PENCURI TAK BERHATI PERUT CURI MOTOSIKAL PENGHANTAR MAKANAN
GOMBAK: Luluh hati seorang wanita yang juga penghantar makanan apabila motosikal digunakan untuk mencari rezeki hilang di sebuah pasar raya di Batu Caves, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, wanita berkenaan dipercayai ingin mengambil makanan untuk dihantar dan meletakkan motosikal di kawasan berkenaan.
Bagaimana pun, apabila kembali semula ke kawasan parkir, dia mendapati motosikal Yamaha 135LC miliknya sudah hilang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal itu jam 3 petang.
“Polis kini sedang mengesan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi HarianMetro.
Terdahulu, kisah kehilangan motosikal milik wanita berkenaan tular di media sosial.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan sindiket perjudian online yang beroperasi di rumah banglo dua tingkat di kawasan perumahan mewah di Taman Pelindung di sini, sebagai pusat panggilan mereka.
Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan jam 9.30 malam Isnin lalu itu, turut membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 21 dan 27 tahun, yang dipercayai ahli sindiket perjudian itu.
“Kita percaya sindiket ini baru menjalankan kegiatan di sini sejak dua bulan lalu.. mereka sanggup bayar sewa RM2,000 sebulan kerana kawasan itu agak sunyi, berpagar dan ada pengawal keselamatan.
“Siasatan awal kita mendapati premis ini digunakan untuk aktiviti pengiklanan serta mempromosikan perjudian di media sosial seperti Facebook, WeChat, MiChat dan WhatsApp dengan menggunakan komputer,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata aktiviti perjudian itu dipercayai berlaku dengan pelanggan perlu membuat bayaran menerusi perbankan dalam talian, bagi mendapat kredit untuk berjudi, dan dipercayai melibatkan pertaruhan sekitar RM4,000 hingga RM7,000 sehari.
Sindiket itu dipercayai beroperasi 24 jam dengan menggunakan sistem giliran pekerja yang dibayar RM2,000 sebulan, selain dua daripada tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah ketamin.
Mohamad Noor berkata pihaknya juga merampas sembilan buah komputer dan 30 telefon bimbit dalam serbuan itu.
Semua suspek direman sehingga Jumaat ini (6 November) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, kerana menjaga atau menguruskan rumah perjudian terbuka dan Seksyen 4(1)(g) akta sama iatu mempromosikan perjudian secara dalam talian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TANAH MERAH: Beras seludup yang bernilai RM34,732 di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, kelmarin diserbu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA9).
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian jam 11 tengah hari itu, anggota bertugas membuat serbuan ke rumah berkenaan selepas membuat risikan dibuat.
Jelasnya, sampai ke lokasi, rumah terbabit tidak berkunci selain anggota menemui longgokan guni putih berisi beras ditempatkan di satu bahagian kediaman itu.
“Selepas anggota menunggu selama 30 minit, tidak ada yang datang menuntut kesemua beras ini.
Anggota kemudian merampas kesemuanya dan dibawa ke KOMTAK Taman Bakti, di sini, untuk pengiraan menyeluruh.
“Barang rampasan terbabit diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSPBN) 1994,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Nor Azizan berkata, siasatan awal mendapati kesemua beras ini berkemungkinan dibawa melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, sebelum disimpan di rumah itu.
“Kediaman terbabit dijadikan lokasi transit sebelum beras-beras ini dipercayai diedarkan untuk pasaran seluruh Kelantan.
“Pihak kami terus mengetatkan kawalan sempadan melalui Op Benteng COVID-19 bagi mengekang penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini memanggil lima individu terdiri daripada pengacara popular, pelakon dan penyanyi diambil keterangan.
Kelima-lima mereka termasuk seorang selebriti dan bekas isterinya dipanggil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua individu dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh yang sebelum ini disiasat dan ditahan reman oleh SPRM.
Melalui sumber, ada antara lima individu terbabit dipanggil sejak bulan lalu dan menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM petang tadi.
“Kesemua individu terbabit hadir mulai jam 12 tengah hari sehingga 2 petang tadi dan ada yang masih dirakam percakapan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan pihak SPRM mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai aktiviti pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Sumber menyatakan salah seorang dari mereka juga adalah selebriti yang sebelum ini pernah dipanggil pada 2 Oktober lalu.
Dalam pendedahan sebelum ini, petikan BH melaporkan, dalang utama sindiket penipuan MacauScam dan judi dalam talian dari China, menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan pelaburan termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.
Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan meminta semua selebriti dan ahli perniagaan yang terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.
Susulan itu, seorang selebriti bersama isterinya yang juga seorang artis serta seorang usahawan kosmetik dipanggil oleh SPRM membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA TINGGI: 450 ekor burung murai yang dibawa oleh seorang warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup keluar ke negara jiran .
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, berkata lelaki warga emas itu ditahan selepas pihaknya memintas dan menahan sebuah bot gentian kaca di perairan Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, jam 11.45 malam, kelmarin.
Menurutnya , dalam Ops Benteng itu, seorang lelaki berusia 61 tahun itu ditahan dan 450 ekor burung murai serta bot dan sebuah enjin sangkut yang digunakan suspek dirampas,
Jelasnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM163,408. Burung murai menjadi kegilaan dan buruan masyarakat dari negara jiran kerana fizikalnya cantik dan bersuara nyaring.
Katanya, burung murai dari Malaysia dikatakan lebih bermutu tinggi dan harga seekor burung murai mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran Indonesia.
“Burung jenis ini menjadi haiwan kawalan untuk dieksport mengikut peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2013 (MAQIS)”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhd Zailani berkata, kes disiasat mengikut Akta MAQIS dan Akta Imigresen 1959/63.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARANG: Pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus, direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek berusia 19 tahun tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Marang kira-kira jam 10.10 pagi.
Mengikut laporan BHOnline, suspek yang juga kenalan mangsa sebelum ini ditahan selepas diserahkan ibunya pada 8.15 pagi semalam ketika datang ke Balai Polis Telemong.
Tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.
BHOnline sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Seorang pemilik restoran makanan Arab berasal dari Asia Barat ditahan polis kerana dipercayai merogol dan meliwat kenalan wanita yang baru dikenalinya di Ara Damansara di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek berusia 31 tahun ditahan pada jam 10.19 pagi, sebaik polis menerima aduan daripada mangsa pada jam 9.38 pagi.
Katanya, mangsa seorang wanita warga asing berusia 25 tahun dan bekerja sebagai operator perkhidmatan pelanggan bagi syarikat pelancongan.
“Mangsa mendakwa baru mengenali suspek yang juga pemilik restoran makanan Arab di tempat tinggalnya pada 28 Oktober lalu.
“Suspek dikatakan datang ke rumah mangsa kira-kira jam 10.30 malam, kelmarin dengan membawa makanan dan minuman keras.
“Kira-kira jam 12.30 tengah malam, suspek dalam keadaan mabuk mengajak mangsa melakukan hubungan seks namun ditolak menyebabkan lelaki itu berang dan menampar muka mangsa sebelum merogolnya,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan BH Online.
Katanya, suspek turut meliwat mangsa selain mengajak mangsa mandi bersama dan menganggap mangsa sebagai isterinya.
“Suspek kemudian tertidur di rumah mangsa dan wanita itu mengambil kesempatan keluar ke balai polis membuat laporan.
“Susulan laporan polis mangsa, suspek ditangkap ketika dia tertidur sebelum direman tujuh hari sehingga 8 November ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dan Seksyen 323 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan,” kata beliau.
Tambah beliau, siasatan lanjut kini sedang dijalankan dan pihak kedutaan suspek dan mangsa dimaklumkan berhubung kejadian itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DITAHAN PEGAWAI & ANGGOTA POLIS KETIKA SESI FBLIVE
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan kerana melakukan tindakan mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
ASTROAwani melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tangkapan dibuat pada Ahad, kira-kira jam 11 malam dan merampas gajet digunakan untuk memuat naik video tersebut.
PENGARAH JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed
“Permohonan reman telah dibuat dan dibenarkan selama satu hari, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhimatan rangkaian.
Lokman turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan.
Tegas Huzir, pihaknya akan menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.
BEKAS Ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam
Lokman ditahan polis ketika sedang melakukan sesi FacebookLive di sebuah restoran, di sini.
Lokman menerusi livestreaming bertajuk SetiapMPbakaldisogokRM3jutaperuntukanjikaBajet2021diluluskan? BiarBetul? itu turut memaklumkan didatangi pegawai polis sebelum menamatkan sesi tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUTTERWORTH: Seorang penganggur ditahan selepas mengugut warga emas dengan menggunakan sebilah pisau di Lahar Tambun, Tasek Gelugor, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut.
Asisten Komisioner Norzainy Mohd Noor
Menurut laporan SinarHarian, sebelum kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun terdengar seperti orang menendang pintu rumahnya namun mengabaikan kerana menyangka ia dari rumah jiran.
Bagaimanapun, katanya, pada jam 7.30 pagi (hari sama), dia mendapati pintu rumahnya telah rosak dan dimaklumkan oleh anak saudaranya bahawa ia perbuatan jirannya.
“Mangsa telah ke rumah jirannya (suspek) untuk bertanya tentang perbuatan itu namun suspek terus mengamuk lalu mengacukan pisau ke arah mangsa.
“Mangsa yang ketakutan terus melarikan diri ke rumahnya. Bimbang berlaku perkara tidak diingini, mangsa membuat laporan polis,” katanya.
Noorzainy berkata, kejadian ugutan itu berlaku di rumah suspek iaitu rumah kampung setingkat.
“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah. Siasatan awal juga mendapati, suspek dipercayai sakit mental.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut menggunakan pisau. Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah reman,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SALAH FAHAM SEBELUM SUSPEK BERTINDAK KEJAM BUNUH MANGSA
HULU TERENGGANU: Polis menahan seorang remaja wanita berusia 19 bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya, 19, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut, berkata tangkapan wanita yang juga kenalan di sekolah mangsa dilakukan selepas dia hadir bersama ibunya ke Balai Polis Hulu Terengganu jam 8.15 pagi.
KETUA Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud
Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada rumah burung berhampiran kediaman mangsa.
“Pagi tadi, jam 7.30 suspek datang ke Balai Polis Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, keterangan dia agak mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan mangsa.. berikutan itu, kita menahannya untuk siasatan lanjut jam 8.15 pagi,” katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu dilaporkan BHOnline.
Katanya, susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek di Kampung Kubang Labu, di sini, dan menemui beberapa barangan yang diambil daripada rumah mangsa termasuk wang tunai dan peralatan solek.
LOKASI kes pembunuhan kejam remaja wanita berusia 19 tahun di Kampung Lubuk Batu, Telemong, pagi semalam
Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.
Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku salah faham hingga menimbulkan kemarahan suspek sebelum berlaku pergaduhan.
“Ketika bergelut, suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.
Mohd Adli berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan bukan samun dan bunuh.
Suspek masih bersekolah di Tingkatan Enam ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Kesiksaan kerana membunuh.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman.
Dalam kejadian semalam, Siti Nur Surya Ismail ditemui oleh adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, tertiarap di hadapan televisyen di ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.
MANGSA kes bunuh, Siti Nur Surya Ismail
Pada awalnya ramai percaya mangsa dibunuh perompak yang memecah masuk rumahnya sekitar jam 9 pagi.
Mangsa yang turut mengalami kecederaan di bahagian badan muka dipercayai bergelut sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam.
Difahamkan ketika kejadian hanya mangsa dan ibunya yang terlantar berada dalam rumah manakala bapa dan adik beradik lain bekerja dan bersekolah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!