Tabung infak Surau Hayatul Islam dilancar sempena Ramadan 2026
SERI AMAN – Sempena kedatangan Ramadan 2026, Jawatankuasa Surau Hayatul Islam Kampung Hulu melancarkan Tabung Infak bagi menjayakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, Laupall Bujang berkata, pelancaran tabung berkenaan dibuat berikutan kedudukan kewangan surau yang kini berada pada tahap kritikal dan memerlukan sokongan orang ramai.
Menurutnya, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penganjuran ceramah agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain untuk kanak-kanak serta pengajian khas untuk golongan dewasa di kampung berkenaan.
“Besar harapan kami agar ada insan dan dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan bagi memastikan segala perancangan aktiviti surau dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Segala sumbangan tuan-puan kami dahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih,” katanya ketika ditemui di sini.
Aktiviti Tadarus yang diadakan di surau tersebut.
Beliau berkata, pihak jawatankuasa komited untuk terus mengimarahkan surau sebagai pusat penyatuan masyarakat serta platform pembangunan rohani dan sahsiah kariah setempat.
Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat atas nama Jawatankuasa Pengurusan Surau Hayatul Islam Kampung Hulu, Sri Aman (No Akaun: 11 00 90 25 24).
Jawatankuasa surau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha memakmurkan institusi surau demi kesejahteraan ummah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dari Bilik Darjah ke Podium Orkestra: Legasi Gemilang Mokhzani di RTM
Anak kampung yang membesar di celah kehijauan sawah padi di Kampung Alor Lanchang, Jejawi, Perlis itu tidak pernah menyangka takdir hidupnya akan membawanya berdiri megah di hadapan ratusan pemuzik profesional.
Dilahirkan pada 22 Februari 1962, Datuk Mokhzani Ismail memulakan perjalanan sebagai seorang guru sebelum namanya terpahat sebagai antara konduktor paling berpengaruh dalam sejarah Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Perjalanannya bermula apabila beliau melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas, kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras.
Selepas menabur bakti sebagai guru di kampung halaman, minat dan bakat mendalam terhadap muzik mendorongnya terbang ke Amerika Syarikat untuk memperkasa ilmu dalam bidang tersebut.
Buah tangan terakhir Mokhzani untuk siaran Hari Raya 2026 dengan memimpin 40 anggota pemuzik untuk konsert Siti Nurhaliza.
Tahun demi tahun berlalu, dan pada usia 36 tahun, Mokhzani dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM -satu tanggungjawab besar yang meletakkan beliau sebaris dengan tokoh terdahulu seperti Alfonso Soliano dan Johari Salleh.
Pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi amanah untuk memastikan Orkestra RTM terus unggul sebagai nadi muzik penyiaran negara.
Sepanjang 35 tahun bersama RTM, termasuk 25 tahun sebagai Pengarah Muzik, beliau mencorakkan pelbagai pembaharuan.
Di bawah kepimpinannya, program Bintang RTM menjadi medan melahirkan artis tersohor seperti Ernie Zakri, Misha Omar dan Alyah.
Beliau turut mengemudi konsert berprestij termasuk Konsert Simfoni Putrajaya pada 2006 yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai konsert simfoni terbesar secara langsung di negara ini. Sentuhan antarabangsa pula terserlah menerusi penyertaan RTM Big Band di Java Jazz Festival serta kolaborasi bersama stesen serantau.
Satu lagi detik bersejarah ialah apabila beliau diberi penghormatan menjadi konduktor kepada Malaysian Philharmonic Orchestra bagi konsert pemain trompet tersohor dunia, Chris Botti di Dewan Filharmonik Petronas pada 2011.
Dalam bidang lagu patriotik, Mokhzani memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lagu Tema Merdeka sejak 1998.
Antara karya besar beliau termasuk “Malaysia Prihatin” nyanyian Ernie Zakri dan “Menang Bersama” oleh Faizal Tahir. Terbaharu, beliau menerbitkan lagu tema ASEAN Summit “Our Land Our Home” nyanyian Aina Abdul serta “Madani Cinta Negara” oleh Stacy.
Pengiktirafan tertinggi diterimanya apabila dianugerahkan Anugerah Seni Negara kategori Seni Muzik pada 2024, selain menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.
Menariknya, walaupun bersara secara rasmi, serentak dengan peletakan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman, Mokhzani tidak memilih untuk berehat sepenuhnya. Beliau kini aktif sebagai pemain piano jazz dan dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya.
Daripada seorang guru di desa ke podium konduktor bertaraf antarabangsa, perjalanan Datuk Mokhzani Ismail membuktikan bahawa bakat, disiplin dan kesungguhan mampu mengangkat anak kampung menjadi arkitek legasi muzik negara.
Namanya akan terus dikenang sebagai simbol dedikasi dan kecintaan terhadap seni yang tidak pernah padam. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Nasi Ayam Bungkus Surat Kabor kembali, RM8 sahaja Ramadan ini
TEMERLOH: Menu popular Ramadan, Nasi Ayam Bungkus Surat Kabor kembali menemui pelanggan dengan tawaran harga RM8 bagi setiap bungkus sempena bulan puasa tahun ini.
Pengusahanya berkata, jualan dibuka secara tempahan awal (open order) bagi memastikan setiap pelanggan menerima hidangan segar dan panas ketika waktu berbuka.
Menurutnya, sambutan sebelum ini amat menggalakkan sehingga ada pelanggan terlepas peluang apabila stok habis lebih awal.
“Ramadan ini kami tampil dengan konsep sama iaitu nasi putih panas bersama ayam goreng rangup dan sambal istimewa yang menjadi pilihan ramai. Harga kekal RM8 supaya semua boleh menikmati,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan penghantaran disediakan sekitar Temerloh dan Mentakab dengan caj antara RM3 hingga RM6 bergantung kepada kawasan.
Katanya, pelanggan digalakkan membuat tempahan awal kerana jumlah slot penghantaran adalah terhad setiap hari bagi memastikan kualiti makanan terjaga.
Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi atau WhatsApp di talian 011-2695 0255 atau klik pautan https://wa.me/601126950255�
Orang ramai yang ingin mendapatkan hidangan berkenaan untuk berbuka puasa bersama keluarga atau rakan pejabat disaran membuat tempahan segera bagi mengelakkan kekecewaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ramadan kali ini, jom cipta momen indah bersama insan tersayang di Hotel Apsara Temerloh ✨
Saat azan Maghrib berkumandang, nikmati hidangan menyelerakan dalam suasana selesa dan penuh kehangatan di Iftar Buffet Ramadan Apsara.
Aneka juadah tradisional dan moden, semuanya tersedia untuk memeriahkan meja berbuka anda. Bukan sekadar makan, tapi ruang untuk berkongsi cerita, gelak tawa dan kenangan manis bersama keluarga serta sahabat ❤️
PROMOSI EARLY BIRD (29 Jan – 18 Feb 2026) Dewasa – RM60 Kanak-kanak – RM40
Harga normal (21 Feb – 17 Mac 2026) Dewasa – RM65 Kanak-kanak – RM45
✨ Tempat terhad! Rebut peluang harga istimewa sebelum kembali ke harga biasa.
Hotel Apsara Temerloh
012-465 6591
Tag geng berbuka anda sekarang #Ramadan2026 #IftarBuffet #TemerlohEvent #EarlyBird
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘Rose Ajwa Coffee’ pilihan terbaik sahur & berbuka Ramadan
TEMERLOH – Menjelang Ramadan, minuman yang memberi tenaga berpanjangan dan menyokong kesihatan menjadi pilihan ramai. Justeru, Rose Ajwa Coffee With Stevia keluaran Bellanies tampil sebagai antara pilihan terbaik sepanjang bulan berpuasa.
Pengasas Bellanies, Rosyatina Wahab, berkata kopi berkenaan dirumus khas bagi membantu tubuh kekal bertenaga ketika berpuasa, selain sesuai diminum ketika sahur dan selepas berbuka.
“Ketika Ramadan, kita perlukan minuman yang bukan sahaja sedap, tetapi membantu beri tenaga dan rasa kenyang lebih lama.
Rose Ajwa Coffee mengandungi ekstrak premium kurma Ajwa dan bahan sunnah yang sangat sesuai diamalkan ketika berpuasa,” katanya.
Menurutnya, penggunaan stevia sebagai pemanis semula jadi menjadikan kopi ini pilihan lebih baik bagi mereka yang mahu mengawal pengambilan gula sepanjang Ramadan.
Gabungan kopi berkualiti tinggi bersama ekstrak kurma Ajwa, vitamin C, D dan E serta bahan sunnah seperti madu menjadikan minuman ini bukan sekadar kopi biasa, sebaliknya minuman berkhasiat untuk menyokong stamina sepanjang hari.
“Sahur dengan Rose Ajwa Coffee membantu rasa lebih kenyang dan bertenaga. Bila berbuka pula, ia sesuai untuk mengembalikan tenaga selepas seharian berpuasa,” katanya.
Rosyatina berkata, sambutan setiap Ramadan sangat menggalakkan apabila pelanggan membuat pembelian berulang bagi memastikan stok mencukupi sepanjang bulan mulia itu.
Bagi memeriahkan Ramadan kali ini, Bellanies turut menawarkan promosi khas pembelian kombo dan harga istimewa untuk tempoh terhad. Selain itu, peluang turut dibuka kepada individu yang berminat menjadi agen dan stokis rasmi Rose Ajwa Coffee bagi menjana pendapatan tambahan sepanjang Ramadan.
“Ini masa terbaik untuk tambah income. Permintaan memang tinggi setiap kali Ramadan,” katanya.
Pendaftaran agen dan stokis Rose Coffee boleh menghubungi 019-932 4947 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.
Orang ramai juga boleh mendapatkan Rose Ajwa Coffee melalui ejen sah Bellanies serta platform jualan rasmi dalam talian sebelum kehabisan stok sepanjang Ramadan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua kereta nyaris dihanyutkan arus deras di Kuala Tahan
JERANTUT – Dua kereta yang disewa pelancong asing dan diparkir berhampiran restoran terapung di Kuala Tahan nyaris dihanyutkan arus deras dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
Penduduk tempatan, Roslan Abu Kasim, 55 tahun, berkata kejadian disedari orang ramai apabila paras air Sungai Tembeling meningkat mendadak susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
“Air naik sehingga mencecah bibir jalan berhampiran restoran terapung dan mula melimpah ke atas jalan.
”Keadaan semakin membimbangkan apabila kenderaan berkenaan mula ditenggelami air kira-kira 0.3 meter,” katanya.
Menurutnya, penduduk segera menghubungi pihak pengurusan hotel sebelum berjaya mengesan penyewa kenderaan terbabit untuk mengalihkannya ke kawasan lebih selamat.
Beberapa penduduk kemudian membantu menolak kenderaan itu sebelum penyewa tiba dan memindahkannya ke parkir selamat kira-kira jam 3 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Mohd Azahari Mukhtar, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kedua-dua kenderaan berjaya dialihkan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Kenderaan terlibat ialah sebuah Proton Saga berwarna perak dan sebuah Honda. Pemilik resort telah menghubungi pemilik kenderaan dan tindakan segera diambil untuk memindahkannya,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai, khususnya pengunjung yang menginap di kawasan seberang Kuala Tahan, supaya memastikan kenderaan diparkir di lokasi lebih tinggi dan selamat ketika musim hujan bagi mengelakkan risiko dihanyutkan arus deras.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANDUNG: Lawatan rasmi ANGKASA ke Indonesia melabuhkan tirainya dengan penubuhan Koperasi Konsumen Berkah Bersama di Masjid Darul Rihlah pada 9 Februari lalu.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam memperjuangkan pembangunan ekonomi berteraskan kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.
Majlis pelancaran disempurnakan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP).
Ketibaan delegasi ANGKASA disambut pimpinan pelbagai peringkat termasuk wakil Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia, BAZNAS Kabupaten Bandung, pentadbiran daerah serta kepimpinan tempatan.
Ketua Koperasi Konsumen Berkah Bersama, Ustaz Agus Ruhyat, berkata penubuhan koperasi itu adalah ikhtiar meringankan beban kos sara hidup masyarakat setempat di samping membuka peluang ekonomi secara berterusan.
Menurutnya, koperasi berkenaan bukan sahaja menyediakan barangan keperluan pada harga berpatutan, malah menjadi platform mendidik anggota komuniti dalam aspek pengurusan, perniagaan dan kewangan.
“Model ini boleh menjadi inspirasi kepada masjid dan komuniti lain di Indonesia untuk menggabungkan elemen sosial, ekonomi dan pendidikan dalam satu ekosistem yang mampan,” katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan turut menjadikan kejayaan koperasi kariah masjid di Malaysia sebagai rujukan khususnya dari segi tadbir urus berintegriti dan penglibatan aktif kariah.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Abdul Fattah berkata koperasi konsumen yang diurus secara profesional mampu berperanan sebagai mekanisme perlindungan sosial dalam mendepani tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, masjid juga berpotensi menjadi pusat penyelesaian isu kemanusiaan dan sosioekonomi melalui inisiatif seperti koperasi, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan komuniti.
Lawatan itu turut disertai Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebahagian penduduk berganding bahu mengelap cermin dan mengecat dinding masjid.
SEMENYIH – Program gotong-royong yang disusuli kuliah khas dan tahlil perdana bersempena ambang Ramadan terus menjadi medium terbaik memupuk semangat kebersamaan serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Mengambil keberkatan menjelang bulan mulia itu, Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, menganjurkan Program Kenduri Rakyat, Gotong-Royong dan Tahlil Perdana selama dua hari di pekarangan masjid berkenaan.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rinching Hulu dan Tengah itu turut diisi dengan Kuliah Ambang Ramadan yang disampaikan Kapten Maritim, Nik Kamruddin Yunoh.
Penduduk kampung bergotong-royong menyembelih serta melapah lembu dan kambing.
Pengarah program, Samsudin Zainal berkata, penganjuran berkenaan bertujuan mengeratkan ukhuwah serta menggalakkan kehadiran kariah ke masjid bukan sahaja pada Ramadan, malah berterusan selepas itu.
“Walaupun pelbagai program sebelum ini telah diadakan, AJK masjid sentiasa berusaha mendekati masyarakat agar lebih ramai hadir solat berjemaah dan menyertai aktiviti komuniti. Program seperti ini membuka ruang penduduk pelbagai peringkat usia dan latar belakang berinteraksi serta mengenali pemimpin setempat,” katanya.
Antara aktiviti dijalankan termasuk membersihkan kawasan dalam dan luar masjid seperti memotong rumput, menebas semak, mengecat dinding, membersihkan karpet, mengelap cermin dan mengemop lantai. Turut diadakan penyembelihan serta melapah lembu dan kambing sebagai persediaan kenduri rakyat, manakala kaum wanita bergotong-royong di dapur menyediakan juadah termasuk nasi beriani Johor.
Program itu membabitkan penyertaan AJK masjid, Grup Kubur kampung, bomba sukarelawan, pelajar MARA Japan Industrial Institute (MJII), Tahfiz Al-Ikhwan serta ahli kariah. Majlis turut dihadiri penghulu, wakil ahli Parlimen dan Balai Polis Semenyih.
Seorang kariah, Zool Fazlee Nordin menyifatkan program berkenaan berjaya menyemarakkan semangat kejiranan dan muafakat. Pegawai Perhubungan MKKRH/Balai Polis Semenyih, Koperal Azlan Ahmat pula berharap kerjasama antara polis dan komuniti terus diperkukuh demi keharmonian setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lorong Kasih Sayang Mentakab semarak sambutan Tahun Baharu Cina
TEMERLOH : Mentakab kini mempunyai satu lagi tarikan pelancongan baharu apabila Lorong Kasih Sayang yang bertemakan cinta dan romantik siap dibangunkan dan dirasmikan malam tadi, sekali gus menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan berkenaan.
Majlis perasmian lorong itu diserikan dengan persembahan gendang dan tarian singa sebagai pembuka acara, selain pengagihan angpau kepada pengunjung, yang menambah kemeriahan suasana perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, yang merasmikan Lorong Kasih Sayang, berkata pembangunan lorong berkenaan membuktikan komitmen kepimpinan tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.
Menurutnya, Temerloh antara daerah yang aktif memajukan sektor pelancongan apabila kepimpinan tempatan bekerjasama secara proaktif dengan pelbagai pihak bagi membangunkan identiti komuniti serta menarik kehadiran pelancong ke kawasan berkenaan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 daripada kerajaan Pahang bagi menyokong penganjuran pasar Tahun Baharu Cina selama tiga malam di Lorong Cahaya, yang turut disambungkan dengan Lorong Kasih Sayang.
Lorong Kasih Sayang yang terletak di lorong belakang Jalan Mok Hee Kiang menampilkan gabungan lukisan mural seni, hiasan bunga serta pencahayaan dekoratif yang mewujudkan suasana romantik dan mesra pengunjung.
Antara mural yang menjadi tumpuan ialah lukisan seorang gadis memandang ke arah lautan bunga yang melambangkan harapan dan impian kebahagiaan, selain lukisan pasangan pengantin menaiki basikal bersama yang membawa maksud perjalanan hidup yang dilalui bersama hingga ke akhir hayat.
Tulisan pada dinding seperti “Kami berkahwin” dan “Berpegangan tangan seumur hidup” turut memperkukuh konsep keseluruhan lorong yang berteraskan jodoh dan cinta, sekali gus menjadikannya lokasi pilihan pasangan pengantin dan orang ramai untuk bergambar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan, berkata projek Lorong Cahaya yang siap pada Januari tahun lalu terus ditambah baik menerusi peruntukan sendiri serta sumbangan masyarakat bagi pemasangan tanglung dan lukisan mural.
Katanya, pembinaan Lorong Kasih Sayang membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti dalam mencantikkan kawasan, sekali gus memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan tempatan.
Pasar Tahun Baharu Cina di Lorong Cahaya turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 40 gerai mengambil bahagian, menawarkan pelbagai jualan termasuk makanan dan minuman, kuih-muih perayaan, bak kwa serta bunga hiasan.
Turut diadakan gerai kaligrafi yang menampilkan penulisan ucapan Tahun Baharu secara langsung, membolehkan pengunjung membawa pulang hiasan tulisan tangan sebagai simbol doa dan harapan sempena musim perayaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MDJ sedia 276 Tapak Bazar Ramadan, 123 peniaga sudah daftar
JERANTUT – Majlis Daerah Jerantut (MDJ) menyediakan sebanyak 276 tapak bagi penganjuran Bazar Ramadan tahun ini membabitkan dua lokasi utama di Bandar Jerantut.
Yang Dipertua MDJ, Sulaiman Husin berkata, bagi Bazar Ramadan Bandar Baru Jerantut, sebanyak 176 petak disediakan dengan kadar sewaan RM560 bagi setiap tapak dan setakat ini 123 peniaga telah berdaftar.
Antara juadah tradisonal yang dijual di Bazar Ramadan Jerantut
“MDJ turut menyediakan 100 tapak di Bazar Ramadan Taman Saujana Utama dengan kadar sewaan RM250 bagi setiap petak.
“Selain lokasi dalam bandar, beberapa tapak bazar luar Bandar Jerantut turut dikenal pasti bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan sepanjang Ramadan,” katanya.
Menurut beliau, antara lokasi bazar luar bandar yang terlibat ialah Feri, Damak, Padang Piol, Kota Gelanggi 1, Kota Gelanggi 2, Sungai Retang dan Kuala Tahan.
Beliau berharap penyediaan tapak bazar itu dapat memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa selain merancakkan ekonomi setempat.
“Semua peniaga juga diingatkan supaya sentiasa menjaga tahap kebersihan dan keselamatan makanan serta memastikan juadah yang dijual berkualiti,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!