SEREMBAN – Seorang lelaki cedera apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah rumah dalam kejadian di Jalan Ampangan dekat sini lewat petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.52 petang dan tiba lima minit kemudian.
“Kami menerima laporan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta telah terbabas dari arah Jalan Jelebu menuju ke bandar Seremban dan melanggar rumah berdekatan.
“Maklumat awal yang kami terima, mangsa yang memandu kereta jenis BMW mengalami kecederaan dan pihak bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini, lapor KOSMO online.
Menurutnya, mangsa yang cedera pada bahagian kaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, lima individu yang berada di dalam rumah tersebut bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Sikap orang ramai membantu seorang penunggang motosikal lelaki yang mengalami kecederaan serius amat dipuji termasuk kerjasama yang diberi oleh pengguna jalan raya yang lain dalam satu kemalangan di Jalan Jerantut-Maran, kira-kira 5 kilometer dari bandar Jerantut, pada jam 2.00 petang, semalam.
Terdapat seorang pengguna jalan raya yang berhenti turut memberi semangat kepada penunggang yang tidak sedar diri serta mengajar mengucap dua kalimah syahadah.
Pengguna jalan raya cuba memberikan bantuan awal kecemasan serta mengajar mengucap dua kalimah syahadah
Malah, orang ramai lain ada yang membuat panggilan kecemasan kepada pihak terbabit dan turut menjaga lalu lintas untuk memperlahankan kenderaan masing-masing termasuk memayungkan mangsa.
Difahamkan, mangsa dari arah Jerantut Feri menghala ke bandar untuk memulakan kerjanya di sebuah restoran di sini. Motosikal mangsa remuk.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin telah menarik diri daripada mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman seorang peguam berhubung kesahan pengampunan diraja yang diperoleh bagi sabitan kes liwatnya.
Susulan itu, pendengaran rayuan tersebut hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah ditangguhkan, lapor Bernama.
Nor Bee, yang mempengerusikan panel itu berkata, pada 2016, dia telah membuat keputusan dalam permohonan semakan kehakiman Anwar dan keluarganya terhadap Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin – Foto BERNAMA
Dia berkata isu kebolehbicaraan keputusan Lembaga Pengampunan dirujuk dalam kes itu dan keputusan telah dibuat dan menambah bahawa permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak atas alasan perkara tersebut tidak dapat dipertahankan.
Katanya dalam rayuan di hadapan panel itu, individu yang berjaya memperoleh pengampunan ialah Anwar.
“Berdasarkan perkembangan ini, saya tidak akan mendengar kes ini dan satu tarikh akan ditetapkan untuk pengurusan kes,” katanya.
Hakim S Nantha Balan dan Lee Heng Cheong turut bersidang dalam prosiding yang dikendalikan menerusi aplikasi Zoom.
Nor Bee juga berkata penangguhan pendengaran kes itu di Mahkamah Tinggi akan dilanjutkan sehingga rayuan selesai.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, individu yang memfailkan saman terhadap Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengemukakan permohonan agar Nor Bee menarik diri daripada mendengar rayuan itu.
Bagaimanapun, peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar tidak membantah Nor Bee mempengerusikan panel itu untuk mendengar rayuan tersebut.
Pada 21 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu selepas memutuskan Mohd Khairul yang juga seorang peguam, mempunyai locus standi dalam memulakan saman itu kerana dia adalah masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam.
Anwar merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman itu pada 26 Februari tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas PRU Ke-14.
Dia mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baru.
Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.
Peguam Datuk M Reza Hassan turut mewakili Mohd Khairul Azam, J. Leela mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan hadir bagi pihak Lembaga Pengampunan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini dengan meraih 100 mata asas (bps) berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang memihak kepada kadar faedah rendah untuk mengekalkan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) kepada hampir sifar.
Pada jam 9 pagi semalam, unit tempatan menokok kepada 4.1090/1130 berbanding dolar AS daripada 4.1190/1240 sewaktu ditutup pada Rabu.
Ketua strategi pasaran global Axi Stephen Innes berkata, dolar US merosot di seluruh papan selepas pengumuman FOMC yang dimuktamadkan pada 17 Mac.
“Oleh itu ringgit akan menyaksikan sedikit peningkatan hari ini,” katanya dalam satu nota.
Bagaimanapun, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali yen Jepun.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0678/0715 daripada 3.0593/0637 sewaktu ditutup pada Rabu, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7407/7471 daripada 5.7250/7332 dan turun berbanding euro kepada 4.9250/9303 daripada 4.9053/9129 sebelum ini.
Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7708/7751 daripada 3.7751/7807 pada Rabu.-BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan kematian seorang jururawat Hospital Pulau Pinang yang jatuh sakit sejak disuntik vaksin Covid-19, tiada kaitan dengan vaksin itu.
Hisham berkata siasatan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati punca kematian jururawat di Sungai Petani itu akibat serangan jantung.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah
“Jelas daripada siasatan punca kematian bukan disebabkan oleh kesan sampingan vaksin,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
Wanita berusia 45 tahun itu, yang berkhidmat di unit rawatan rapi neonatal, ditemui mati oleh suaminya di rumah mereka di Bandar Sri Astana. Beliau mempunyai rekod penyakit darah tinggi, menurut polis.
Hisham berkata sehingga kini belum ada lagi kes penerima vaksin yang meninggal dunia akibat kesan sampingan.
“Kalau adapun hanya kesan sampingan ringan selepas menerima suntikan vaksin,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOPERASI DISARAN WUJUD PENJUALAN SECARA ATAS TALIAN
LIPIS: Sasaran pembukaan 3,000 cawangan koperasi yang menjual barangan di bawah projek Barang Asas 100 (BA100) secara dalam talian boleh mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada belia terutama yang tinggal di kawasan Felda dan kampung tradisional.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu disandarkan kepada koperasi yang menjual barangan asas dan memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.
“Pihak pengurusan koperasi boleh melantik penghantar barangan bermotor (rider) dari dalam kalangan ahli atau anak mereka, sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan baru di kawasan itu.
“Sasaran permulaaan setiap koperasi runcit terutama di kawasan FELDA boleh menggunakan khidmat tiga atau empat pekerja penghantar barangan secara tetap atau sambilan, maka 3,000 koperasi itu dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Datuk Abdul Fattah menyumbang 300 pek melalui Projek Barangan Asas 100.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 300 pek barangan keperluan harian melalui BA100 berjumlah RM21,000 kepada ahli koperasi Pahang Barat di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi ANGKASA Pahang Barat, Datuk Syed Ali Syed Mohamad.
Abdul Fattah berkata, oleh kerana di era digital, orang ramai cenderung membeli barangan melalui atas talian, oleh itu perkhidmatan penghantar barangan perlu berdaftar dengan koperasi untuk memastikan tahap kepercayaan orang ramai tinggi.
Katanya, penggunaan digital juga membolehkan anak peneroka yang berada di Lembah Klang atau di tempat lain boleh membuat pesanan pembelian barangan secara dalam talian dan dihantar terus ke rumah ibu bapa mereka.
Katanya, pada masa ini, 400 koperasi sudah mendaftar menjual barangan BA100, manakala 1,600 lagi menunggu kelulusan dan baki 1,000 dijangka mendaftar sehingga hujung tahun ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan wang berjumlah RM9,302,823.66 daripada akaun Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Saksi pendakwaan terakhir yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau, 44, berkata, hasil siasatannya mendapati wang tersebut yang dikeluarkan pada 28 Mei 2018 dipindahkan ke akaun Yayasan Al-Falah milik adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.https://825c302655867e3391bc5934b6e323a3.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html
“Pemindahan wang itu terletak pada kuasa tertuduh (Ahmad Zahid) kerana beliau penandatangan tunggal dalam Yayasan Akalbudi,” jawabnya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt semasa pemeriksaaan utama mengenai pengeluaran wang tersebut.
Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-52 perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi, lapor Bernama.
Ditanya Keng Fatt mengenai tujuan pemindahan wang tersebut, Khairudin menjawab: “Saya tidak berapa jelas. Minit mesyuarat atau resolusi mengenai pemindahan wang itu juga tidak ditemui.”
Mengenai transaksi keluar masuk wang Yayasan Akalbudi dalam tempoh 12 Disember 2012 hingga 31 Mei 2018, saksi itu berkata, berdasarkan penyata akaun Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi, terdapat keluar masuk wang lebih kurang RM100 juta.
Ketika membacakan pernyataan saksinya, Khairudin berkata, sebanyak RM360,000 wang Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk dibayar kepada TS Consultancy & Resources bagi menjalankan soal selidik dan kajian pengundi pilihan raya.
“Berdasarkan dokumen-dokumen dan maklumat saksi-saksi, isu bayaran kepada TS Consultancy & Resources menunjukkan ia digunakan untuk menjalankan soal selidik dan kajian pengundi.
“Pemilik syarikat iaitu Jasni Majid dan Sabri Said mengesahkan bahawa syarikat TS Consultancy ditubuh pada tahun 2015 bagi program pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti UMNO dan di awal penubuhan menerima dana daripada pejabat parti UMNO,” katanya.
Mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, saksi itu berkata, pejabat yayasan tersebut tidak pernah beroperasi di alamat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Berdasarkan notis pendaftaran SSM, yayasan itu didaftarkan di alamat 69E-4, Jalan Raja Abdullah di sini.
Khairudin berkata hasil pemeriksaannya di alamat tersebut bagi mendapatkan laporan tahunan, laporan audit serta minit mesyuarat Yayasan Akalbudi mendapati yayasan itu tidak beroperasi di alamat berkenaan.
“Dokumen-dokumen tersebut tidak ditemui kerana alamat yang didaftarkan dengan SSM, tiada pejabat Yayasan Akalbudi beroperasi di situ,” katanya dan memberitahu bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah menyerahkan dokumen-dokumen tersebut kepada SSM.
Ditanya Keng Fatt, jika saksi ada bertanya kepada Setiausaha Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur Teja Singh mengenai dokumen-dokumen itu, Khairudin menjawab: “Beliau (Mahinder) kata tak simpan dokumen berkenaan, tidak pernah mengadakan mesyuarat serta tidak menyediakan laporan audit yayasan itu.
“Beliau (Mahinder) memberitahu bahawa tiada arahan daripada pengurusan Yayasan Akalbudi untuk membuat mesyuarat atau menyediakan laporan audit,” kata saksi itu.
Khairudin juga berkata, siasatannya mendapati Tetuan Lewis & Co bukan pemegang amanah atau peguam kepada Yayasan Akalbudi seperti yang dicadangkan pihak pembelaan sepanjang perbicaraan kes tersebut.
“Pelanggan Lewis & Co ialah Yayasan Al-Falah dan Ahmad Zahid sendiri. Lewis & Co menguruskan bagi kes-kes sivil Ahmad Zahid,” katanya dan menambah bahawa tiada hubungan rasmi di antara Yayasan Akalbudi dan Yayasan Al-Falah.
Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU – Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dibenarkan untuk beroperasi di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor pada Ramadan kali ini, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri akan berbincang dengan PBT untuk menyelaras serta menetapkan syarat operasi termasuklah mengenai kedudukan tapak bazar yang akan dimaklumkan kepada peniaga selewat-lewatnya minggu ini.
“Perkara utama bagi setiap pengoperasian Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri ialah tidak menjadikan lokasi perniagaan bazar tersebut sesak dan kawasan berhimpun selain perlu mempunyai ruang yang luas, lapang serta jalan keluar masuk adalah sehala. Jika semua pihak mematuhi SOP, operasi bazar ini dapat dijalankan sepanjang tempoh yang ditetapkan.
GAMBAR HIASAN
“Kebenaran beroperasi bagi kedua-dua bazar ini untuk memastikan semua peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dapat menjalankan perniagaan demi kelangsungan sumber rezeki mereka, sekali gus membantu memulihkan ekonomi negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis, lapor Bernama.
Untuk rekod, seramai 12,000 peniaga berdaftar dengan PBT di seluruh Johor dengan jumlah tapak lokasi bazar Ramadan adalah sebanyak 220 tahun lepas, manakala anggaran hasil jualan pula antara RM200 juta hingga RM250 juta bagi tahun 2019.
Dalam perkembangan lain, Ayub memberitahu, sebanyak 13,807 unit rumah pada harga mampu milik dijangka siap pada tahun ini dalam usaha membantu lebih ramai rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, projek berkenaan termasuk Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), Rumah Mesra Rakyat (RMR) Johor – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Rumah Ihsan Makmur Johor, Program Perumahan Rakyat (PPR) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).
“Diharap projek-projek dan program perumahan yang dirancang ini dapat dibangunkan dengan jayanya seterusnya membantu lebih ramai rakyat dan penduduk di negeri Johor memiliki kediaman yang selesa dan kondusif,” tambahnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMBAU – Vaksin Covid-19, Sinovac dari China adalah berkesan dan selamat untuk diambil oleh semua rakyat di negara ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata pihaknya percaya dengan keberkesanan dan kestabilan vaksin ini sama seperti vaksin Pfizer-BioNTech.
“Saya tawarkan diri menerima vaksin pertama jenis Sinovac ini atas prinsip kepercayaan terhadap proses penilaian dan keputusan yang dibuat oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), dalam memastikan tahap keselamatan, keberkesanan dan kestabilan vaksin yang diberikan di Malaysia iaitu Sinovac sama seperti Pfizer, adalah selamat, berkesan dan stabil untuk diambil.
“Sinovac tidak perlu diragui, ia akan menjadi sebahagian daripada program vaksinasi negara, dan lebih 60 juta dos suntikan vaksin Sinovac telah diberikan di seluruh dunia, perkara itu memberi keyakinan bahawa Sinovac diterima di peringkat global,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital Rembau dekat sini pada Khamis.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, yang menolak temujanji pemberian suntikan vaksin pada 6 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, beliau telah meminta tarikh temujanji yang baharu.
“Benar, Datuk Seri Najib telah membatalkan tarikh vaksinasinya, tetapi beliau telah meminta tarikh temujanji yang baru, jadi nanti kita berilah (tarikh temujanji baru),”katanya.
Khairy Jamaluddin merupakan individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac dari China, bersama 10 anggota barisan hadapan, yang dikendalikan oleh Vaksinator, Ketua Penyelia Jururawat, Hospital Rembau Salha Abd Samad.
Terdahulu,melaporkan negara telah menerima sejumlah 100,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac pada Isnin lalu dan bakal menerima jumlah yang sama pada 22 Mac ini.
Vaksin Sinovac yang juga dikenali sebagai CoronaVac, diperoleh menerusi perjanjian bekalan meliputi sebanyak 14 juta dos.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan Lindung Diri, Lindung Semua dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.
Setakat ini, jumlah penerima suntikan v dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Malaysia, melebihi 360,000 orang, dan lebih 5.7 juta telah mendaftar.
Jumlah itu berjaya dicapai hanya dalam tempoh 21 hari sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUNGAI PETANI: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas lebih lima jam ditinggalkan dalam kereta yang dipandu pengetua tadika di Taman Ria, di sini, semalam.
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa adalah anak kedua daripada dua beradik.
Katanya, mangsa sudah hampir setahun dihantar ke tadika itu untuk dijaga pengasuh di situ.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengetua tadika iaitu wanita berusia 49 tahun akan mengambil mangsa dari rumah ibu bapanya ke tadika pada Ahad hingga Khamis.
“Namun, selepas PKP, pada Selasa dan Rabu, pengetua wanita itu akan mengambil dan menghantar mangsa manakala hari lain mangsa dihantar sendiri ibunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Adzli berkata, siasatan awal mendapati pada 7.45 pagi semalam, pengetua tadika itu mengambil mangsa di rumahnya di Taman Ria, di sini.
Beliau berkata, mangsa ketika itu dalam keadaan sihat dan duduk di tempat duduk belakang.
“Sebelum itu, pengetua terbabit turut mengambil seorang pelajar lain yang berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.
“Namun sebaik tiba di hadapan tadika, seorang guru mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika. Dia memakir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta,” katanya.
Adzli berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan.
Beliau berkata, mangsa dipercayai berada dalam kereta itu dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.
“Kejadian itu hanya disedari pada 12.15 tengah hari ketika pengetua mahu menghantar semula mangsa ke rumah, namun mendapati mangsa tiada di dalam kelas.
“Guru kelas memberitahu mangsa tidak hadir ke sekolah menyebabkan wanita itu terus menuju ke arah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.
Adzli berkata, berikutan itu pengetua terbabit bertindak menghubungi ambulans dan melaksanakan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa namun mangsa tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans dan hasil pemeriksaan doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan tiada kesan kecederaan di luaran.
“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dipanggil untuk pengambilan sampel dan dapat satu sampel swab di atas kerusi penumpang belakang.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.
Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata, polis menahan pengetua wanita itu untuk membantu siasatan dan merampas anak kunci serta kereta untuk tindakan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!