Peniaga didenda RM1,800 kemuka maklumat palsu
Peniaga didenda RM1,800 kemuka maklumat palsu
JERANTUT – Seorang peniaga dari sebuah Felda di Jengka mengaku bersalah kerana mengemuka maklumat palsu yang dapat dikesan apabila mahu membuat kad pengenalan anak sulungnya di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Temerloh tahun ini.
Tertuduh seorang peniaga, Khairul Anuar Zaini, 42, mengaku bersalah mengunakan maklumat palsu berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya Majistret Mahkamah Jerantut.
Majistret Mahkamah Jerantut, Mohamed Shah Reza Noor Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan boleh dipenjara 12 bulan.
Berdasarkan pertuduhan awal, tertuduh dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu sewaktu mendaftar kelahiran bayi lelaki sulungnya pada 22 November 2010, pada jam 2.28 petang di Kaunter Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Bandar Jengka, Maran.
Kes pemalsuan itu dapat dikesan oleh pegawai penyiasat Jabatan Pendaftaran Negara Temerloh apabila tertuduh datang untuk membuat kad pengenalan anak sulungnya kini yang berusia 12 tahun telah menimbulkan keraguan.
Menurut Pegawai Pendakwa, Mat Razali Shamsuddin berkata, tertuduh telah mengemukakan dua saksi ketika bernikah dengan pasangannya pada tahun 2009.
“Salah seorang daripada nama saksi pernikahan tertuduh dan pasangan itu telah meninggal dunia pada tahun 2007 sedangkan tertuduh bernikah pada tahun 2009.
“Tertuduh dan pasangannya telah melahirkan anak sulungnya pada 2010 dan telah membuat pendaftaran kelahiran di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Jengka.
Katanya, susulan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih diteruskan,” katanya.-SAHIH.