kong dan Hael Husaini Razmi disampaikan oleh Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.
Dua belas lagu finalis itu dijurikan oleh Datuk Mokhzani Ismail (Ketua Juri), Datuk Syafinaz Selamat, Mohd Faizal Maas (Ajai), Helen Yap, Lukhman Abdul Kadir, Hasridz Murshim Hashim (Acis), Rosman Shafie (LY), Edrie Hashim, Mohd Hezry Mohd Hafidz (AG Coco) dan Azhar Abu Bakar (Azmeer).
Ketua juri AJL ke-35, Datuk Mokhzani Ismail berkata, setiap tahun AJL muncul, maka pihak penganjur terus mencari sesuatu kelainan dan perubahan positif dalam industri penghasilan lagu tempatan tetapi masih berpaksi pada kualiti produksi lagu.
Datuk Mokhzani Ismail, ketua juri AJL ke-35.
“Komposer dan penulis lirik menggabungkan kreativiti melodi yang diolah, lirik dan persembahan yang memberi kesan besar kepada penerimaan pendengar dan penonton.
“Keberanian komposer memberikan elemen baharu dengan mengimbangi antara teknikal penciptaan, harmoni dan melodi serta bentuk (form) dalam penciptaan masing-masing tanpa membelakangkan nilai komersil, ” katanya ketika dihubungi.
Katanya, semua lagu mempunyai identiti dan tarikan tersendiri, malah mempunyai mesej melalui lirik yang disampaikan.
“Ada lirik yang sangat dekat dengan kita ketika kita sedang melawan pandemik, kami menghayati bait-bait dalam lirik serta persembahan, maka juri sepakat mengangkat lagu Gila sebagai juara.
Antara barisan juri AJL ke-35, Datuk Mokhzani Ismail (kiri sekali).
“Semua kriteria diambil kira selain melodi dan kreativiti, lirik, gubahan dan impak dalam industri untuk menentukan lagu yang paling layak dinobatkan sebagai juara AJL,” katanya.
Sementara itu, Ernie Zakri dipilih untuk vokal terbaik melalui lagu Gundah, ciptaan dan lirik oleh Sharon Anne Paul Abdullah (Sharon Paul) Ernie Shahirah Zakri(Erni Zakri). Lagu ‘Eh’ dendangan Zizi Kirana dipilih sebagai lagu persembahan terbaik.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
FACEBOOK LABEL SEMUA HANTARAN MENGENAI VAKSIN COVID-19
CALIFORNIA: Facebook mula menambahkan label pada hantaran berkenaan keselamatan suntikan vaksin COVID-19 dan akan segera melabel semua hantaran mengenai vaksin.
Ia susulan kritikan oleh pengamal undang-undang dan penyelidik terhadap media sosial itu berikutan membenarkan maklumat salah disebar di platformnya.
Syarikat media sosial itu juga akan melancarkan di Amerika Syarikat (AS) cara khusus untuk memberi maklumat kepada orang ramai di mana boleh mendapatkan vaksin.
Dakwaan palsu dan konspirasi mengenai vaksin COVID-19 telah berleluasa di platform media sosial ketika pandemik.
Facebook dan Instagram, yang baru-baru ini memperketatkan peraturan selepas lama mengambil pendekatan berdiam diri terhadap memberi maklumat yang salah mengenai vaksin, kekal menjadi rumah kepada banyak akaun, halaman dan kumpulan yang mempromosikan dakwaan palsu mengenai vaksin dan dengan mudah ditemui melalui carian kata kunci.
Ketua Pegawai Produk Facebook, Chris Cox, berkata syarikat itu mengambil serius dakwaan palsu terbabit, tetapi menyatakan terdapat sebilangan besar perkara kabur yang orang ramai mempunyai kebimbangan, lapor Agensi.
“Cara yang baik ialah menunjukkan maklumat yang berwibawa dengan cara yang bermanfaat, menjadi sebahagian daripada perbualan dan melakukannya dengan pakar kesihatan,” katanya.
Di dalam catatan blog juga, Facebook menyatakan sejak meluaskan senarai dakwaan palsu yang dilarang mengenai COVID-19 dan vaksin pada Februari lalu, pihaknya telah menghapuskan lebih 2 juta kandungan dari Facebook dan Instagram.
Facebook menyatakan ia juga telah melaksanakan langkah-langkah sementara termasuk mengurangkan jangkauan kandungan dari pengguna yang berulang kali berkongsi kandungan yang ditandai sebagai palsu oleh penyemak fakta.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Dos kedua vaksin COVID-19 bagi fasa pertama akan mula diberikan pada Rabu ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata 17 Mac juga genap 21 hari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima dos pertama vaksin COVID-19.
“Kami akan memberikan dos kedua kepada mereka yang mendapat suntikan pertama sebelum ini, bermula Rabu,” katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin menerima vaksin COVID-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer – BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, menjadikan beliau rakyat pertama yang menerima vaksin itu di negara ini, lapor BH ONLINE
Turut menerima dos pertama pada hari berkenaan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, seorang doktor, seorang pembantu perubatan, seorang jururawat dan pemandu ambulans.
Ia menandakan permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pasa pertama.
Selain vaksin keluaran Pfizer- BioNTech itu, Malaysia kini mempunyai sejumlah dos vaksin jenis Sinovac.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis pada 2018 dari Pavilion Residences adalah milik UMNO dan pendakwaan gagal membuktikan bahawa ia mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili UMNO, berhujah bahawa wang yang disita itu adalah sumbangan politik milik UMNO dan Datuk Seri Najib Razak mencari sumber serta menguruskan dana parti tersebut.
“Dalam laporan polis dan afidavitnya (Najib), beliau mengesahkan bahawa wang itu disimpan bagi pihak UMNO. Oleh itu, kami mempunyai kepentingan yang sah dalam menuntut wang tunai tersebut,” katanya pada pendengaran permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings oleh pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Pendakwaan memfailkan permohonan itu bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terbabit dengan skandal dana 1MDB.
UMNO dan Najib antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 2018.
Mana-Mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas aset dan wang yang disita perlu tampil ke mahkamah dan memberikan tunjuk sebab mengapa barangan terbabit tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Pada prosiding hari ini, Hariharan turut berhujah perkara paling penting ialah pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram perlu menunjukkan bukti dari segi dokumen seperti penyata bank 1MDB bagi menyokong fakta bahawa aset serta wang terbabit berasal daripada 1MDB atau anak syarikatnya dan aliran aset serta wang yang sama dari 1MDB ke entiti lain, lapor Bernama.
“Bagaimanapun, pegawai penyiasat gagal berbuat demikian susulan ketiadaan penyataan bank dalam mana-mana afidavit pemohon bagi membuktikan bahawa ia datang dari 1MDB atau anak syarikatnya.
“Ketiadaan dokumen terbabit menyebabkan kes pemohon secara keseluruhannya adalah tidak mempunyai sokongan,” katanya.
Najib adalah bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada 2018.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pula berhujah bahawa anak guamnya berkata jumlah wang tunai yang dirampas ialah RM160 juta.
“Datuk Seri Najib dalam laporan polisnya menyatakan bahawa sebenarnya wang tunai berjumlah RM160 juta disita dari Pavilion Residence. Dalam permohonan ini, mengapa hanya ada RM114 juta?
“Ini mengejutkan. Jika kita lihat kepada senarai carian oleh polis, tindakan polis tidak menyatakan jumlah wang tunai yang disita dari Pavilion Residence adalah tidak mematuhi Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, peguam Tania Scivetti yang juga mewakili UMNO, berhujah bahawa pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Superintendan Foo Wei Min, dalam hujahan bertulis pendakwaan berkata wang tunai yang disita dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44 adalah hasil pemerolehan haram daripada 1MDB kerana ia disimpan dalam 35 bagasi di tempat sama dengan barang kemas, jam tangan serta beg tangan berjenama yang disita oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Hasil siasatan Superintendan Wei Min, beliau merumuskan bahawa oleh kerana wang tunai itu ditemukan di dalam 35 bagasi di tempat sama dengan barang kemas, jam tangan serta beg berjenama, secara automatik ia adalah aset yang diseleweng daripada dana 1MDB,” katanya sambil menambah rumusan itu adalah tidak logik dan oleh yang demikian, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residence.
Perbicaraan bersambung pada 29 Mac ini bagi mendengar jawapan pendakwaan terhadap hujah UMNO dan Najib.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Satu pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu kalimah Allah akan diadakan esok.
Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Penasihat Undang-Undang JAKIM, Jumaat lalu.
Portal al-Bayan adalah portal yang dibangunkan oleh pejabat Zulkifli yang menggabungkan 13 agensi di bawahnya untuk menyalurkan maklumat berkenaan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
Beliau berkata, pertemuan tersebut antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu membabitkan aspek teknikal.
“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” katanya.
Sementara itu dalam satu hantaran dalam laman Facebook, Zulkifli berkata pandangan dan buah fikiran pimpinan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam juga akan diambil kira dalam Munaqasyah Khas itu esok.
Katanya, kerajaan sentiasa melihat NGO sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan.
“Sinergi yang berkesan insya-Allah akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya yang turut berkongsi lawatan beliau ke ibu pejabat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) untuk bertukar pandangan dan mencari titik persefahaman antara kerajaan dan NGO Islam, lapor Bernama.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut dibenarkan untuk digunakan.
Hari ini, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MENTERI ARAB SAUDI DIPECAT TIADA KAITAN PERTAMBAHAN KUOTA HAJI MALAYSIA
SHAH ALAM – Pemecatan Menteri Haji dan Umrah kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tambahan 10,000 kuota haji yang diterima oleh Malaysia.
Memetik laporan The Star pada Isnin, sumber terdekat dengan perkara tersebut berkata, ini kerana kuasa untuk menentukan pemberian kuota haji itu terletak sepenuhnya di tangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
“Menteri Haji dan Umrah tidak berkuasa menentukan kuota haji untuk mana-mana negara termasuk Malaysia.
“Tugas menteri adalah memastikan kelancaran haji dan umrah setiap tahun,” menurut sumber tersebut yang enggan dikenali identitinya kerana faktor sensitiviti perkara berkenaan.
Pada 12 Mac lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud membuat keputusan untuk menggantikan Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Saleh Benten.
Tindakan tersebut menimbulkan tanda tanya kerana ia dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi apabila ibadah tersebut dibuka semula.
Muhyiddin berkata, pertambahan kuota itu dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman ketika pertemuan mereka di Istana Al Yamamah dalam lawatan rasminya ke Arab Saudi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!