KLUANG – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada kipas siling di sebuah rumah di Taman Sri Paya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.15 pagi.
“Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dimaklumkan mengenai kejadian gantung diri di lokasi tersebut.
“Siasatan mendapati si mati merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan tergantung pada kipas siling di biliknya.
“Waris kemudian menghubungi pihak Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom untuk bantuan dan pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom untuk dibedah siasat, lapor KOSMO online.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Siasatan termasuk sama ada mangsa mengalami masalah peribadi masih dijalankan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menghulurkan bantuan kepada Umno Bahagian Jerantut untuk mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di dalam kawasan parlimen itu yang terkesan disebabkan wabak Covid-19 yang melanda sekarang.
Sumbangan yang disampaikan kepada Umno Bahagian adalah antara penerimaan semua Ahli Parlimen berjumlah RM300,000 setiap seorang.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Jerantut yang menyumbang kepada Umno bahagian dan sayap-sayapnya untuk menyampaikan sumbangan.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah
“Sayap Umno Bahagian Jerantut yang menerima sumbangan ialah Wanita Umno Sebanyak RM15,000; Pemuda Umno (RM 5,000) dan Puteri Umno sebanyak RM 5,000; sumbangan ini untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan.
“Dengan ini, setiap sayap dapat membantu menyampaikan sumbangan tersebut kepada mereka yang memerlukan dan yang terkesan akibat penularan Covid-19 ini,” katanya.
Katanya, bantuan seperti keperluan lampin pakai buang dan susu turut dihulurkan. Barangan keperluan makanan disediakan oleh kerajaan negeri Pahang.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan (gambar kecil) menyampaikan bantuan, -Foto Hiasan
“Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Jawatankuasa Kesejahteraan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kesejahteraan dan Kesejahteraan Rancangan di seluruh daerah Jerantut yang telah menerima bantuan itu dan dan mencukupi,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ASRAMA DOKTOR PELATIH, KOMPLEKS RAWATAN HARIAN JADI WAD SEMENTARA HTAR
SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang mengubah fungsi asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian kepada wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula Jumaat lepas.
HTAR menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan tindakan itu bagi menampung keperluan semasa susulan lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang mengubah fungsi asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian kepada wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula Jumaat lepas.-Foto FB HTAR
“Pimpinan tertinggi HTAR serta semua ketua jabatan dan unit mengambil inisiatif itu. Setelah semua penilaian risiko dianalisis, beberapa kawasan telah diubahsuai fungsi menjadi wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19.
“Antara kawasan yang telah dijadikan tempat rawatan pesakit Covid-19 adalah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian, kedua-dua tempat ini mula menerima pesakit bermula jam 8 malam, 9 Julai lepas,” menurut kenyataan itu.
Menurut HTAR bilangan kes harian di Selangor yang mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik bagi hospital itu kerana kes harian di Jabatan Kecemasan turut meningkat mendadak sehingga tiada lagi katil untuk menempatkan pesakit-pesakit berkenaan.
HTAR berkata kakitangannya bagaimanapun tidak berputus-asa untuk terus bersiap sedia dan bertindak dalam menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu.
“Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus-lumus dan bersedia menghadapi krisis ini bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan.
Pihak HTAR mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang membantu. Anda semua adalah Wira HTAR,” menurut kenyataan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUNGAI SIPUT: Polis membuka siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Putra Yob berhubung sebaran berita palsu mengenai kononnya kejadian samun bersenjata oleh empat individu ke atas sebuah keluarga, berlaku di sini, sebagaimanapun video yang ditularkan di media sosial.
Polis membuka siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Putra Yob berhubung sebaran berita palsu mengenai penularan video kononnya kejadian samun bersenjata oleh empat individu ke atas sebuah keluarga, berlaku di Sungai Siput. Foto tangkap layar Media Sosial.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, tiada laporan polis diterima pihaknya berhubung kejadian samun terbabit di daerah ini, bahkan pemeriksaan sebaliknya mendapati insiden itu berlaku di New Delhi, India.
“Tiada kejadian berikut berlaku di sini (Sungai Siput). Kita tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kes rompakan bersenjata (seperti yang dimaksudkan).
“Pemilik FB itu sudah dikesan dan pihak polis akan rakam keterangan beliau,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Mohd Khaizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebabkan kegusaran awam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular berbentuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu yang disertakan keterangan oleh pemilik FB terbabit yang mendakwa kejadian berlaku di Sungai Siput.
Video berdurasi dua minit dan 22 saat itu memaparkan empat individu menceroboh menerajah masuk ke sebuah rumah yang di dalamnya memperlihatkan terdapat tiga dipercayai sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak disamun.
Sumber: video media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA JUAL AYAM MURAH BANTU PENDUDUK TERJEJAS, HILANG SUMBER PENDAPATAN
KUANTAN: Tidak dapat dinafikan tekanan dihadapi kebanyakan penduduk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja menjejaskan pendapatan, bahkan ada yang kehilangan kerja.
Menyedari bebanan ditanggung penduduk ketika ini, seorang peniaga kedai runcit, Abd Latif Abdul Wahab, 50 tahun, mengambil inisiatif dengan menawarkan ayam proses pada harga paling murah berbanding harga pasaran ketika ini.
Beliau yang sudah berniaga sejak kira-kira 30 tahun berkata, sebanyak 150 ekor ayam proses disediakan kepada pelanggan dengan harga RM5.50 sekilogram.
Latif Abdul Wahab-Peniaga runcit
“Harga ini adalah paling rendah berbanding kebiasaannya dijual pada harga RM7.50 hingga RM9.50 sekilogram di pasaran.
“Idea ini tercetus selepas menyedari kesan (pandemik) COVID-19 terhadap orang ramai. Ada yang hilang kerja, ada yang terputus sumber pendapatan, jadi, saya harap inisiatif ini dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui di kedai runcit miliknya dekat Jalan Tanjung Pasir-Bukit Goh, di sini, pagi tadi.
Abd Latif berkata, bekalan ayam proses itu diperoleh daripada pembekal di Jabor, dekat Kemaman, Terengganu dan beliau menawarkan harga murah itu kepada pelanggannya selama tiga hari, bermula hari ini.
“Untuk hari ini, sebanyak 150 ekor terjual dalam masa kira-kira tiga jam dan bagi mereka yang tidak sempat mendapatkan ayam pagi tadi, mereka boleh datang ke kedai saya pagi esok dan lusa,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nor Farini Mahad ketika ditemui memuji usaha dilakukan peniaga seperti Abd Latif dan mengakui ia sangat membantu orang ramai yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Saya rasa memang patuhlah ada peniaga sudi menjual harga macam ini… sebagai contoh, saya sendiri pun anak lima orang, jadi kita punya keperluan itu agak tinggilah ditambah pula musim macam ini,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Yasser Mohamed berkata, usaha dilakukan Abd Latif itu sangat tepat pada masanya dan wajar dicontohi peniaga lain.
“Kita memuji peniaga seperti beliau kerana sanggup memberi harga serendah ini kepada pengguna, apatah lagi ketika rakyat sedang diuji dengan masalah ekonomi, jadi apabila ada peniaga sanggup meletakkan harga serendah ini, kami semua sangat gembira dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan orang ramai,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan di lima lokaliti di Sabah serta dua lokaliti di Pahang yang mula pada 28 JUN hingga 11 Julai ditamatkan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLANG – Semua perkhidmatan rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah ( HTAR ) ditutup sepenuhnya bermula semalam sebagai persediaan menghadapi pengurusan pesakit Covid-19.
Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, antara perkhidmatan yang terjejas adalah rawatan klinik pakar pesakit luar di kompleks rawatan harian (ACC) serta perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan carakerja di bangunan utama.
“Pesakit yang mempunyai janji temu di klinik pakar dinasihatkan supaya tidak hadir ke hospital selepas 9 Julai (semalam) sehingga diberitahu kelak.
“Sehubungan itu, beberapa orang pegawai perubatan akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menyusun semula semua janji temu di klinik pakar.
“Ini termasuk pemberian preskripsi baru bagi pesakit yang telah kehabisan ubat,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan tarikh dan masa baharu bagi janji temu klinik pakar dan pengambilan ubat di farmasi akan diberikan oleh pihak hospital kepada pesakit melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
“Oleh itu, pesakit dinasihatkan supaya peka dengan notifikasi yang diberikan melalui SMS agar pesakit tidak terlepas janji temu dan terputus bekalan ubat-ubatan sepanjang penutupan perkhidmatan ini,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan suasana pekarangan HTAR di sini sedikit ‘menggerunkan’ apabila terdapat beberapa pesakit diletakkan di luar wad kecemasan hospital tersebut.
Perkara tersebut tular di laman sosial Facebook apabila ramai pengguna ‘melarang’ orang ramai mengunjungi hospital berkenaan sekiranya tidak mempunyai sebarang kepentingan, lapor KOSMO online.
Malah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah baru-baru ini dipetik berkata, penambahan unit katil baharu di HTAR akan dibuat dalam menampung jumlah pesakit Covid-19 di sekitar Lembah Klang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lukut – Balai Polis Lukut ditutup sementara bermula hari ini akibat penularan COVID-19 dalam kalangan anggotanya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, notis penutupan bermula jam 10.30 pagi hari ini.
Balai Polis Lukut beri notis penutupan sementara bermula 10 Julai hingga 16 Julai ini oleh Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson berikutan tiga anggota Balai Polis Lukut positif COVID-19 selain untuk proses sanitasi.
Susulan itu, semua proses pentadbiran serta lain-lain dihentikan sementara.
Orang ramai yang perlu berurusan dengan Balai Polis Lukut dalam tempoh ini diminta ke Balai Polis Port Dickson atau balai polis berhampiran.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi bilik gerakan IPD Port Dickson di talian 06-6462999 atau 06-6472222.
Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson Polis Daerah Port Dickson-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CUKAI JALAN TAMAT TEMPOH BOLEH GUNA SEHINGGA 30 SEPTEMBER
NAMUN, PERLINDUNGAN INSURANS PERLU ADA
TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh bagi memperbaharui lesen kenderaan (cukai jalan) yang tamat pada 1 Jun sehingga 31 Julai dan boleh menggunakannya tanpa memperbaharui termasuk lesen memandu masing-masing sehingga 30 September ini.
Walaubagaimanapun, orang ramai perlu memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insuran yang sah, jika diminta oleh pihak berkuasa untuk membuktikannya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, kelonggaran itu diberi berikutan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan boleh memperbaharuinya sehingga 30 September.
“Tidak perlu cukai jalan tetapi mesti ada salinan insuran, ini sudah cukup memadai sehingga 30 September, begitu juga teksi yang terlibat dengan pemeriksaan PUSPAKOM setahun sekali.
“Kerajaan memberi kelonggaran dan tidak memberi saman sekiranya pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM tidak dilakukan, sepatutnya kelonggaran itu tamat pada 31 Julai ini, termasuk melibatkan pemandu teksi” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan ke atas komuniti teksi serta memberi bantuan bakul makanan kepada kelompok itu di daerah Temerloh, Pahang, semalam.
Tambah beliau lagi, bantuan tersebut diagihkan berikutan pemandu teksi antara pihak yang terjejas sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah JPJ Negeri Pahang, Kamarul Iskandar Nordin menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi Temerloh.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Temerloh, Abdul Halim Awang berkata, sumbangan tersebut dapat meringankan beban buat mereka yang terjejas seramai 115 orang pemandu yang aktif.
“Pemandu teksi bergantung kepada penumpang, tiada penumpang yang memerlukan perkhidmatan teksi, semua kaunter tutup.
“Kami datang ke stesen teksi mengharap kalau ada yang memerlukan perkhidmatan kami, kalau ada penumpang adalah rezeki kami, selainnya bersembang bersama pemandu lain,”katanya.
Turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Pahang, Kamarul Iskandar Nordin dan Presiden PEKUASA, Tuan Muhammad Kifli Ma Hassan. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN, 10 JULAI : Tidak semua berita palsu yang tersebar di media sosial akan diberi pemakluman di portal rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Pemakluman itu dilihat kepada kewajaran dan diberi keutamaan kepada berita palsu yang menggugat keselamatan rakyat dan negara, serta menyentuh institusi diraja,agama dan sensitiviti kaum (3R).
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Pasukan Respons Pantas (PRP) di bawah kementerian itu sentiasa memantau berita palsu di media sosial.
“Berita palsu yang tersebar dan menggugat keselamatan serta menyentuh soal 3R akan dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, selain melaporkan kepada platform antarabangsa seperti Facebook untuk menurunkan berita palsu itu.
“Apabila sesuatu berita palsu itu berlaku ada banyak tindakan yang kita lakukan.
“Pertama di bawah KKM ada PRP, pasukan ini memang memantau apa yang berlaku di media sosial dan apabila berita palsu yang wajar diberi pemakluman, maka kita akan keluarkan pemakluman dan setiap hari kita keluarkan pemakluman,” katanya kepada pemberita dalam sidang media secaya maya selepas Perasmian Bengkel Usahawan Pahang Program Pengupayaan Digital, hari ini.
Setakat ini, hanya tiga individu ditangkap dan telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
Ketiga-tiganya didapati menyebarkan berhubung jangkitan COVID-19 dan vaksin virus itu dengan niat untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam.
Jelasnya, Ordinan itu diwujudkan bukan untuk mengambil tindakan kepada individu atau organisasi yang mengkritik kerajaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!