GAGAL SELUDUP 450 MURAI
KOTA TINGGI: 450 ekor burung murai yang dibawa oleh seorang warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup keluar ke negara jiran .
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, berkata lelaki warga emas itu ditahan selepas pihaknya memintas dan menahan sebuah bot gentian kaca di perairan Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, jam 11.45 malam, kelmarin.
Menurutnya , dalam Ops Benteng itu, seorang lelaki berusia 61 tahun itu ditahan dan 450 ekor burung murai serta bot dan sebuah enjin sangkut yang digunakan suspek dirampas,
Jelasnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM163,408. Burung murai menjadi kegilaan dan buruan masyarakat dari negara jiran kerana fizikalnya cantik dan bersuara nyaring.
Katanya, burung murai dari Malaysia dikatakan lebih bermutu tinggi dan harga seekor burung murai mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran Indonesia.
“Burung jenis ini menjadi haiwan kawalan untuk dieksport mengikut peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2013 (MAQIS)”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhd Zailani berkata, kes disiasat mengikut Akta MAQIS dan Akta Imigresen 1959/63.