Razak Daud dipilih semula terajui Biro Sosial Wilayah Jengka
JERANTUT : Razak Daud dipilih semula sebagai Pengerusi Gabungan 37 Masjid Wilayah Jengka bagi sesi 2024-2026 yang diadakan baru-baru ini.
Beliau yang turut memegang jawatan Biro Sosial dan Exco Kawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan rancangan (JKKR) Wilayah Jengka
“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Felda yang memberi kepercayaan kepada saya untuk terus memberi khidmat bakti kepada penduduk di sini.
“Terima kasih juga kepada Pengarah Felda, Tarmizi Lee yang banyak memberi kepercayaan kepada saya, saya berazam akan menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, semasa beliau bertugas bersama gabungan masjid Wilayah Jengka, Masjid Felda Jengka 19 muncul juara Masjid Contoh Peringkat Kebangsaan.
“Gabungan masjid wilayah Jengka banyak membantu Felda berkaitan kebajikan di 37 buah rancangan dengan mengadakan pelbagai program keagamaan.
“Selain itu, turut memberi bantuan kepada peneroka yang menghadapi bencana banjir, kebakaran, ribut dan bencana lain,” katanya.
Katanya, selain itu, Biro Sosial turut menghulurkan bantuan kepada pesakit penyakit kronik, bantuan kepada asnaf, mualaf Orang Asli yang berada di kampung tradisonal dalam Wilayah Jengka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Abdul Rahman merafak sembah kepada Al Sultan Abdullah sebelum berangkat pulang ke Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Aizah yang bakal dirindui
LIPIS : Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata dengan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in serta Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar bakal dirindui oleh rakyat jelata.
Kata beliau, sepanjang lima tahun bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan sebagai Ketua Negara, maka pada tanggal 30 Januari 2024, Tuanku bakal berangkat kembali semula ke bumi Pahang, sekali gus menyempurnakan tempoh pemerintahan yang penuh berdaulat.
“Al-Sultan Abdullah telah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada tanggal 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 24 Januari tahun yang sama.
“Menjengah kembali sepanjang pemerintahan Tuanku, pasti rakyat jelata bersetuju bahawa negara berada pada posisi penuh cabaran terutama dari segi urusan pandemik dan suhu politik tanah air,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri di Kementerian Sumber Manusia berkata Tuanku telah memainkan peranan baginda dengan sangat cemerlang dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.
“Tuanku juga membuktikan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah bersifat istiadat (ceremonial) dan pengesahan semata-mata (rubber stamp) sahaja.
“Di tahun (2019), Tuanku berhadapan dengan cabaran penolakan politik yang pertama. Di tahun kedua (2020), Tuanku menerima cabaran getir melalui pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia, yang memaksa sebuah Proklamasi Darurat 2021 diisytiharkan pada 11 Januari 2021,” katanya.
Katanya, untuk tahun-tahun berikutnya, keadaan politik negara begitu mencabar sehingga memaksa berlaku peralihan kepimpinan negara berulang kali sehinggalah tarikh pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat melalui PRU15.
“Walaupun pelbagai situasi mencabar mewarnai negara kita, namun Tuanku dengan tenang berjaya mengawal situasi dan menyeimbangkan suhu politik negara.
“Sudah semestinya pemergian Tuanku dari tampuk pemerintahan Persekutuan akan memahat 1001 memori manis yang bakal diabadikan sehingga ke akhir hayat jutaan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, selaku Anggota Pentadbiran Kerajaan, beliau ingin merafak sembah segunung ucapan menjunjung kasih buat Tuanku atas pemerintahan cemerlang selama lima tahun ini.
“Sesungguhnya kita pasti merindui sosok Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri yang mahir dalam memimpin, disenangi dan disayangi oleh semua rakyat jelata.
“Selamat berangkat pulang ke Pahang, Tuanku, “Ampun Tuanku! , Daulat Tuanku!,” katanya. -SAHIH.
Kredit : Datuk Seri abdul Rahman Mohamad
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan bergambar bersama-sama pelajar tahfiz selepas mengagihkan sumbangan barangan makanan keperluan asas dan sebagainya kepada mangsa banjir pada Misi Bantuan Banjir 2024 kelolaan Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) di Kompleks Yayasan Pembangunan Ummah (YPU), Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan baru-baru ini.
BADIM utamakan bantuan dan kerja Kebajikan dalam negara
BADAN Didikan Islam (BADIM), UDA Holdings Berhad (UDA) menyambut baik saranan Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini supaya mengutamakan bantuan amal dan kerja-kerja kebajikan dalam negara kepada mereka yang masih susah serta memerlukan pembelaan termasuklah selepas ditimpa musibah dan sebagainya.
Timbalan Yang Dipertuanya, Azhar Yop, berkata BADIM ambil peduli saranan Mohd Annuar itu dan akan memastikan gerak kerja amal serta kebajikan yang disusun nanti tidak mengabaikan mereka dalam negara walaupun perkara berkenaan sentiasa diberi perhatian dan sudah dilakukan sebelum ini.
Pelajar tahfiz turut menerima sumbangan naskhah al-Quran dan wang sagu hati di samping pelbagai barangan untuk kegunaan harian.
Menurutnya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BADIM sentiasa istiqomah dalam kerja amal dan kebajikan seperti menyalurkan bantuan mengikut kemampuan bagi memastikan amanah dalam mengagihkan sumbangan dan infak pelbagai pihak.
Tambahnya, saranan Mohd Annuar itu juga merupakan perangsang kepada semua ahli BADIM untuk terus aktif membantu rakyat Malaysia khususnya yang ditimpa kesusahan terutama menjadi mangsa bencana alam seperti banjir setiap tahun.
“Dalam mengaktifkan kerja amal dan kebajikan inj BADIM akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai NGO lain untuk bersama turun kelapangan di seluruh negara bagi membantu rakyat atau mereka disatu-satu kawasan ditimpa musibah,” katanya pada majlis penyerahkan sumbangan Misi Bantuan Banjir 2024 kelolaan Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM), di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan pada 8 Januari 2024.
Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) itu ialah Pengarah YPU, Hoesni Husain; Pengerusi PKMM, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado; Pengerusi Kelab Usahawan Ikhtiar Tumpat, Che Noridawati Mahmud Kamaruddin; sukarelawan BADIM, Zainol Khalid; sukarelawan Sahabat Prihatin; dan sukarelawan hospital sekitar Selangor.
Pada majlis yang mendapat kerjasama KKT itu, BADIM mengagihkan zakat wakalah kepada 30 mangsa banjir, naskhah al-Quran, telekung, cadar, kain pelikat, barangan makanan keperluan asas, pakaian terpakai dan wang sagu hati turut disumbangkan hasil infak pelbagai pihak kepada PKMM serta Persatuan Kebajikan Syumul (PERKAS).
Turut menerima bantuan itu ialah 20 pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Ar Raudhah YPU dan 20 warga emas yang mengikuti kelas pengajian al-Quran di tahfiz itu.
Azhar berkata, sejak beberapa tahun lalu BADIM berjaya mengumpul dana untuk pembinaan masjid di daerah Narathiwat, di Selatan Thailand di samping menginfak al-Quran, barangan makanan keperluan asas untuk keluarga fakir miskin dan mengagihkan zakat wakalah.
Pada majlis itu juga, Hoesni menzahirkan rasa terharu kerana dikunjung pelbagai NGO dalam misi bantuan banjir bagi menghulurkan sumbangan yang tidak diduga sama sekali kerana usaha itu memberi banyak manfaat kepada mangsa banjir dan juga pelajar tahfiz.
Beliau berharap, usaha itu terus menjadi kolaborasi terbaik antara NGO dan YPU yang sentiasa mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak khususnya bagi meringankan bebanan pelajar tahfiz yang rata-rata adalah anak yatim piatu.
“Mereka ini gigih mendalami bidang pengajian agama dan al-Quran serta meneruskan pengajian di sekolah berdekatan supaya turut cemerlang dalam akademik untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka rancang pelbagai program bermanfaat tahun ini
JERANTUT – Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka akan meningkatkan program keagamaan dan kemasyarakatan di semua 35 masjid di wilayah itu tahun ini.
Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, transformasi sesebuah masjid perlu terus dilakukan dan tidak hanya dikenali sebagai tempat beribadah semata-mata.
Beliau yang juga Ketua Peneroka FELDA Jengka 24 berkata, bermula bulan ini, pihaknya giat mengumpul dana bagi melaksanakan siri program keagamaan dan kemasyarakatan.
“Sepanjang tahun lalu, banyak program besar dilaksanakan.
“Ia termasuk memberi bantuan kepada mangsa banjir, kebakaran, ribut dan lain-lain bencana.
“Kita juga melaksanakan program Ziarah Kasih bagi memberi bantuan kepada pesakit kronik yang memerlukan.
“Insya-Allah ia akan diteruskan pada tahun ini.
“Kita turut mengalu-alukan semua masjid di Wilayah Jengka dan pelbagai pihak menyalurkan sumbangan kepada tabung Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka,” katanya semalam.
RAZAK DAUD – Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan FELDA Wilayah Jengka
“Razak turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Muhammad Shahril atas sumbangan sepanjang berkhidmat sebagai pegawai agama di FELDA Wilayah Jengka. ”
Razak berkata demikian pada majlis Jasamu Dikenang sempena pertukaran pegawai agama FELDA Wilayah Jengka, Muhammad Shahril Mohd Saleh yang bertukar ke Gua Musang, Kelantan.
Muhammad Shahril digantikan Abd Rahman Sabtani dari FELDA Wilayah Kuantan.
“Program yang sangat berjaya semasa Muhammad Shahril bertugas bersama Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka adalah apabila Masjid FELDA Jengka 19 dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan bagi Anugerah Masjid Contoh,” katanya.
“Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada Pengarah FELDA Wilayah Jengka, Tarmizi Lee kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjawat jawatan Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan dan Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka bagi sesi 2024 hingga 2026.. “
RAZAK DAUD..
“Insya-Allah saya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Zariah Harun apabila menang tanpa bertanding jawatan Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA Wilayah Jengka sesi 2024-2026 dan Arifin Abd Wahab yang dipilih sebagai Ketua Peneroka FELDA Wilayah Jengka baharu menggantikan Sulaiman Bakar,” katanya.
Pihak yang ingin menyalurkan sumbangan kepada Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka boleh berbuat demikian menerusi akaun nombor Bank Islam Tetuan Gabungan Masjid Wilayah Jengka, 06037010028344.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuantan: Lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di rumah pam Sungai Jempol di Jengka 4, Maran dekat sini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata mangsa Mohd Rohaizan Abdullah, 51, dari Felda Ulu Jempol, Maran dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada 8 pagi semalam. by
“Motosikal milik mangsa ditemukan di dalam kawasan rumah pam itu oleh pekerja rumah pam yang kemudian membuat laporan polis pada 1 tengah hari tadi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Zulfadli berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan membabitkan sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka, yang melakukan pencarian di permukaan air dan sekitar tebing sungai.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lelaki maut dalam kereta terkunci, enjin masih hidup
BENTONG – Seorang lelaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta dalam kemalangan yang berlaku di KM 88, Kampung Benut, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Satu,menghala ke Kuala Lumpur pada jam 6.27 petang, hari ini.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak, Kamerulliza Mohamed Kassim melaporkan terdapat pemandu seorang lelaki Cina tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Volvo yang enjinnya masih hidup.
“Dalam operasi itu, anggota bomba terpaksa memecahkan cermin kereta dengan menggunakan peralatan paratect untuk membuka pintu kereta yang terkunci.
“ Selepas pintu kereta berjaya dibuka dan petugas perubatan KKM melakukan pemeriksaan ke atas mangsa didapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, ketika operasi dijalankan enjin kereta itu masih hidup dalam kedudukan gear D tetapi tersekat kepada pembahagi jalan.
Komander operasi melaporkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Harimau Malaya calar reputasi Korea Selatan, seri 3-3
HARIMAU Malaya mencalar reputasi pasukan Korea Selatan selepas 35 tahun dengan mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan terakhir masing-masing dalam Kumpulan E, Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar sebentar tadi.
Pasukan Malaysia agak tenat pada masa pertama dengan mudah dipatahkan oleh pertahanan dan pemain tengah Korea Selatan seolah-olah tiada peluang untuk penyerang negara mendekati gawang pasukan lawan.
Pasukan Taeguk Warriors dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan melakukan beberapa siri serangan menerusi pemain utama seperti Son Heung-min dan Lee Kang-in.
Gol yang dicari akhirnya tiba hasil daripada tandukan Jeong Woo-Yeong pada minit ke-21 menerusi situasi sepakan penjuru.
Anggapan pasukan negara tidak dapat menyaingi pasukan lawan ternyata meleset, selepas bersambung pada babak kedua, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil ledakan menarik pemain sensasi, Faisal Halim pada minit ke-51.
Pada minit ke-61, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi meletakkan Malaysia didepan menerusi sepakan penalti pada minit ke-62.
Jaringan Arif Aiman membuat Korea Selatan menggandakan asakan dan kembali menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Lee Kang-in pada minit ke-82.
Nasib Malaysia bertambah malang apabila Korea Selatan mendahului dengan kini kapten lawan, Son Heung-min meledak gol ketiga hasil sepakan penalti pada masa kecederaan.
Di penghujung masa kecederaan, bayangan kekalahan pasukan negara mula kelihatan tetapi tanpa Lelah dan jemu pemain negara terus menekan pasukan lawan.
Akhirnya, penyerang naturalisasi negara, Romel Morales muncul wira apabila meledak gol ketiga pada masa kecederaan minit ke-115 untuk memastikan pasukan negara pulang dengan satu mata berharga.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penjawat awam baharu tidak terima pencen perlu diperluaskan kepada wakil rakyat
NETIZEN menyatakan pandangan keras berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini berkaitan pengenalan sistem pengambilan baharu penjawat awam yang akan merangkumi aspek pembayaran pencen.
Mereka tidak berkecil hati apabila mengatakan bahawa menteri kabinet, timbalan menteri, ahli parlimen dan wakil rakyat harus menjadi orang pertama yang digugurkan menerima pencen jika benar skim saraan baharu itu menjejaskan pencen pada masa hadapan.
Pengguna media sosial, Ae Zal berkata, bayaran pencen kepada ahli Parlimen adalah membazir.
“Bekas Ahli Parlimen dan ADUN sepatutnya tidak menerima pencen kerana ia membazir,” kata pengguna Facebook itu ketika dipetik Berita Harian.
Seorang lagi pengguna media sosial Muhammad Firdaus Selamat Ali berkongsi pendapat yang sama.
Beliau mencadangkan mungkin pencen menteri dan ahli parlimen perlu dimansuhkan.
“Mansuhkan pencen menteri dan semua wakil rakyat di negara ini… amat merugikan dana kerajaan untuk membayar pencen kepada mereka semua… tukar sahaja kepada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Seorang lagi pengguna media sosial Hadi Ghazali, Muhammad Zuhairies dan Singh Singh yang menggesa agar pencen menteri dan bekas menteri dimansuhkan.
Bagaimanapun, yang lain seperti Shahrulnizam Aberd berkata adalah adil bagi menteri yang berkhidmat sekurang-kurangnya 30 tahun menerima pencen.
“Bukankah munasabah untuk mengatakan menteri yang berkhidmat di bawah lima tahun tidak boleh mendapat pencen? Pencen bagi mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 30 tahun, bukan?
“Kalau anda (kerajaan) hendak bandingkan (skim pencen) dengan swasta, jumlah bonus juga harus sama,” katanya.
Dean Nadzri berkata: “Perkara yang sama harus dilakukan untuk menteri dan lain-lain… barulah adil kerana menteri masih boleh menerima pencen penuh semasa berkhidmat untuk tempoh yang singkat.”
Rashid Hamat berkata sebarang dasar baharu berkaitan saraan dan skim pencen penjawat awam mungkin hanya melibatkan kategori penjawat awam tertentu sahaja.
Sejak Selasa, media telah melaporkan tentang pengumuman besar berkaitan proses pengambilan baharu penjawat awam.
Pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kerajaan akan melaksanakan sistem pelantikan kontrak bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam, sementara menunggu kaedah pengambilan baharu bagi memperkukuh sistem saraan perkhidmatan awam.
Beliau berkata sistem kontrak perkhidmatan (COS) akan berkuat kuasa mulai 1 Feb.
Beliau berkata undang-undang itu masih dipinda bagi membolehkan kaedah baharu pengambilan perkhidmatan awam diwujudkan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang memperkenalkan dasar baharu pengambilan kakitangan awam, termasuk skim pencen baharu.
Zahid berkata menerusi kaedah ini, pekerja baharu dalam perkhidmatan awam akan menyumbang kepada skim persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Polis Maran sita 9 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan
MARAN: Polis menyita sebanyak 9 buah motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Plaza Tol Sri Jaya dan pentadbiran Daerah Maran di bermula petang semalam hingga awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintenden Norzamri Abd.Rahman berkata operasi bermula 5 petang sehingga pukul 3.00 pagi itu di ketuai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Maran Insp. Mahd Farirul Abd.Halim.
Tegasnya, Ops Samseng Jalanan dijalankan dalam usaha membanteras kegiatan samseng jalanan yang menunggang motosikal sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain dan mengganggu ketenteraman awam.
Menurut beliau, kaedah operasi yang dijalankan pihak penguatkuasa ialah tahan Kumpulan motosikal dan jalan pemeriksaan secara menyeluruh.
“ Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran telah menjalankan operasi itu dan menyita 9 buah motosikal.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kesalahan tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintenden Norzamri Abd.Rahman
Menurutnya, sejumlah 140 motosikal telah diperiksa yang melibat 150 orang manakala 57 motosikal telah disaman terus di lapangan.
Tambah beliau, sejumlah 114 saman POL.257 telah dikeluarkan kepada penunggang melibat 114 kesalahan iaitu lessen sebanyak 25, cermin sisi ( 22), Nombor plat ( 41), topi keledar (1), tidak pamer P (1), bawah umur 16 (1), LKM (5), ubahsuai ( 12) insuran (4) dan tiada brek sebanyak 2 kes.
Sehubungan dengan itu tegasnya, individu Bersama dengan motosikal yang terlibat telah dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Maran untuk tindakan susulan.
Orang awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telaH ditetapkan . Sayangi diri, keluarga dan orang sekekeliling, katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Campur tangan Bendahari Pas Pahang yang risau sikap pemurah Tok Wan terus dibidas
JERANTUT: ` Campur tangan Bendahari Pas Pahang terhadap kemurahan hati Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atau Tok Wan dalam membantu rakyat terus dibidas oleh pelbagai golongan di negeri ini.
Bendahari Pas Pahang Shahril Azman Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka telah mencipta kontroversi terbaharu seperti menepuk air di dulang terpercik di muka sendiri.
Ketua Cawangan UMNO Kampung Kedondong Ismayitim Ahmad,67, berkata, Shahril Azman tidak wajar mempertikaikan keikhlasan Tok Wan meluluskan permohonan rakyat yang memerlukan bantuan daripada Kerajaan negeri.
“ Sebagai contoh kelulusan enam projek kecil bernilai kira-kira RM1 juta kepada rancangan Felda Jengka 24 baru-baru ini mempunyai asas kukuh demi kepentingan penduduk di Kawasan itu.
Tidak semena-mena Shahril Azman yang tidak senang duduk telah membidas Tok Wan yang didakwa menggunakan kedudukan menyalurkan peruntukan kepada rakyat demi politik.
Ismayitim berkata, penduduk di Jengka pula kini mula mempertikaikan kemampuan beliau sebagai wakil rakyat yang banyak menimbulkan kontroversi berbanding membawa Pembangunan di Kawasan berkenaan sejak dua penggal lepas.
Tegasnya, Shahril Azman perlu membuktikan kehebatan dan kewibawaan memacu Pembangunan di Jengka bukannya mengharapkan peruntukan dari Kerajaan negeri dan agensi Kerajaan semata-mata.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Shariff Salleh,61, menegur Shahril Azman yang sibuk dengan urusan orang lain sedangkan Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri seolah-olah zero.
Tambah beliau, PAS Pahang khususnya Shahril Azman perlu membuktikan sebagai sebuah parti yang dapat membantu pengundi di kawasan masing-masing.
“ Banyak bukti didapati penyokong tegar mereka meraih simpati daripada Kerajaan negeri bagi mendapat bantuan kerana pemimpin mereka hanya mampu berjanji.
Tegasnya, tuduhan ADUN Jengka yang mendakwa Menteri Besar menggunakan jentera kerajaan dan permohonan rakyat sebagai suapan politik adalah satu dakwaan publisiti yang bersifat politik murahan.
Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman,69, berkata, dakwaan Shahril Azman sebenarnya bagi menutup kegagalan wakil rakyat PAS dalam menjalankan tugas mereka yang berperanan seolah-olah sebagai badan bukan kerajaan ( NGO).
Beliau berkata, wakil rakyat Pas itu sengaja mencipta kontroversi bagi menunjukkan dia bekerja walaupun mempertikai segala kebaikan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam mentadbir baik Negeri Pahang.
Mereka ( PAS) hanya pandai mencetus polemik politik daripada melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat yang kini semakin bijak menilai antara kaca dengan intan, katanya.
Jantan Mat Saman….
Tegas Jantan, sebelum buat dakwaan, selesaikan dahulu masalah pentadbiran dan rungutan rakyat di di kawasan yang dikuasai mereka-SAHIH
-ends
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!