IPOH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini dengan tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan wang jenis BancusCoint berjumlah RM12,867.30 tahun lalu.
Tertuduh, Chai Koon Shong, 44, dan isterinya, Ng Kah Lai, 46, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Pasangan itu didakwa memperdayakan Hoi Kim Tan, 58, untuk mempercayai dapat memberikan pulangan pelaburan BancusCoint yang tinggi dengan mendorong untuk memasukkan wang berjumlah RM4,366.50 ke dalam akaun bank atas nama syarikat milik mereka.
Mengikut laporan BHOnline, tertuduh melakukan kesalahan itu di RHB Bank Cawangan Menglembu pada jam 1.45 petang pada 4 November 2019.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa atas dua tuduhan sama iaitu menipu Leong Mei lai, 44, membabitkan wang masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500.80 di Public Bank Cawangan Jalan Besar Pasir Puteh antara jam 1.34 hingga 1.48 petang pada 1 Mei 2019.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Siti Hajar Mohd Yusof dan tertuduh diwakili peguam bela M Mahendra.
Terdahulu, Siti Hajar menawarkan RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dan menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang peguam hari ini, memfailkan saman pemula berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.
Saman itu difailkan Syed Iskandar Syed Jaafar di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.
Syed Iskandar Syed Jaafar
Melalui saman pemula itu, plaintif antara lain menuntut untuk menentukan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.
Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.
Plaintif turut menuntut relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah tanpa sebarang perintah kos.
Pada Ahad lalu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman COVID-19.
Baginda berpendapat kerajaan sekarang berjaya menangani wabak itu dengan baik dan berkesan.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUKIT MERTAJAM: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah memeras ugut seorang pegawai polis di Pulau Pinang tiga tahun lalu.
Tertuduh, Rommy Ma’i’aruf, 41, berpakaian kemeja biru laut kelihatan tenang ketika Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhi hukuman itu.
Sri Pracha Nanthini menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak itu dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.
Pada 30 November 2017, Rommy mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memeras ugut seorang pegawai polis yang bertanggungjawab membuat laporan perkembangan aktiviti perjudian haram di Seberang Perai Tengah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazri Abdul Rahim dan Yusaini Amer Abdul Karim manakala tertuduh diwakili Peguam, Piyara Singh.
Rommy yang juga Penolong Penguasa SPRM yang bertugas di Unit Risikan SPRM Putrajaya (Zon Utara) ditahan polis di sebuah restoran dekat Machang Bubuk di sini, pada 9 Jun 2017.
Gambar Hiasan
Dia ditahan selepas didapati melakukan perbuatan memeras ugut ke atas Inspektor Ahmad Hasbi Mohd Fauzi, 35, di perkarangan stesen minyak Petronas Seberang Jaya, jam 9.30 malam, sehari sebelum perbuatannya terbongkar.
Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa yang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) menyerahkan wang tunai RM3,000 sebulan bagi menjaga mangsa yang bertanggungjawab membuat laporan perkembangan aktiviti perjudian haram daripada ditangkap SPRM.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Guru tadika, M Indira Gandhi yang sejak 11 tahun lalu tidak bertemu anak bongsunya selepas dilarikan bekas suami yang memeluk Islam, mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain.
Indira memfailkan saman itu melalui e-filing oleh Tetuan Raj & Sach mendakwa KPN gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan mengembalikan anaknya Prasana Diksa yang kini berusia 12 tahun.
M Indira Gandhi
Wanita itu berkata, KPN berperanan secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan keputusan dan memberikan arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak.
Beliau yang bertindak selaku plaintif, menamakan KPN (tidak menyatakan nama), PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Indira berkata beliau berkahwin dengan K Patmanathan (ketika itu) pada 10 April 1993 dan dikurniakan dengan tiga orang anak.
Beliau berkata, suaminya memeluk Islam pada 11 Mac 2009 dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka, selain mendapat hak penjagaan semua anaknya daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009.
Indira kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil di Ipoh bagi mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka, yang kemudian dibenarkan pada 11 Mac 2010, bagaimanapun anak bongsu, Prasana Diksa diambil secara paksa oleh suaminya.
Plaintif berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Muhammad Riduan dipenjarakan sehinggalah beliau memulangkan Prasana Diksa kepadanya.
Katanya, mereka bercerai pada 8 Ogos 2012.
Pada masa sama, plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya KPN menguatkuasa perintahkomital (menghina mahkamah) terhadap bekas suaminya kerana tidak mengembalikan Prasana Diksa.
Menurut plaintif lagi, Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016 membenarkan rayuannya dan memutuskan supaya Muhammad Riduan perlu ditangkap dan warankomital perlu dilaksanakan ke atasnya.
Plaintif sehubungan itu berkata, KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah Mahkamah Persekutuan dengan gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan semula Prasana Diksa kepadanya.
Beliau berkata, kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu.
Katanya, KPN juga enggan menangkap bekas suaminya walaupun mengetahui lokasi lelaki terbabit.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan selain memohon perisytiharan bahawa KPN melakukan tortnonfeasance di pejabat awam iaitu gagal untuk bertindak dalam mengesan dan menangkap Muhammad Riduan.
Sumber: BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUTTERWORTH: Penjual ikan bilis yang melarikan kereta peronda polis jenis Honda Civic 1.8S dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Utara di sini, Sabtu lalu didakwa dengan enam tuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Azrullah Mohd Rodzi, 33, didakwa terbabit dalam cubaan merompak, menyamar sebagai anggota polis, curi kenderaan bermotor dan mencuri.
Bagaimanapun, tertuduh mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret M Kalaiarasi.
Dia hanya menggelengkan kepalanya untuk menunjukkan bahawa dia tidak bersalah ketika semua tuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Azrullah didakwa cuba merompak Tang Chye Hong, 49, di kedai di Jalan Permatang Manggis di Tasek Gelugor, pada 10 malam Sabtu lalu.
Dia juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk menahan Tang di tempat, waktu dan hari yang sama.
Bagi kedua-dua kes itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 393 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mencuri Honda Civic (VEN6940) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Seberang Prai Utara pada 9.15 malam Sabtu lalu.
Dia juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk mencuri kenderaan di tempat, waktu dan hari yang sama.
Berikutan itu, Mohamad Azrullah didakwa mengikut Seksyen 397A dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Mohd Azrullah turut didakwa mencuri telefon bimbit jenis Vivo dan iPhone8Plus milik Nurul Atieka Mazlan, 21, di sebuah kedai di Pokok Sena, Tasek Gelugor pada 10 malam hari yang sama.
Dia juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk mencuri telefon bimbit terbabit di tempat, waktu dan hari yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humairah Kamaruzaman, manakala Azrullah diwakili Muhaimin Hashim dan Arafas Abdul Razak.
Aisyah kemudiannya meminta jaminan terhadap tertuduh ditetapkan sebanyak RM10,000 untuk setiap kesalahan terbabit.
Bagaimanapun, Muhaimin mohon jaminan lebih rendah dikenakan terhadap Mohamad Azrullah dengan mendakwa bahawa anak guamnya itu sudah berkahwin dan pendapatannya tidak tetap.
“Saya juga mohon kepada mahkamah ini agar anak guam saya ini dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak hari ini untuk menjalani penilaian mental selama sebulan,” katanya.
Kalaiarasi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin untuk kes pertama, RM6,500 dengan seorang penjamin untuk kes kedua dan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kes ketiga.
“Mahkamah juga setuju dengan permintaan peguam agar tertuduh menjalani penilaian mental.
“Selain itu, tertuduh juga perlu menjauhkan diri dari Tang,” katanya.
MOHAMAD Azrullah (dua dari kiri) diiringi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Butterworth.
Kalaiarasi kemudiannya menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes.
Ahad lalu, polis menahan dua beradik dan seorang wanita kerana memandu dengan MPV Honda Civic 1.8S dari IPD Seberang Prai Utara.
Sebelum itu, dua lelaki yang mengaku sebagai polis daripada Unit Sumber Teknologi Maklumat masuk ke bahagian MPV di IPD Seberang Prai Utara dengan alasan untuk memeriksa ‘dashcam’ kereta peronda sebelum melarikan kenderaan berkenaan.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun, antara Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak tirinya di bilik utama sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, antara 17 Mac hingga 29 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja T hitam dilihat terpinga-pinga dan keliru ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Ia menyebabkan jurubahasa berulang kali bertanya sama ada dia memahami pertuduhan berkenaan selain pengakuan yang mahu dibuatnya.
Hakim bertanya latar belakang dan usul tertuduh yang berasal dari Sabah itu, namun dia terus mendiamkan diri.
Kamarudin kemudian bertanya semula sama ada tertuduh memahami pertuduhan dan pengakuannya sama ada mahu mengaku atau tidak, apabila dia dilihat terus terpinga-pinga.
“Kamu berasal dari mana? Sabah. Faham Bahasa Malaysia kan? Takkanlah sudah 30 tahun masih tidak faham Bahasa Malaysia, ” katanya.
Tertuduh akhirnya meminta untuk dibicarakan selepas diterangkan semula pertuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan ke atas tertuduh berikutan dia dan mangsa serta ibunya masih tinggal di rumah sama dan dibimbangi akan mengganggu mangsa.
Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh selepas dia terus mendiamkan diri ketika diminta membuat rayuan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember bagi penyerahan dokumen.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Sejumlah wang yang dirancang untuk digunakan sebagai belanja perkahwinan bertukar menjadi wang jaminan.
Itulah nasib dihadapi seorang anggota polis berpangkat sarjan selepas mengaku tidak bersalah dengan dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Tertuduh, Ibrahim Sabdi, 27, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak empat tahun lalu didakwa menerima rasuah sebanyak RM8,000 pada April lalu.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM4,000 daripada Mohd Khairul Azwani Mohamed Nor, 34.
Gambar Hiasan
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Radzi Abd Ghani, 40, yang ditangkap mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun kira-kira jam 1 petang di Bahagian Narkotik IPD Pasir Puteh pada 7 April lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Bagi tuduhan kedua pula, Ibrahim didakwa sekali lagi menerima suapan sebanyak RM4,000 daripada Khairul Azwani sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Radzi di lokasi sama kira-kira pukul 8 malam pada 8 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Ibrahim boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah elepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim, Zaman Mohd Noor.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainuddin.
Sementara itu, Noor Hamizah memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Sumber: Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Seorang peniaga shisha bersama dua pekerja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap anggota dan pegawai polis serta menghalang penjawat awam melaksanakan tugasn
Tertuduh, Mohamad Nornasharieq Rosli, 28, dan pembantunya, Mohamad Hamiri Asraf Ab Hamid,24, serta Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mereka bertiga didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
gambar hiasan
Menurut pertuduhan pertama, Mohamad Nornasharieq didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sekuli sehingga menyebabkan cedera tulang tangan di sebuah bistro di Lembah Sireh, Kota Bharu, dalan kejadian jam 8.15 malam, 14 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Dalam pertuduhan kedua pula, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang penjawat Inspektor Indrah Nahu dengan cara menumbuk dan mencakar ke arah muka sehingga mengalami kecederaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 16 November depan.
gambar hiasan
Sementara itu, Mohamad Hamiri Asraf dan Mohammad Nor Aizaq juga mengaku tidak salah atas dakwaan bersama-sama menghalang tugas penjawat awam dengan menghalang pihak polis daripada membuat tangkapan terhadap Mohamad Nornasharieq.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka dibenarkan untuk diikat jamin masing-masing RM4,000 Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 24 November depan.
Sumber: Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KAJANG: Seorang lelaki yang tular selepas mencederakan anggota bomba ketika sedang memadamkan kebakaran keretanya dihukum penjara enam bulan dan denda RM6,000 di dua Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, tertuduh Kan Hong Kit, 33, mengaku bersalah dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, Alfred Rudy Anak Tungku, 26, daripada kewajipannya sebagai anggota bomba.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras, Hulu Langat sekitar 10.40 pagi, 15 Oktober lalu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika anggota bomba memadam kebakaran kereta terbabit dalam kemalangan, tiba-tiba tertuduh yang mengaku sebagai pemilik kereta itu meluru masuk ke kawasan tempat kejadian dan mahu menghampiri keretanya.
Pegawai bomba bertugas ketika itu memberikan arahan supaya tertuduh bertenang dan memberikan kerjasama kepada pihak bomba.
Namun, tertuduh menjadi agresif dan secara tiba-tiba meluru ke arah anggota bomba dan menumbuk lengan sebelah kiri anggota bomba.
Bagi kesalahan itu, Muhammad Noor Firdaus menjatuhkan hukuman penjara satu bulan penjara bermula hari ini terhadap tertuduh yang bekerja sebagai pengurus acara sambilan dan masih bujang itu.
Dalam penghakimannya, Muhammad Noor Firdaus mengambil kira kepentingan awam dan berharap kejadian itu dapat dielak daripada dilakukan orang lain.
“Kesalahan sebegini terhadap penjawat awam tidak sewajarnya berlaku.
“Bagaimanapun, mahkamah mempertimbangkan mengenai latar belakang tertuduh dan ini adalah kesalahan pertama serta pengakuan bersalah tertuduh,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Bagi Mengikut pertuduhan kedua di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain, tertuduh mengaku bersalah dan dihukum penjara lima bulan dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu.
Malah, mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun.
Mengikut pertuduhan, Kan didakwa memandu kereta Proton Persona secara melulu dengan kelajuan dan merbahaya kepada orang awam di lokasi sama sekitar 10.26 pagi, 15 Oktober lalu.
Sumber: HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.
Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan berkenaan selepas Nur Fatin Nazrah Suhaimi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan itu.
Majistret turut memerintahkan Nur Fatin dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.
Suhaila turut memerintahkan Nur Fatin yang juga seorang pekerja kilang untuk membayar denda berjumlah RM2,800 atas tiga lagi kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu, memandu kereta yang tiada cukai jalan dan tiada insurans, selepas dia turut mengaku bersalah atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan.
Dia turut diperintahkan menjalani penjara tambahan masing-masing selama enam, empat dan tiga bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, di di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, kira-kira jam 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga ketiga, Nur Fatin didakwa memandu dengan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan dan tiada insurans di lokasi dan masa yang sama.
Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987, Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) akta yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, dan manakala bagi Seksyen 90(1) memperuntukkan denda maksimum RM1,000.
Dalam mahkamah berasingan, Nur Fatin turut diperintahkan penjara tujuh bulan secara berasingan daripada hukuman terdahulu selain menjalani Perintah Pegawasan selama dua tahun, selepas mengaku bersalah memasukkan dadah dalam badannya.
Bagi pertuduhan kelima itu dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine dan amphetamine dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim.
Terdahulu, Nur Fatin yang dilihat lemah duduk di atas kerusi roda dibawa masuk ke mahkamah kira-kira 8.40 pagi dengan diiringi polis trafik pengiring.
Sabtu lalu, polis dilaporkan menahan pemandu Perodua Myvi wanita berkenaan selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, di sini, hingga menyebabkan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut.
Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, disahkan maut di lokasi kejadian manakala Chang Ah May, 78, dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Dia dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan sudah tamat tempoh, dilaporkan dilepaskan atas jaminan polis, Ahad lalu, selepas keterangannya direkodkan.
Saringan awal air kencing mendapati pemandu wanita berkenaan turut positif dadah.
Kemalangan kira-kira 9 pagi Sabtu lalu itu, membabitkan kenderaan pemandu berkenaan dengan kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.
Video kemalangan maut berkenaan tular di media sosial sejak Sabtu lalu menyebabkan pemandu wanita terbabit dikecam netizen selain kes berkenaan menjadi tumpuan awam.
Sumber: Harian Metro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!