ADUN Jengka tidak matang, semua benda mahu dipolitikkan
KUANTAN – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka daripada Pas, Shahril Azman Abd Halim mempolitikkan kesilapan dalam video TikTok yang tular baru-baru ini sangat mengecewakan.
Kesilapan dalam video itu diakui oleh ADUN Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah dan beliau sudah memadamkan video berkenaan.
Haris berkata, apa yang berlaku ketika rakaman video itu adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dan tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak.
“Saya sedar berlaku kesilapan ketika rakaman video itu dan perkara berkenaan segera saya ambil tindakan dengan memadamkan video terbabit.
“Sangat mengecewakan kerana Shahril Azman menberi ulasan dengan merujuk kepada video yang sudah tiada (dipadamkan) dan seterusnya ia menjadi viral.
“Saya harap perkara ini tidak terus dijadikan bahan politik kerana ia bukanlah kesilapan yang disengajakan,” katanya.
Sebelum ini, ADUN Jengka terbabit mendakwa Haris sebagai tidak peka dengan hal berkaitan kiblat umat Islam – Kaabah – hingga menimbulkan kekeliruan.
Bagaimanapun, Haris menjelaskan ucapan dibuat dalam video terbabit disebabkan salah faham dan ia sudah tidak ada dalam akaun TikTok miliknya.
Dalam perkembangan sama, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli turut mempersoalkan tindakan ADUN Jengka mempolitikkan perkara itu.
Ridzuan turut menasihati Shahril Azman supaya lebih matang dan tidak menjadikan semua benda sebagai bahan politik.
Katanya, Haris yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut sudah memohon maaf atas kekhilafan yang tidak disengajakan itu dan ia tidak perlu dipanjangkan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Seekor tapir masuk kampung meresahkan penduduk Kampung Putu kerana haiwan tersebut menceroboh kebun penduduk kampung dengan memakan tanaman sayuran dan buah-buahan.
Ketua Kampung Putu, Shafei Ibrahim berkata, seekor tapir betina menjadikan kampung mereka tempat cari makan dengan memakan tanaman sayur dan buah-buahan di kebun belakang rumah sejk beberapa bulan lalu.
“Sebelum ini tapir betina ini mempunyai seekor anak, tetapi sejak bulan lalu tidak kelihatan lagi, mungkin anaknya mengikut kumpulan tapir yang lain.
“Tapir betina masuk kampung ini mungkin penduduk di sini banyak menanam sayur kangkung di halanam dan belakang, haiwan ini sudah tahu ada bekalan makanan selain makanan buah-buahan yang gugur ke tanah seperti cempedak, nangka, rambutan, ciku dan langsat,” katanya.
Katanya, tapir itu turut menghampiri bahagian dapur rumah penduduk di sini untuk memperoleh makanan, bukan sahaja kelihatan pada siang hari, malah muncul di waktu maghrib dan malam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Warga emas, sukarelawan dan tetamu jemputan berarak sambil berselawat sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
NGO buka pusat jagaan warga emas beri rahmat kepada komuniti setempat
“IBARAT suatu rahmat kepada komuniti setempat apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka pusat jagaan di tempat mereka bagi menjaga dan mengurus warga emas tersisih daripada keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Malah adalah wajar bagi komuniti di tempat yang dibuka pusat jagaan ini untuk turut terbabit membantu atau meringankan tugasan menyantuni warga emas berkenaan kerana tindakan sedemikian umpama menjaga ibu bapa sendiri,” kata Ketua Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, Kamaruzzaman Samad.
Kamaruzzaman Samad (kanan) dan Mohd Yunus Mahood bertanya khabar seorang warga emas di PJMM.
Beliau berkata, amat besar pahala yang dapat kita kongsi dengan petugas sukarelawan di pusat jagaan berkenaan apabila terpaksa memikul tanggungjawab dengan jujur serta ikhlas untuk menyantuni warga emas terbabit walaupun bukan ibu bapa atau darah daging mereka.
Menurutnya, bukan suatu yang mudah untuk menjaga dan menguruskan warga emas terbabit terutama apabila ada antara mereka sudah uzur serta terlantar di atas katil kerana pelbagai penyakit dengan memerlukan perhatian setiap masa.
Tambahnya, dalam hal sedemikian, penduduk seperti sekitar Kampung Sungai Purun termasuk persatuan sukarelawan dan NGO yang ditubuhkan boleh datang membantu dengan menjadikan salah satu aktiviti amal kebajikan serta kemasyarakatan.
“Mereka tidak perlu datang setiap hari sebaliknya dengan membuat jadual kunjungan berkumpulan bersama-sama ahli seperti seminggu sekali supaya dapat membantu meringankan tugasan petugas di pusat jagaan terbabit,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di kampung berkenaan pada 18 September 2024.
Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Sungai Purun, Mohd Yunus Mahmood; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha serta Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Sazali Mohiden.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Sukarelawan Kasih, Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ahli JPKK.
Majlis itu dimulai dengan perarakan sambil berselawat bersama-sama warga emas, berzanji serta marhaban oleh sukarelawan PJMM, penceritaan sejarah memeluk agama Islam oleh mualaf Zizan Abdullah, tazkirah yang disampaikan mantan Kaunselor Hospital Kajang dan HKL, Nuriza Zakaria.
Sempena sambutan maulidur itu juga diadakan majlis pengislaman warga emas, Lew Kang Fatt yang memilih untuk menganuti Agama Islam dan menukarkan nama kepada Muhammad Saif Yusuf Abdullah yang disempurnakan oleh Eksekutif Baitulmal Majlis Agama Islam Daerah Hulu Langat, Selangor, Ustaz Baharudin Ali Abdul Wahab.
Kamaruzzaman yang juga Pengerusi JPKK Sungai Purun, berkata penduduk kampung itu yang datang berkunjung ke PJMM boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, gotong-royong membersih persekitaran, memasak untuk makan tengah hari umpamanya di samping melakukan program berbentuk hiburan bagi menggembirakan hati warga emas.
Tambahnya, sebagai memikul tugas Ketua Kampung dan Pengerusi PJKK dia amat memahami keperluan dan cabaran terpaksa dihadapi petugas dalam menyantuni warga emas bawah jagaan mereka kerana pelbagai masalah terpaksa ditempuhi.
Jelasnya, manakala pihak pengurusan PJMM pula terpaksa sentiasa berikhtiar setiap hari mencari dana, sumbangan pelbagai barangan keperluan asas harian bagi membiayai kos operasi kerana yang berlindung di situ tidak dikenakan sebarang bayaran.
Menurutnya, dia bersama Mohd Yunus dan ahli JPKK lain turut mengikuti perkembangan operasi PJMM dan akan berusaha menghulurkan bantuan yang diperlukan terutama dalam penyediaan kemudahan asas, kelengkapan dan sebagainya demi keselesaan warga emas di pusat itu.
“Saya berharap apa yang dilakukan ini menjadi contoh dan teladan terbaik kepada penduduk yang paling penting bersangka baik kewujudan PJMM di komuniti mereka,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kerajaan Pahang melancarkan jenama Pahang Gold menerusi Pahang Gold Sdn Bhd (Pahang Gold) dalam usaha meneroka pembuatan produk hiliran emas serta merancakkan ekonomi negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelancaran itu ada langkah permulaan Pahang Gold ceburi pasaran emas Malaysia.
“Visi dan misi syarikat adalah mengangkat industri emas Pahang. Sebagai pemain baharu, Pahang Gold komited memperkenalkan produk emas berkualiti tinggi serta mengukuhkan nama Pahang sebagai pengeluar emas terkemuka.
“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk ‘Merakyatkan Industri Emas’ melalui penubuhan Pahang Gold bagi tujuan penerokaan baharu dalam industri hiliran emas, sekali gus membuka peluang dalam sektor pembuatan dan pelaburan berasaskan sumber mineral emas,” katanya Majlis Pelancaran Pahang Gold di Putrajaya sempena Persidangan S-GLC Pahang 2024.
Beliau berkata, industri emas sudah lama menjadi sebahagian daripada identiti dan kekayaan negeri Pahang.
“Pahang Gold bukan sahaja akan memacu ekonomi negeri tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta menambah nilai kepada produk emas tempatan.
“Saya berharap Pahang Gold akan menjadi simbol kebanggaan negeri dan peneraju dalam industri emas negara,” katanya.
Buat permulaan, tiga jenis koleksi emas iaitu Initial Edition, Core Collection dan Pahang Series seberat 0.25 gram (g) hingga 100g dalam bentuk jongkong, syiling, wafer dan Dinar Pahang Gold diperkenalkan.
Pada majlis itu turut diperkenalkan laman web e-dagang rasmi Pahang Gold, www.pahanggold.com sebagai platform utama pembelian dan pelaburan produk emas secara dalam talian.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua rakan berhasrat tolong baiki treler rosak temui ajal
LIPIS – Hasrat dua rakan untuk membantu treler rakannya yang rosak dari syarikat pengangkutan yang yang sama menemui ajal apabila dirempuh kenderaan pacuan empat roda di KM 57, Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) berdekatan Kampung, Gua Tagang, Merapoh dekat sini pada jam 2.35 pagi, hari ini.
Dua rakan itu, pemandu treler Volvo, Mohd Aizad Rosdi (27 tahun) bersama kelindannya Rushaidee Rusli (22 tahun) maut ketika memberi bantuan membaiki kenderaan rakannya, kedua-duanya mangsa berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Manakala, pemandu treler yang mengalami kerosakan di bahagian brek itu, Mohd Izani Mohd Yusoff (31 tahun) yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan turut maut di tempat kejadian.
Turut cedera dalam kemalangan itu, kelindan treler rosak, Muhammad Shafiq Wan Hanafi (20) dan pemandu Toyota Hilux, Khairul Azhar Mohd Nor (36) mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, tiga yang terkorban ialah pemandu dan kelindan lori jenis Volvo, dan pemandu treler rosak.
“Hasil siastan awal, pemandu lori treler bersama kelindannya dalam perjalanan daripada Tanah Merah, menuju ke Selangor untuk menghantar kayu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaannya mengalami kerosakan berhenti di bahu jalan lorong susur keluar dari Kampung Merapoh untuk dibaiki,” katanya.
Katanya, sebuah kenderaan treler jenis volvo dari syarikat yang sama tiba di tempt kejadian dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa yang rosak untuk memberikan bantuan.
“Ketika membaiki kerosakan dilakukan di sebelah kiri treler yang rosak, tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dari arah yang sama telah hilang kawalan lalu melanggar bucu kiri bahagian belakang kenderaan itu dan seterusnya melanggar tiga mangsa yang sedang membaiki kerosakan,” katanya.
Katanya, dua individu mengalami cedera parah iaitu Mohd Khairul Azhar Mohd Nor (pemandu hilux) telah dikejarkan ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan dan Wan Muhammad Syafiq Wan Hanafi (kelindan treler yang rosak) dirawat di Hospital Gua Musang.
“Pihak polis memohon sekiranya ada individu mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di nombor 09-3121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. Kemalangan di disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Nazri Ngah turun padang bagi semangat kepada jentera UMNO Jerantut
KLUANG – Bekas Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah meluangkan masa bersama jentera UMNO Bahagian itu yang sedang membantu kempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Nazri adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar dan pernah memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Pahang.
Beliau yang masih bersemangat dalam politik mengambil ruang cuti hujung minggu untuk menyantuni petugas UMNO Jerantut di sekitar bandar Kluang.
Nazri dalam masa sama sempat bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kebetulan turun berkempen di pusat daerah mengundi (PDM) Jalan Hospital dan Taman Berlian.
Walaupun sudah tidak aktif dalam politik, namun Nazri masih berkongsi pengalaman dan strategi penting dalam memenangi hati pengundi. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jentera UMNO Jerantut terima kunjungan KIMMA Johor
KLUANG – Sejak hari penamaan calon, hampir 100 petugas dari UMNO Bahagian Jerantut, Pahang berkampung di Kluang, Johor.
Ia adalah bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Antara pusat daerah mengundi (PDM) yang diamanahkan jentera UMNO Bahagian Jerantut adalah PDM Jalan Hospital, PDM Taman Berlian selain PDM Dorset.
Petugas daripada Pemuda, Puteri dan Wanita dari Jerantut juga diberi peranan membantu Jalinan Rakyat (JR) UMNO Johor menyantuni pengundi di kawasan itu.
Ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud turut berkesempatan bersama jentera dari Bahagian itu berkempen di Kluang dengan bertemu dengan pengundi di sekitar Mahkota.
“Selain membantu gerak kerja jentera UMNO dan BN berkempen, kami juga mengambil peluang untuk berkenalan dengan petugas daripada parti komponen BN yang turut sama berkampung di sini,” katanya.
Terdahulu, Razak bersama jentera UMNO Bahagian Jerantut menerima kunjungan daripada wakil Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Johor ketika berada di PDM Dorset.
Pertemuan ringkas itu sempat membincangkan strategi mendekati kira-kira 66,000 pengundi di Mahkota dalam usaha memastikan Syed Hussien menang pada 28 September ini.
“Gerak kerja sedia ada sudah dilaksanakan sebaik mungkin dan kita harap strategi kempen pada minggu terakhir ini akan memberi kelebihan kepada calon BN, Syed Hussien,” jelasnya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kempimpinan UMNO Pahang santuni pengundi, pengundi mahu UMNO kekal ditangan UMNO.
LIPIS – Kepimpinan UMNO Pahang mengadakan Program Taqarub dan Ramah Mesra bersama Penduduk Taman Berlian di Rumah Wanita UMNO Ledang, petang semalam.
Turut menghadiri program itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad .
Sebelum itu, Datuk Seri Wan Rosdy turut hadir ke Majlis Makan Tengah Hari dan Ramah Mesra bersama Pengundi dan Jentera di Dun Mahkota, Jalan Hospital.
Wan Rosdy berkata, pemerhatian dalam lawatan ke situ, memperlihatkan pengundi mahu DUN Mahkota terus kekal di tangan UMNO.
“Jentera UMNO memainkan peranan yang wajar dipuji untuk membantu calon BN memenangi PRK kali ini,” katanya.
Ahli Parlimen Lipis berkata, melihat corak dan sambutan pengundi di DUN Mahkota, memperlihatkan mereka (pengundi) mahu DUN Mahkota terus kekal di tangan UMNO.
“Mereka tidak mahu lagi cakap-cakap kosong yang dilontarkan oleh pembangkang yng kadang kala mengelirukan seolah-olah kehabisan modal,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga maut ketika baiki lori treler dirempuh pacuan empat roda.
LIPIS – Tiga lelaki dewasa yang sedang membaiki lori treler yang berhenti di tepi jalan maut setelah dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kejadian berlaku di Jalan Merapoh – Kuala Lipis pada jam 2.44 pagi itu turut melibatkan dua cedera dan dua terselamat dalam kemalangan itu.
Pengawai Perhubungan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang merempuh tiga mangsa yang sedang membaiki lori treler yang mengalami kerosakan sedang berhenti di tepi jalan.
Katanya, Komandan Operasi Dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) LIpis, Mohd Azram Ab Aziz berkata, ketiga-tiga mangsa lelaki dewasa itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala, dua lelaki dewasa cedera, dua lelaki dewasa yang berada di dalam kenderaan Toyota Hilux terselamat.
“Semua mangsa mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Lipis, manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ISLAM adalah agama yang prihatin dan menyayangi anak yatim. Ini terpancar melalui qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) baginda Rasulullah SAW apabila baginda menyantuni anak yatim dengan penuh kasih sayang dan ihsan.
Dalam satu hadis, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Barang siapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampun” (Riwayat al-Tirmidzi).
Menyedari perkara itu, arwah Abd Manaf Tahir mengambil inisiatif serta tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara anak yang kematian ibu bapa atau terbiar tanpa dijaga dengan baik oleh sanak saudara di kariah Kampung Cheh, Bukit Gantang, Perak sejak tahun 2004.
Atas dorongan ahli keluarga dan penduduk kampung, arwah membuka pusat jagaan anak yatim dan terbiar sebagai tugas serta tanggungjawab sukarela yang ihsan melihat kanak-kanak kecil memerlukan kasih sayang, maka wujudlah Persatuan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah pada tahun 2014.
Pengerusinya, Mohd Yussairie Mohd Saad, berkata selepas kematian bapa mentuanya arwah Abd Manaf dia yang bertindak sebagai setiausaha pada tahun 2006 mengambil alih jawatan pengerusi pada tahun 2018 untuk bertanggungjawab mengurus dan menjaga rumah Anak Yatim Nur Hidayah hingga sekarang.
Menurutnya, dia terpaksa bertabah dan sabar kerana bermacam-macam kecaman, sindiran dan hinaan dilemparkan oleh masyarakat apabila beliau terpaksa menapak ke setiap tempat untuk mendapatkan derma serta sumbangan bagi membiayai kos operasi serta perbelanjaan rumah anak yatim berkenaan.
Tambahnya, dia hanya mampu berdiam diri dan kuatkan semangat kerana arwah bapa mentua pernah berpesan jangan sekali ambil peduli atau berkecil hati dengan perkara sedemikian kerana sudah menjadi lumrah kehidupan yang akhir nanti mereka berkenaan akan sedar kebenarannya tugas kita lakukan itu.
“Sebagai cara lain dengan bantuan rakan-rakan saya kini hanya menguarkan-uarkan melalui media massa atau menghantar surat kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan infak atau sumbangan terutama bagi memastikan bekalan makanan untuk anak yatim ini cukup.
“Saya juga mempelawa sesiapa sahaja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelbagai pihak yang berhajat menyumbangkan bantuan kewangan, barangan makanan dan keperluan asas datang sendiri menyerahkannya yang memberi peluang melihat secara dekat Nur Hidayah,” katanya ketika menerima kunjungan ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) baru-baru ini.
Dalam lawatan yang diketuai Penasihatnya, Azman Rasman, KESUMA’24 turut menyerahkan sumbangan barangan makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu, roti serta naskhah al-Quran di samping wang tunai kutipan derma daripada orang ramai.
Di samping beramah mesra ahli KESUMA’24 turut menyediakan makan tengah hari untuk dimakan bersama-sama anak yatim yang berusia antara dua tahun dan 17 tahun.
Mohd Yussairie berkata, ketika negara dilanda wabak Covid-19 lima tahun lalu, Nur Hidayah yang menempatkan 33 anak yatim itu menghadapi masalah dana dan bekalan barangan makanan yang amat merungsingkan sehinggalah keadaan semakin reda ramai pihak mula menghulurkan pelbagai sumbangan terutama barangan basah.
Menurutnya, bagi mengelak cemuhan yang serta prasangka tidak betul dia mendaftar rumah anak yatim itu untuk menjadi ahli gabungan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) kerana secara tidak langsung orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dengan persatuan berkenaan.
“Walaupun rumah ini serba kekurangan namun tiga anak yatim sudah berjaya menyambungkan pelajaran ke kolej dan mereka akan pulang ke Nur Hidayah apabila cuti semester kerana di sinilah mereka membesar meneruskan kelangsungan hidup tanpa belaian manja seorang ibu atau bapa.
“Kami menjaga dan menguruskan kehidupan mereka hanya tumpang gembira apabila melihat yang berpelajaran ini melayan karenah anak yatim lain terutama yang masih kecil seperti adik-beradik sendiri,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!