SAHIH !AZALINA LETAK JAWATAN TIMBALAN YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Perkara itu dinyatakannya dalam kenyataan yang turut dimuat naik dalam laman Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, keputusan meletakkan jawatan itu selaras dengan harapannya agar fungsi Dewan Rakyat dapat ‘ditetapkan semula’.
“Keputusan mengosongkan jawatan itu bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang dapat lebih banyak ruang untuk menetapkan semula Dewan Rakyat agar ia benar-benar dapat berfungsi sebagai forum persaingan profesional mengenai dasar dan pentadbiran, lapor utusan online
“Saya akan menyokong sebarang pembaharuan kerajaan dan pembangkang dalam usaha mencari penyelesaian yang bijak secara kolektif.
“Saya juga berbesar hati dan menganggap ia merupakan suatu penghormatan yang besar untuk diberi peluang berkhidmat sebagai Timbalan Speaker selama 13 bulan yang lalu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan sumber yang memberitahu pemimpin itu telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut.
Dalam senarai Kabinet baharu susulan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, nama beliau disebut-sebut akan menggantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta yang enggan membayar tol di plaza tol akhirnya memalukan diri sendiri apabila dia kemudiannya terkandas dan terpaksa juga membuat pembayaran bagi meneruskan perjalanan.
Rakaman kejadian tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna jalan raya yang bengang apabila kereta dipandunya telah diekori rapat oleh sebuah kereta jenis Proton Waja sehinggalah mereka memasuki lorong pembayaran dipercayai di plaza tol Batu Tiga, Shah Alam.
Berang kerana diekori sebegitu, pemandu berkenaan kemudiannya bertindak bijak memperlahankan kenderaan dan berhenti betul-betul dihadapan palang mengakibatkan Proton Waja tersebut terkandas.
Perkongsian tersebut telah mendapat lebih daripada 86,000 tanda suka termasuk 1,800 komen daripada pengguna media sosial yang bersetuju dengan tindakan itu dan menyifatkan cubaan mengelak membayar tol itu sebagai pentingkan diri sendiri dan merbahaya.
“Nombor plat terpapar tu, kita kumpul setiap nombor kereta yang buat kesalahan begini dan serahkan pada pihak berkaitan agar hidup dia susah di jalan raya macam dia susahkan orang lain,” cadang seorang pengguna dengan nama @Aman.
“Bahaya buat macam ni boleh akibatkan kemalangan, jangan pentingkan diri sendiri dan jangan sokong kata orang tu susah dan sebagainya. Salah tetap salah, jangan sebab kita susah kita susahkan orang lain juga,” tegas seorang lagi pengguna dengan nama @arlan99, lapor kosmo online.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada kejadian telah dilaporkan kepada mana-mana pihak penguatkuasaan atau tidak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SAMBUT MERDEKA KE-64,KIBARKAN JALUR GEMILANG: ADUN DAMAK
JERANTUT: Pejabat Perkhidmatan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak menyerahkan 60 helai Jalur Gemilang di kalangan penduduk di kawasan taman perumahan bersama Pejabat Penerangan Jerantut yang menganjurkan Program Sepakat@Komuniti di Taman Mat Kilau, bandar Jerantut, hari ini.
Program itu telahpun disempurnakan oleh wakil rakyat kawasan Damak, Zuridan Mohd. Daud dan secara simbolik memasang dan mengibarkan bendera di hadapan beberapa buah kediaman di situ.
ADUN Damak, Zuridan Mohd. Daud (dua dari kanan) dan secara simbolik memasang bendera di hadapan beberapa buah kediaman..
“Tradisi mengibarkan Jalur Gemilang merupakan aktiviti bersejarah sekali gus meriah serta memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara setiap kali tiba bulan Ogos, iaitu bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan negara.
“Memasang dan mengibar bendera di kediaman dan kenderaan dapat meningkatkan nilai kecintaan dan menyuburkan solidariti bagi semua kaum untuk mengekalkan sebuah negara harmoni terutama generasi muda yang bakal memenagn tampuk negara,” katanya.
Turut hadir, iaitu Pegawai Penerangan Jerantut, Basharuddin Md Yassin dan Pengerusi Surau Taman Mat Kilau, Sabri Rahim.
Katanya, selain mengedarkan bendera, beliau turut memberi sumbangan kepada penduduk yang terkesan barang keperluan dapur untuk meringankan perbelanjaan mereka dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.
Zuridan turut memasang bendera kecil di sebuah motosikal, hari ini.
Katanya, turut mengedar dan memasang lebih 100 Jalur Gemilang bersaiz kecil pada kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) pekan Damak hari ini.
“Walaupun masih dalam tempoh penguatkuasaan PKP dan pematuhan SOP, saya yakin sambutan 31 Ogos tetap bersemarak serta bersemangat dalam jiwa rakyat negara ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JKKN MENGANJURKAN MAKMAL USAHAWAN SENI BUDAYA (MAUS) SIRI 02 TAHUN 2021, DIADAKAN MULAI 25-27 OGOS SECARA ATAS TALIAN.
JERANTUT: Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) mempelawa pengiat seni dan usahawan di negeri Pahang menyertai Makmal Usahawan Seni Budaya (MAUS) Siri 02 Tahun 2021 yang bakal diadakan mulai 25-27 Ogos ini secara atas talian.
Pengarah JKKN Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang berkata, JKKN akan menganjurkan Webinar MAUS selama tiga hari bermula 25 Ogos ini dan akan diadakan secara dalam talian melalui platform www.clodtheartre.com dan disiarkan di Facebook JKKN TV.
Pengarah JKKN Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang
“Program Keusahawanan seni budaya merupakan penggalakan kepada usahawan seni budaya dalam menjana pendapatan dengan memberi tumpuan peningkatan kemahiran serta teknik berkesan dalam aktiviti jualan dan pemasaran melalui platform digital.
“Selain itu, mewujudkan dan pengumpulan data usahawan digital seni budaya melalui pembinaan laman web interaktif yang merupakan jalinan kerjasama di antara JKKN bersama Persatuan Usahawan Seni Budaya Malaysia (PUSM),” katanya ketika dihubungi.
Katanya, program itu menyediakan saluran khusus kepada para penggiat dan usahawan seni budaya menggunakan platform digital dalam pendaftaran keahlian, promosi program dan meningkatkan silang niaga di kalangan ahli.
“Selain itu untuk mendapatkan data secara sistematik dan tepat dalam membantu perancangan dan pembangunan usahawan seni budaya.
“Menyediakan platform rujukan kepada penggiat seni budaya dan usahawan seni budaya serta pihak berkepentingan sebagai pangkalan data yang berwibawa,” katanya.
Katanya, pengiat seni dan usahawan yang bakal mengikuti program ini melalui atas talian Webinar pada kali ini menggunapakai sistem RSVP (daftar sekali sahaja).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
4 REMAJA TERLIBAT SINDIKET JUAL SURAT RENTAS NEGERI MITI PALSU DIBERKAS, KATA KP JOHOR
JOHOR BAHRU: Empat remaja dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan dan pemalsuan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat akuan majikan bagi tujuan merentas negeri ditahan di sekitar bandar raya ini, 5 Ogos lepas.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 19 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman, sekitar pukul 8.30 malam sehingga 10.30 malam.
Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak Mac tahun ini dan dianggarkan sebanyak 250 dokumen palsu telah dijual ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan keuntungan sebanyak RM37,500.
“Modus operandi mereka adalah dengan mengiklankan perkhidmatan di media sosial termasuk Instagram, Facebook dan WeChat dengan menjual surat itu pada harga RM150. Empat individu ini menerima komisen sebanyak RM50 hingga RM100 setiap seorang bagi setiap dokumen yang dijual,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu juga pada masa sama didapati menggunakan kod respons pantas atau Kod QR yang boleh diimbas di surat palsu berkenaan yang sekali gus menyukarkan pihak polis di sekatan jalan raya (SJR) untuk mengesan.
“Namun kami dapati bahawa penama yang membawa surat ini di SJR bukan pekerja syarikat seperti yang tertera di surat palsu itu. Mungkin ada penglibatan orang dalam jadi kami akan siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau pihaknya kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 21 tahun, dipercayai dalang sindiket itu dikenali sebagai Nicholas Chai Jia Han, yang beralamat di No 49 Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak.
“Individu ini dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebarang maklumat orang ramai diminta menghubungi ASP Timmy Anak Aheng di talian 019-7773728 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, mengenai kes berlainan, Ayob Khan berkata, tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 47 tahun disyaki terlibat sindiket pinjaman ah long yang beroperasi sejak 2019 dengan menyasarkan peniaga kecil ditahan di sekitar bandar raya ini pada 18 Ogos lalu.
“Setakat ini 80 peminjam berulang telah dikesan dengan jumlah pinjaman berjumlah RM1.5 juta,” katanya yang menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Dalam serbuan berasingan pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun pada 17 Ogos lalu kerana dipercayai terlibat kegiatan khianat dengan menyimbah cat ke rumah peminjam di sekitar Batu Pahat dan Segamat.
Individu terbabit melakukan khianat melibatkan empat buah rumah setakat ini dengan menerima upah RM350 bagi setiap rumah yang disimbah cat dan kes disiasat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.- BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TIMBANG TAWARAN KERAJAAN, PERLU KERJASAMA RENTAS PARTI, PEMBANGKANG DIBERITAHU
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berharap 105 Ahli Parlimen pembangkang akan mengambil pendekatan pragmatik dalam mempertimbang tawaran yang dikemukakan oleh kerajaan baharu.
Dalam kenyataan bersama semalam, MCCC dan DPIM turut menekankan bahawa negara memerlukan kerjasama rentas parti bagi kelangsungan kerajaan untuk tempoh minimum 2-18 bulan dan seterusnya dapat memantapkan lagi kualiti penggubalan serta pelaksanaan dasar.
“Tanpa kestabilan politik dan tadbir urus lebih baik, Malaysia akan ketinggalan berbanding negara-negara jiran dalam tempoh pasca pemulihan Covid-19 yang berkemungkinan besar menjejaskan kekukuhan ekonomi kita untuk sekurang-kurangnya satu generasi,” katanya.
Selain itu, MCCC dan DPIM berkata pendekatan kesepakatan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri dalam ucapan sulung beliau pada petang semalam, hanya dapat direalisasikan menerusi usaha pakatan rentas parti yang dapat menjamin kestabilan politik selain mempertingkat aspek tadbir urus.
Malah, mereka berpendapat ini dapat dicapai menerusi usaha pembaharuan Parlimen dan Majlis Persekutuan-Negeri bagi Pemulihan Ekonomi dan Kesihatan yang disertai kerajaan negeri, pembangkang, pakar dan pihak berkepentingan mewakili perniagaan dan masyarakat.
Pada masa sama, MCCC dan DPIM menggesa Ismail Sabri untuk meneruskan usaha bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mencapai persefahaman rentas parti bersama pembangkang dengan mengemukakan tawaran pakej yang lebih berani.
Kedua-dua dewan perniagaan itu juga menggesa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang melibatkan pemantauan perundangan ke atas setiap kementerian selain membuka pelbagai saluran untuk mendengar pandangan kalangan perniagaan serta masyarakat.
“Tidak kurang pentingnya adalah mewujudkan Jawatankuasa Persekutuan-Negeri bagi Pemulihan Negara yang bertanggungjawab ke atas kesihatan awam dan pemulihan ekonomi yang harus melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pembangkang, pakar dan pihak berkepentingan dalam sektor swasta dan pelbagai dewan perniagaan negara untuk meningkatkan kualiti serta penyelarasan dasar berkaitan ekonomi dan pandemik.
“Penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan ketua pembangkang Parlimen selaku timbalan selain melibatkan kesemua 13 menteri besar/ketua menteri, akan turut memberi mesej jelas kepada pasaran bahawa kebuntuan politik ini sudah berakhir,” katanya.
Sumber : BERNAMA
.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa berjaya merangkul pingat emas di kejohanan CAS International Meeting, yang berlangsung di Stade Jean-Jacoby di Schifflange, Luxembourg, awal hari ini.
Jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa
Atlet berusia 29 tahun, kelahiran Johor itu yang kini berpangkalan di Jerman, meraih emas dengan lompatan setinggi 2.18 meter.
Bagaimanapun, Olimpian itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.30m yang dicatatkan pada Kejohanan Terbuka Singapura 2017, yang juga rekod kebangsaan, gagal dalam percubaan terakhir untuk ketinggian 2.21m.
Atlet Belanda Douwe Amels dan Keyvan Ghanbarzadeh dari Iran, yang juga berjaya melepasi 2.18m, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa berdasarkan kiraan semula, menurut laman web rasmi Olahraga Dunia www.worldathletics.org.
Nauraj Singh melepasi 2.18m dalam percubaan pertama manakala Amels dan Keyvan, masing-masing hanya berjaya melakukan lompatan pada percubaan kedua dan ketiga.
– Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Keadaan tidak menentu apabila negara dan seluruh dunia diserang pandemik Covid-19 sejak awal 2020, mengakibatkan keadaan ekonomi turut terkesan di samping ramai yang terjejas dan hilang mata pencarian kerana ada diberhentikan kerja disebabkan terdapat majikan tidak mampu meneruskan operasi masing-masing.
Dalam situasi yang tertekan , sikap ‘survival’ dan kreativiti mula muncul dan harus digunakan untuk mencari cabang pendapatan baharu yang lain untuk meneruskan kehidupan bagi menyara keluarga.
Semasa tempoh penguatkuasaan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang, mendorongkan pasangan suami isteri, generasi kedua Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Muhammad Rozi Ismail, 41, dan Haslina Md Jalil, 40, mengerjakan kawasan lapang yang terdapat di kawasan Felda di situ.
Muhammad Rozi Ismail, mula mengerjakan kawasan lapang yang terdapat di kawasan Felda di situ dengan tanaman terung.
Kesungguhan ingin mengubah cara hidup dengan semangat berkobar untuk bebas daripada tekanan kesukaran memperoleh pendapatan sebelum ini, mendorongkan pasangan itu mula mengusahakan tanaman terung di kawasan seluas 0.4 hektar milik Felda di situ mula terbukti berhasil.
Muhammad Rozi berkata, peringkat awalnya keraguan muncul kerana bimbang apa yang akan dilakukan akan gagal, mujur isteri memberi galakan, nasihat dan turut membantu mengerjakan tanah untuk memulakan tanaman terung.
“Saya memulakan tanaman ini pada bulan Oktober tahun lalu dengan menggunakan modal daripada simpanan saya untuk membeli biji benih, peralatan kebun dan baja, malah saya menyemai sendiri sebanyak 1,700 pokok di batas tanah yang dibuat menerusi bantuan isteri dan anak.
“Saya menggunakan baja organik yang beli daripada pembekal di Felda ini, manakala peralatan pengairan dan penyiraman pokok saya buat sendiri bagi mengurangkan perbelanjaan,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang.
Katanya, kira-kira selepas 70 hari, sebanyak 1,700 batang pokok terung mula mengeluarkan hasil dan boleh dipetik, hasil pertama saya perolehi seberat kira-kira 1,000 kilogram (kg), manakala hasilnya sehingga ini sudah melebihi 5,000 kg.
“Pengeluaran hasil yang baik mendorongkan saya dan isteri mula merancang untuk menanam cili kecil, pisang dan menternak kambing kerana keperluan pasaran tempatan yang memberangsangkan ketika ini,” katanya.
Isterinya, Haslina berkata, pada awalnya dia juga bimbang hasil tanaman itu tidak ada pasaran, tetapi sebaliknya jangkaan itu meleset apabila sayuran terung mendapat banyak permintaan daripada masyarakat Felda di situ.
Haslina Md Jalil, anggaran seberat antara 1,000 hingga 2,000 kg terung dipasarkan setiap minggu.
“Sehingga bulan ini, anggaran seberat antara 1,000 hingga 2,000 kg terung dipasarkan setiap minggu bagi memenuhi permintaan pembeli dan pemborong di pasar raya Bandar Pusat Jengka dan kawasan Felda berdekatan,” katanya.
Ibu kepada lima orang anak berusia antara 5 hingga 21 tahun berkata, selain terung, mereka mula menanam petola, kacang panjang, cili dan cekur manis, hasil tanaman itu cukup untuk keperluan dapur, persekolahan dan simpanan sebagai modal bagi tanaman lain dalam masa terdekat.
Haslina meneliti pokok disemai selain terung, mula menanam petola, kacang panjang, cili dan cekur manis..
“Saya berharap generasi baharu Felda tampil mengerjakan kawasan tanah lapang di belakang rumah dalam bidang pertanian, hasilnya boleh dijual, tanamlah benih apapun di kawasan tanah yang subur pasti akan mendatangkan hasil,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Kegigihan dua kanak-kanak yang turut serta mencurah keringat membantu membersihkan lumpur tebal yang memenuhi sebuah kawasan masjid di Yan, Kedah baru-baru mendapat pujian ramai.
Pemilik akaun Facebook bernama Haji Yunus Kphajiyusoff berkongsi beberapa keping gambar kanak-kanak berkenaan selain suasana sekitar kawasan yang terjejas banjir berikutan tragedi kepala air Rabu lalu.
“Perwira yang tidak didendang. Kanak-kanak ini datang bersihkan masjid. Riak muka yang ikhlas. Tanpa mengharap balasan apa-apa. Hebat tarbiyah keluarga ini,” tulisnya dalam kapsyen gambar tersebut.
Perkongsian itu mendapat lebih 2,000 tanda suka dan dikongsi lebih 2,000 kali dengan rata-rata netizen bersimpati dengan musibah yang menimpa penduduk setempat dan berharap urusan mereka dipermudahkah.
“Baru pi (pergi) tadi. Adik-adik ini kira rajin. Bukan Senang nak alih lumpur tebal dan banyak. Semoga dipermudahkan segala urusan,” komen Mohamad Salman.
“Anak Kedah bermain lumpur itu biasa tahniah kepada ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan cara yang betul insya-Allah akan menjadi anak soleh,” ulas Apian Gerek, lapor KOSMO online
“Saya baru tegur budak-budak ini di masjid. Baru berumur 9 tahun sudah rajin menolong,” puji Nur Alia.
“Seronok tengok adik-adik ini. Sambil buat amal sambil juga dapat main selut dengan kawan-kawan,” kata Mohd Zubir.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAYATI KONSEP KELUARGA MALAYSIA UNTUK BANGKIT SEMULA
LIPIS: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bersetuju dengan Konsep Keluarga Malaysia yang sangat inklusif dan terasa sangat dekat dengan rakyat menunjukkan satu nilai prihatin dan kasih sayang sesama kita semua satu keluarga besar Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengajak rakyat Malaysia bersama Perdana Menteri menghayati konsep Keluarga Malaysia
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata Perdana Menteri, Datuk seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan frasa Keluarga Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia merentasi fahaman politik, tidak kira kaum dan agama untuk mendakap erat prinsip kebersamaan, bagi memastikan kita semua bersama-sama keluar dari pandemik ini.
“Justeru, tanggungjawab kita untuk sama-sama menghargai persamaan, bukan perbezaan, agar kita mampu membina semula negara Malaysia yang lebih cemerlang dan gemilang.
“Saya amati bait-bait tersebut yang disampaikan oleh Perdana Menteri, setiap tingkah yang dilakukan umpama “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak, sungguh puitis dan mendalam maksudnya,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri turut menyampaikan ungkapan keringat dan nilai sesuap nasi cukup difahami, beliau sedang bekerja sebagai seorang perdana menteri untuk semua, demi menjaga nyawa, keringat dan nilai sesuap nasi semua rakyat Malaysia, sama-sama kita berganding bahu membantu beliau memacu negara keluar dari krisis ini.
“Diharapkan semua peringkat rakyat Malaysia sewajarnya bersama mengembleng tenaga dan keringat serta membulatkan tekad untuk memastikan Malaysia kembali mengaum di rantau ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!