PEKAN – Pemandu Perodua Viva tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian dalam satu kemalangan jalan raya yang turut melibatkan pacuan empat roda di Kampung Tebat, Chini, dekat sini, pada jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Anggota BBP Chini mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Tebat, Chini, hari ini-Foto BBP Chini.
Komander Operasi, PBK II, Zulkarnain Awang, melaporkan seorang lelaki dewasa tersepit di dalam Perodua Viva dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)
“Anggota Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Chini telah mengeluarkan mayat lelaki yang tersepit menggunakan peralatan khas dan dua lelaki dewasa cedera yang menaiki pacuan empat roda dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tidakan lanjut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Semakin hari, semakin tinggi kes COVID-19 membuatkan ramai yang bimbang dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
Kes meningkat bukan sahaja di Malaysia, malah ia melibatkan seluruh dunia kerana varian Omicron lebih mengganas berbanding varian sebelum ini.
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin memberitahu individu yang bergejala dan positif menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) tidak perlu pengesahan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase (RT-PCR).
Individu yang didapati positif kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan), tidak berisiko (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai komorbid tidak perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).
Golongan ini hanya perlu kuarantin kendiri iaitu di rumah atau bilik berasingan.
Apa yang perlu dibuat ketika ‘Self-Quarantine‘?
Berfikiran Positif
Jangan cepat down! Jangan sedih! Anda masih berpeluang untuk pulih daripada sebarang penyakit. Sentiasa berfikiran positif dan sentiasa berdoa untuk yang terbaik. Jangan lupa sentiasa berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan supaya anda tidak terlalu berfikir mengenai virus yang dihadapi.
Habiskan Masa Dengan Hobi
Kalau hobi anda buat aktiviti outdoor, inilah masanya anda cuba hobi baru seperti membaca, tengok movie atau banyakkan aktiviti yang mendekatkan diri dengan Pencipta. Manalah tahu mencuba hobi baru dapat membuka minda dan menambah pengetahuan anda dengan perkara baru.
Keluarkan Peluh
Dilarang keluar rumah! Tapi tidak semestinya anda tidak membuat sebarang aktiviti yang mengeluarkan peluh. Kekalkan aktif, bersenam dalam rumah, buat senaman ringan atau sekurang-kurangnya berjalan dalam rumah.
Jaga Makan
Makan makanan yang menambahkan tenaga dan berkhasiat. Selain itu, pastikan makan pada waktu yang tepat. Jangan makan lambat atau tidak makan kerana ia akan memudaratkan kesihatan diri.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jalan Kuala Tahan ke Mat Daling semakin rosak teruk
JERANTUT – Keadaan jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Darling terus mendap dan rosak dan menjejaskan keselesaan orang kampung untuk keluar ke bandar untuk urusan harian mereka.
Tinjauan Sahih mendapati jalan tersebut masih tidak dibaiki setelah berkali-kali isu jalan raya ini disiarkan di dada akhbar dan portal laluan itu sejauh kira-kira 50 kilometer pada tahun lalu sehingga menjejaskan aktiviti ekopelancongan di kawasan itu.
Antara keadaan jalan yang rosak di laluan tersebut.
Kerosakan jalan tersebut turut menjejaskan kehadiran pengunjung yang bercuti ke perkampungan yang terletak di pesisir Sungai Tembeling, pedalaman Ulu Tembeling di daerah ini mula terganggu apabila jalan raya rosak teruk dan mendap berdekatan pusat hentian Bukit Awan, Kampung Kuala Sat dekat sini.
Paling mengecewakan penduduk, mendapan tanah di beberapa laluan berkenaan setinggi melebihi 0.30 meter (1 kaki) turut merosakkan bahagian bawah kereta terutamanya akan berlaku kebocoran tangki minyak hitam dan rim tayar bengkok apabila melalui laluan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin turut meninjau antara bahagian jalan yang rosak
Penggiat pelancongan Bukit Awan, Kamri Basri, 41, berkata, kerajaan perlu segera membaikpulih laluan yang rosak antara Kampung Tuit hingga ke Kuala Sat kerana jalan itu merupakan laluan utama pengunjung pada setiap hujung minggu dan musim cuti.
“Keadaan mendapan tanah dan runtuhan tebing sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu boleh mengganggu perjalanan dan pemandu berdepan pula dengan risiko keselamatan termasuk kenderaan rosak.
“Sekiranya jalan ini lambat dibaikpulih ataupun belum ada rancangan usaha menaiktaraf laluan berkemungkinan sektor ekopelancongan di perkampungan pesisir Sungai Tembeling termasuk pembangunan berasaskan pertanian kawasan Ulu Tembeling akan terjejas,” katanya di Kampung Kuala Sat dekat sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin ketika dalam perjalanan bertemu penduduk Kampung Bantal di Ulu Tembeling mengakui kerosakan jalan raya berdekatan hentian rehat Bukit Awam dan beberapa tempat lain boleh menjejaskan perhubungan darat penduduk ke bandar serta pengunjung ke kampung kawasan Ulu Tembeling.
“Kerosakan ini berpunca mendapapan tanah dan hakisan menyebabkan kenderaan kecil sukar untuk melalui kawasan jalan ini dan ada yang tersangkut pada bahagian bawah kenderaan.
“Saya telah menghubungi Jurutera Jabatan Kerja Raya Jerantut supaya dapat bertindak segera bagi membaikpulih laluan di sini untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Empat naskah al-Quran tidak terjejas dalam kebakaran rumah
LIPIS – Kagum dengan Kehendak dan Kebesaran Allah SWT berlaku di Taman Pertama, pinggir bandar Kuala Lipis apabila empat naskhah al-Quran tidak terbakar dan masih dalam keadaan sempurna ketika kejadian kebakaran pada pukul 12 tengah hari, baru-baru ini.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir sambil menunjukkan naskhah al-Quran dalam timbunan abu dalam almari selepas api dipadamkan.
Shahrul Nizam menunjukkan empat naskhah al-Quran yang masih berkeadaan elok dan sempurna selepas kejadian kebakaran di Taman Pertama, bandar Kuala Lipis, baru-baru ini. – Foto BBP Kuala Lipis
“Kami, seramai tiga orang pegawai dan 15 orang anggota bomba Balai Bomba Kuala Lipis dan balai Sungai Koyan yang menjalankan operasi memadamkan api sungguh terkejut dan teruja apabila mendapati naskhah al-Quran di dalam almari masih berkeadaan elok.
“Apabila disemak helaian naskhah al-Quran ini, tulisan masih elok dan jelas serta boleh dibaca walaupun bahagian tepi ada sedikit kesan kebakaran,” katanya di Taman Pertama, pinggir bandar Kuala Lipis di sini, baru-baru ini.
Menurut Shahrul Nizam, al-Quran berkenaan dijumpai di rumah yang terbakar bernombor 21, Taman Pertama dan pemilik kediaman tersebut, iaitu Mohd Nur Hakim Mohd. Nura.
“Penemuan al-Quran ini merupakan peristiwa kali kedua ketika bertugas sebagai Pegawai Bomba sehingga menimbulkan kehairanan terutamanya rakan saya yang bertugas kerana belum pernah menjumpai al-Quran atau barang lain yang masih elok dan sempurna selepas api dipadamkan.
“Ini peristiwa kedua yang saya alami, kali pertama sewaktu menjalankan kerja menyelamat di sebuah premis pada musim banjir awal tahun lalu (2021) juga menjumpai senaskah al-Quran yang masih elok dan tidak dihanyutkan air,” katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya apabila berlaku kebakaran yang besar di sesebuah premis, tidak ada satu pun barang yang selamat kecuali menjadi abu dan arang selepas dijilat api.
“Kejadian al-Quran tidak terbakar merupakan kebesaran Allah SWT dan istiqamah bagi kami sebagai anggota bomba untuk menguatkan iman dan takwa di samping melaksanakan tugas serta tanggungjawab sehabis baik dengan penuh integriti untuk masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Lipis, Mohd. Akmal Abdul Manap berkata, penemuan al-Quran yang masih sempurna ketika selepas kebakaran di Taman Pertamam baru-baru ini membuktikan tanda kebesaran Allah SWT menjaga kalam-Nya.
“Kemungkinan juga asbab penghuni rumah yang terbakar ini selalu membaca dan menghayati (mengamalkan) apa yang dibaca dalam surah al-Quran ini dalam kehidupan harian. Maka Allah SWT ingin menunjukkan mukjizat ql-Quran kekal hingga ke hari kiamat, Wallahuaklam,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Derma darah 65 kali demi membantu kepada yang memerlukan
LIPIS – Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Ab. Hamid, 56, sudah menjadi rutin kehidupannya setiap kali melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dengan mendema darah untuk simpanan tabung darah di Hospital Lipis di sini.
Tujuan menderma darah adalah untuk membantu insan yang menderita sakit sekurang-kurangnya memberikan bantuan darah.
Katanya, dia mula aktif menderma darah bermula sejak 1 Januari 1999 pada ketika itu bergiat sebagai ketua belia di kampung tersebut dan sehingga ini sudah 65 kali menderma darah..
“Ketika pasukan unit tabung darah Hospital Lipis sampai ke kampung ini, sebagai ketua belia waktu berkenaan, sayalah pertama kali memberanikan menawarkan diri menderma darah untuk menunjukkan teladan kepada ahli belia lain.
“Sebelum 1999, saya tidak pernah menderma darah malahan berasa bimbang apabila mendengar pelbagai andaian mengenai kesan negatif selepas aktiviti ini,” katanya selepas program menderma darah di Kampung Bukit Betong, Jelai dekat sini hari ini.
Menurut Badra Isa, selepas menderma darah, dia berasa badannya segar dan ringan serta tidak pula berlaku komplikasi atau kesan gangguan kesihatan seperti yang diandaikan sebelum ini.
“Bermula 1 Januari 1999, menderma darah sudah menjadi rutin kehidupan saya. Setiap kali program ini diadakan di Lipis, saya akan hadir untuk menderma darah.
“Setiap tahun saya akan menderma darah tiga atau empat kali atau tiga bulan sekali yang mengambil masa cuma kira-kira 10 minit sahaja untuk mengisi (darah) dalam beg (darah),” katanya.
Dia berkata, minatnya juga sudah diikuti oleh empat orang anaknya yang sudahpun menderma darah antara lima hingga 10 kali, tetapi isterinya tidak dapat berbuat demikian kerana mengalami penyakit darah tinggi.
“Hasrat saya untuk menderma darah sehingga ke usia 60 tahun dan mencapai 80 kali. Hal ini bergantung kepada atas nasihat pegawai perubatan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
13 wanita, kanak-kanak maut jatuh perigi semasa majlis kahwin
NEW DELHI- Seramai 13 wanita dan kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi ketika meraikan majlis perkahwinan di utara India.
Pegawai polis kanan, Akhil Kumar, berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang duduk di atas kepingan besi yang digunakan untuk menutup perigi berkenaan.
Majistret daerah, S Rajalingam, pula berkata penutup perigi terbabit tidak mampu menahan beban semua mangsa yang duduk diatasnya.
“Mangsa terjatuh dan ditimpa sisa runtuhan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi.
“Pihak berkuasa tempatan terbabit untuk menyalurkan segala bantuan,” ciapnya di Twitter.
Acara perkahwinan di India sering diadakan secara besar-besaran dengan kehadiran tetamu yang ramai dan berlangsung selama beberapa hari.
Pada 2017, seramai 24 orang yang meraikan majlis perkahwinan terbunuh di barat laut Rajasthan apabila sebuah tembok runtuh dan menimpa mereka susulan kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan. – AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN – Sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas di kawasan perkuburan dan kejadian yang tular hari ini berlaku di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, dekat sini, berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali, berkata, kejadian itu melibatkan kereta milik seorang wanita yang kubur Allahyarham suaminya berada di situ.
Perodua Myvi yang terbabas di kawasan perkuburan dan kejadian yang tular hari ini berlaku di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, hari ini.
“Terdapat seorang wanita warga emas yang memandu kenderaan itu ketika mahu menziarah kubur arwah suaminya yang baharu meninggal dunia, ketika wanita berkenaan hendak memusingkan kenderaan dia terbabas sehingga menyebabkan kenderaan tersebut berada di atas kubur.
“Kejadian itu menyebabkan empat kubur mengalami kerosakan dan pewaris kubur terlibat akan dimaklumkan berkenaan hal itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beberapa foto telah tular memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas di dalam kawasan tanah perkuburan Islam. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Zaman sekarang telefon pintar adalah satu keperluan. Bukan sahaja untuk menghubungi orang lain, malah dengan telefon pintar akan memudahkan banyak urusan seperti bayaran bil, urusan bank dan sebagainya.
Mungkin urusan penting adalah untuk mereka yang betul-betul memerlukan tetapi ada sesetengah orang ketagih dengan penggunaan telefon pintar.
GAMBAR : MailOnline
Sebenarnya masalah ketagih telefon pintar bukan masalah biasa, ia sudah menjadi semakin parah dan merupakan satu masalah global.
Laporan daripada MailOnline, penyelidik dari Universiti McGill, Kanada, menjalankan kajian data penggunaan telefon pintar ke atas 34,000 peserta daripada 24 buah negara bermula pada tahun 2014 hingga 2020.
Hasil kajian yang dijalankan, negara China adalah menduduki tangga teratas sebagai ketagiahan menggunakan telefon pintar, manakala Arab Saudi di tangga kedua.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat berada di tangga ke lapan belas walaupun negara tersebut adalah ‘hub‘ kepada media sosial dan teknologi paling popular seperti Facebook dan Apple.
Malaysia pula berada di tangga ketiga dalam senarai ketagihan menggunakan telefon pintar di dunia. Jelasnya, Malaysia adalah salah satu negara yang mempunyai masalah tegar dalam penggunaan telefon pintar dan terlalu bergantung kepada telefon pintar.
Kajian ini dikongsi menerusi jurnal Computer in Human Behaviour dan fokus kepada pengguna yang berusia 15 tahun hingga 35 tahun dengan purata umur 28.8 tahun dan majoriti adalah wanita.
Masalah ketagihan telefon pintar menyebabkan punca kesihatan pada mata, otak, kesihatan mental dan fizikal. Ini juga akan mempengaruhi kesihatan dalaman kanak-kanak jika penggunaan telefon pintar tidak dikawal dari awal.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Benam juara dunia, Zii Jia kekal reputasi cemerlang
Foto atas : Lee Zii Jia cemerlang selepas menumpaskan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA -Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya mengekalkan reputasi cemerlang selepas dengan mudah menumpaskan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura, sebentar tadi.
Dalam ciapan di Twitter Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Zii Jia menewaskan Kean Yew 21-6, 21-14 dalam aksi pertama membabitkan Malaysia bertemu Singapura dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2020.
Prestasi cemerlang ditonjolkan Zii Jia itu membolehkan skuad negara mendahului 1-0.
Mula bergerak secara profesional selepas meninggalkan BAM, kemenangan hari ini membuatkan Zii Jia berada di kedudukan ranking nombor tujuh dunia menyamakan kedudukan rekod pertemuan menjadikan 2-2 dengan Kean Yew.
Selain Zii Jia, cabaran perseorangan negara akan turut digalas Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.
Dalam beregu pula, Malaysia diperkuatkan oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Cheah-Soh Wooi Yik, selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Menabung dan berjimat cermat perlu diterapkan kepada anak-anak di usia muda, turut tidak terkecuali murid kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, dekat sini.
Walaupun berstatus Murid Berkeperluan Khas (MBK), tetapi taraf kendiri, semangat dan usaha mereka sangat tinggi dan cuba berdikari apabila diberi pendidikan dan latihan kemahiran.
Murid kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi dipantau oleh guru sedang memetik kacang panjang di tapak kebun sayur di Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, Kampung Bantal, Jerantut.
Seramai 11 orang murid PPKI sekolah itu, terbabit sepenuhnya dengan usaha berkebun sayur-sayuran di kawasan seluas kira-kira 50 meter dalam kawasan sekolah menerusi bimbingan guru mereka.
Kini hasil tanaman yang diusahakan sejak musim tengkujuh penghujung Disember 2021 sudah pun mengeluarkan hasil dan dipasarkan untuk memenuhi tabung kelas PPKI.
Guru Besar SK Ulu Tembeling, Abd Manaf Mat berkata, aktiviti berkebun itu merupakan program pendidikan luar kelas untuk melatih murid PPKI berdikari dengan memberi kemahiran serta minat terhadap pertanian.
“Selain itu, usaha ini juga untuk menggalakkan mereka berminat hadir ke sekolah serta mengikis perasaan jemu di dalam kelas apabila guru membawa keluar untuk berkebun.
“Kita memperuntukkan waktu untuk murid PPKI berkebun dengan tunjuk ajar guru bermula sejak menanam benih, mengurus penjagaan seperti membaja dan menyiram air sehinggalah mengeluarkan hasil seterusnya memetik untuk dijual secara kecil-kecilan,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.
Katanya, tanaman seperti kacang panjang, bayam dan cili burung merupakan hasil usaha murid PPKI yang nampaknya sungguh rajin dan bersemangat apabila hasil mereka memperoleh wang untuk mengisi tabung kelas setelah dijual kepada pelanggan yang terdiri daripada guru, kaki tangan pejabat dan rakan sekolah.
Guru PPKI, Farhan Fidaiy Nasruddin, 25, berkata, kesemua murid berminat dan teruja berkebun apabila program tanaman sayur-sayuran bermula sejak kelas tersebut diwujudkan di sekolah itu beberapa tahun lalu.
“Apabila dilatih kemahiran berkebun semua murid PPKI sudah faham tanggungjawab masing-masing terhadap tanaman mereka sejak mula menanam benih, mengurus tanaman sehingga pokok sayur mengeluar hasil dan dipetik.
“Aktiviti berkebun merupakan hasrat jangka panjang khususnya bagi murid ini sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari apabila dewasa nanti selain membantu menambah pendapatan keluarga di rumah,” katanya.
Murid PPKI yang kategori lemah pembelajaran, Muhd Arief Din, 12, berkata, dia dan rakannya begitu seronok melakukan aktiviti berkebun ketika ditunjukajar oleh guru.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Guru Besar dan guru kelas, Farhan Fidaiy yang sangat baik hati mengajarkan kami cara berkebun bermula menanam benih sehingga memetik hasil sayur ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!