54 INDIVIDU DIKENAKAN KOMPAUN JOGING, LEPAK DI JAMBATAN
KLANG: Gara-gara berkumpul dan berjoging sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Sekatan Pergerakan Penuh, seramai 54 individu dikenakan kompaun di Jambatan Raja Muda Nala, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tindakan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam terhadap aktiviti di lokasi berkenaan.
“Tinjauan dijalankan kira-kira jam 6 petang mendapati terdapat ramai orang awam telah meletak kenderaan berdekatan tempat halangan batu di lokasi berkenaan, lapor Sinar harian.
“Selain itu terdapat aktiviti berjoging serta melepak di atas Jambatan Raja Muda Nala yang telah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Seramai 54 individu telah dikenakan kompaun bernilai RM2,000 setiap satu kerana berjoging dan lepak di Jambatan Raja Muda Nala.
Katanya, sehubungan itu, seramai 54 individu telah dikenakan kompaun bernilai RM2,000 setiap satu.
“Kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang berada di lokasi aduan, bantuan turut diberikan oleh Ibu Pejapat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan menghantar Team Enforcement IPK Selangor,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Rakaman video tular yang memaparkan kelibat seorang nenek melintas jalan di Jambatan Binjai Manis Ketereh, Kelantan pada jam 3 pagi baru-baru ini akhirnya terjawab apabila individu tersebut disahkan manusia biasa.
Perkara itu didedahkan pengendali laman Facebook Hello Kelantan yang memuat naik gambar warga emas tersebut hari ini namun maklumat seperti nama, umur dan mengapa dia berjalan bersendirian tidak diketahui.
“Ini mak cik yang dipercayai ditemui pada pada jam 3 pagi di kawasan Jambatan Binjai Manis Ketereh yang tular di media sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan pelbagai persepsi.
“Bahaya berjalan seorang diri malam-malam. Semoga Allah panjangkan usia dan permudahkan urusan mak cik,” tulis kapsyen hantaran tersebut.
Video dengan muzik latar yang agak menyeramkan itu sebelum ini menarik perhatian netizen yang kebanyakan mereka menyifatkan warga emas berkenaan sebagai jelmaan makhluk halus.
“Mungkin mak cik ini ada penyakit nyanyuk atau sebagainya. Tolonglah pantau kasihan dia,” kata seorang pengguna media sosial bernama Nur Nunu.
“Bahaya mak cik awal-awal pagi lintas jalan dalam gelap. Kereta laju-laju semua bimbang jika jumpa penyamun, haiwan buas. Kami doa mak cik sihat dan kalau hendak keluar bawa lampu suluh,” tulis netizen bernama Ayzoll AZ.
“Biasanya kalau jumpa jam 2 pagi hingga 5 pagi itu mungkin orang kampung hendak pergi menoreh getah. Orang dulu-dulu memang hati kental,” ulas seorang lagi netizen. – K! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BATU PAHAT – Seorang pekerja penyelenggaraan ditemui tidak sedarkan diri dalam lubang saluran kumbahan di sebuah pasar raya tempatnya bekerja pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa Yazali Yakub, 54, disahkan meninggal dunia ketika pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan.
Katanya, sebelum itu Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.20 malam yang memaklumkan seorang lelaki dijumpai tidak sedarkan diri dalam lubang saluran air kumbahan.
Lelaki terjatuh dalam lubang saluran kumbahan.-Foto Bomba.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira empat meter,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ismail memberitahu, mayat di hantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, seramai sembilan anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender ( FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Batu Pahat terlibat dalam operasi mengeluarkan mangsa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara.
Bagi memastikan kelestarian alam sekitar Tasik Chini, Kerajaan Negeri Pahang juga bersetuju agar ‘tiada kelulusan baru’ untuk melombong di kawasan terbabit.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di situ namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.
Pemandangan indah di Tasik Chini, tasik terbesar semulajadi di Malaysia.-Gambar Media Sosial.
“Operasi perlombongan di situ dikenakan syarat-syarat tambahan yang ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti tersebut. Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan.
“Kebenaran itu tentunya bukan mudah dan perlu melalui pelbagai proses melibatkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), “katanya melalui Facebooknya, semalam.
Katanya, kuasa kerajaan negeri dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.
Gambar dari udara, Tasik Chini dipercayai dijarah,-Foto Media Sosial
“Ia bermaksud, kegiatan melombong di sesuatu kawasan tidak akan mendapat kelulusan jika tidak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan. Pelbagai aspek diambil kira terutamanya alam sekitar supaya tiada pencemaran daripada kegiatan itu.
“Kerajaan negeri komited melaksanakan aspek pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini yang diisytiharkan sebagai tapak rezab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009,” katanya.
Shakar berkata, pada 2019, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan Projek Tanam Semula berjumlah RM250,000 bagi menanam semula pokok tutup bumi di bekas lombong. Ini bermakna, kawasan lombong tersebut akan dipulihkan selepas operasinya tamat.
Pada 9 Jun 2021, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan bahawa kualiti air Tasik Chini sehingga kini dikategorikan bersih berdasarkan pemantauan yang dilakukan jabatan berkenaan.
“Dapatan ini berdasarkan pemantauan bermula tahun 2005 lagi, sejak Tasik Chini dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Dipercayai aktiviti perlombongan dijalankan.- Gambar Media Sosial.
“Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan, dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen,” katanya.
Parameter-parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe). Walaubagaimanapun terdapat juga sememangnya mempunyai bacaan parameter-parameter yang lain.
Katanya, secara umumnya didapati bahawa, data kualiti air bagi tahun 2020 dan 2021 (sehingga Mac) menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih.
“Usaha pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini telahpun dimulakan dan tentunya proses itu akan mengambil masa agak panjang dalam usaha memastikan Tasik Chini kembali pulih.
“Dalam tempoh itu, agensi-agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, dan Jabatan Perhutanan akan terus membuat pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti perlombongan di Tasik Chini,” katanya.
Katanya, untuk jangka masa pandangan, kerajaan juga sedang menyiapkan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang bagi dibentangkan di dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri, agar dijadikan undang-undang, supaya mempastikan kerajaan negeri mempunyai punca kuasa untuk kita menjaga fauna dan flora untuk warisan akan datang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TIGA TAMAN DIKENAKAN PKPD DI TEMERLOH, 350 JALANI UJIAN.
TEMERLOH: Kira-kira 350 penduduk di Taman Temerloh Jaya, Temerloh Jaya Indah dan Temerloh Jaya Makmur mula menjalani ujian saringan Covid-19 setelah kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula semalam.
Setiausaha, Masjid Taman Temerloh Jaya, Zulkanain Hashim berkata, jawatankuasa masjid berkenaan hari ini turut sama turun padang membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyediakan tempat dan kemudahan yang diperlukan bagi memudahkan proses saringan terbabit.
Antara daripada 350 orang menjalani saringan oleh petugas KKM, hari ini, di Temerloh
Katanya, proses saringan disasarkan kepada golongan bergejala, kontak rapat, berisiko dan komorbid diberi keutamaan, proses saringan dilakukan selama 3 hari bermula hari ini dan bersambung pada 15 dan 17 Jun ini.
“Hari ni proses saringan yang telah dilakukan oleh KKM di Masjid Taman Temerloh Jaya, pihak KKM mohon bantuan daripada pihak masjid untuk menyediakan lokasi saringan, kita memberi bantuan kemudahan yang diperlukan untuk dilaksanakan saringan kepada penduduk taman ini.
“Kira-kira 350 individu disasar pagi setiap sesi ujian saringan yang dijalankan dan mereka yang disaring adalah melibatkan 10 peratus daripada 13 ribu penduduk secara keseluruhannya di ketiga-tiga kawasan taman perumahan itu, “katanya.
Ujian saringan dijalankan kepada penduduk di Taman Temerloh Jaya, Temerloh Jaya Indah dan Temerloh Jaya Makmur, mulai hari ini
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan penduduk terlibat untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan prosedur operasi standard (SOP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ditetapkan, selain tidak keluar daripada kawasan kediaman masing-masing kecuali jika perlu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula semalam, melibatkan Taman Temerloh Jaya, Temerloh Jaya Indah dan Temerloh Jaya Makmur pada 10 Jun lalu.
Ini ekoran berlaku peningkatan jangkitan kes Covid-19 di kawasan terbabit. PKPD dimulai pada Sabtu hingga 25 Jun ini di taman tersebut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU – Seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai tersesat berhampiran perairan Pulau Gaya, di sini, berjaya ditangkap penduduk kampung pada petang Sabtu.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.
Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, penduduk kampung silih ganti mengekori buaya itu dengan menggunakan bot.
“Buaya itu berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong dan kelihatan jelas ketika air laut surut.
“Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum berjaya menangkapnya kira-kira jam 5.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambahnya, mereka terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
“Ini kali pertama mereka menangkap haiwan ganas itu sejak tinggal di pulau berkenaan.
“Tujuan kami menangkapnya kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutama kanak-kanak dan nelayan,” katanya, lapor HM online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sebuah stesen bersepadu bakal dibina di daerah Temerloh apabila Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perancangan itu dibuat memandangkan Temerloh adalah lokasi pertemuan antara Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan juga ECRL.
Menurutnya, kerajaan negeri merancang pembangunan di sekeling stesen bersepadu boleh dimanfaatkan rakyat sama ada yang memilih menggunakan perkhidmatan KTM atau ECRL.
“Malahan, secara tidak langsung akan mewujudkan bandar-bandar baharu yang lebih tersusun dan ini pasti dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan di sini sekali gus menjadi penggerak baru ekonomi di Temerloh.
“Pembangunan pesat dari sudut sosio-ekonomi, infrastruktur, pelancongan dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan susulan daripada pembukaan satu stesen bersepadu itu,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Mohd Shahkar berkata, diharap setiap rakyat di Pahang dapat menerima kesan daripada limpahan ekonomi yang wujud di kawasan berkenaan.
“Semua ini adalah perancangan pembangunan masa depan Temerloh yang akan menjadi sebuah daerah berkembang maju,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan ECRL dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara berkembang lebih rancak menerusi keupayaan mengangkut lebih banyak kargo dari Pelabuhan Kuantan di Kuantan, Pahang menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor.
“Laluan ECRL dari Kuala Lumpur menuju Kelantan menerusi Pahang dan Terengganu bakal membuka lembaran baharu dari segi kemajuan pengangkutan awam sekali gus ‘new horizon’ kepada Malaysia.
“Kawasan penempatan awam yang menjadi stesen perhentian ECRL juga akan menikmati impak positif sekali gus mempengaruhi pembangunan ekonomi sekitar termasuk di daerah Temerloh.
“Tentunya daerah Temerloh juga bakal berubah wajah kerana kawasan ini turut terlibat dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SIDANG DUN PAHANG DIJADUALKAN BULAN OGOS MUNGKIN TANGGUH
KUANTAN: Sidang dewan undangan negeri (DUN) Pahang yang dijadualkan bermula pertengahan bulan Ogos ini, dijangka akan ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.
Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berkata, persidangan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari itu, sebelum ini diumumkan pada hari terakhir sidang DUN tahun lalu.
“Perubahan tarikh akan dibuat bergantung pada perkembangan semasa wabak Covid-19 dan status Proklamasi Darurat ketika ini.
“Memandangkan kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun, jadi buat masa ini kita perlu menunggu keputusan muktamad selepas penilaian risiko dilakukan pihak berkaitan.
“Kalau diikutkan jadual asal, persidangan akan diadakan antara 16 hingga 20 Ogos depan, jadi banyak aspek perlu diambil kira memandangkan setiap kali persidangan diadakan, kita perlu merancang banyak perkara seperti upacara pembukaan persidangan DUN, tarikh persidangan dan pembentangan belanjawan, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ishak berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat bertarikh 25 Mei yang dihantar kepada semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) untuk mengemukakan usul yang akan dibentangkan semasa persidangan ke sekretariat sebelum hujung bulan ini.
Surat itu turut menyatakan bahawa tarikh persidangan ditetapkan antara 16 dan 20 Ogos, bergantung kepada Proklamasi Darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos ini.
“Tindakan menghantar surat kepada ADUN adalah prosedur biasa bagi memastikan sekretariat bersedia jika persidangan dapat diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan.
“Cuma, buat masa ini tarikhnya belum dimuktamadkan lagi, jadi kita kena tunggu pengesahan daripada pihak berkaitan terlebih dahulu,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN NEGERI MELALUI PPTC KOMITED MENGEKALKAN KELESTARIAN TASIK CHINI
KUANTAN: Kerajaan Pahang komited dalam usaha memulihara, memelihara dan mengekalkan kelestarian alam Tasik Chini, Pekan dengan memperuntukkan tanah seluas 8.1 hektar di kawasan berkenaan untuk dijadikan makmal alami (living laboratory) bagi menjalankan penyelidikan dan proses pembelajaran.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Berdasarkan kenyataan tersebut, menurutnya kerajaan negeri berkolobrasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan PPTC bagi keperluan pelaksanaan dasar di bawah Rancangan Struktur Negeri Pahang (2050) dan Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini (2018) ke arah pembangunan mampan dan pemuliharaan tasik itu sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
“Dengan adanya PPTC di bawah naungan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM ini pelbagai penyelidikan dapat dijalankan termasuk pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat pengurusan tasik secara bersepadu.
“Selain itu, penyelidikan translasi juga dilaksanakan dengan menyumbang semula hasil dapatan penyelidikan dalam bentuk program kesedaran, modul pembelajaran dan latihan kepada masyarakat tempatan.
“Usaha tersebut bertujuan membantu membangunkan status sosioekonomi dan taraf pendidikan khususnya masyarakat Orang Asli yang mendiami sekitar Tasik Chini seperti di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput,” katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi usaha kerajaan negeri berjaya mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kebudayaan di sebahagian besar kawasan Tasik Chini, sekali gus akan diteruskan bagi memastikan keseluruhan kawasan Tasik Chini terus dipulihara dan terpelihara alam sekitarnya.
“Pembinaan stesen ‘real-time monitoring’ ke atas kualiti air di sungai-sungai pembekal di Tasik Chini juga membantu dalam aspek pemantauan kualiti air dengan lebih berkesan.
“Beberapa projek pemuliharaan yang dijalankan bersama-sama agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM).
“Antara yang pemuliharaan yang dilaksanakan termasuklah aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri ikan serta pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini, pemuliharaan teratai serta latihan dan kesedaran alam sekitar kepada komuniti tempatan,” katanya.
Sementara itu, UKM melalui PPTC telah memberi komitmen tinggi kepada kerajaan negeri bukan sahaja penyediaan kepakaran dan kewangan termasuk usaha pemuliharaan melalui penyediaan Pelan Perlaksanaan Strategik bersama-sama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang digunakan dalam Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Gara-gara isu tanaman dan masalah meletakkan kenderaan menyebabkan sekumpulan jiran bergaduh dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Seksyen 24 di sini semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang itu tular dalam video berdurasi 4 minit 4 saat menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan isu tersebut daripada kedua-dua belah pihak.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada isu tanaman serta masalah meletakkan kenderaan oleh kedua-dua jiran sehingga mencetuskan insiden pertengkaran dan pergaduhan.
“Kesemua yang terlibat telah dipanggil untuk dirakam percakapan dalam membantu siasatan. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk berdamai dan telah membuat penarikan semula terhadap laporan polis yang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun polis masih meneruskan siasatan secara adil dan saksama meskipun kedua dua pihak telah menarik semula laporan polis itu.
Kes disiasat dijalankan mengikut Seksyen 269, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera untuk tindakan lanjut.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang undang,” jelasnya. – K! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!