MAHA 2026 bukan sekadar pesta, Anwar mahu hasil diterjemah kepada manfaat jangka panjang
MAHA 2026 bukan sekadar pesta, Anwar mahu hasil diterjemah kepada manfaat jangka panjang
SERDANG: Kejayaan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 tidak seharusnya berakhir sebagai sebuah pesta semata-mata, sebaliknya setiap peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan yang terhasil perlu disusuli dengan tindakan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan susulan penting bagi memastikan kejayaan penganjuran MAHA 2026 memberi manfaat jangka panjang kepada sektor pertanian dan warga tani negara.
Menurutnya, kelemahan dalam pelaksanaan tindakan susulan selepas sesuatu dasar atau program yang baik perlu diperbaiki bagi memastikan hasilnya benar-benar dapat dirasai.
“MAHA 2026 ini catat satu kejayaan dari segi peranan dan sebagainya, perniagaan, perdagangan. Saya minta keadaan ini diteruskan, bukan dengan sahaja pesta tetapi dengan ‘follow up’.
“Kadang-kadang kelemahan kita ini dasar baik, program baik tetapi tindakan susulan itu lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, Ahad.
Anwar berkata, sektor pertanian kekal sebagai antara tonggak penting negara meskipun kerajaan pada masa sama memberi tumpuan kepada transformasi digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kemajuan teknologi moden, digitalisasi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai kaitan rapat dengan pertanian dan perlu dimanfaatkan untuk memodenkan industri itu.
Menurutnya, perkembangan eksport komoditi pertanian termasuk nanas dan durian serta peningkatan pengeluaran bawang menunjukkan sektor berkenaan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, kejayaan MAHA 2026 turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan sektor pertanian selain memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan bersedia mempertimbangkan peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya dana yang disediakan dapat diuruskan dengan baik serta memberi manfaat kepada warga tani.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: MAHA 2026, Anwar Ibrahim, pertanian, keterjaminan makanan, MAEPS, warga tani, AI, digitalisasi, TVET, eksport pertanian, durian, nanas, bawang
