Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengundang pemimpin parti Pakatan Harapan ke Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana, Putrajaya petang ini.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, perjumpaan pada jam 2 petang ini akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri.
“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, dan Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, atas jemputan Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tiada kerajaan campuran akan dibentuk dengan parti-parti pembangkang.
Namun, kata perdana menteri, kerjasama dengan pembangkang hanya melibatkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi melalui platform Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
PH belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, tetapi Lim membayangkan bahawa DAPterbuka untuk mempertimbangkannya jika pembangkang tidak dijadikan “pak turut”.-MALAYSIAKINI
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MENANG BERSAMA BUAH TANGAN TERAKHIR DATUK MOKHZANI SEBELUM BERSARA
Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail sudah sinonim dengan penciptaan lagu-lagu tema hari kebangsaan, selain daripada Datuk Johari Salleh, Akbar Nawab,Tony Fonseka, Alfonso Soliano , Nazri Ahmad, Allahyarham Pak Ngah dan Siso Kopratasa.
Beliau yang pernah mencipta lagu tema hari kebangsaan seperti lagu Bersatu Menuju Wawasan, Negara Kita Tanggung Jawab Kita dan Menuju Alaf Baru yang menjadi tema lagu merdeka sekitar tahun 1990-an
Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang bakal bersara pada Februari 2022.
Selain itu, beliau pernah bekerjasama dengan Siso untuk menzahirkan lagu Cemerlang Gemilang Terbilang semasa era Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika sebagai pengerusi lagu tema kemerdekaan mulai dari tahun 2000, lagu lagu Merdeka yang terbaik turut dihasilkan oleh arwah Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) dan Siso seperti Kerana mu Malaysia dan Jalur Gemilang
Pada tahun 2006, sekali lagi beliau turut bertanggungjawab membawa lagu-lagu tema kemerdekaan bersifat komersil untuk pendengaran khalayak ramai seperti Sehati Sejiwa ciptaan Yuri dan lirik oleh Siso dan dinyanyikan oleh Alif Satar serta Di sini Lahirnya Sebuah Cinta ciptaan Sharon Paul, lirik oleh Ahmad Fitri Yahaya dan nyanyian Bob.
Koleksi buku lagu-lagu patriotik, antaranya terdapat karya Datuk Mokhzani
Pada tahun 2020, ketika negara mengalami pandemik Covid-19, tidak menghalang beliau terus berkarya, buat julung kalinya lagu tema hari kebangsaan berjudul Malaysia Prihatin mencatat sejarah negara dengan sentuhan muzik simfoni.
Ternyata percaturannya menggabungkan tiga orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), Orkestra RTM dan Orkestra Simfoni Kebangsaan telah membawa lagu ciptaan beliau itu berada di kelas dunia
Lagu ciptaan dan gubahannya berjudul Malaysia Prihatin dengan kerjasama penulis lirik El Sol Akhmad dan dinyanyikan oleh Ernie Zakry ternyata membuahkan hasil yang hebat dan mendapat pengiktirafan dari Sky Run video serta juga komen positif dari pengkritik muzik antarabangsa.
Datuk Mokhzani pernah beraksi secara langsung di China dan mendapat anugerah Malaysia Book of Records – The First Malaysian to Perform Live Music from the Great Wall of China
Seperti penjawat awam yang lain, beliau akan bersara wajib pada bulan Februari 2022 selepas lebih 29 tahun bersama Orkestra RTM. Selain itu beliau juga sering menghiasi pentas-pentas juri seperti Anugerah Juara Lagu dan Gegar Vaganza.
Mokhzani turut mendapat pengiktirafan sebagai duta piano Hagspiel Di China serta beliau turut dianugerah Icon Brand Laureates dan memegang dua Malaysia Book of Records, iaitu The first Malaysian musician to be appointed as international brand dan The First Malaysian to Perform Live Music from the Great Wall of China
Anak jati Perlis itu menyatakan, sentuhan Menang Bersama sebagai masterpiece kali ini adalah yang terakhir sebagai pengerusi lagu tema sebelum menyerahkan baton pada pengganti.
Beliau turut dianugerah Icon Brand Laureates
“Lagu tema hari kebangsaan 2021, Menang Bersama ciptaan saya dan lirik Siso sekali lagi menjadi masterpiece lagu merdeka. Walaupun begitu kali ini ianya lebih santai dan bersifat mesra pendengar dan lebih mudah dinyanyikan,” katanya.
Menang Bersama
Sekali genggam
Semangat tidak bergoyang
Teguhkan ikatan
yang tersimpul sekian lama
Gunung didaki
Ke lurah dituruni
Sederap melangkah gagah
Seiring bersatu
Kita jalin tekad berpadu
(Korus)
Menang bersama
Demi negara
Hargai pengorbanan
Di Barisan hadapan
Menang bersama
Demi negara
Mari kita kibarkan
Dengan gagah panji kemenangan
Lagu Dato Mokhzani
Lirik Siso
Penyanyi Faizal Tahir dan Gemersik Korus
Masterpiece terakhir sebelum bersara, Menang Bersama, lagu tema sambutan hari merdeka 2021-Foto Koleksi Datuk Mokhzani
“Liriknya mengajak rakyat bersatu hati untuk sama melangkah ke arah mengharungi detik sukar. Dengaq semangat yang jitu pasti kita mampu mencipta kejayaan dan bersama mengibarkan bendera kemenangan.
“Semoga lagu tema tahun ini Menang Bersama dapat menyemaikan semangat kekitaan dan harmoni yang telah terjalin sejak sekian lama antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sejak awal tahun 2000, gandingan tiga Ismail dalam arena politik di Pahang sememangnya menjadi perhatian dan pernah disebut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini Perdana Menteri, ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohd Said, masing-masing mempunyai kekuatan sokongan di peringkat kawasan mereka wakili.
Keakraban dan kesetiaan mereka kepada UMNO, walaupun selepas parti itu tewas mengejut pada PRU14, tidak perlu dipertikaikan.
Sejauh mana pengaruh 3 Ismail ini dijangka dapat mengubah pendekatan UMNO dalam memenangi semula sokongan rakyat menjelang PRU15 masih belum dapat dijangka.
Ismail Sabri adalah ketua UMNO Bahagian Bera, dan seorang lain Ismail (Mohd Said) juga adalah ketua UMNO Bahagian Kuala Krau.
Cuma nasib Ismail (Abd Muttalib) kurang baik apabila tewas pada pemilihan UMNO Bahagian pada tahun 2018 dan kini hanya berstatus ahli UMNO Bahagian Maran.
Walaupun begitu, Ismail (Maran) yang menyertai UMNO pada tahun 1982, sentiasa mendapat tempat dalam Kabinet kerajaan Persekutuan dan antara jawatan pernah dipegang beliau ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Bagi Ismail (Kuala Krau) pula, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, sebelum kerajaan diketuai Muhyiddin Yassin kehilangan majoriti, awal bulan ini.
Rekod Ismail Sabri dalam pilihan raya sebelum ini sangat cemerlang, sehinggalah PRU14 apabila beliau hanya menang dengan majoriti 2,311 apabila mendapat tentangan sengit daripada calon PKR, Zakaria Abdul Hamid (yang kini sudah menyertai BERSATU).
Dengan senarai Kabinet yang diketuai Ismail Sabri masih belum diumumkan, tidak mustahil gandingan tiga Ismail ini akan dinamakan sebagai Menteri penuh dan memegang portfolio penting dalam memastikan kebajikan penduduk di luar bandar, golongan petani dan nelayan, diberi perhatian sewajarnya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BOS CIA JUMPA PEMIMPIN TALIBAN SECARA RAHSIA DI KABUL
WASHINGTON – Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns mengadakan pertemuan rahsia di Kabul dengan pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar, lapor akhbar Washington Post hari ini.
Pertemuan mereka semalam, sekiranya disahkan, adalah pertemuan peringkat tertinggi antara kumpulan Islam tersebut dan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan.
Burns adalah salah seorang diplomat Biden yang paling berpengalaman, manakala Mullah Ghani yang mengetuai pejabat politik Taliban di Qatar, adalah salah seorang pemimpin tertinggi kumpulan tersebut yang telah mengambil alih kekuasaan di Kabul.
Seorang jurucakap CIA tidak mahu mengesahkan kebenaran pertemuan itu kepada agensi berita AFP dan berkata, CIA tidak pernah membincangkan perjalanan pengarahnya.
The Washington Post menyebut pegawai AS tidak didedahkan identitinya sebagai sumber yang mendedahkan pertemuan itu, namun dia tidak memberitahu mengenai isi perbincangan mereka.
Akhbar sama bagaimanapun menyebut tentang kemungkinan rundingan berkisar mengenai tarikh akhir untuk tentera AS menyelesaikan operasi pemindahan di lapangan terbang Kabul di mana beribu-ribu pelarian Afghanistan berkumpul dengan harapan dapat meninggalkan negara itu, lapor AFP
Biden telah menetapkan tarikh akhir 31 Ogos ini untuk menyelesaikan operasi pemindahan yang huru-hara itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BRUNEI REKOD KES KEMATIAN PERTAMA COVID-19 DALAM TEMPOH LEBIH SETAHUN
BANDAR SERI BAGAWAN: Brunei melaporkan dua kematian akibat Covid-19 hari ini, sekali gus menjadi kematian pertama dalam tempoh lebih setahun melibatkan virus maut itu di negara ini.
Seorang wanita warga emas berusia 85 tahun dan lelaki berumur 69 tahun meninggal dunia selepas terkena jangkitan paru-paru akibat Covid-19 selepas dimasukkan ke pusat kuarantin pada bulan ini.
Dua kes itu menjadikan jumlah kes kematian keseluruhan di negara ini adalah lima orang sejak pandemik bermula.
Brunei yang mempunya kira-kira 450,000 penduduk merekodkan kes kematian pertama akibat wabak tersebut pada Jun tahun lalu.
Pada bulan ini, pihak berkuasa Brunei melaksanakan sekatan ketat bagi mengekang penularan Covid-19 selepas mencatatkan peningkatan kes buat pertama kali dalam tempoh 15 bulan,lapor AFP
Pihak berkuasa menutup panggung wayang dan rumah ibadah, melarang makan di kedai dan melarang penduduk keluar rumah melainkan untuk hal penting.
Sementara itu, Brunei merekodkan sebanyak 110 kes jangkitan baharuhari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 1,983 kes sejak pandemik bermula.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKERJA WANITA NYARIS CEDERA DALAM KEJADIAN SAMUN DI TEMERLOH
TEMERLOH: Seorang pekerja perempuan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Chengal, dekat sini, nyaris dicederakan oleh seorang lelaki berusia lingkungan 20an yang menyamun kedai itu pada jam 6.26 pagi, di Taman Chengal , Temerloh.
Dalam kejadian itu, lelaki tersebut meluru masuk ke kedai ketika wanita itu sedang menyapu berdekatan pintu masuk berkenaan.
Menurut, Ketua Polis Temerloh, ACP Azhar Yusof, lelaki yang memakai topi keledar biru dan bersenjata pisau panjang mengarahkan pekerja tersebut ke kaunter jualan sebelum memaksa mengeluarkan wang daripada mesin wang.
Ketua Polis Temerloh, ACP Azhar Yusof,
Pekerja itu mengeluarkan wang dan memberi kepada lelaki itu berjumlah RM50 dalam pelbagai nilai.
Kejadian berlaku kira-kira tiga minit, kejadian boleh dilihat melalui video kamera TV litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian tersebut berdurasi 1 minit 23 saat.
Menurutnya, laporan telah dibuat dan kes dalam siasatan.-SAHIH
Rakaman cctv
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KETUA KAMPUNG TERIMA JALUR GEMILANG UNTUK SEMARAK SEMANGAT KEMERDEKAAN
LIPIS – Kibaran Jalur Gemilang akan mewarnai kediaman penduduk dan kemudahan awam di kawasan Padang Tengku, Lipis sempena bulan kemerdekaan dan sambutan 31 Ogos apabila mula diedarkan di Dataran Tok Linggi, Kampung Relong dekat sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long telah menyempurnakan penyampaian Jalur Gemilang di bawah inisiatif program Sepakat@Komuniti kepada seramai 30 orang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) termasuk Felda dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung Baharu (JKKB).
Jalur Gemilang kepada salah seorang ketua kampung, hari ini.
Pengerusi Ketua Kampung Lipis, Datuk Zulkifli Othman berkata, walaupun kawasan kampung masih ‘sunyi’ kerana penguatkuasaan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap pandemik Covid-19 tetapi pihak pengurusan kampung bertanggungjawab memastikan bendera Malaysia dikibarkan di rumah penduduk dan tempat kemudahan awam.
“Phak JKKK wajar memastikan setiap rumah mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda patriotisme sepanjang bulan kemerdekaan ini dan sambutan 31 Ogos tidak lama lagi, agar kemeriahan sambutan dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara sederhana ini perlu diadakan.
“Khususnya untuk membakar kesedaran generasi hari ini termasuk golongan pelajar bahawa aktiviti ini wajar diadakan setiap kali tiba bulan Ogos,” katanya di Kampung Relong dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, iaitu Pegawai Penerangan Lipis, Suhaisa Azri Muhd Subri.
Ketua Kampung Dusun, Ibrahim Aziz menambah, walaupun kampung agak lengang dan penduduk masih berhati-hati duduk di rumah, JKKK tetap memastikan kibaran Jalur Gemilang di setiap buah rumah dan kemudahan awam.
“Sumbangan sebanyak 10 helai bendera Malaysia bersaiz besar akan dipasang di semua lokasi kemudahan awam di kampung saya bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64,” katanya.
Ibrahim berkata, kibaran Jalur Gemilang cukup bermakna menandakan penduduk di semua peringkat usia sentiasa patriotisme terhadap negara bangsa lebih lagi telah selesa menikmati pembangunan luar bandar pasca merdeka.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, walaupun tanpa sambutan yang meriah seperti tahun sebelum penularan Covid-19 (sebelum 2020), tetapi JKKK dan JKKKB tetap memastikan setiap kawasan kampung dan kemudahan awam dikibarkan Jalur Gemilang.
“Apabila menyebut kemerdekaan, kita tetap memperingati jasa serta pengorbanan pejuang terdahulu yang menentang penjajah dan ancaman Komunis sehingga tanahair menjadi aman dan makmur.
“Jalur Gemilang merupakan simbolik bagi menyampaikan peristiwa sejarah sebelum merdeka dan pasca merdeka kepada generasi hari ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANTU RM10.2 JUTA TINGKATKAN KEMUDAHAN ICU DI PAHANG
KUANTAN: Sebanyak RM 10.2 juta telah diperuntukkan bagi meningkatkan kemudahan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital kerajaan di Pahang.
Sebanyak RM 4.8 juta disumbangkan kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, manakala RM3.8 juta disumbangkan kepada Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.
Sementara RM 1.6 juta disumbangkan kepada Hospital Kuala Lipis.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, sebanyak 11 hospital kerajaan di Pahang beroperasi dan hanya empat daripadanya mempunyai pakar serta ICU.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 107 katil disediakan di ICU dan 61 daripadanya digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 manakala 46 katil bagi merawat pesakit bukan Covid-19.
Beliau turut memberitahu, lima hospital swasta di Pahang turut menyumbangkan 80 katil bagi merawat pesakit Covid-19.
“Bagi kes membabitkan kematian mangsa Covid-19 boleh membuat tuntutan melalui NADMA dan alhamdulillah kerajaan pahang prihatin.
“Bantuan juga disalurkan kepada waris mangsa Covid-19 melalui PKOB dan Pejabat Agama Islam,” katanya bagi menjawab soalan daripada Adun Tras, Chow Yu Hui dalam Sidang DUN Pahang, hari ini.
Sehingga 20 Ogos lalu, sebanyak 394 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.Daripada itu, 166 kes kematian berlaku di HTAA, 46 kes di Hoshas, manakala 3 kes di Hospital Kuala Lipis.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dunia badminton dikejutkan dengan dakwaan cubaan mempengaruhi perlawanan dengan bayaran wang pada Sukan Asia Doha 2006 antara Lee Chong Wei dari Malaysia dan Taufik Hidayat dari Indonesia.
Ia bermula dengan pendedahan Taufik dalam wawancara stesen TV Indonesian baru-baru ini.
Taufik mendakwa bahawa dia ditawarkan 400 juta rupiah (RM117,000), oleh seorang pegawai pasukan Malaysia untuk kalah dalam pertandingan separuh akhir Sukan Asia Doha 2006 itu.
Jumlah itu merupakan dua kali ganda hadiah yang dijanjikan kerajaan Indonesia sekiranya dia menang pertandingan berkenaan.
Chong Wei, yang terkejut dengan pendedahan itu, dilapor akhbar tempatan New Straits Times semalam sebagai berkata bahawa dia lantas menghubungi Taufik mengenai perkara itu.
Lee Chong Wei bekas pemain badminton negara
“Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai perkara ini. Saya terkejut ketika orang mula menghubungi saya hari ini.
“Taufik adalah kawan saya, jadi saya segera menghubungi dia. Dia memberitahu saya apa yang telah berlaku.
“Syukurlah bagi orang-orang seperti Taufik dan saya, maruah negara sentiasa diutamakan,” kata Chong Wei.
Chong Wei mengatakan bahawa dia tidak berhasrat menamakan dan memalukan individu yang didakwa cuba mempengaruhi perlawanan antara dia dan Taufik itu.
Bekas pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat
“Saya percaya kita semua harus ke hadapan. Saya tidak mahu menamakan atau memalukan sesiapa,” katanya.
Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu mengakui bahawa dia juga pernah didatangi oleh individu yang ingin mempengaruhi perlawanan pada masa lalu, tetapi mengatakan bahawa dia tidak pernah terlibat.
Seperti Chong Wei, Taufik juga tidak mendedahkan identiti individu itu.
NST, dalam laporannya, menyorot bahawa pegawai itu dipercayai bekas pemain pasukan kebangsaan.
Percubaan untuk mempengaruhi perlawanan gagal dan Taufik merangkul pingat emas pada Sukan Asia Doha 2006 setelah mengalahkan Chong Wei di separuh akhir dan Lin Dan dari China di peringkat akhir.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Sebanyak 350 bendera diedarkan untuk dipasangkan di kereta kepada kenderaan yang melalui jalan utama menghala ke bandar Jerantut, pagi ini.
Agihan bendera itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Lalulintas Majlis Daerah Jerantut untuk menyahut seruan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan ROsdy Wan Ismail yang melancarkan ‘Kibarkan Jalur Gemilang’ di Kuantan, semalam.
Ahli Majlis Daerah Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor berkata, agihan bendera itu sebagai menyemarakkan semangat menyambut bulan kemerdekaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.
Ahli Majlis Daerah Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor, agihan bendera itu sebagai menyuntik semangat kekitaan
“Keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan hari kemerdekaan tidak dapat diadakan seperti biasa sejak 2020 disebabkan ancaman pandemik COvid-19.
“Oleh itu, agihan bendera ini dapat menyuntik semangat kekitaan dan sayangkan negara yang tercinta,”katanya.
Turut bersama menjayakan program itu, wakil Majlis Daerah Jerantut, Mohd kasri Abdullah serta kakitangannya, anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dari Ibupejabat Polis Daerah Jerantut dan anggota Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jerantut.
350 bendera diagihkan pagi ini.
Katanya, penduduk di daerah Jerantut dapat memasang bendera di rumah dan juga premis masing-masing.
“Mengibar bendera ini sebagai menunjukkan betapa bangga kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup penuh harmoni sejak merdeka pada tahun 1957,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!