JOHOR BAHRU – Keseronokan 32 individu bermain badminton bertukar episod duka apabila dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, individu terbabit yang dikenakan kompaun berjumlah RM48,500 terdiri daripada 31 pemain dan pemilik premis, lapor KOSMO online.
“Bertindak atas maklumat, polis telah menyerbu sebuah gelanggang badminton di Batu 6, Jalan Skudai di sini pada pukul 5.35 petang, kelmarin.
“Dalam operasi itu, seramai 32 lelaki berusia antara 18 hingga 44 tahun dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP 3.0.
“Seorang pemilik premis berkenaan dikompaun sebanyak RM2,000 manakala kesemua yang lain dikenakan kompaun sebanyak RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENJENAYAH KEMPUNAN BUKA PETI BESI, TINGGALKANNYA ATAS JALAN
IPOH: Penjenayah kempunan dan berputih mata apabila cubaan membuka dan melarikan peti besi selepas memecah masuk ke dalam Pejabat Pos Kampung Kepayang di Taman Chandan Desa, Simpang Pulai di sini, gagal.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu disedari pengurus cawangan pejabat pos berkenaan, iaitu seorang wanita berusia 35 tahun semasa mahu memulakan tugas pada 8 pagi hari ini, yang kemudian melaporkannya kepada pihak polis.
Peti besi ditinggalkan di hadapan pejabat pos.-Foto Media Sosial
“Pengadu mendapati pintu hadapan iaitu pintu kaca dan pintu penutup gendela gulung (roller shutter) diumpil dan terbuka serta keadaan di dalam pejabat pos itu berselerak. Peti besi di dalam pejabat pos, telah berada di luar pejabat iaitu di atas jalan serta terdapat kanvas berwarna biru menutupi pintu hadapan premis itu.
“Barang-barang yang hilang serta kerugian tidak dapat dikenal pasti lagi. Namun, dekoder kamera litar tertutup di premis itu mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau percaya peti besi itu ditinggalkan selepas penjenayah, dipercayai lebih daripada seorang itu, gagal untuk membukanya.
Gagal buka peti besi yang dirompak, ditinggal di hadapan pejabat pos.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pintu kaca dan pintu penutup gendela gulung separuh terbuka serta kali terakhir premis itu ditinggalkan dalam keadaan baik, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk.-BERNAMA.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PRASARANA TAWAR ASET BANTU PACU PROGRAM VAKSINASI NASIONAL
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset-aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.
Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, Prasarana bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
“Turut terbabit, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal bulan Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat tentang Covid-19.
ANtara aset yang bakal digerakkan untuk membantu program imunisasi nasional.
“Langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen-stesen LRT dan monorel dan aset digital di dalam bas dan tren,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya semua aset ini akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.
“Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.
“Kesemua Bas Kapten yang ditugaskan untuk kerja berkenaan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas. Secara keseluruhan, semua staf-staf barisan hadapan kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya
Katanya, Bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di stesen-stesen LRT yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.
“Pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan staf Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan KKM ketika ini.
“Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kerajaan Negeri menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah meluluskan tambahan rizab penempatan seluas 7.014 hektar (17.332 ekar) bagi Orang Asli suku Bateq, Kampung Bechah Kelubi dalam Kampung Teluk Gunung, Mukim Batu Yon, Lipis, pagi semalam.
Kelulusan dibuat di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN), bertujuan untuk penempatan Orang Asli Suku Bateq yang telah lama menetap di situ. Ia juga susulan permohonan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kawasan yang dipohon merupakan peluasan kawasan penempatan 163 Orang Asli Bechah Kelubi seluas dua (2) hektar, yang telah didirikan 20 buah rumah dengan bantuan kerajaan, serta turut diusahakan tanaman dusun dan getah.
“Dengan perizaban ini dijangka dapat mencegah penerokaan secara haram oleh pihak luar ke kawasan penempatan Orang Asli suku Bateq ini.
“Kelulusan tanah rizab ini sebagai mengiktiraf hak serta memelihara dan melindungi tanah-tanah Orang Asli suku berkenaan yang telah menduduki kawasan tersebut secara tetap selama ini,” katanya melalui kenyataan Media.
Satu kenyataan rasmi Menteri Besar yang dikeluarkan.
Katanya, beliau berharap keputusan Kerajaan Negeri ini akan mendatangkan kelegaan dalam kalangan Orang Asli suku Bateq Kampung Bechah Kelubi, dan semoga mereka dapat meneruskan kehidupan harian dengan selesa dan sejahtera.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUAMI ISTERI, LELAKI DITUDUH EDAR LEBIH 100KG DADAH
MAHKAMAH TIDAK MEMBENARKAN TIGA TERTUDUH DIIKAT JAMIN
KUALA LUMPUR: Suami isteri dan seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar 6.8kg dadah nimatazepam di sebuah rumah di Cheras, dua minggu lalu.
Cha Wee Sang, 31 , isterinya Gan Pei Hong, 21 dan Yap Yau Yang didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Segar pada 5 Jun lalu, lapor FMT.
Yap turut berdepan satu lagi tuduhan, mengedar 98.4kg heroin di Taman Bukit Hijau, Cheras, pada hari sama.
Majistret Aina Azahra Arifin tidak merekodkan pengakuan mereka kerana kesalahan mengedar dadah membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Peguam, T. Harpal Singh mewakili ketiga-tiga tertuduh. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 Ogos.
Mahkamah turut menolak permohonan Harpal untuk membenarkan Gan diikat jamin atas alasan kesihatan, selain baru melahirkan anak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Harpal berkata, pihak Penjara Kajang diarahkan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan. Sementara itu, Cha dan Yap akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HARGA BAHARU BAGI MINYAK MASAK DALAM BOTOL 5 KILOGRAM DAN 3 KILOGRAM AKAN DIBUAT MINGGU DEPAN.
KUANTAN: Pengumuman harga baharu bagi minyak masak dalam botol 5 kilogram dan 3 kilogram akan dibuat minggu depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata penetapan harga baharu itu dibuat hasil pertemuan membabitkan tiga Kementerian yang berlangsung semalam di Putrajaya.
“Mengenai harga minyak masak ini, akan ada satu pengumuman atau berita baik kepada orang ramai dalam masa terdekat… dalam masa seminggu lagi ia akan diumumkan oleh Menteri, sama ada oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz atau Menteri (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi).
“Kita harap pengumuman ini dapat melegakan rakyat yang sedang menunggu keputusan berkaitan isu (harga minyak masak) yang timbul sejak beberapa minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat kedai D’Mart FELDA Bukit Goh, dekat sini, hari ini.
Sabtu lalu, Rosol dilaporkan berkata perbincangan membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Kewangan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan.
Ketika diminta mengulas mengenai rayuan ibu bapa yang meminta kerajaan membenarkan kedai buku dan alat tulis beroperasi susulan keputusan Kementerian Pendidikan meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula 13 Jun lalu, Rosol berkata perkara itu juga sedang diberi perhatian pihaknya dan berharap ia dapat dipertimbangkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perkara ini memang mendapat perhatian kita dan akan dipanjangkan untuk perhatian MKN… kita tahu apabila PdPR diteruskan, maknanya ada keperluan untuk kedai alat tulis, kedai ‘printing’ dibuka kerana bukan semua ibu bapa mempunyai pencetak di rumah,” katanya.
Mengenai kekurangan bekalan barangan seperti gula dan sayuran pula, beliau berkata, tidak timbul masalah kekurangan bekalan dan isu itu timbul dipercayai berpunca daripada masalah logistik.
“Macam isu (kekurangan bekalan) gula, saya dimaklumkan ada masalah di kilang apabila pekerja (kilang gula) terpaksa ditutup selepas ada pekerja mereka didapati positif (COVID-19), bukannya kerana (bekalan) gula tidak ada. Saya difahamkan perkara ini sudah selesai dan mereka (kilang) memberi jaminan bekalan sudah boleh diedarkan seperti biasa.
“Berkaitan isu kenaikan harga sayuran, ini berlaku kerana ada kawasan seperti di Cameron Highlands yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi berlaku masalah logistik dan kita juga sudah meminta kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terbabit secara langsung dengan sekatan jalan raya (SJR) supaya dapat melonggarkan sedikit peraturan agar bekalan sayuran dari kawasan PKPD dapat dibawa ke luar untuk memenuhi keperluan pasaran ketika ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak, bagi memudahkan tugas pemantauan dilakukan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEKAS MENTERI, YEO BEE YIN, BIL ELEKTRIK MELAMBUNG KERANA LEBIH RAMAI ORANG BEKERJA DAN BELAJAR DARI RUMAH
PETALING JAYA: Seorang bekas menteri persekutuan menggesa pemberian diskaun lebih tinggi untuk bil elektrik kerana lebih ramai orang terpaksa berada di rumah untuk bekerja dan belajar ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, penjimatan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan Akaun Amanah Bekalan Industri Elektrik (AAIBE) patut digunakan untuk memberikan diskaun, khasnya untuk golongan B40, M40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), lapor FMT.
Susulan pelaksanaan PKP 3.0, katanya, ramai orang berada rumah untuk bekerja atau belajar kerana sekolah hanya akan dibuka paling awal pada September dan pembukaan semula ekonomi menjelang Disember.
“Salah satu kesan sampingan duduk di rumah adalah bil elektrik yang melambung tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dianggarkan masih ada dana mencukupi dalam KWIE kerana harga arang batu global terus merosot pada separuh kedua 2020, kenaikan harga gas paip yang dijadualkan, pemulihan harga arang batu global, potensi penjimatan kos penjanaan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang sederhana.
Katanya, terdapat juga komitmen daripada penjana kuasa bebas (IPP) untuk membayar hutang tertunggak 10 tahun mereka kepada AAIBE berjumlah RM105.5 juta pada akhir 2020 yang boleh digunakan untuk mengurangkan impak tarif.
“Kita kini hidup dalam masa luar biasa. Penjimatan KWIE dan AAIBE yang dilaksanakan sebelum ini untuk menghadapi hari sukar seperti kini. Walaupun penting untuk mengurus jangkaan pengguna terhadap tarif berdasarkan harga bahan api, lebih penting untuk membantu rakyat biasa bagi melalui masa-masa sukar ini.”
Yeo menggesa Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah memanfaatkan dana KWIE dan AAIBE serta jika boleh, mendapatkan dana tambahan daripada Kementerian Kewangan untuk merancang Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) 2.0 yang komprehensif.
Katanya, ia untuk membantu keluarga B40 dan M40 serta PKS tanpa memberi subsidi secara menyeluruh kepada industri yang meraih keuntungan berganda ketika pandemik seperti industri pembuatan sarung tangan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ADUAN IBUBAPA, CADANG KEDAI BERKAITAN PdPR DIBENAR BEROPERASI
KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpandangan premis menjual barangan berkaitan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) wajar dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, cadangan itu yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat adalah susulan aduan ibu bapa tentang kesukaran mendapatkan alat tulis dan alatan lain untuk anak mereka menyiapkan tugasan sekolah.
Datuk Rasol Wahid
“Kita sedar ada yang tidak mempunyai mesin pencetak di rumah atau kehabisan dakwat yang akhirnya menyukarkan anak-anak menyiapkan tugasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kedai D’Mart Felda Bukit Goh hari ini.
Mengulas perkembangan lain Rosol berkata, isu harga minyak masak botol bagi 3 dan 5kg dijangka selesai dalam masa terdekat susulan perbincangan KPDNHEP dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan semalam.
“Ada perkara positif yang akan diumumkan sama ada oleh menteri KPDNHEP atau menteri kewangan dalam masa terdekat,” katanya.
Ditanya mengenai kenaikan harga sayur pula beliau berkata, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Cameron Highlands dari 14 hingga 27 Jun ini tidak sepatutnya mencetuskan kenaikan harga kerana sektor tersebut terus dibenarkan beroperasi.
Sehubungan itu beliau meminta pengguna yang berdepan masalah kenaikan harga sayur secara mendadak agar membuat aduan kepada KPDNHEP bagi membolehkan pihaknya melaksanakan siasatan dan tindakan segera.-Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Kira-kira 30 batang tanaman pokok kelapa yang berusia lebih setahun milik penduduk musnah oleh sekumpulan gajah liar termasuk menceroboh masuk ke perkampungan Hulu Tembeling pada jam 1.00 hingga 2.00 pagi, hari ini.
Lima hingga enam ekor haiwan itu turut menceroboh bilik mandi penduduk kampung yang terletak di luar beberapa buah rumah di situ dan merosakkan pakaian yang direndam di dalam besen.
Baju yang direndam turut diusik, dinding bilik mandi penduduk kampung turut dimusnahkan. Foto Media Sosial.
Penduduk Kampung Kuala Sat, Jefridin Bahari, 46, berkata ketika kejadian itu dia dan keluarganya sedang tidur kemudiannya dikejutkan oleh isterinya apabila terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Kami menyangka ternakan kerbau yang selalu berada berdekatan rumah pada waktu malam, tetapi setelah dijengah keluar dan menyuluh menggunakan lampu suluh, kami sangat terkejut apabila beberapa ekor gajah liar ini sedang memusnahkan tanaman kelapa,” katanya..
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah berkata, dia juga menerima maklumat kejadian itu apabila seorang penduduk telah terserempak dengan gajah liar itu ketika dalam perjalanan ke kebun pada jam 8.00 pagi hari ini.
Kumpulan gajah tersebut beredar ke hutan berdekatan setelah melihat kelibat manusia
“Kebun penduduk berkenaan cuma jarak kira-kira 50 meter dari rumah , tetapi mujurlah tidak menghampiri rumah penduduk kampung oleh haiwan liar itu, cepat beredar ke hutan berdekatan apabila ternampak kelibat manusia.
“Saya telah menghubungi pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memantau dan menghalau kawanan gajah liar ini ke hutan supaya tidak mengancam tanaman mahupun keselamatan penduduk,” katanya.
Tambahnya, kumpulan gajah liar itu kerap merosakkan tanaman sawit dan getah penduduk sebelum ini berikutan habitat haiwan liar di kawasan pedalaman Hulu Tembeling sudah diteroka untuk pembangunan ladang dan pembalakan sejak beberapa tahun lalu. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEPUTUSAN MAJLIS RAJA-RAJA AGAR PARLIMEN BERSIDANG ADALAH WAJAR
KUALA LUMPUR: Keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin adalah wajar.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menghormati pandangan raja-raja menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh sesuai Parlimen bersidang.
Menurutnya, ini wajar walaupun persidangan itu hanya dijangka bermula antara September dan Oktober seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara kelmarin.
Katanya, jika Perdana Menteri degil dan ingkar, Seri Paduka boleh meminda Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.
“Sekiranya perkara ini digantung, maka Seri Paduka tidak perlu lagi bertindas atas nasihat Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen bersidang.
“Kesannya, Seri Paduka boleh bertindak atas budi bicaranya untuk memanggil persidangan Parlimen dan menetapkan bila tarikh untuk bersidang.
“Kalau Perdana Menteri setuju menasihati Yang di-Petuan Agong pada bulan ini, maka bulan depan juga Parlimen boleh bersidang selaras dengan titah Seri Paduka,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, penegasan Seri Paduka perlu diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan Kabinet dan keputusan mesyuarat menggambarkan keprihatinan Seri Paduka bagi mencari jalan keluar kepada krisis yang melanda negara ketika ini.
“Perkembangan ini meletakkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum terutama pada saat getir negara berdepan dengan wabak Covid-19, kesempitan ekonomi dan kegawatan politik, lapor Utusan Online.
“Pandangan yang dizahirkan ini menunjukkan institusi istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya ‘semak dan imbang’ sebagai mekanisma penting untuk mengelakkan salahlaku, ketirisan dan ketidakcekapan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!