Tanjung Malim: Polis mengesan saksi bagi membantu siasatan kes kemalangan langgar lari di Kilometer 125 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhadapan sebuah stesen minyak, di sini.
Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kemalangan membabitkan penunggang motosikal berusia 50 tahun berkenaan berlaku pada 9.15 pagi 15 Julai lalu, lapor KOSMO online.
“Mangsa yang parah kini berada dalam keadaan koma di Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB) Ipoh,” katanya.
Katanya, orang ramai yang melihat atau mengetahui mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mazlan Salian di talian 017-7433831 bagi membantu siasatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Video tular berhubung sekumpulan individu menari tanpa memakai pelitup muka dipercayai dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah hotel di Glenmarie di sini, April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan polis berhubung insiden itu hari ini.
Katanya, berdasarkan laporan itu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mereka menghadiri kursus pemantapan pimpinan sebuah parti politik dan video mengenai isu itu disaksikan pengadu menerusi dua akaun Facebook.
“Dalam laporan polis itu, pengadu mendakwa kumpulan tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial antara satu sama lain sekali gus melanggar SOP seperti yang sudah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi, lapor KOSMO online.
Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 34 saat memaparkan sekumpulan wanita menari dengan diiringi lagu dangdut tanpa memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam program di sebuah hotel.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WARGA EMAS SESAT TUJUH JAM KETIKA CARI LEMBU TERNAKAN
JELI – Seorang warga emas melalui detik cemas apabila dia sesat di dalam hutan selama hampir tujuh jam ketika keluar mencari lembu ternakannya di Kampung Tebing Timbah, Bukit Selar di sini hari ini.
Mangsa, Abdullah Che Kob, 74, dipercayai tersesat ketika keluar untuk mencari lembunya di kawasan terbabit kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa apabila warga emas itu menghubunginya selepas tidak menemui jalan keluar dari hutan.
Katanya, seramai 15 anggota bomba, lima anggota polis dan penduduk kampung telah menjalankan operasi mencari mangsa di lokasi yang dilaporkan, Kosmo online.
“Mangsa dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu miliknya. Apabila tidak menjumpai jalan keluar, dia terus menghubungi anak dan memaklumkan bahawa dirinya sudah sesat.
“Kita mengerakkan pencarian menggunakan sistem siren kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli sebelum menemui mangsa dalam keadaan keletihan kira-kira pukul 3.15 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERAK – Satu pemeriksaan melalui rondaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) pada 8 Julai 2021 telah dijalankan ke atas sebuah bot tanpa pemilik di kawasan Taman Negeri Royal Belum, Perak.
Hasil pemeriksaan ke atas bot telah merampas seekor Kijang yang telah mati dan mempunyai kesan tembakan.
Operasi ini melibatkan seramai 10 orang anggota penguatkuasa daripada Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Taman Negeri Perak.
Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gerik, Perak berkenaan operasi ini dan kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jabatan PERHILITAN untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN NEGERI BERUSAHA SELESAIKAN KEMELUT BEKALAN AIR KE FELDA SUNGAI RETANG SEGERA
JERANTUT: Penduduk Felda Sungai Retang dan kawasan sekitar yang sering mengalami gangguan bekalan air diminta bersabar dengan masalah yang melanda mereka selama ini sementara pihak kerajaan berusaha menyelesaikan masalah yang sering berulang itu.
Kerajaan negeri menjalankan perbincangan bersama pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) bagi menyelesaikan isu air yang melibatkan kawasan sekitar Felda Sungai Retang di Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah (kiri) bersama Ketua Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari (tengah) semasa melawat loji rawatan air Kg Air Hitam / Pasir Sia, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, pihak kerajaan negeri memandang serius masalahan terbabit khususnya berkaitan kebajikan masyarakat setempat.
“Satu perbincangan telah dibuat bersama pihak PAIP dan perkara ini akan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
“Diharap setempat dan kawasan sekitarnya dapat bersabar dengan masalah bekalan air yang kerap terputus, kerajaan amat prihatin dengan situasi ini dan akan berusaha dengan segera untuk menyelesaikan kemelut ini,” katanya.
Semalam, Datuk Nazri melawat ke Loji Air Seberang Tembeling Kg Air Hitam / Pasir Sia yang mengalami masalah air bersama Ketua Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, Pengurus PAIP Daerah Jerantut dan pemimpin setempat.
Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang ke-14 pada tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah memperuntukkan RM200,000 bagi memasang pam galak di Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Tembeling bagi mengepam air ke kawasan sekitar.
Penduduk Felda Sungai Retang membersihkan muka sauk loji tersebut yang dipenuhi lumpur
“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat berhubung permasalahan air yang dialami penduduk di kawasan Felda Sungai Retang, Jerantut.
Sebelum ini, penduduk Felda Sungai Retang mengambil inisiatif membersihkan muka sauk loji itu yang dipenuhi lumpur.– SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG TAWAR RUMAH UNTUK LAPAN BERADIK YANG KEHILANGAN IBU DAN BAPA AKIBAT COVID-19
KUANTAN: Kerajaan Pahang menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 sebuah, untuk didiami secara percuma oleh lapan beradik yang kematian ibubapa mereka akibat wabak pandemik COVID-19.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak rumah RRP yang dicadangkan itu akan dibina di kampung asal allahyarham ibunya , serta datuk dan nenek mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini.
Katanya, sementara menunggu rumah itu siap, rumah sewa sementara akan juga disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini, yang sulung, Cik Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun, kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.
“Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.
Katanya, selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.
Lapan beradik yang kehilangan ibu dan bapanya akibat wabak Covid-19
“Pegawai pejabat saya telah pun menghubungi Cik Nazurah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya.
Katanya, bapa lapan beradik itu meninggal dunia pada 16 Julai dan ibunya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Julai akibat wabak Covid-19.
Sebilangan besar adik-adik Nabilah masih bersekolah, kecuali adik bongsunya yang berusia empat tahun, Nabilah sendiri merupakan pelajar di Kolej Politeknik Mersing di Johor.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMBAU – Seorang bayi lelaki maut selepas empat jam dipatuk ular di kediaman keluarganya di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, setahun lima bulan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi di Hospital Rembau ketika sedang menerima rawatan susulan.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang merupakan anak bongsu tinggal bersama ibu, nenek dan abangnya di rumah berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun di bilik tidur utama bersama ibunya yang turut berada di bilik tersebut. Tiba tiba ibunya mendengar jeritan anak bongsunya itu, pada masa sama ternampak seekor ular lari masuk ke lubang dalam bilik tersebut.
“Wanita itu memeriksa dan ternampak kesan patukan ular di tapak tangan kiri anaknya dan terus membawanya ke Hospital Rembau,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi, lapor KOSMO online
Hazri berkata, kira-kira pukul 1 pagi, ibu mangsa dimaklumkan pihak Hospital Rembau bahawa anaknya telah meninggal dunia dan laporan polis dibuat ibu mangsa pada pagi ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LELAKI TINGGAL NOTA, BAKAR MAYAT ATAU BUANG KE LAUT
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 50-an ditemui maut dipercayai akibat minum racun di pekarangan rumahnya di Taman Indah, Sekinchan, kira-kira jam 3 petang tadi.
Menurut sumber, difahamkan lelaki itu bertindak demikian kerana tertekan dan terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei lalu.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 24 saat yang dkikongsi sumber, orang ramai menemui nota ditinggalkan lelaki warga emas terbabit yang meminta kerajaan membakar mayatnya atau buang terus ke laut, lapor MG
Mayat lelaki itu bagaimanapun telah dibawa pihak polis ke Hospital Sabak Bernam sejurus berita kematian itu dimaklumkan orang ramai kira-kira 3.30 petang tadi.
Punca kematian masih dalam siasatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, kira-kira jam 6.30 petang, hari ini.
Berita pemergiannya pelakon yang dikenali dengan watak Anjang Aki itu disahkan isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar.
Nazariah, 66, berkata, suaminya meninggal dunia bukan disebabkan Covid-19, tetapi Allahyarham menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.
“Arwah baru selesai makan dan kemudiannya masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.
“Selepas itu, arwah langsung tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisinya ketika menghembuskan nafas terakhir,” katanya kepada BH Online.
Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Georgetown: Dalam keadaan badannya disambar api, seorang lelaki terpaksa lompat pagar sebuah rumah bagi meminta pertolongan di Jalan Penang di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 40-an itu berlari kira-kira 10 meter ke kedai berhampiran sebelum api yang menyambar badannya dipadamkan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lebuh Pantai Muzzamer Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 3.15 petang.
Menurutnya, maklumat awal diterima mengenai kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat dengan bahagian belakangnya dijadikan rumah pekerja.
“Ketika tiba di lokasi, dilihat api sedang marak di sebuah bilik di bahagian belakang rumah terbabit dan anggota mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengawal kebakaran.
“Dengan menggunakan peralatan khas, anggota terpaksa membuka pagar rumah berhampiran yang dikunci bagi kerja memadam,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Muzzamer, faktor angin kencang dan cuaca panas juga menyebabkan api marak dengan cepat.
Katanya, terdapat dua mangsa terbabit dalam kebakaran itu berjaya keluar dari rumah berkenaan sebelum pihaknya tiba.
“Mangsa pertama tidak mengalami kecederaan, manakala mangsa kedua pula melecur 80 peratus, lapor HM online
“Mangsa kedua kemudiannya diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!