GEORGETOWN: Seorang wanita berusia 63 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan kes penawaran wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan kepada anggota polis untuk melepaskan individu yang ditahan.
Majistret Jamaliah Abd Manap mengeluarkan perintah reman itu, bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Jayarah, di Mahkamah Majistret di sini.
GAMBAR IHSAN BERNAMA
Wanita itu yang diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, lapor Bernama.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang wanita warga emas didakwa menawarkan wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan bagi melepaskan enam individu yang ditangkap kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran rokok dan arak seludup di negeri ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TURUT DIKENAKAN HUKUMAN SEBATAN MAKSIMUM 24 KALI KERANA ROGOL ANAK TIRI
KLANG: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan sebatan maksimum 24 kali ke atas seorang lelaki.
Hakim M Kunasundary menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas lelaki berusia 33 tahun itu selepas dia mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap, 20 Januari lalu, lapor Bernama.
Kunasundary dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.
Kesemua 105 pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah pada prosiding hari ini yang berlangsung hampir lima jam, bermula dari jam 2.45 petang hingga 7.30 malam.
Mengikut 105 pertuduhan, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.
Hakim itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah keji dan amat berat serta memalapkan hidup seorang kanak-kanak.
“Saya harap kamu insaf dalam penjara. Kamu tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang ganas walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minimum, namun mahkamah berasakan memadai dengan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap kamu,” katanya.
Mengikut 105 pertuduhan, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon hukuman pemenjaraan berat dan sebatan maksimum dikenakan terhadap tertuduh dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam.
“Mangsa dalam kes ini berumur 12 tahun semasa mula-mula dirogol oleh tertuduh dan dia dirogol selama dua tahun sebanyak 105 kali.
“Tertuduh sepatutnya bertanggungjawab membela mangsa namun dia merosakkan harga dirinya.
“Akibat daripada perbuatan tertuduh akan menyebabkan trauma seumur hidup kepada mangsa sepanjang hayat,” katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber.
Nurul Qistini berkata kes merogol anak dalam jagaan merupakan kesalahan yang amat keji dan terkutuk serta dipandang serius oleh segenap masyarakat tidak kira agama apa sekalipun.
Perbuatan tertuduh diibaratkan sebagai haruan makan anak yang menjadi perhatian serius masyarakat umum yang bertentangan bukan sahaja dari segi undang-undang malahan ditegah oleh agama.
Dia turut memohon hukuman berjalan secara berasingan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi mengurangkan hukuman.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa bercerai dengan bapa mangsa pada 2015 sebelum wanita terbabit berkahwin pula dengan tertuduh pada November 2016.
Semasa kejadian, hanya mangsa dan tertuduh berada di dalam rumah.
Mangsa tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana diugut dan dipukul tertuduh.
Kanak-kanak itu hanya menceritakan kejadian tersebut apabila ibunya membawa dia dan adik perempuan ke rumah ibu saudara mereka.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAHKAMAH PUTUSKAN TERTUDUH DIKENAKAN IKAT JAMIN RM90,000
GEORGETOWN: Remaja yang berdepan dengan pertuduhan membunuh bayi perempuan baru dilahirkannya, dibebaskan dengan jaminan RM90,000, hari ini.
Peguam RSN Rayer ketika dihubungi Bernama berkata, anak guamnya, M Santhiea, 19, dibebaskan dengan jaminan di mahkamah pada 1.45 tengah hari, hari ini.
Sebelum ini, Santhiea ditahan di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Perlis.
Rayer berkata, pada 15 Januari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amirudin Abd Rahman membenarkan permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan jaminan RM90,000 dengan dua orang penjamin serta memerintahkan Santhiea selaku pemohon dalam kes itu untuk melapor diri di Balai Polis Air Itam pada setiap Sabtu.
GAMBAR IHSAN HARIAN METRO
Peguam itu berkata, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan gadis itu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan pemohon tidak dibenarkan untuk memohon sebarang dokumen perjalanan termasuk pasport dan dokumen perjalanan lain, lapor Harian Metro.
Selain itu, tertuduh turut dikehendaki berada di kediaman dari 7 malam hingga 7 pagi dan tidak dibenarkan meninggalkan Pulau Pinang tanpa kebenaran mahkamah.
Pada 16 Julai 2020, Santhiea dituduh membunuh bayi perempuan baru dilahirkan di rumah keluarganya di Air Itam, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, pada 8.25 pagi 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGUTIP BESI TERPAKAI DIDAKWA MENGAMUK DI BALAI POLIS
IPOH: Seorang pengutip besi terpakai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merusuh, melakukan khianat dan mencederakan anggota polis di Balai Polis Lahat Ahad lalu.
Tertuduh, Arnee Ahamad Pazir, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.
Mengikut pertuduhan pertama, Arnee didakwa berkelakuan rusuh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum denda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
GAMBAR IHSAN BERNAMA
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat iaitu menyebabkan kerosakan pada pintu cermin Balai Polis Lahat bernilai RM380.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Lelaki tersebut turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohamad Anuar Mohd. Noor dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar yang boleh menyebabkan kematian.
Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan, lapor Bernama.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat enkuiri, Balai Polis Lahat di sini pada pukul 11.40 pagi 24 Januari lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Ketua sindiket dadah terbesar negara serta empat lagi ahli sindiket berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap 18 pertuduhan mengedar dadah, awal bulan lalu.
Tertuduh membabitkan ketua sindiket, Goh Chee Kuang, 44; teman wanitanya, Lee Chia Hui, 33; serta Bally Paw Shaw Kiat, 38; dan dua beradik, Lye Chang Pung, 39 dan Lye Chang Lim, 36.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat, lapor Harian Metro.
GAMBAR HIASAN
Chang Pung berdepan lima pertuduhan, Shaw Kiat pula empat manakala Chee Kuang, Chia Hui dan Chang Lim masing-masing tiga pertuduhan.
Mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram (g) hingga 210 kilogram (kg).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah di sini, antara 9 hingga 15 Januari 2021.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman mati mandatori iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Datuk Micheal K L Chee dan Kevin Quah Kai Weng.
Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula bagi serahan laporan kimia.
GAMBAR HIASAN
Sebelum ini media melaporkan polis Johor membuat 23 serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru, sekali gus membongkar aktiviti sindiket membabitkan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah, antara 8 sehingga 17 Januari lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk tujuh wanita tempatan berusia antara 17 dan 62 tahun, namun empat daripadanya dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah.
Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM327 juta yang dianggarkan boleh menampung 16.7 juta penagih.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGETOWN : Tujuh lelaki direman tiga hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan dua remaja lelaki yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini, kelmarin.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Kesemuanya yang berusia 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.
Terdahulu, kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam, lapor HarianMetro.
Selain mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, kumpulan lelaki terbabit turut mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja itu menyebabkan mereka terbabit kemalangan.
Video dan gambar provokasi itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej polis.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU : Pelakon drama pendek di YouTube didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki dan membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol, pada Disember lalu.
Tertuduh, Nor Hafizah Shamsuddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pemerasan kepada seorang lelaki berusia 29 tahun sehingga mendatangkan ketakutan sesuatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu merogolnya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran nasi kukus di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini jam 3 petang pada 19 Disember tahun lalu.
Nor Hafizah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan.
Kesalahan itu dilakukan di kaunter Balai Polis Kubang Kerian jam 12.08 tengah malam pada 20 Disember lalu.
GAMBAR IHSAN NSTP
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, lapor BH Online.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Riduan Ismail.
Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.
Riduan dalam rayuannya meminta jaminan yang minimum kerana anak guamnya seorang suri rumah selain perlu menjaga empat anak berusia 10, lapan, tiga dan dua tahun.
“Suami tertuduh juga hanya berniaga secara kecil-kecilan. Situasi ini amat membebankan anak guam saya lebih-lebih lagi negara kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman terhadapnya oleh 10 pengundi berdaftar di parlimen Gombak.
Malaysiakini melaporkan Peguam Azmin, Nizamuddin Abdul Hamid hari ini mengesahkan mereka akan mengemukakan permohonan itu sebelum 16 Februari, yang merupakan tarikh pengurusan kes saman utama.
“Kami akan mengemukakan permohonan di bawah Aturan 18 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan saman itu.
“Pembatalan itu berhubung saman itu tidak memiliki alasan tindakan yang wajar, atau dengan kata lain bahawa saman itu bersifat melampau, menjengkelkan dan sembrono.
“Pada akhirnya kami percaya Pernyataan Tuntutan ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah,” kata peguam berkenaan ketika dihubungi hari ini.
Dia berkata demikian selepas pengurusan kes tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini dilaporkan seramai 10 pengundi berdaftar di parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan melanggar janji yang dibuat menjelang pilihan raya umum ke-14.
Menurut salinan Pernyataan Tuntutan, 10 individu terbabit mendakwa Azmin telah menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.
Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR, kini merupakan ahli majlis tertinggi BERSATU.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Selepas dihadapkan ke mahkamah dengan empat pertuduhan jenayah seksual, seorang pengurus madrasah yang dikenali sebagai UstazBudak sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, dengan lapan pertuduhan jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki antara November 2017 hingga Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Syamsul Zaman Sukri, 32, yang tampil dengan jubah hijau muda dan berkopiah hitam mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Sharudddin Mohamed, lapor Malaysiakini.
TERTUDUH (TENGAH) DIDAKWA DI MAHKAMAH SESYEN KOTA BHARU/GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
Dalam pertuduhan pertama hingga keenam membabitkan mangsa yang sama, Syamsul dengan maksud seksual meraba kemaluan kanak-kanak lelaki dan membuatkan mangsa memegang kemaluannya, manakala tertuduh mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa.
Kejadian itu didakwa berlaku di asrama madrasah dan sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Paloh Rawa Machang pada jam 11 malam sekitar November 2017 hingga September 2018.
Ketika kejadian, mangsa berusia 15 tahun 11 bulan hingga 16 tahun sembilan bulan.
Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh dengan maksud seksual meraba kemaluan kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun sembilan bulan dan membuatkan mangsa memegang kemaluannya (tertuduh) dan mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu.
Kedua-dua kejadian itu berlaku pada 29 Oktober 2020 jam 11 malam di sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 adalah tambahan kepada penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.
Terdahulu, Sharudddin memohon ditawarkan jaminan memandangkan tertuduh perlu menanggung enam adik beradik serta ibu yang kurang upaya (OKU).
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dengan tiga penjamin serta perlu melapor diri di balai polis setiap 1 haribulan dan menetapkan 17 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Syamsul turut didakwa dengan empat pertuduhan seksual di mahkamah sama pada 21 dan 31 Disember lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUKTI MERTAJAM : Wanita yang dipercayai memukul dua kucing sehingga seekor haiwan itu mati dalam kejadian di Pintas Kalui, Seberang Jaya kelmarin direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Hakim membenarkan suspek direman selama empat hari hingga Ahad ini untuk membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melakukan siasatan.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini jam 10 pagi tadi oleh polis.
HM ONLINE melaporkan , dalam kejadian jam 1.20 tengah hari kelmarin, wanita yang bekerja sebagai broker berusia 51 tahun itu dikatakan berang terhadap dua kucing berkenaan yang membuang najis di hadapan rumahnya.
Ekoran itu, dia bertindak di luar jangka apabila mengambil sebatang besi dalam keretanya sebelum memukul dua kucing yang ketika itu sedang makan.
Akibat daripada perbuatan itu menyebabkan seekor kucing yang bunting mati manakala seekor lagi mengalami luka di mulut.
Kejadian bagaimanapun disedari seorang juruteknik lelaki berusia 30 tahun yang kemudian melaporkannya kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat JPV, Azhar Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dua kucing itu tidak bertuan dan berkeliaran di kawasan perumahan berkenaan.
“Semalam pihak JPV pergi semula ke rumah suspek selepas soal siasat dijalankan serta membuat rampasan pakaian serta besi yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Sebelum itu, kita sudah mengambil bangkai kucing yang mati dan dihantar ke makmal veterinar untuk proses bedah siasat,” katanya.
Seekor lagi kucing yang cedera dilaporkan masih menerima rawatan berikutan mukanya bengkak dan mengalami kesukaran untuk makan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!