KULIM, KEDAH: Berang dengan tindakan rakan sekerja menuduhnya mengambil wang sumbangan untuk membeli dadah, seorang lelaki bertindak membakar lori dan pondok kediaman pekerja ladang lembu di Junjong, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, lelaki berusia 30-an mendakwa dirinya tertekan dengan tuduhan berkenaan menyebabkannya bertindak membakar lori serta pondok untuk membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazali Adam, berkata suspek bagaimanapun terpaksa membatalkan hasratnya membunuh diri dengan keluar daripada pondok itu kerana tidak tahan panas.
Beliau berkata, kejadian disedari pengurus ladang yang tiba di lokasi dan terkejut apabila melihat lori dan pondok yang menempatkan tiga pekerja terbakar.
“Pengurus ladang berkenaan kemudian menyoal pekerjanya dan suspek mengaku melakukan perbuatan itu.
“Mendengarkan jawapan itu, pengurus terbabit terus membawa suspek ke Balai Polis Junjong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut suspek memberitahu dia membakar lori dan pondok kediaman pekerja itu menggunakan selimut.
“Suspek mendakwa dia tertekan dengan kata-kata buruk rakan sekerja yang menuduhnya mengambil wang sumbangan badan keagamaan untuk membeli dadah.
“Siasatan mendapati lokasi kejadian itu terletak jauh dalam sebuah ladang sawit,” katanya.
Katanya, polis turut merampas sehelai baju, seluar jeans, sepasang selipar dan pemetik api yang dipercayai digunakan suspek ketika membakar lori dan pondok itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 436 Kanun Keseksaan. – BH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MULA DENGAN LAPAN EKOR, KINI PEMBEKAL DAGING ARNAB
JERANTUT: Bermula dengan lapan ekor arnab yang dibeli, sekarang pengusaha ternakan arnab daging di Felda Gelanggi Dua berdepan bekalan daging arnab yang tidak mencukupi untuk dijual kepada pembeli dan penggemar daging haiwan itu.
Pengusaha tersebut, Mohd Shamsurezza Awang, berusia 36 tahun, berkata, pada awalnya dengan 4 ekor jantan dan 4 ekor betina, kini sudah mempunyai hampir 300 ekor arnab dan dianggap pembekal daging arnab di kawasan daerah Jerantut, Bandar Jengka, malah ada pembeli dari Melaka dan Kuala Lumpur.
Mohd Shamsurezza Awang, selepas melayari internet, terus terbuka untuk menternak arnab
“Saya memulakan ternakan arnab pada November 2019, selepas melayari internet berkaitan dengan penternakan arnab, selepas berkali-kali menonton, ia membuka hati saya untuk berternak dan bermula dengan modal kira-kira RM500 untuk membeli dawai untuk dibuat sangkar.
“Selain itu, saya mengikuti kursus sehari cara penternakan arnab di Rantau Panjang, Klang, Selangor untuk mengetahui lebih lanjut seluk-beluk penjagaan dan peliharaan haiwan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan orang yang telah makan daging arnab dikatakan daging arnab sesuai dan sedap dibuat rendang, sate, daging arnab perap, arnab masak kicap serta arnab goreng kunyit.
“Ada yang suka makan daging arnab kerana dipercayai mempunyai rendah lemak, banyak protein, kolestrol rendah dan tinggi serat yang halus dan tinggi, peranan yang besar untuk kesihatan badan untuk membentuk asas nutrisi untuk atlet, terutama pembina badan.
“Pasaran daging arnab sekarang banyak dibeli oleh penduduk Felda Gelanggi Dua dan sekitar, kebanyakannya membeli yang siap disembelih dan dibersihkan, saya juga menjual daging yang sudah disejuk beku,” katanya.
Mohd Shamsurezza Awang memberi arnah ternakannya makan.
Katanya, ada yang membeli arnab hidup untuk dijadikan haiwan peliharaan dan ada yang membeli untuk dijadikan induk penternakan arnab.
“Daging arnab yang siap disembelih dan dibersihkan berharga RM35 sekilogram, manakala arnab hidup berusia sebulan berharga RM35, usia 2 bulan (RM50), 3 bulan (RM70), 4 bulan (RM170) dan usia 5 bulan ke atas berharga RM170 seekor.
“Berkaitan dengan arnab, mempunyai banyak jenis baka, antara yang diternak ialah jenis New Zealand White 200 ekor dan Chincilla pedaging 50 ekor,” katanya.
Isterinya yang turut membantu, Norhana Badaruddin (35) berkata, sekarang bekalan daging arnab tidak mencukupi, maka pasarannya mendahulukan pelanggan tetap seperti pembuat daging arnab perap dan penjual sate serta penduduk sekitar Jerantut.
Norhana Badaruddin, sekarang bekalan daging arnab tidak mencukupi, maka pasarannya mendahulukan pelanggan tetap seperti pembuat daging arnab perap dan penjual sate serta penduduk sekitar Jerantut.
“Saya juga perlu memantau pemakanan arnab yang diberi sehari sekali dan setiap ekor akan makan kira-kira 100 gram makanan bijirin jenis FFM berharga RM68 sekampit seberat 25 kilogram.
“Kadang-kadang anak saya berusia 9 dan 12 tahun serta anak jiran suka datang ke ‘reban’ arnab di sini untuk turut membantu secara ‘main-main’ sebab mereka suka tenguk arnab, mereka tolong membersih dan membasuh sangkar supaya tidak kotor,” katanya.
Katanya, mereka turut mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan arnab termasuk pemakanan dan sekali sekala turut memberi makan rumput napier.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – Empat balai bomba baharu akan dibina tahun ini dalam usaha meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat memandangkan jabatan ini semakin diperlukan dalam menghadapi pelbagai cabaran di seluruh Negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, empat balai bomba baharu itu akan dibina untuk memperkasakan pasukan di Sungai Lembing, Kuantan; Gohtong, Genting Highlands, Kuala Lumpur, manakala di Subang, Selangor yang akan menjadi pusat operasi helikopter.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib
“Tapak pembinaan projek telah dikenal pasti dan proses tender sedang dilakukan sebelum proses pembinaan akan dimulakan secepat mungkin.
“Cabaran pasukan ini bukan sahaja memadamkan kebakaran tetapi turut terlibat dalam kejadian kemalangan, banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya sempena lawatan kerja di Balai Bomba dan Penyelamat Raub di sini hari ini.
Katanya, oleh itu beliau berharap peningkatan dari segi infrastruktur, fasiliti dan kebajikan anggota perlu diberi lebih perhatian.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Pahang, Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Balai Bomba Raub yang dibuka pada 1960 telah dinaiktaraf pada 2017 dan siap 30 Ogos lalu yang melibatkan peruntukan kira-kira RM3.14 juta.
Katanya, pada masa ini terdapat 324 buah balai bomba di seluruh negara dengan anggota dan pegawai seramai kira-kira 15,000 orang.
Beliau memberitahu, pembinaan empat balai bomba baharu berkenaan dilakukan selepas melihat kepentingan dan keperluan pembinaannya di kawasan berkenaan khsususnya dalam operasi menyelamat.
Katanya, pihak kerajaan akan terus melakukan penilaian bagi pembinaan baharu dan menaik taraf balai bomba di seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sementara itu beliau berkata, setiap kali hujung tahun khususnya di kawasan pantai timur akan dilanda angin monsoon timur laut dan bakal berlaku banjir, oleh itu pihak bomba sentiasa bersiap sidia termasuklah dalam berhadapan kemungkinan kejadian banjir.
Katanya, aset diperlukan berada dalam keadaan yang baik dan pasukan juga sentiasa bersedia untuk melakukan penugasan pada bila-bila masa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
EMPAT SEKOLAH DI KLANG BERGABUNG SAMBUT HARI MALAYSIA
KLANG: Buat julung kali, empat buah sekolah rendah bergabung menganjurkan Program Jalinan Kemerdekaan 2021 secara maya untuk memupukkan semangat patriotisme serta cintakan perpaduan di kalangan murid pada 30 September lalu.
Program itu juga bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia sekolah yang terlibat, Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama (SKTKU), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pui Ying dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Meru.
Program tersebut merupakan cetusan idea Guru Besar, SRI Hira’, Zaroni Desa dan Guru Besar SKTKU, M. Khalimi Dalhan dan dikendali oleh empat pengacara cilik, Eusoff Dzihney M. Anwar dari SKTKU, Aisyah Farhani Muhammad Rizal (SRI Hira’), Yong Jia Xuzn (SJKC Pui Ying) serta Sathana Segaran (SJKT Jalan Meru).
Guru Besar, SRI Hira’, Zaroni Desa
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKTKU, Habshah Simon, berkata program itu bagi memupuk hubungan kerjasama serta mengerat silaturahim antara sekolah di sekitar lokaliti berhampiran serta menyemaikan semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid.
Katanya, program secara tidak langsung menyediakan platform berkonsep pendidikan inklusif dalam meraikan kepelbagaian potensi murid di samping mencungkil dan menggilap bakat mereka menerusi beberapa aktiviti seperti berceloteh sebagai pengacara majlis, pembikinan video serta seni kaligrafi.
“Program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana dapat mencungkil serta mengembangkan potensi dan bakat murid demi kemenjadian mereka yang secara tidak langsung khususnya dalam unit kokurikulum,” katanya.
Guru Besar SJKC Pui Ying, Choo Lay Yoong berkata, program itu dapat melahirkan rasa syukur dan bangga kerana berkolobrasi dengan sekolah pelbagai aliran selain berharap supaya rakyat Malaysia dapat terus berganding bahu serta memikul tanggungjawab bersama khususnya menangani wabak Covid-19 sekarang.
Guru Besar SJKC Pui Ying, Choo Lay Yoong
Guru Besar SJKT Jalan Meru, Susila Muniandy berkata, cetusan idea sebegini amat baik untuk diteruskan di masa hadapan demi membentuk generasi muda yang faham dengan keperluan hidup muhibbah serta saling menyayangi antara kaum.
Guru Besar SJKT Jalan Meru, Susila Muniandy
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan, berharap dalam memperbaharui tekad patrotisme, supaya tidak mempersia-siakan apa yang telah warga terdahulu tinggalkan disebabkan perbezaan antara kita, sebaiknya kita perlu meraikan dan pertingkatkan semangat jati diri.
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan
Guru penyelaras dan pengarah Program itu, Fauziah Aripin dari SRI Hira’ berkata, program itu memberi pendedahan kepada murid sekolahnya yang beraliran agama dengan suasana sambutan kemerdekaan bersama-sama rakan berbilang bangsa.
“Di samping menjadi medan bertukar budaya kerja bagi guru sekolah pelbagai aliran yang terbabit kerana sekolah mempunyai kekuatan tersendiri serta perbezaan itu boleh dibentuk dan mewarnai masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan hidup penuh muhibbah.
“Program ini disusun dengan begitu rapi dan dimulakan dengan ucapan ringkas yang mahukan program berkenaan menjadi perintis jalan bagi kesinambungan program pada masa akan datang dalam usaha mempersiapkan generasi yang menghayati konsep Keluarga Malaysia. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GURU PERLU HIDUPKAN SEMANGAT GURU TAHUN 70AN DAN 80AN
JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut mahu semangat di kalangan guru yang berkhidmat pada tahun 1970an dan 1980an dihidupkan kembali bagi meningkatkan siratulrahim antara guru dengan guru yang berlainan tempat berkhidmat serta masyarakat setempat.
Semasa itu, guru mengenali guru yang mengajar di sekolah lain melalui aktiviti perlawanan persahabatan bola sepak, bola jaring atau permainan lain serta lawatan ke sekolah lain yang mempunyai kebitaraan yang boleh dikongsi oleh guru lain.
Ahli Parlimen itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kebelakangan ini golongan guru sudah agak renggang dari sudut kekitaan warga pendidik dan bersifat diri sendiri serta hanya mengenali rakan sejawat di satu sekolah yang sama sahaja.
Datuk Ahmad Nazlan Idris menyampaikan sumbangan kepada salah seorang guru di majlis itu, semalam
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai guru sebelum terjun ke bidang politik mengalami alam perkhidmatan akhir 1970an dan 1980 yang menyeronokkan, secara tidak langsung menaikkan semangat untuk bertugas dengan dedikasi.
“Apa tidaknya pada masa itu, kelab guru dan staff sentiasa mengadakan perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah jiran sekurang-kurangnya sebulan sekali, selain dapat mengenali rakan guru, beriadah menjaga kesihatan jasmani dan rohani, kami boleh berkongsi dapatan dan pengalaman sekolah lain.
“Malah, kami semasa belum berumah tangga mengenali dan melawat serta bermalam dengan kawan guru sekolah lain, khususnya yang tinggal di bandar untuk berehat di hujung minggu kerana ada yang bertugas di kawasan Felda dan kampung tradisional selain mahu membeli bahan dapur setiap minggu boleh bertemu sahabat sekolah lain di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Untuk Kelab Guru dan Staf Sekolah-Sekolah Daerah Jerantut yang diadakan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inderapura, hari ini.
Katanya, kebelakangan ini kelihatan guru seperti tepu dengan keadaan tugasan masing-masing sehingga tidak ‘mesra’ dengan guru sekolah lain, seolah-olah bukan seperti satu keluarga guru seperti dihasratkan oleh Perdana Menteri, Keluarga Malaysia.
Sumbangan itu disampaikan oleh beliau kepada 75 buah sekolah rendah dan menengah termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebanyak RM2,000.
Pengerusi Kelab Guru dan Staf, SMK Inderapura, Mohd Mokhtar Nawi, berterima kasih kepada Ahli Parlimen Jerantut yang memberi sumbangan untuk menggerakkan aktiviti kelab guru, khusus di penghujung akhir tahun yang selalunya mengadakan program hari keluarga.
“Sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kelab sekolah ini tidak menjalankan aktiviti yang sering diadakan sebelum ini untuk mematuhi Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.
Pengerusi Kelab Guru dan Staf SMK Damak, Faizal Sulaiman bersyukur dengan sumbangan itu yang bakal digunakan dengan sebaik mungkin untuk guru dan staf sekolahnya.
“Majlis bersama keluarga sekolah akan menghimpunkan semua guru dan staf serta keluarga masing-masing untuk mengeratkan warga sekolah ini,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DAKWAAN PEMASANGAN KAMERA PERANGKAP HAD LAJU DI BAWAH JAMBATAN YANG PALSU DIDAPATI TULAR DI APLIKASI PESANAN WHATSAPP
KUALA LUMPUR- Pihak PLUS telah mengesan mesej yang menjadi tular semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pihak PLUS ingin menasihatkan semua pengguna agar sentiasa berkongsi maklumat yang sahih dan tidak mudah percaya pada khabar angin dan mesej dari sumber tidak sah yang tular di media sosial.
Dapatkan maklumat yang sahih dari laman rasmi atau berhubung terus dengan pihak PLUS (PLUSLine 1800-88-0000) untuk mendapat kepastian. Rujuk visual di bawah untuk bacaan lanjut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Seramai 136 penagih dadah dicekup hasil operasi khas dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang di sekitar daerah Rompin sejak Isnin lalu.
Operasi selama 72 jam dinamakan Op Tapis dan Op Indera itu tertumpu di kawasan FELDA dalam daerah Rompin yang dipercayai masih menjadi ‘port’ dadah dalam kalangan remaja dan generasi kedua FELDA.
Ketua JSJN Pahang, Superintendan Mohd Azam Ab Razak berkata, dalam operasi itu juga pihaknya berjaya merampas sejumlah dadah dipercayai digunakan penagih di kawasan berkenaan.
“Bagi operasi kali ini, kita mensasarkan lima ‘port’ dadah yang diserbu serentak dengan kerjasama polis daerah Rompin.
“Seramai 136 penagih berusia antara 16 hingga 60 tahun berjaya kita tahan atas pelbagai kesalahan dan kita juga berjaya merampas 1,410 gram dadah jenis heroin dan 66.05 gram dadah jenis syabu.
Ketua JSJN Pahang, Superintendan Mohd Azam Ab Razak
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan melalui operasi terbabit dianggarkan RM105,200,” katanya melalui satu kenyataan media di sini hari ini.
Mohd Azam turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan mereka bagi membantu polis membanteras kegiatan tidak bermoral itu.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 09-50519999 atau 09-50512202 atau hotline JSJN Pahang di talian 012-2087222.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAMAI KECAM AKSI PENUNGGANG BASIKAL BERSAING DENGAN LORI
PETALING JAYA – Tindakan beberapa penunggang basikal mengekori dan bersaing dengan sebuah lori mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi sebuah video berdurasi sembilan saat yang dikongsi pengguna Twitter @Radevengers, memaparkan tiga orang penunggang basikal mengekori dengan rapat dan bersaing dengan sebuah lori besar.
Penunggang basikal mengekori rapat sebuah lori yang mengundang bahaya
Lebih membimbangkan, penunggang basikal itu juga kelihatan berbasikal di lebuh raya yang sesak dengan kenderaan-kenderaan lain.
Bagaimanapun, di mana lokasi kejadian itu dirakam tidak dinyatakan oleh pengirim video berkenaan.
Video yang telah ditonton lebih 39,000 kali itu dihujani ribuan komen yang mengecam tindakan penunggang basikal tersebut yang dianggap tidak bertanggungjawab dan membahayakan keselamatan.
“Baru kelmarin keluar berita penunggang basikal kena gilis dengan lori, tak faham kenapa tak serik masih nak berbasikal tengah jalan,” kata Amra.
“Dulu mengata budak-budak main basikal lajak, dapat pada orang tua main basikal lagi teruk rupanya,” kata Tiha.
“Aku yang bawa motor (motosikal) pun takut nak bersaing dengan lori, kalau kena langgar memang tak dapat apa,” kata Syah. – K! ONLINE
Video: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DITUDUH JALIN HUBUNGAN SULIT DENGAN ISTERI ORANG, PESARA TENTERA MAUT DITIKAM
SELAMA: Seorang pesara tentera ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman di badannya di kawasan semak di Bukit Sumptan dekat Selama, Perak, Selasa lalu.
Mangsa yang berusia 42 tahun, sebelum itu dipercayai dilarikan secara paksa oleh dua lelaki dikenalinya kira-kira 3 petang di Taman Ngah Ibrahim, Taiping, pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis menerima laporan mangsa dilarikan oleh suspek yang bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera pada hari kejadian kira-kira 4 pagi Isnin lalu di Balai Polis Kuala Sepetang.
“Bertindak atas maklumat tersebut, polis melakukan tangkapan terhadap dua suspek di dua lokasi berasingan.
“Suspek pertama merupakan seorang tentera berusia 34 tahun diberkas di Perlis manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang bekerja sendiri ditahan di Taiping,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Mior berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai daripada masalah cemburu salah seorang suspek yang menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek telah membawa polis ke sebuah kawasan di Selama dan menunjukkan lokasi mangsa dibunuh.
“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat lima kesan tikaman pada bahagian belakang dan empat lagi kesan di bahagian depan tubuh badan dipercayai menggunakan senjata tajam.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah di daerah Taiping dan Seksyen 302 kanun sama iaitu pembunuhan di daerah Selama.
“Kertas siasatan yang lengkap akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
90 HEKTAR TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN (TKPM) DI PAHANG DILULUSKAN
KUANTAN: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini meluluskan tanah seluas 90 hektar di Tanjung Putus, Mukim Kuala Kuantan, Kuantan bagi membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
TKPM Tanjung Putus ialah yang ke-19 di Pahang dan tambahan ini menjadikan keluasan tanah dikhususkan untuk TKPM di negeri ini kira-kira 5,282.85 hektar atau bersamaan kira-kira 6,860 padang bolasepak.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keluasan ini juga, terus meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di seluruh negara.
“Tanah di Tanjung Putus yang diluluskan hari ini, melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang turut diluluskan untuk ditanami sayur-sayuran dan tanaman kontan.
“Peserta yang akan dipilih kelak antaranya ialah dalam kalangan belia antara 18 tahun sehingga 40 tahun, sama ada lepasan sijil, diploma mahupun ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, begitu juga dalam kalangan rakyat di bawah kategori B40, dalam lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun.
“Di bawah Fasa 1, peserta akan diberi keluasan minimum 0.4 hektar sehingga maksimum satu (1) hektar setiap seorang, di bawah Fasa 2 nanti, peluasan tapak akan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri.
“Adalah diharapkan dengan kelulusan TKPM termasuk di Tanjung Putus, dapat meningkatkan pengeluaran makanan di negeri dan negara ini, sambil membantu menambah hasil pendapatan sewajarnya kepada peserta dalam kalangan rakyat memerlukan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!