BUKIT KUANTAN, JERANTUT SETINGGI 149 METER BAKAL JADI TARIKAN BAHARU PENDAKI
BUKIT KUANTAN, JERANTUT SETINGGI 143 METER BAKAL JADI TARIKAN BAHARU PENDAKI
JERANTUT: Bukit Kuantan setinggi 149 meter dari paras laut yang terletak di tengah bandar Jerantut bakal menjadi tarikan pengunjung yang popular dengan sukan lasak pendakian bukit yang baharu, di sini.
Pengerusi Bird Group Taman Negara Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, usaha mendaki ke bukit itu sebagai merintis laluan denai baharu untuk pengunjung yang berhasrat mendaki ke puncak bukit itu.
“Memang ada laluan bertar ke puncak bukit itu, tetapi untuk kegunaan pihak perkhidmatan bekalan air di kawasan bandar kerana terdapat beberapa buah tangki besar untuk menampung bekalan air.
“Bagi penggemar sukan lasak pendakian, pastinya mereka mahu laluan yang mencabar, oleh itu sebagai badan sukarela, kami membuka dan mencari laluan baharu yang sesuai,” katanya.
Penolong Penguasa Bomba Jerantut, Mohd Zulkilfi Mohd Zainal berkata, beberapa anggota bomba yang mengikuti pendakian ke puncak bukit itu dengan beberapa NGO dan agensi kerajaan lain sebagai melakukan kajian risiko di kawasan berbukit.
“Bagus juga aktiviti ini diadakan, sebagai kajian risiko untuk menilai dengan beberapa penambahbaikan dan meningkatkan kecekapan dan keberkesannya kaedah penyelamatan.
“Sebagai satu agensi kerajaan yang sangat dekat dengan pengurusan bencana dan penyelamatan, aktiviti seperti ini bagus dilihat dari sudut penyelamatan sekiranya berlaku kejadian seperti pendaki mengalami kecederaan dan kemalangan yang perlu bantuan kecemasan,”katanya.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Pemangku Setiausaha MDJ, Mohd. Khasri Abdullah.
Aktivitis Pelancongan Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, aktiviti merintis laluan ke puncak bukit itu untuk menambah tempat tumpuan pelancong dan pengunjung ke bandar Jerantut.
“Memang ada banyak tempat menarik di daerah ini, tetapi kami mencari tempat baharu yang dekat dengan bandar sebagai mempromosikan tempat tarikan pelancongan yang baharu dalam bandar.
“Pihak kami kerjasama dengan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan cuba membaiki laluan pendakian bandar bertepatan dengan konsep Bandar Sihat,” katanya.
Katanya, selepas pendakian rintis kali pertama ini, laluan ke puncak bukit akan dibaiki dan pelbagai langkah keselamatan perlu disediakan seperti tali untuk mendaki lereng curam dan anak tangga.-SAHIH.