Wanita selamba buang air kecil dalam MRT jadi kecoh, “dia ingat tandas ke”
SINGAPURA – Seorang wanita bertindak membuang air kecil dalam kereta api MRT di Singapura sehingga beberapa penumpang terkejut dengan perbuatan beliau, lapor AsiaOne.
Insiden ini berlaku pada Isnin, 29 Ogos lalu dalam kereta api laluan Utara-Selatan menuju ke stesen MRT Jurong East apabila orang ramai menyaksikan seorang wanita, yang kelihatan mabuk, terbaring melintang di tiga tempat duduk kereta api.
Aksi wanita berkenaan buang air kecil di dalam gerabak MRT
Ketika kereta api dalam perjalanan antara stesen MRT Choa Chu Kang dan Bukit Gombak, wanita ini, yang kelihatan seperti berusia lewat 20-an, tiba-tiba berdiri dan berjalan melalui tiga kabin kereta api, meninggalkan satu begnya.
Dia tidak memakai pelitup muka dan batuk dengan kuat.
Apabila dia tiba di kabin ketiga, dia pergi ke salah satu tempat duduk, menurunkan seluar dalamnya dan mencangkung untuk membuang air kecik. Tindakan beliau telah menyebabkan semua penumpang terkejut.
Selepas itu, wanita itu turun di stesen MRT Jurong East dan memutuskan untuk duduk di tangga eskalator menuju ke bawah – hanya berganjak apabila seorang lelaki menawarkan bantuan untuk beliau naik ke atas.
Apabila dihubungi oleh AsiaOne, SMRT menasihatkan penumpang supaya melaporkan sebarang tingkah laku, beg atau bungkusan yang mencurigakan dengan segera kepada kakitangan mereka.
Sumber : AsiaOne
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kejadian pertembungan adik-beradik di Jalan Mambong di sini, semalam.-Foto Sarawak Update.
Abang temui ajal, motosikal dua beradik bertembung
PADAWAN- Seorang abang menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan motosikal yang ditunggang adiknya dalam kejadian di Jalan Mambong di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa Wellter ak Rippu,26, bekerja sebagai buruh yang menunggang motosikal Honda Wave maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Dua motosikal yang ditunggang oleh dua adik beradik yang terlibat dalam kemalangan.
Adiknya,Terry ak Rippu,18, yang menunggang motosikal Honda EX5 cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan maklumat daripada keluarga, ketika kejadian mangsa sedang mencari adiknya yang keluar memancing.
Menurutnya, pertembungan itu dipercayai berpunca daripada kedua-dua motosikal yang tidak mempunyai lampu hadapan.
“Kemalangan berlaku semasa motosikal ditunggang adiknya dari arah Kuching menuju ke Kampung Sikog.
“Apabila sampai Jalan Mambong, dan sedang bergerak lurus motosikal ditunggang dilanggar motosikal ditunggang abangnya yang tiba-tiba masuk ke laluannya dari arah Kampung Sikog,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,akibat dari pelanggaran itu adiknya cedera parah di bahagian kepala dan dihantar menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak(HUS).
“Abangnya yang juga cedera parah pada bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.
“Mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan selanjutnya,”ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka bernilai RM9.5 juta
Kerajaan Pahang sedia peruntukan RM185.5 juta bina 48 buah masjid
MARAN – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM185.5 juta bagi pembinaan 48 buah masjid baharu bermula empat tahun lalu di Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 15 buah masjid baharu telah siap dibina dengan peruntukan RM58.4 juta termasuk Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka bernilai RM9.5 juta yang mula dibina pada 2018 dan siap pada 2022 dan boleh menampung seramai 1,200 orang Jemaah.
“Sehingga ini sebanyak 16 buah masjid sedang dalam pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM47.1 juta, manakala 17 buah masjid lagi sedang dirancang dalam pembinaan melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta.
“Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang dirasmikan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini akan dinaiktaraf sebagai Masjid Daerah,” katanya.
Beliau berucap di majlis perasmian Masjid Baharu, Bandar Tun Abdul Razak sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Al-Sultan Abdullah yang ke-63 di Bandar Pusat dekat sini, semalam.
Menurut Wan Rosdy, empat buah lagi masjid turut akan dinaiktaraf sebagai Masjid Daerah, iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan, Masjid Negeri Lama Kuala Lipis, Masjid Baharu Benta dan Masjid Sultan Abu Bakar, Temerloh.
“Kerajaan negeri dengan perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku turut meluluskan perjawatan pegawai bertugas di lima buah masjid tersebut secara Contract Of Service serta menanggung kos lain seperti bayaran utiliti, perkhidmatan kawalan keselamatan dan perkhidmatan pembersihan yang melibatkan peruntukan mencecah RM1.4 juta.
“Tuanku (Al-Sultan Abdullah) juga bercadang untuk menjadikan beberapa masjid di negeri ini sebagai Pusat Hentian Setempat atau One Stop Center yang akan memberi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada masyarakat,” katanya.
Berucap selanjutnya, Wan Rosdy berkata, pada 24 Julai lalu, seramai 100 orang terdiri daripada pentadbir masjid seluruh Pahang telah melakukan lawatan kerja ke beberapa buah masjid di Singapura untuk menjana pengetahuan dan kepakaran mengenai pengurusan masjid sebagai Pusat Hentian Setempat.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, kerajaan negeri dengan perkenan Al-Sultan Abdullah turut menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada para imam, iaitu pada 2020, seramai 1,076 orang telah menerima bayaran secara one-off masing-masing sebanyak RM1,000 dengan membabitkan kewangan berjumlah RM1.076 juta.
“Tahun berikutnya, inisiatif BPP diteruskan kepada seramai 1,032 orang imam melibatkan bayaran secara one-off masing-masing sebanyak RM750 dengan kos keseluruhan berjumlah RM764,250 dengan belanja keseluruhan untuk dua tahun tersebut bernilai RM1.84 juta.
“Pembinaan masjid baharu serta menaiktaraf kemudahan premis yang sedia ada untuk tujuan keselesaan dan kesempurnaan umat Islam di negeri ini melaksanakan ibadat serta majlis keagamaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sembilan wanita asing berfoya, minum minuman keras ditahan polis Bentong
BENTONG – Sembilan orang wanita asing berusia antara 25 hingga 36 tahun ditahan Polis Bentong ketika sedang leka berhibur sambil minum minuman keras di sebuah pusat hiburan di Genting Highlands dekat sini.
Dalan serbuan tersebut polis turut merampas beberapa keping kondom, merampas beberapa peket dadah jenis ketamine dan syabu pada 2 September pada jam 11.50 malam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, serbuan di pusat hiburan terkenal itu dijalankan atas maklumat orang ramai mengenai wanita tersebut sedang leka berhibur sambil minum minuman keras.
” Tiga peket lutsinar berisi serbuk kristal dadah jenis ketamine seberat 2.25 gram, dua peket lutsinar berwarna kuning keemasan disyaki dadah jenis syabu (22.75 gram) dengan anggaran nilai keseluruhan RM750 telah dirampas.
“Polis turut menemukan 16 keping kondom yang dipercayai kepunyaan wanita berkenaan yang turut terbabit dengan kegiatan tidak bermoral yang disimpan di dalam sebuah beg plastic putih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Polis menyoalsiasat sembilan wanita yang diberkas di sebuah pusat hiburan di Genting Highands, Bentong semalam. – FOTO IPD BENTONG
Zaiham berkata, ujian air kencing ke atas sembilan suspek mendapati lapan orang daripada wanita berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua sembilan suspek direman selama 14 hari mulai hingga 16 September ini.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(A) ADB 1952.
“Suspek juga turut disiasat di bawah Seksyen 372(B) Akta Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Imigresen, Seksyen 59/63(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963” katanya.
Katanya, polis memberi amaran keras dan tidak berkompromi dengan pihak yang terbabit dengan kes dadah dan jenayah di daerah ini serta akan mengambil tindakan tegas berasaskan undang-undang.
“Saya bagi pihak Ibu pejabat Polis Daerah Bentong berterima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat tersebut dan meminta terus bekerjasama membantu polis membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah, jenayah dan sebagainya,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN -Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al -Mustafa Billah bertitah melarang jangan jadikan masjid gelanggang politik yang boleh memecah belah keutuhan ummah dan masyarakat.
Titah baginda, jangan cemari kesucian rumah Allah, jangan jadikan tempat cerca sesama umat dan jangan jadikan gelanggang permainan politik di masjid.
“Kalau hendak berpolitik jangan dalam masjid, berpolitik di luar masjid, jangan pertikai arahan ini demi kesejahteraan dan kebaikan umat Islam dan orang Melayu.
“Saya memang tidak membenarkan mana-mana pihak berpolitik dalam rumah Allah, pengurusan masjid di negeri Pahang perlu menjaga amanah dan telus mengurus rumah Allah dengan ikhlas,” titahnya.
Selain itu, masjid perlu berperanan sebagai pusat sehenti setempat dengan berperanan dengan pelbagai aktiviti masyarakat.
“Pihak pengurusan sewajar proaktif dan kreatif dengan merancang pelbagai program yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.
“Selain tempat sebagai mengerjakan ibadah, program seharusnya turut melibatkan orang bukan Islam demi memberi penerangan, memahami dan rapat dengan penganut agama Islam sebagai wadah penyatuan ummah.
Titahnya, pengurusan masjid perlu memikat golongan orang muda untuk lebih rapat dan kerap ke masjid.
“Apabila jiwa muda dan remaja tidak menghayati sepenuhnya ajaran Islam ini bakal merosakkan sistem masyarakat Islam.
“Pendekatan yang baik dapat mengupaya dan memperkasakan masyarakat dengan realiti dengan zaman sekarang sebagai benteng masyarakat terakhir,” titahnya.
Titah baginda di majlis Perasmian Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak, Jengka kepada Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Maran.
“Masjid boleh memperkembangkan aktiviti lain seperti perekonomian, pembelajaran dan kemasyarakatan
“Berusaha lebih giat mengimarahkan masjid sebagai tempat umat Islam antara manusia dengan Allah dan antara manusia dengan manusia, ” titah baginda.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘Moh Buru Baung Ekor Merah’ di Jerantut, hadiah lumayan menanti anda
JERANTUT – Hadiah berjumlah RM7,800 ditawarkan kepada nelayan sungai dan penangkap ikan di negeri ini dan luar sekiranya dapat menangkap ikan pemangsa, iaitu ikan baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) sempena pertandingan Moh Buru Baung Ekor Merah pada 3 September ini di Jerantut Feri di sini.
Pertandingan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Jerantut dan Jabatan Perikanan Pahang juga bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini selama dua hari, iaitu bermula pada 3 September, jam 11 pagi dan berakhir 4 September ini, jam 1 tengah hari.
Penyelaras pertandingan, Rusdan Ramli berkata, pertandingan itu terbuka kepada nelayan sungai dan penangkap ikan di Pahang dan luar yang berminat untuk memperoleh hadiah lumayan yang ditawarkan oleh penganjur.
“Tujuan pertandingan ini antara lain untuk mengurangkan pembiakan ikan baung ekor merah yang merupakan ikan pemangsa yang mengancam ikan liar tempatan di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang serta anak sungai di daerah ini.
“Pertandingan ini mendapat kebenaran Jabatan Perikanan Pahang dalam usaha menghapuskan ikan pemangsa berkenaan serta penguatkuasaan larangan menternak dan melepaskan spesies pemangsa dari luar di sungai utama di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rusdan, peserta cuma boleh menggunakan peralatan tangkapan yang dibenarkan oleh Jabatan Perikanan seperti joran, aran, jala, jaring yang lazimnya digunakan di perairan sungai dan melarang sama sekali penggunaan bom ikan dan mercun bola.
Katanya, penganjur memohon kaki pancing mematuhi peraturan yang hanya cuma menerima ikan baung ekor merah sahaja untuk diadili serta layak memenangi hadiah dalam pertandingan itu.
Katanya, peserta yang ingin menyertai boleh datang membuat pendaftaran pada 2 September (esok) mulai pukul 9 pagi dan akan diberitahu syarat pertandingan sebelum acara bermula pada pukul 11 pagi di Jerantut Ferry Water Front.
Kata Rusdan, selepas membuat pendaftaran, peserta boleh terus menangkap seberapa banyak ikan baung ekor merah di semua lokasi dalam jajaran sungai utama, iaitu Sungai Tembeling, Sungai Pahang dan anak sungai di daerah ini dengan menggunakan peralatan yang dibenarkan.
“Peserta perlu membawa hasil tangkapan semula ke tempat yang sama pada 4 September mulai jam 1 tengah hari untuk ditimbang beratnya bagi menentukan pemenang.
“Syarat utama, iaitu peserta dibenarkan membawa seberapa banyak hasil tangkapan ikan baung ekor merah dalam keadan masih hidup dan sempurna tubuh badan untuk ditimbang dan diadili pada hari terakhir pertandingan ini,” katanya.
Rusdan berkata, hadiah lumayan yang ditawarkan bergantung kepada berat dan kesempurnaan hasil tangkapan, iaitu hadiah pertama sebanyak RM3,000, kedua (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan tujuh hadiah sagu hati bernilai RM300.
“Kita juga menawarkan hadiah tambahan bernilai RM2,000 kepada peserta yang dapat menangkap ikan baung ekor merah paling banyak semasa pertandingan ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai pertandingan itu bolehlah menghubungi Rusdan Ramly di talian 019 7742770.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Polis tahan tujuh lelaki dalam kejadian gaduh yang tular melalui media sosial
TEMERLOH – Penularan satu rakaman video menunjukkan kejadian pergaduhan dipercayai melibatkan sekumpulan lelaki, pihak polis Temerloh telah menahan tujuh lelaki kaum India berumur antara 19 hingga 35 tahun di sekitar bandar Mentakab, Temerloh Pahang.
Kejadian pergaduhan tersebut dipercayai berlaku pada 31 Ogos antara jam 12.05 hingga 12.20 tengah malam menunjukkan sekumpulan lelaki tersebut sedang bergaduh di tepi jalan Jalan Bandar Mentakab.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, susulan penularan rakaman video itu, pihak polis mengesan satu video yang tular berdurasi 8 saat melibatkan pergaduhan sekumpulan lelaki yang tersebar melalui media sosial Whatsapp
“Pihak polis memulakan siasatan di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh di tempat awam dan melakukan gaduh gempar di bawah seksyen 160 kanun keseksaan.
“Polis akan meneruskan usaha untuk mengesan saki baki yang terlibat dalam kes pergaduhan tersebut.
Katanya, pihak polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu polis atau menghubungi pegawai penyiasatan di talian 012-2822874.-SAHIH.
Klip video yang tular menunjukkan kejadian pergaduhan yang berlaku di malam ambang sambutan hari kebangsaan 2022.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jelajah aspirasi Keluarga Malaysia Kedah sasar 100 ribu pengunjung
ALOR SETAR – Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat negeri Kedah yang bakal berlangsung pada 2 hingga 4 September ini menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 100,000 orang.
Justeru penduduk di wilayah Utara Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dipelawa memeriahkan dan memanfaatkan pelbagai tawaran sepanjang tiga hari JAKM di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Datuk Seri Mahdzir Khalid meninjau kawasan tapak program di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, JAKM itu menampilkan 117 program bersesuaian dengan aspirasi Keluarga Malaysia meliputi pelbagai aspek.
“Acara yang dijangka paling dinanti-nantikan ialah cabutan bertuah sebuah motosikal untuk dimenangi setiap hari dan sebuah kereta sebagai hadiah utama pada hari terakhir menanti pengunjung bertuah”, katanya kepada media selepas melakukan tinjauan persiapan JAKM di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada Rabu.
Menurut Mahdzir, antara keunikan yang diperkenalkan pada JAKM Kedah ialah jualan ‘Happy Hour’ yang diadakan dua kali sehari menawarkan barangan keperluan asas seperti beras dan ayam yang dijual pada harga murah.
“Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan beras 5 kilogram (kg) dan seekor ayam pada harga RM10, berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.
“Sebanyak 2,000 pek beras dan ayam ditawarkan pada setiap sesi, pada 11 pagi dan 4.30 petang, sepanjang tiga hari itu sebanyak 6,000 pek ayam dan beras ditawarkan.”
Jelas Mahdzir, penganjuran kali ini mengetengahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai Kementerian Peneraju menampilkan beberapa kelainan.
“Antaranya, elemen Mini Karnival Usahawan Desa menerusi Pavilion Usahawan Desa KPLB yang memaparkan program keusahawanan seperti Program Rural Business Challenge (RBC), Program Start Right (PSR), Program Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Desamall.
“Rakan strategik Program Pendigitalan Usahawan (PPU) dan 60 usahawan bimbingan agensi bawah KPLB turut memasarkan produk bagi kategori makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, fesyen dan aksesori. Pavilion Usahawan Desa menyediakan ruang memasarkan pelbagai produk jualan selain sebuah bistro sebagai tarikan pengunjung,” katanya.
Turut diketengahkan tambah Mahdzir, elemen kebudayaan Orang Asli menerusi penglibatan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai tarikan memeriahkan lagi JAKM Kedah meliputi kaunter informasi dan aktiviti kebudayaan seperti persembahan tarian.
“Program menarik lain, penglibatan pelajar GiatMARA, gunting rambut percuma dan membaiki motosikal percuma. Turut diadakan ceramah perdana oleh penceramah terkenal, selain program hiburan untuk anak muda, jadi kita harap semua program ini dapat menarik ramai pengunjung.”
Mahdzir turut memaklumkan golongan pencari kerja dan belia di negeri ini boleh mengambil peluang mengintai tawaran pekerjaan dalam Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena JAKM Kedah berikutan terdapat lebih 4,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi 35 majikan yang mengesahkan penyertaan.
“Terdapat dua karnival kerjaya, satu untuk melanjutkan pelajaran dalam TVET, satu lagi yang ditawarkan syarikat. Jelajah AKM Kedah sesuai dikunjungi semua lapisan masyarakat kerana ia meliputi pelbagai aspek.”
Perasmian JAKM Kedah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada jam 3.30 petang Jumaat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Prof Dr Mohd Shukri Abd Yajid (duduk tengah) merakam kenangan bersama kakitangan, pelajar dan peserta program Jalinan Komuniti MSU My City My Community, baru-baru ini.
MSU Kuching jaya program komuniti
KUCHING – Management and Science University (MSU) menganjurkan program Jalinan Komuniti MSU, My City My Community (Bandarku Komunitiku) 2022 bertempat di Kuching Waterfront bertujuan untuk merapatkan hubungan antara warga kolej dan komuniti luar kampus sebagai satu keluarga besar, baru-baru ini.
Perasmian program beraspirasikan Keluarga Malaysia itu disempurnakan oleh Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid yang turut dihadiri pegawai pengurusan kanan kolej, kakitangan, pelajar serta tetamu jemputan.
Wakil pelajar MSU Kolej Sarawak menyerahkan kotak bantuan kepada penerima terpilih dari sekitar daerah Kuching dalam program berkenaan.
Pengurus Komunikasi dan Penjenamaan MSU, Ahmad Ibrahim, berkata menerusi MSU My City, program berkenaan memfokuskan kepada lima aktiviti utama, iaitu pelajar bergotong-royong membersihkan sampah sarap yang terdapat di sekitar kawasan Kuching Waterfront sebagai usaha menyokong kempen kesedaran reduce, reuse, recycle atau 3R.
Katanya, aktiviti MSU My Race pula membabitkan penyertaan 100 pelajar dari sembilan sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia, SMK Tun Abdul Razak, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Bandar Samariang, SMK Sains Kuching Utara, SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang, SMK Wira Penrissen dan SMK Green Road.
“Tumpuan MSU My Care pula ialah penyampaian sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 60 keluarga kategori B40 dari 20 kampung di sekitar daerah Kuching.
“Menerusi aktiviti larian amal tiga kilometer MSU My Fit, ini membabitkan penyertaan seluruh warga kolej dan turut disertai ahli dari Persatuan Autisme Malaysia dan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM).
Peserta program melakukan aktiviti zumba dan senamrobik yang menarik perhatian tetamu.
Katanya, secara keseluruhannya, usaha berterusan pihak kolej dengan mempelbagaikan aktiviti berteraskan kesukarelawan dan jalinan komuniti yang menggalakkan penyertaan pelajar, diharap dapat memperkasakan kemahiran pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tular berlaku kejadian rompakan di Genting Highands adalah palsu – Polis Bentong
GENTING HIGHLANDS – Penularan video menerusi aplikasi Tik Tok milik ‘25ZONESMALAYSIA’ berdurasi 1 minit 18 saat dalam dialek Hokkien menggemparkan orang ramai yang berada di situ bahawa berlaku satu rompakan di pusat perangingan Genting Highlands, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, rakaman video yang tular itu adalah tidak benar berdasarkan ‘voice-over’ kenyataan dalam video itu.
“Antara yang disebut dalam dialek Hokkien dalam Tik Tok tersebut memaklumkan bahawa ‘kasino tidak dapat masuk, orang dalam kasino tidak dapat keluar, pintu kasino telah dikunci. Tidak tahu apa yang terjadi, mungkin berlaku kes rompak atau kebakaran.
“Tik Tok yang tular itu juga menyebut ‘Ada operasi hari ini, semua orang dalam kasino tidak dapat keluar, manakala orang di luar kasino tidak dapat masuk. Tidak tahu apa yang berlaku’,” katanya.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian rompakan di Genting Highlands yang tular menerusi sebuah video hari ini adalah tidak benar.
“Akibat kejadian itu, orang ramai bersesak di luar pintu kasino, ada yang hendak balik ke stesen kereta kable pun tak boleh. Semua jalan keluar masuk ditutup, orang yang nak tempah bilik pun tidak dapat disebabkan semua kaunter tutup,” katanya kenyataan tular di Tik Tok yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu.
“Sehubungan itu IPD Bentong mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima atau dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut,” katanya.
Katanya, pihak polis telah menjalankan siasatan dan mengesahkan tidak berlaku kejadian rompakan sebagaimana yang didakwa menerusi video atau audio yang ditularkan di media sosial atau aplikasi Whatsapp.
“Saya memohon semua pihak supaya tidak membuat sebarang khabar angin dan menyebarkan sesuatu yang belum pasti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.-SAHIH.
Video yang ditularkan
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!