‘Moh Sahur 2025’ Meriah, 30 Keluarga Terima Sumbangan
BENTONG – Sebanyak 30 keluarga terpilih menerima sumbangan makanan menerusi program ‘Moh Sahur 2025’ yang berlangsung di sekitar Pelangai, malam ini.
Program yang diadakan buat julung kalinya ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan menganjurkan aktiviti bersahur secara berjemaah serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut penganjur, sebanyak 12 pasukan telah digerakkan ke kampung-kampung sekitar untuk mengagihkan makanan kepada penerima yang telah dikenal pasti.
“Kami menerapkan konsep ‘Mangkuk Tingkat’ dalam agihan makanan kali ini. Setiap mangkuk berisi nasi dan lauk-pauk yang dimasak sendiri oleh wanita setempat. Ini menjadikannya lebih istimewa kerana menggunakan sentuhan air tangan mereka,” katanya.
Selain hidangan sahur, penerima juga menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas, kurma serta bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.
Program ini turut mendapat sokongan kerajaan Negeri Pahang yang menekankan konsep kebersamaan dalam masyarakat, selaras dengan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW.
Difahamkan, program ‘Moh Sahur 2025’ akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan dalam siri agihan seterusnya bagi memastikan lebih ramai keluarga yang memerlukan dapat menikmati manfaat ini.
Menurut penganjur lagi, Pelangai sememangnya sinonim dengan konsep ‘Mangkuk Tingkat’ kerana program ini telah dijalankan dalam skala kecil pada tahun sebelumnya.
“Tahun ini kami mahu melaksanakannya dalam skala lebih besar supaya lebih ramai penduduk dapat merasai manfaatnya,” katanya.
Penduduk yang menerima sumbangan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas inisiatif ini yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
“Air Tangan Datin Nurhida: Juadah Istimewa Moh” bersahur DUN Pelangai
Bentong – Program “Moh bersahur, yang diketuai oleh YB Datuk Amizar Abu Adam bersama isteri Datin Nurhida Qasim, serta kepimpinan di kawasan ADUN Pelangai beliau yang Exco Hal Ehwal FELDA Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, berjaya menyantuni penduduk sekitar Chemomoi bagi agihan sumbangan Ramadan dan mangkuk tingkat .
Dalam program yang berlangsung malam tadi, sebanyak 30 buah rumah telah menerima sumbangan juadah sahur, termasuk IKAN BILIS GORENG BERLADA PETAI campur KENTANG , lauk khas yang dimasak sendiri oleh Datin Nurhida. “Saya memang suka memasak, dan untuk program ini, saya masak lebih awal supaya makanan siap tepat pada waktunya,” katanya.
Menurut Datin Nurhida, program ini bertujuan membantu mereka yang tidak pernah menerima bantuan sebelum ini. “Kami memilih rumah-rumah yang tidak pernah mendapat sumbangan, bukan sekadar mengagihkan makanan, tetapi juga untuk menyantuni mereka,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa program ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk ahli jawatankuasa dalam kumpulan mereka. “Kami berbincang dan akhirnya sepakat untuk mengadakan Singgah Sahur sebagai satu inisiatif baharu di kawasan ini. Mungkin selepas ini, program ini boleh dijadikan acara tahunan sepanjang Ramadan,” katanya.
Para penerima bantuan menyatakan rasa terharu dengan inisiatif ini kerana kebanyakan mereka tidak menyangka akan menerima sumbangan makanan sahur. “Kami rasa seperti raya kerana ramai yang datang bersama-sama menghulurkan bantuan,” kata salah seorang penerima.
Datin Nurhida turut menekankan bahawa hidangan yang disediakan adalah istimewa dan mencerminkan cita rasa tempatan, termasuk resipi asli dari Negeri Sembilan. “Kalau masakan ini dibuat di negeri lain, belum tentu rasanya sama seperti di sini,” ujarnya dengan senyuman.
Dengan kejayaan program ini, beliau berharap ia dapat diteruskan setiap tahun bagi membantu lebih ramai penduduk yang memerlukan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hospital pakar Al-Islam akan jadikan PJMM pusat warga emas mesra ibadah
Hospital Pakar Al-Islam Specialist di Kampong Bharu, Kuala Lumpur akan memberi kerjasama bagi merealisasikan hasrat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor untuk menjadi pusat jagaan warga emas mesra ibadah pertama di Malaysia.
Kesediaan dalam usaha itu sebagai satu sokongan dan juga dakwah berikutan hospital berkenaan sudah pun dikenali juga sebagai hospital mesra ibadah sejak 1996.
Dr Ishak Mas’ud (dua dari kanan) bersama rakan jalinan kerjasama melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas harian kepada PJMM.
Pengarahnya, Dr Ishak Mas’ud, berkata, sehubungan itu hospital berkenaan akan membuat kajian dan perancangan terlebih dahulu untuk memastikan usaha yang dilaksana bagi tujuan mesra ibadah mencapai matlamat yang dikehendaki khusus oleh PJMM.
Menurutnya, banyak perkara perlu didalami termasuklah selaras usaha itu akan diadakan program latihan untuk membimbing petugas PJMM melaksanakan tanggungjawab yang selari mesra ibadah bagi memberi peluang warga emas mendalami ilmu ibadah sebagai seorang Islam beriman.
Tambahnya, kemudahan yang disediakan PJMM untuk warga emas sebahagiannya sudah mencakupi untuk keperluan kerohaniah dan mental supaya dapat menjadi umat Islam terbaik walaupun menjadi penghuni pusat jagaan.
“Kerjasama yang bakal dijalinkan ini akan memastikan PJMM melakar satu sejarah tanah air menjadi pusat jagaan mesra ibadah yang pertama malah sebagai contoh terbaik kepada pusat jagaan atau rumah kebajikan lain untuk mempraktikkan perkara itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Ramadan di PJMM hasil jalinan kerjasama dengan Malaysia Relief Agency (MRA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), baru-baru ini.
Turut hadir pada program itu, Vice President 1 MRA, Khairil Annuar Khalid; Setiausaha Agong MRA, Dr Shahrizal Azswan Samsudin; Setiausaha Agong ABIM, Muhamad Aliemran Norasid; dan Pengurus Jenama Zayan Fm Radio Astro, Wan Syahrul Amry Wan Mansor; staf Hospital Pakar Al-Islam Specialist; dan ahli MRA serta ABIM.
Selain menghulurkan sumbangan dan barangan keperluan asas harian, Dr Ishak bersama rakan jalinan kerjasama, staf hospital dan ahli MRA serta ABIM menyantuni warga emas PJMM dengan menghidangkan juadah berbuka puasa, beramah mesra dengan mereka yang uzur dan terlantar.
Dr Ishak berkata, program berkenaan juga ibarat satu simbolik kesediaan hospital menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan PJMM supaya dapat membantu dalam memastikan mereka berjaya menjadi pusat jagaan mesra ibadah.
Jelasnya, untuk memberi bimbingan dan latihan bukanlah suatu yang sukar cuma perlu mengenal pasti kaedah yang bersesuaian dengan warga emas di pusat jagaan berbanding staf hospital sudah biasa dengan amalan mesra ibadah apabila menyantuni pesakit yang menerima rawatan.
“Bagaimanapun kami akan melakukan dengan cara terbaik supaya hasrat pihak pengurusan PJMM dapat direalisasikan dan terus maju serta sentiasa hebat dalam menyantuni warga emas yang mengharapkan pembelaan meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, sejak penubuhan lebih sembilan tahun lalu, warga emas yang menjadi penghuni disantuni dengan nilai murni dan kerohaniah sebagaimana ajaran agama Islam.
Menurutnya, bagi memastikan perkara itu menjadi kelangsungan tanpa sebarang pengabaian PJMM melantik seorang ustaz juga bertindak sebagai imam surau sepenuh masa, dua ustazah untuk mengendali kelas al-Quran dan seorang ustaz mengajar fardu ain dan fekah.
Tambahnya, walaupun ustaz dan ustazah terbabit meneruskan tugas hakiki namun mereka sentiasa memberi input-input terkini mengenai ajaran agama Islam supaya warga emas tidak mensia-siakan masa tanpa diisi dengan ilmu agama.
“Dalam hal demikian PJMM berasakan amat wajar diberi peluang atau mendapat kerjasama serta sokongan pelbagai pihak untuk menjadi pusat jagaan mesra ibadah malah akan menjadi contoh kepada rumah kebajikan lain dan sebagainya,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGURUS KILANG HILANG HILUX, PENJENAYAH RAKAM DALAM CCTV!
JERANTUT – Seorang pengurus kilang tergamam apabila kenderaan pacuan empat rodanya, Toyota Hilux, lesap di hadapan rumahnya di Taman Damai, pagi ini. Lebih mengejutkan, rakaman CCTV mendedahkan dua lelaki menaiki Toyota Vellfire atau Alphard bertindak licik mencuri kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata kejadian itu disedari mangsa, lelaki berusia 25 tahun, selepas mendapati Hilux hitam dengan nombor pendaftaran KFQ 3303 tidak lagi berada di tempatnya sekitar jam 5.17 pagi.
“Mangsa baru pulang dari Kelantan atas urusan kerja dan meletakkan kenderaan milik syarikatnya di hadapan rumah pada jam 10 malam dalam keadaan berkunci. Namun, apabila bangun pagi, kenderaan itu sudah hilang,” katanya.
Kecurian itu terbongkar selepas mangsa memeriksa rakaman CCTV, yang menunjukkan dua individu tidak dikenali menaiki MPV mewah sebelum bertindak mencuri kenderaannya. Susulan kejadian, mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Jerantut pada jam 9.38 pagi.
Superintendan Zukri berkata, ketiadaan sistem GPS pada kenderaan tersebut menyukarkan pengesanan, dan kerugian dianggarkan mencecah RM150,000.
“Hebahan ‘Alert Tone’ telah dibuat dan RJ10B dicipta untuk rekod kenderaan hilang. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan atau suspek agar segera menghubungi IPD Jerantut atau mana-mana balai polis berdekatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Isu tiga penyampai radio swasta yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan bukan Islam terus menjadi perhatian umum dengan pelbagai pihak menyuarakan pandangan masing-masing.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa pemimpin seharusnya bertindak sebagai pendamai dan bukannya pencetus kemarahan dalam isu-isu sensitif seperti ini.
Menurutnya, tindakan penyampai radio berkenaan adalah satu kesalahan yang tidak mencerminkan ajaran Islam dan perlu diambil sebagai pengajaran, bukan alasan untuk mengeruhkan perpaduan.
“Malaysia telah menyaksikan banyak perselisihan kaum dan agama sejak dahulu lagi, malah pernah mencapai tahap kritikal seperti tragedi 13 Mei 1969. Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, kerajaan terdahulu telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara, namun ketidakstabilan politik kebelakangan ini menyebabkan isu perkauman dan agama semakin diperkatakan secara terbuka.
Justeru, beliau menyeru semua pemimpin politik serta masyarakat untuk memainkan peranan dalam meredakan keadaan, bukan menambahkan ketegangan.
“Pemimpin tidak boleh menjadi pencetus konflik atau membiarkan api perbalahan terus marak. Pihak berkuasa juga perlu bertindak adil, mengambil langkah sewajarnya untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat tanpa mengikut desakan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terperangkap dalam kitaran saling mencari kesilapan antara satu sama lain semata-mata untuk membalas dendam.
“Negara ini perlu bebas daripada isu sebegini. Pada usia 68 tahun, kita harus fokus kepada pencapaian dan kemajuan negara, bukannya terus bergelumang dalam konflik kaum dan agama yang tiada kesudahan,” tegasnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Kebakaran hutan di Jalan Pintasan Kuantan–Sungai Ular, belakang MCKIP Gebeng, masih belum dapat dipadam sepenuhnya walaupun operasi sudah memasuki hari ke-11.
Setakat ini, kebakaran telah memusnahkan 130.3 hektar kawasan hutan, dengan 93.73 hektar berjaya dipadamkan. Namun, baki 36.57 hektar masih terbakar dan operasi pemadaman terus giat dijalankan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggerakkan 70 anggota bersama 10 pegawai bagi mengawal api daripada terus merebak. Bantuan turut diterima daripada beberapa agensi strategik termasuk pekerja MCKIP.
Antara teknik pemadaman digunakan ialah ‘water bombing’ dengan pesawat khas, serangan langsung dan pembinaan batas api bagi menghalang kebakaran merebak. Operasi ini dibahagikan kepada tujuh sektor bagi memastikan api dapat dikawal dengan lebih efektif.
Keadaan cuaca panas dan angin kencang menyukarkan usaha pemadaman, namun pihak bomba optimis api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tragedi Ramadan: Remaja Maut Dalam Nahas Dua Motosikal
MARAN – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 32, Jalan Maran – Jerantut, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.42 petang apabila motosikal Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang remaja berusia 14 tahun dari arah Sungai Jerik hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal tersebut bertembung secara berdepan dengan Yamaha Y15ZR yang ditunggang Muhammad Firdaus Ramli, 17, yang dalam perjalanan dari Bandar Jengka ke Sungai Jerik,” katanya.
Akibat perlanggaran itu, Muhammad Firdaus mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan.
Sementara itu, penunggang Yamaha Ego Avantiz turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temerloh bagi mendapatkan rawatan.
“Kedua-dua motosikal mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, termasuk coverset dan cermin sisi pecah,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peniaga Murtabak Hampir Rugi RM400, Transaksi Tidak Berlaku
JERANTUT – Seorang peniaga murtabak di Bazar Ramadan Jerantut hampir mengalami kerugian RM400 apabila transaksi pembayaran melalui imbasan kod QR tidak berlaku seperti yang disangka.
Amizan Jorit, 49, berkata seorang lelaki bersama isterinya telah membuat tempahan 50 keping murtabak sejurus gerainya dibuka sekitar jam 3.00 petang pada hari pertama Ramadan.
“Lelaki itu datang semula kira-kira jam 7.00 petang untuk mengambil tempahan dan melakukan ‘pembayaran’ dengan mengimbas kod QR.
“Oleh kerana saya dan isteri sibuk melayan pelanggan lain, kami tidak menyemak transaksi dan menganggap bayaran sudah diterima,” katanya ketika dihubungi.
Menurut isterinya, Nurul Shahirah Abdullah, 43, mereka hanya menyedari kejadian itu selepas berbuka puasa apabila menyemak akaun bank dan mendapati tiada transaksi diterima.
“Keesokan harinya, suami saya pergi ke bank untuk kepastian, dan memang sah bayaran tidak masuk,” katanya.
Seorang pekerja mereka yang bertanggungjawab dalam urusan pembayaran berasa amat bersalah dan berkongsi kejadian itu di laman Facebook ‘Jerantut Viral’ kerana bimbang majikannya mengalami kerugian.
“Saya memberitahu pekerja itu supaya tidak risau. Jika ada rezeki, Insya-Allah, duit itu akan kembali,” kata Nurul.
Mujurlah, selepas berita tersebut tular, pelanggan berkenaan menyedari kesilapan dan segera membuat pembayaran pada jam 7.00 petang keesokan harinya.
“Alhamdulillah, kalau sudah rezeki, ia tidak akan ke mana. Pelanggan itu juga terkejut dan sedih selepas membaca hantaran tersebut kerana murtabak itu telah diberi kepada orang lain.
“Dia juga memohon maaf dan berjanji akan kembali untuk membuat tempahan lagi,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SULTAN PAHANG RASMI NAMA BAHARU MASJID KAMPUNG PADANG POLO, TITAH PENTINGNYA SUKAN DAN ILMU
PEKAN – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merasmikan nama baharu Masjid Kampung Padang Polo, di sini, sempena satu majlis rasmi semalam.
Dalam titah diraja, Paduka Baginda menegaskan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi simbol perpaduan, ilmu dan ketakwaan dalam kalangan umat Islam.
“Masjid ini bukan sekadar binaan batu dan marmar, tetapi juga menara cahaya yang menyinari hati serta membimbing jiwa ke arah ketakwaan,” titah Paduka Baginda.
Selain itu, Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa sejarah Kampung Padang Polo sendiri sarat dengan nilai warisan dan ketangkasan, di mana ia dahulunya menjadi medan berkuda dan simbol keberanian.
Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk menjadikan sukan sebagai jambatan kesihatan dan riadah sebagai wasilah keutuhan jasmani.
“Jika tidak mampu menghulus panah di medan memanah, maka cukuplah dengan menggerakkan tubuh, walau hanya sekadar berjalan mengelilingi padang polo ini. Jika tidak berpeluang menunggang kuda, maka cukuplah dengan beriadah di halaman sendiri demi kesejahteraan yang berkekalan,” titah Paduka Baginda.
Dalam aspek pendidikan pula, Paduka Baginda menyeru agar masjid dimakmurkan dengan ilmu dan amal ibadah.
“Jangan biarkan ruangnya lengang tanpa jemaah, jangan biarkan mimbar ini sepi tanpa ilmu. Hadirlah majlis-majlis ilmu yang dianjurkan kerana ilmu itu cahaya, dan cahaya itu petunjuk menuju kejayaan dunia serta akhirat,” titah Paduka Baginda lagi.
Paduka Baginda juga menekankan kepentingan menjaga kemurnian akhlak dalam membina masyarakat yang harmoni.
“Perindahkanlah kampung kita ini bukan hanya dengan keindahan landskapnya, tetapi dengan keluhuran akhlaknya.
Sebuah kampung yang makmur bukan hanya terletak pada keindahan zahirnya, tetapi pada kemuliaan penghuninya yang tekun beribadah, rajin menuntut ilmu, menjaga kebersihan, serta hidup dalam harmoni dan ukhuwah yang erat,” titah Paduka Baginda.
Majlis yang turut dihadiri pemimpin negeri dan penduduk setempat itu diserikan dengan sumbangan dan berbuka puasa bersama.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penduduk Kuantan Disaran Berwaspada, IPU Cecah 251
KUANTAN , – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pencemaran udara yang melanda Balok Baru, Kuantan.
Berdasarkan rekod, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencecah 251, dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Bacaan ini direkodkan pada jam 2 petang semalam dan dijangka terus meningkat susulan kebakaran ladang kelapa yang berlaku berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular.
Paduka Baginda menasihati penduduk sekitar, terutama yang mempunyai masalah pernafasan, agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan.
Selain itu, orang ramai disarankan menghentikan sebarang aktiviti luar buat sementara waktu, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah di kawasan terjejas.
Dalam masa yang sama, Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas dan berangin yang boleh memburukkan lagi tahap pencemaran udara.
Pihak berkuasa dijangka akan mengambil langkah pemantauan dan tindakan lanjut bagi mengawal keadaan serta memastikan kesihatan rakyat tidak terjejas.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!