BANJIR DI PAHANG PULIH
KUANTAN: Banjir di Pahang pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Jerantut menamatkan operasi hari ini.
Bernama melaporkan, PPS Kuala Teh pula dibuka selepas rumah mangsa yang berada di kawasan rendah dinaiki air pada pagi semalam selepas hujan lebat mengakibatkan sungai berhampiran melimpah.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan PPS Dewan Orang Ramai Sungai Ular ditutup pada 11.30 pagi selepas 25 mangsa daripada empat keluarga kembali ke rumah masing-masing manakala PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Teh, Jerantut yang menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga ditamatkan operasi pada 2.30 petang tadi.
PPS Sungai Ular dibuka sejak Khamis lalu, sebagai langkah berwaspada berikutan cuaca hujan berterusan memandangkan empat keluarga itu tinggal bersebelahan sungai dan dikhuatiri menyukarkan usaha menyelamat jika air naik pada waktu malam.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan setakat 3.40 petang ini, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran berada di paras waspada manakala Sungai Yap, di Jerantut dan Sungai Lepar, di sini di paras amaran.
Empat lagi sungai berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh; dan Sungai Belat serta Sungai Kuantan di sini.