JERANTUT – Seorang peniaga dari sebuah Felda di Jengka mengaku bersalah kerana mengemuka maklumat palsu yang dapat dikesan apabila mahu membuat kad pengenalan anak sulungnya di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Temerloh tahun ini.
Tertuduh seorang peniaga, Khairul Anuar Zaini, 42, mengaku bersalah mengunakan maklumat palsu berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya Majistret Mahkamah Jerantut.
Majistret Mahkamah Jerantut, Mohamed Shah Reza Noor Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan boleh dipenjara 12 bulan.
Berdasarkan pertuduhan awal, tertuduh dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu sewaktu mendaftar kelahiran bayi lelaki sulungnya pada 22 November 2010, pada jam 2.28 petang di Kaunter Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Bandar Jengka, Maran.
Kes pemalsuan itu dapat dikesan oleh pegawai penyiasat Jabatan Pendaftaran Negara Temerloh apabila tertuduh datang untuk membuat kad pengenalan anak sulungnya kini yang berusia 12 tahun telah menimbulkan keraguan.
Menurut Pegawai Pendakwa, Mat Razali Shamsuddin berkata, tertuduh telah mengemukakan dua saksi ketika bernikah dengan pasangannya pada tahun 2009.
“Salah seorang daripada nama saksi pernikahan tertuduh dan pasangan itu telah meninggal dunia pada tahun 2007 sedangkan tertuduh bernikah pada tahun 2009.
“Tertuduh dan pasangannya telah melahirkan anak sulungnya pada 2010 dan telah membuat pendaftaran kelahiran di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Jengka.
Katanya, susulan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih diteruskan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Ridzuan Mansor, bekas Ahli Majlis Daerah Jerantut mengekalkan tradisi berziarah sambil beramal jariah kepada keluarga yang memerlukan dengan menyampaikan sumbangan supaya mereka lebih ceria menyambut perayaan Deepavali.
‘Pak Cik Prihatin’ ziarah sampaikan bantuan penduduk India sempena Deepavali
JERANTUT – Penaung Pertubuhan Pak Cik Prihatin Jerantut telah berziarah hampir tiga jam semata-mata untuk mendekatkan ukhuwah dengan penduduk kaum India di Taman Ruby, Taman Koperasi, Taman Seri Makmur, Taman Mawar Murni dan perumahan pinggir bandar dengan menyampaikan sumbangan serta beramah mesra dengan penerima tersebut sempena Sambutan Deepavali.
Datuk Ridzuan Mansor, bekas Ahli Majlis Daerah Jerantut berkata, menjelang dan ketika perayaan orang Melayu, Tionghua dan kaum lain, dia mengekalkan tradisi berziarah sambil beramal jariah kepada keluarga yang memerlukan dengan menyampaikan sumbangan supaya mereka lebih ceria menyambut perayaan masing-masing.
“Saya terpanggil serta amat bersimpati untuk membantu apabila dimaklumkan oleh ketua kampung dan ketua masyarakat kaum berkenaan di daerah ini mengenai ada penduduk yang asnaf, uzur, sakit kronik serta Orang Kelainan Upaya memerlukan perhatian kebajikan.
“Amal kebajikan yang saya tunaikan tidak mengira kaum dan lebih pentingnya untuk mendekatkan ukhuwah sesama kita secara langsung mampu menceriakan penduduk yang memerlukan supaya dapat mengurangkan tekanan di samping menikmati kebahagiaan seperti insan lain yang bernasib baik,” katanya di Taman Mutiara, bandar Jerantut hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Instruktor kecergasan Jey Prabakar tekad pecah rekod dunia
LIPIS – Instruktor kecergasan, Dr K. Jey Prabakaran Thevar bertekad untuk memecah rekod ‘Guiness Book of World Record” bagi menjalani rutin sesi senaman kardio atau kecergasan tanpa henti terpanjang di dunia.
Dr K. Jey Prabakaran Thevar bertekad untuk memecah rekod ‘Guiness Book of World Record” bagi menjalani rutin sesi senaman kardio atau kecergasan tanpa henti terpanjang di dunia.
Sebelum itu, anak kelahiran Kuala Lipis itu yang berusia 26 tahun telah memecahkan ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) apabila berjaya melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 12 jam tanpa henti, pada 23 Julai lalu.
Katanya, bagi memastikan kecergasannya dalam keadaan terbaik, beliau telah memulakan latihan, diet yang betul serta peralatan digunakan betul untuk mencapai hasrat dan impiannya.
“Saya amat teruja dengan memulakan latihan untuk memecah rekod dunia dan Asia yang baru pada tahun depan dan kini persediaan sepenuh telah bermula.
“Saya menumpukan tempoh latihan selama lima bulan bermula November ini dengan latihan lebih mencabar daripada sebelumnya, tetapi saya sudah bersiap sedia untuk menghadapinya,” katanya ketika ditemui.
Katanya, selain itu beliau merancang untuk mengadakan latihan di luar negara untuk pengalaman tambahan dan meningkatkan ketahanan kecergasan diri untuk persiapan memecah rekod baharu itu.
Kata anak kelahiran Kuala Lipis itu berkata, sepanjang tempoh 12 jam itu pada Julai lalu, beliau hanya makan dan minum ketika melakukan acara senaman angkat berat yang bersesuaian dan diberikan masa lapan minit untuk ke tandas.
“Kini, sebanyak tiga kali sehari selama enam hari seminggu dengan pengaturan diet dengan makanan sesuai sehari untuk meningkatkan stamina dan tenaga tubuhnya bagi menghadapi cabaran baharu itu.
“Selain itu, melakukan latihan meningkatkan stamina dan kardio dengan menggunakan lebih 20 peralatan seperti treadmill, dumbbell dan barbell,’ katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pejalan kaki maut dirempuh 4 x 4 di Jalan Padang Tengku- Merapoh
LIPIS : Seorang pejalan kaki berusia 75 tahun maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menerima rawatan di Hospital Lipis pada jam 8.35 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati pejalan kaki itu secara tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dalam keadaan berlari pada 7,10 petang semalam.
“Tiba di tempat kejadian, pemandu pacuan empat roda itu bersama empat penumpang lain dari Padang Tengku menghala ke Merapoh tidak sempat membrek kenderaannya serta tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
“Akibat kemalangan tersebut, pejalan kaki itu cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis oleh ambulan untuk dirawat,” katanya.
Katanya, hasil siasatan kemalangan itu berlaku disebabkan kecuaian mangsa semasa melintas jalan.
“Bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian Covid19,” katanya.- SAHIH..
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERA : Sebuah rumah jenis kekal terbakar seratus peratus telah berlaku di Kampung Menteri, Triang, pada jam 1.00 petang, hari ini.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang, Jais Sudin melaporkan rumah jenis kekal berukuran 6 meter x 20 meter menggunakan dua aliran hos sepanjang 60 meter dan pam jentera bomba turut digunakan dalam operasi kebakaran itu.
Katanya, BBP Triang dengan enam anggota dan dua jentera serta mendapat bantuan sembilan anggota daripada BBP Bukit Angin, Temerloh
“Kejadian kebakaran ini , tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Wan Rosdy menyampaikan Suratan Hak Milik Peneroka FELDA Jengka 25, di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 25, dekat sini, semalam.
Kerajaan negeri terkilan segelintir peneroka tidak sambut baik usaha Kerajaan
TEMERLOH – Kerajaan negeri Pahang terkilan dengan segelintir peneroka yang tidak menyambut baik dan tidak bersyukur segala usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup mereka dengan menyediakan segala prasarana dan pelbagai bantuan kepada semua rakyat yang layak.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai bantuan kerajaan salurkan kepada rakyat negeri ini daripada bayi yang baharu lahir sehingga kepada waris kepada rakyat yang meninggal dunia turut diberi bantuan selama ini.
Katanya, perkara itu jelas berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pelangai bulan lalu apabila segelintir daripada peneroka tidak menunjukkan nilai persaudaraan walaupun berlainan fahaman politik.
“Orang ramai kalau terlalu percaya kepada persepsi atau sentimen yang tidak betul atau fitnah yang disebarkan, boleh meruntuhkan apa sahaja kebaikan yang telah kerajaan negeri usahakan, ini disebabkan segelintir anggota masyarakat yang terlalu mencari helah yang negatif atau buruk yang boleh merencatkan semua perancangan pembangunan dan kebajikan negeri Pahang.
“Kita lihat pada hari ini, antara lain, kerajaan tidak melupakan golongan Felda, contohnya memberi Suratan Hak Milik Peneroka FELDA Jengka 25 yang menanti selama 37 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Peneroka FELDA Jengka 25, di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 25, dekat sini, semalam.
Katanya, pada hari ini seramai 152 peneroka FELDA Jengka 25 telah menerima Suratan Hak Milik dan ini menunjukkan betapa cakna kerajaan kepada peneroka Felda.
“Tanah rancangan Felda Jengka 25, merupakan tanah rancangan yang terakhir dimajukan di Wilayah Jengka yang terletak dalam daerah Temerloh serta di bawah Parlimen Kuala Krau dan DUN Kerdau.
“Tanah rancangan ini dibangunkan pada tahun 1978 dan dibahagikan kepada tiga peringkat dengan keluasan keseluruhan 893.61 hektar dan pada bulan Jun tahun 1986, seramai 152 peneroka yang terdiri dari keluarga Melayu telah ditempatkan di tanah rancangan ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ibu berusia 35 tahun selamat melahirkan bayi di Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, dekat sini sejak dinaiktaraf bermula Februari tahun ini pada jam 7.32 pagi, hari ini.
Kelahiran pertama di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sejak dinaiktaraf
PULAU TIOMAN : Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, dekat sini menerima kelahiran selamat yang pertama sejak dinaiktaraf bermula Februari tahun ini pada jam 7.32 pagi, hari ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ibu berusia 35 tahun telah melalui proses bersalin anak ketiga pada usia kandungan 36 minggu 6 hari dan disambut dengan selamat oleh kakitangan bertugas yang terlatih.
“Keadaan ibu dan bayi selepas proses bersalin juga adalah stabil dan baik, Klinik Kesihatan Tekek merupakan fasiliti yang memberikan perkhidmatan penjagaan ibu mengandung dan bersalin di Pulau Tioman.
“Fasiliti ini telah dinaik taraf dengan kelengkapan peralatan perubatan yang terkini melalui kurniaan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2022 lalu sebanyak RM 2.9 juta,” katanya.
Katanya, jabatan ini merafak sembah, menjunjung kasih Ke bawah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas perkenan kurniaan kepada klinik kesihatan Tekek ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
fOTO ATAS : Zulkifli Othman (depan tengah) menunjukkan laporan polis disaksikan ahli Persatuan Ketua Kampung Lipis di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis, Lipis semalam.
LIPIS – Seramai 40 orang ketua kampung dalam Parlimen Lipis dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Cameron Highlands telah membuat laporan polis supaya menyiasat terhadap pemilik dan pengendali akaun Facebook Promosi PN Maran mengenai hantaran fitnah yang memalukan secara terang cuba menjatuhkan maruah dan reputasi Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang.
Ahli Persatuan Ketua Kampung Parlimen Lipis hadir pada jam 10.30 pagi hari ini di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lipis pada jam 10.30 pagi, manakala JPKK DUN Jelai turt melakukan laporan yang sama di Balai Polis Sungai Koyan, Jelai.
Laporan polis tersebut dibuat berikutan hantaran menerusi laman sosial Facebook Promosi PN Maran mengeluarkan fitnah terhadap Menteri Besar Pahang yang menyebut ‘Apakah MB Pahang ini keturunan Yahudi ke?”
Pengerusi Persatuan Ketua Kampung Lipis, Datuk Zulkifli Othman, 64, berkata, hantaran menerusi Facebook Promosi PN Maran mengambil peluang untuk memalukan seorang pemimpin terkenal peringkat negeri dan negara yang sangat tidak berasas sama sekali.
“Kami dan rakan ketua kampung daerah ini terkilan dengan hantaran berkenaan mungkin dengan memetik ungkapan ‘Palestin hancur’ sehingga sanggup memfitnah sedangkan Wan Rosdy sudah memaafkan kemudiannya akibat tersasul dalam ucapan pada program himpunan tersebut.
“Hantaran ini boleh menjatuhkan maruah dan reputasi sedangkan Wan Rosdy sangat ikhlas dan jujur untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat pergolakan di sana,” katanya selepas membuat laporan di IPD Lipis semalam.
Katanya, pemilik Facebook tersebut menyiarkan petikan video pendek ucapan Wan Rosdy pada Himpunan Pahang 4Palestine pada 28 Oktober lalu di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan cuba memalukan Wan Rosdy berikutan beliau tersasul.
“Memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat secara menyeluruh hasrat pengendali akaun Facebook itu melakukan hantaran tersebut serta mengenakan tindakan undang-undang berasaskan Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Wakil JPKK DUN Jelai, Badra Isa Abdul Hamid, 57, berkata, adalah tidak wajar pemilik akaun laman Facebook itu mengambil peluang memfitnah sedangkan Wan Rosdy cuma tidak sengaja atau tersasul dalam ucapannya di majlis tersebut.
“Amat tidak adil menyiarkan hantaran memalukan dan unsur fitnah yang sepatutnya pemilik akaun tersebut meneladani serta istiqamah dengan kejadian yang berlaku.
“Kami kecewa dengan fitnah yang dilemparkan terhadap Wan Rosdy selaku kepimpinan tertinggi negeri ini di sebaliknya nampak keikhlasan beliau serta bersemangat untuk membantu rakyat Palestin,” katanya di Sungai Koyan, di sini, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lima lelaki Orang Asli ditahan proses air ketum di Pos Pantos Lipis
LIPIS – Polis menahan lima lelaki Orang Asli dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah di Kampung Orang Asli Pos Pantos, Kuala Medang di Kuala Lipis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, anggota BSJN yang menerima maklumat telah melakukan serbuan dalam Ops Tapis di sebuah rumah bernombor 121, di kampung itu pada jam 1.30 pagi, hari ini.
“Menerusi maklumat daripada lima Orang Asli berkenaan, polis telah melakukan serbuan di bahagian belakang rumah itu dan menemukan sebanyak 382 bungkusan plastik cerah yang mengandungi cecair kehijauan disyaki air ketum.
“Dalam operasi ini, peralatan memasak seperti tong gas, periuk dan dapur dipercayai digunakan oleh kelima suspek tersebut untuk memproses daun ketum dan membekalnya kepada penagih di sekitar Pos Pantos dan kawasan berdekatan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di sini hari ini.
Menurut Azli, siasatan awal BSJN mendapati kelima penduduk Orang Asli berkenaan mengaku bekalan daun ketum diperoleh daripada seorang lelaki Orang Asli yang dikenali sebagai ‘Bos’ yang datang dari Chenderong Balai, Perak.
“Percakapan awal daripada suspek , kali terakhir mereka memperoleh daun ketum seberat 10 kilogram pada 1 November 2023 dan memproses dan menjual air ketum ini sejak tiga bulan lalu.
“Kesemua rampasan dalam Ops Tapis di Kampung Pos Pantos menerusi lima orang lelaki yang ditahan bernilai RM3,820, manakala kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Empat puluh ahli Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat, Rengit, Batu Pahat, Johor bersama-sama barangan keperluan asas yang disumbangkan untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, baru-baru ini..
Warga emas terus harung hidup dengan tabah
SEMENYIH – Warga emas yang menghuni di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dinasihatkan untuk terus mengharungi kelangsungan hidup dengan tabah serta sabar walaupun diselubungi kesedihan kerana disisih oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara tanpa waris.
Kisah silam seharusnya dijadikan teladan berguna dan menggunakan kesempatan yang masih ada itu untuk berbuat kebaikan dan amal ibadat supaya terampun segala dosa diri serta mereka yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak atau isteri mahu pun suami.
Pengerusi Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat, Rengit, Batu Pahat, Johor, Nuriah Anuar, berkata dia bersama-sama 40 ahli yang melawat PJMM berasa amat terharu dan sebak apabila Pengerusi PJMM, Azman Rasman menceritakan pelbagai kisah silam warga emas terbabit.
Menurutnya, dalam ucapan ringkas Azman yang menyambut kedatangan kami itu memang menyentuh perasaan ahli semua yang rata-rata sudah berusia seperti warga emas yang berlindung di PJMM.
Nuriah Anuar (dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa melakukan gimik penyerahan barangan keperluan asas kepada Azman Rasman sambil diperhatikan oleh Muhammad Shafiq Mohiadin.
Tambahnya, antara kami ada mempersoal sikap sesetengah ahli keluarga khususnya anak-anak yang sanggup mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga ibu atau bapa selepas membesarkan mereka dan berjaya dalam kehidupan.
“Alasan seperti mengatakan sukar atau membebankan mereka untuk menguruskan ibu atau bapa yang uzur tidak boleh diterima kerana perkara ini boleh dilakukan dengan cara terbaik dengan duduk berbincang bersama-sama ahli keluarga lain.
“Paling menyedihkan apabila mengambil sikap lepas tangan tanpa bertanya khabar langsung selepas ibu atau bapa mereka dihantar oleh pihak hospital serta pihak berkenaan ke pusat jagaan apabila discas selepas menerima rawatan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan ke PJMM bersama-sama ahli pada 7 September 2023.
Selain Azman menyambut kedatangan mereka turut Setiausaha PJMM, Muhammad Shafiq Mohiadin. Dalam kunjungan itu ahli kelas berkenaan menghulurkan sumbangan termasuk pelbagai makanan dan keperluan asas.
Nuriah berkata, kunjungan ke PJMM itu merupakan aktiviti pertama kelas berkenaan melawati pusat jagaan bagi menyelami nasib mereka yang ditimpa musibah dan memerlukan sokongan serta pembelaan daripada mereka berkenaan untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, kunjungan itu juga diharapkan membuka minda ahli untuk melihat secara dekat kegigihan pengurusan PJMM serta sukarelawan mereka menyantuni warga emas dengan penuh kasih sayang dan sabar walaupun tidak mempunyai kaitan persaudaraan.
“Kami menguar-uarkan kewujudan PJMM ini kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Batu Pahat untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan pengurusan PJMM,” ujarnya.
Manakala seorang ahli jawatankuasa kelas berkenaan yang ditemui, Siti Salmiah Abdul Hamid, berkata mereka merancang untuk mengusulkan cadangan menjadikan PJMM sebagai keluarga angkat supaya dapat terus mengikuti perkembangan serta menghulurkan bantuan.
“Selain itu kami akan berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk sama-sama terus membantu PJMM di samping pelbagai rumah kebajikan atau pusat jagaan anak yatim serta tahfiz,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata, PJMM tidak dapat menerima jumlah warga emas melebihi 50 orang berikutan kekangan mencari dana untuk menampung kos operasi seperti bayaran bil utility, kos rawatan dan pengangkutan ke hospital atau pusat kesihatan, perbelanjaan bagi barangan basah serta kering dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya, PJMM sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak seperti korporat, agensi kerajaan serta NGO untuk mengadakan aktiviti amal kebajikan di situ di samping menghulurkan sumbangan barangan keperluan makanan asas dan kewangan.
Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi nombor telefon Azman Rasman 019-977 7419 dan Sazali Mohiden (019-368 8142) sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic bernombor 8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic bernombor 562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia). – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!