Tak perlu bubar Parlimen, Anwar masih ada majoriti – Loke
Tak perlu bubar Parlimen, Anwar masih ada majoriti – Loke
PUTRAJAYA: DAP menolak keperluan untuk Parlimen dibubarkan lebih awal selagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk berdasarkan persefahaman selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala Ahli Parlimen daripada parti masing-masing diberikan mandat selama lima tahun.
Menurutnya, selagi persefahaman dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan terus dipertahankan, tiada sebab untuk pilihan raya umum diadakan lebih awal.
“Selagi persefahaman itu masih dikekalkan dan ada sokongan majoriti Ahli Parlimen, tidak ada keperluan untuk membubarkan Parlimen pada ketika ini kerana tempoh Parlimen ini masih ada 15 bulan sehingga hujung tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2026, di sini, yang turut dihadiri Ketua Wanita Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching.
Loke berkata, baki 15 bulan penggal Parlimen perlu dimanfaatkan kerajaan untuk melaksanakan perubahan serta agenda yang sudah dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
Antaranya, pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun.
Katanya, kedua-dua agenda berkenaan sudah dipersetujui Jemaah Menteri dan seharusnya menjadi antara tumpuan utama kerajaan dalam persidangan Parlimen akan datang selain pembentangan Belanjawan 2027.
Menurutnya, kerajaan ketika ini sepatutnya memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda reformasi yang dijanjikan dan bukannya terlalu memikirkan pilihan raya.
Mengulas hubungan antara parti komponen Kerajaan Perpaduan, Loke berkata, kegiatan politik antara parti adalah perkara biasa dalam sebuah kerajaan gabungan.
Namun katanya, selagi tiada mana-mana parti membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan semasa, kedudukan Kerajaan Perpaduan tidak berubah.
“Selagi komitmen itu masih ada dan parti-parti menyokong kerajaan serta Perdana Menteri semasa, tidak ada sebab untuk Parlimen dibubarkan kerana Perdana Menteri masih memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anthony Loke, Anwar Ibrahim, DAP, Parlimen, Kerajaan Perpaduan, PRU16, reformasi, Dewan Rakyat, Peguam Negara, Pendakwa Raya, Belanjawan 2027
