JERANTUT: Tempoh lanjutan bagi menandatangani perjanjian penyelarasan hutang ditawarkan FELDA perlu direbut semua warga peneroka yang belum berbuat demikian.
EXCO Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, tawaran itu dilihat sangat membantu mengurangkan bebanan kewangan dihadapi peneroka sejak pandemic COVID-19.
EXCO Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
“Pihak FELDA bersetuju melanjutkan tempoh untuk warga peneroka menandatangani perjanjian itu sehingga 11 Ogos depan.
“Kalau kita lihat setakat ini hanya sekitar 60 peratus sudah menandatangani perjanjian berkenaan, manakala bakinya masih belum membuat sebarang keputusan.
“Jadi, saya harap mereka yang belum berbuat demikian mengambil peluang ini untuk datang ke pejabat FELDA di kawasan masing-masing untuk mendapatkan penerangan lebih terperinci berhubung tawaran itu,” katanya.
Razak yang juga Ketua Peneroka FELDA Jengka 24 berkata, seramai 210 peneroka FELDA Jengka 24 sudah menandatangani surat perjanjian itu.
Katanya, lebih ramai lagi warga peneroka perlu mengambil peluang memandangkan tawaran pelupusan hingga 80 peratus hutang adalah peluang terbaik untuk membantu mereka mengurangkan masalah bebanan hutang ditanggung sebelum ini.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOPERASI TERJEJAS PERLU REBUT PELUANG MOHON MODAL PUSINGAN MEDAC
MARAN: Sektor koperasi yang berdepan masalah akibat pandemik COVID-19 perlu merebut peluang pembiayaan diumumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Ahad lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, berdasarkan kajian MEDAC, kira-kira 30 operator koperasi di seluruh negara terjejas berikutan sekatan pergerakan diperkenalkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 sejak tahun lalu.
Katanya, antara sektor koperasi paling teruk terkesan ialah membabitkan operator pelancongan, perkhidmatan dan perhotelan.
“Pengumuman Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini diharap dapat memberi kelegaan sedikit kepada koperasi yang terjejas ini.
“Melalui peruntukan berjumlah RM230 juta dan pengenalan produk baharu dalam Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM), mereka perlu merebut peluang dan mengemukakan permohonan.
“Cuma kalau boleh, syarat permohonan itu dipermudahkan dan lebih fleksibel bagi memastikan proses (kelulusan) dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan set pakaian pelindung diri (PPE) dan pelitup muka dari CoopCare ANGKASA kepada petugas Hospital Jengka, di sini, hari ini.
Sumbangan diterima Pengarah Hospital Jengka, Dr Mohd Sharafana Senasi Abdullah.
Dr Wan Junaidi dalam sidang media Ahad lalu dilaporkan berkata, MEDAC menyediakan peruntukan RM230 juta melalui lima produk pembiayaan TMPSKM bagi membantu kira-kira 14,000 koperasi seluruh negara.
Dianggarkan melalui peruntukan itu, seramai 6.5 juta ahli koperasi bakal menerima manfaat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Semua warga peneroka FELDA Wilayah Jengka perlu mengambil peluang ditawarkan kerajaan untuk mengurangkan bebanan hutang mereka.
Exco Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata , tawaran dicadangkan kerajaan itu adalah sangat munasabah dan selaras dengan perjuangan warga peneroka selama ini.
“Mereka (kerajaan) pun sudah beri tambahan masa untuk peneroka pertimbangkan tawaran itu, jadi gunalah masa yang ada untuk meneliti kandungan perjanjian disediakan.
EXCO JKKR Wilayah Jengka,
Razak Daud
“Jika sebelum ini, kita diberikan masa 14 hari untuk menandatangani perjanjian itu, namun selepas diminta untuk tempoh itu dipanjangkan, maka mereka setuju untuk lanjutkan kepada sebulan.
“Saya fikir tawaran diberikan adalah sangat bagus dan saya harap semua warga peneroka tidak melepaskan peluang untuk menandatangani perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Razak memaklumkan setakat ini seramai 5,055 peneroka FELDA Wilayah Jengka sudah mencapai persetujuan untuk menerima tawaran disediakan kerajaan.
Katanya, baki peneroka yang belum menandatangani dokumen perjanjian itu dijangka dapat diselesaikan selepas sambutan Aidiladha.
“Berdasarkan rekod kita, terdapat 14,957 peneroka di Wilayah Jengka dan setakat ini 33.8 peratus sudah selesai (menandatangani) perjanjian.
“Saya harap semuanya selesai selepas cuti sambutan Aidiladha dan ini adalah peluang untuk kita semua menikmati pelarasan hutang sehingga 80 peratus, seperti diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
336 MASJID DAN TEMPAT SEMBELIHAN KORBAN SUDAH DIKENALPASTI
KUANTAN: Sebanyak 336 masjid dan tempat penyembelihan di seluruh Pahang telah dikenalpasti bagi urusan penyembelihan untuk ibadah korban yang bermula Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat di lokasi terbabit.
“Seramai 1,335 penyembelih dan pembantu penyembelih sudah menerima kelulusan dan dibenarkan melakukan penyembelihan bagi ibadah korban.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
“Kita juga sudah mendapat persetujuan mengadakan ibadah korban dengan SOP ketat iaitu hanya tempat diiktiraf dan diberikan lesen oleh pihak jabatan veterinar.
“Masjid ini juga perlu memiliki kelengkapan bersesuaian dan mencukupi bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan.
“Mereka yang dibenarkan melakukan kerja penyembelihan perlu membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kebenaran melaksanakan solat Sunat Aidiladha pula, Syed Ibrahim berkata, semua masjid dan surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat serta fardu, turut dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidiladha, tertakluk kepada SOP ditetapkan sebelum ini.
“Walaupun dapat kebenaran untuk menunaikan solat Aidiladha, tetapi mereka mestilah mengikut SOP sebagaimana yang telah ditetapkan, sebagai contoh masjid negeri boleh solat dengan jumlah 100 jemaah.
“Jika, mereka ada keupayaan dari segi ruang, jentera untuk bantu orang ramai dan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menambah jumlah jemaah,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
2,000 KILOGRAM IKAN PELALING UNTUK PENDUDUK TERKESAN
KUANTAN: Jika sebelum ini kita biasa mendengar mengenai kewujudan Bank Makanan bagi membantu golongan terkesan akibat COVID-19, rangkaian pasar raya borong MO Wholesales beribu pejabat di sini, mencipta kelainan dengan memperkenalkan inisiatif ‘Fish Bank’.
Program itu dilaksanakan pagi tadi, bermula jam 8.30 pagi di perkarangan pasar raya berkenaan yang terletak di Kompleks Pasar Borong Baru Kemunting, Jalan Tanah Putih.
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, idea memperkenalkan ‘Fish Bank’ itu tercetus selepas mendapati masih belum banyak pihak menawarkan bantuan barangan basah kepada orang ramai, terutamanya yang berdepan masalah kehilangan punca pendapatan berikutan penularan COVID-19 sejak setahun lalu.
“Kalau sebut ‘Food Bank’ memang kita sudah biasa dengar dan ramai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mereka (yang terkesan), cuma bantuan barangan basah seperti ikan, agak jarang kita dengar.
“Jadi, dari situ kami dapat idea untuk melancarkan program ‘Fish Bank’ ini dan hari ini, kami menyediakan kira-kira 2,000 kilogram (kg) ikan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar bandar raya Kuantan.
“Memandangkan daerah ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi kita melakukan pengagihan secara pandu lalu dan ini adalah bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi,” katanya ketika ditemui ketika program berkenaan berlangsung, pagi tadi.
Mohd Rofzan berkata, setiap penerima akan memperoleh dua kilogram ikan jenis Pelaling dan proses pengagihan 2,000 kg ikan berkenaan selesai sepenuhnya dalam masa kira-kira dua jam.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya pihak MO Wholesales bagi membantu kumpulan yang terdepan masalah kehilangan sumber pendapatan, Mohd Rofzan berkata, pihaknya akan melancarkan Bank Makanan di perkarangan pasar raya miliknya itu tidak lama lagi, di samping meneruskan pengagihan ikan percuma dari semasa ke semasa.
“Program hari ini adalah sebagai permulaan dan kita juga sedang merancang untuk menyediakan rak ‘Food Bank’ di pasar raya kami untuk memudahkan mereka (yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan) mendapatkan bantuan barangan keperluan asas.
“Begitu juga dengan program ‘Fish Bank’ ini, kita akan teruskan dari semasa ke semasa, bergantung kepada bekalan ikan yang kita perolehi.
“Macam hari ini, kita agihkan ikan jenis Pelaling kerana stok yang banyak Ketika ini adalah ikan jenis itu, kalau selepas ini ada stok (banyak) ikan jenis lain, kita agihkan ikan (jenis) lain pula,” katanya yang memaklumkan program sama akan diperluaskan ke semua enam rangkaian pasar raya milik MO Wholesales secara berperingkat.
Katanya, program ‘Fish Bank’ sesi kedua akan diadakan di cawangannya di Kemaman, Terengganu, dalam masa terdekat. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan dakwaan kononnya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa mengarahkan penutupan kilang yang mendatangkan risiko kepada kesihatan awam.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan Pusat sudah menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri pada 26 Jun lalu, untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kegiatan yang boleh mengakibatkan penularan pandemik COVID-19.
“Dalam hal ini, kita ambil contoh di Selangor dan mereka kata tidak ada kuasa untuk menutup kilang sedangkan ia (kuasa) itu sudah diturunkan kepada mereka melalui Akta 432 yang merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Selain itu, mereka (PBT) juga boleh menggunakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang secara jelas membenarkan semua PBT mengambil tindakan kompaun dan mengarahkan penutupan premis atau kilang yang menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Jadi, tidak betullah kalau mereka (kerajaan Selangor) cakap mereka tidak ada kuasa… kita (kerajaan Pusat) sudah turunkan kuasa kepada mereka dan boleh guna Akta 171 bagi menutup kilang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja sempena Pelancaran Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Orang Ramai Kampung Serengkam, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KPKPT yang juga ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Selangor, Ng Sze Han dilaporkan berkata, PBT tidak mempunyai kuasa berkaitan kawalan jangkitan penyakit untuk menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Sebaliknya, Sze Han mendakwa kuasa itu terletak di bawah kerajaan Pusat untuk menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan arahan penutupan kilang atau premis perniagaan dibuat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PROGRAM MOVAK BANTU PENGAMAL MEDIA, PENDUDUK TERIMA VAKSIN LEBIH CEPAT
MARAN: Pelancaran Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) berjaya mempercepatkan proses vaksinasi penduduk luar bandar dan pengamal media di Pahang.
Inisiatif MOVAK melalui kerjasama pintar antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perpaduan Negara itu juga dapat membantu pengusaha bas yang kehilangan punca pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, melalui program MOVAK itu juga, petugas dari Kementerian berkenaan dapat turun padang dan melihat sendiri situasi di kawasan luar bandar serta merangka pendekatan bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan lebih cepat.
“Sudah tentu program seperti ini sangat membantu memudahkan orang ramai, terutamanya penduduk luar bandar yang mempunyai masalah seperti pengangkutan untuk ke tempat pemberian vaksin”
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib..
“Jadi, apabila ada bas MOVAK yang sudah diubah suai ini, mudahlah untuk kita memberikan vaksin kepada lebih ramai penduduk di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Kuala Wau, dekat sini, hari ini.
Beliau turut melancarkan program MOVAK di klinik berkenaan.
Seramai 400 penduduk sekitar Kampung Kuala Wau dan kawasan sekitar menerima dos pertama vaksin mereka hari ini.
Turut menerima vaksin jenis Sinovac di PPV berkenaan ialah 11 pengamal media negeri Pahang.
Ismail turut berterima kasih kepada semua pengamal media yang tetap menjalankan tugad mereka, walaupun belum menerima suntikan vaksin sebelum ini.
“Saya harap selepas ini, mereka (pengamal media) lebih yakin untuk meneruskan tugas dengan komited dan sepatutnya mereka menerima lebih awal (vaksin) kerana tugas sebagai media juga adalah seperti frontliner yang lain,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAKMUR GOLD NAFI TAWAR SKIM PELABURAN EMAS TIDAK MASUK AKAL KEPADA PELANGGAN
KUANTAN: “Kami tidak pernah dan tidak ada kaitan langsung dengan syarikat menawarkan skim pelaburan emas yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal,” demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood.
Beliau mengakui sangat kecewa dengan tindakan syarikat yang beroperasi di Temerloh itu, menggunakan nama Makmur Gold bagi mengaburi mata pelabur mereka.
Sambil menyifatkan tindakan itu mencemarkan imej dan reputasi dibina Makmur Gold sejak kira-kira 10 tahun lalu, beliau turut memberi gambaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik syarikat terbabit.
“Perkara ini sedang dalam pertimbangan peguam kami dan kita tidak menolak kemungkinan untuk membawa kes ini ke mahkamah dengan mengemukakan saman terhadap mereka.
“Makmur Gold sudah mempunyai reputasi yang baik dan berjaya membina keyakinan terhadap kualiti produk emas dihasilkan dalam kalangan pelanggan kami di Pantai Timur Semenanjung, selain rangkaian rakan niaga di seluruh negara ketika ini.
“Perbuatan syarikat berkenaan menyebarkan melalui media sosial kononnya mempunyai kolaborasi bersama kami dalam skim (pelaburan emas) itu, secara tidak langsung menimbulkan persepsi tidak baik terhadap imej dan kredibiliti Makmur Gold secara amnya,” katanya.
Mohd Faizuddin turut memaklumkan satu laporan polis terhadap pemilik syarikat berkenaan juga sudah dibuat di Balai Polis Kuantan, pagi Ahad lalu.
Katanya, pihaknya berharap pihak berkuasa boleh mengambil tindakan segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa skim berkenaan.
“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai di luar sana supaya lebih berhati-hati jika menerima sebarang tawaran pelaburan emas yang menjanjikan bulan dan bintang.
“Sekiranya ada pihak mendekati anda dan mendakwa skim ditawarkan itu mempunyai kaitan dgn Makmur Gold, sila dapatkan pengesahan dengan menghubungi kami terlebih dahulu bagi tujuan semakan.
“Kita tidak pernah menawarkan (skim) pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga 25 peratus (keuntungan) setiap bulan, ia adalah kadar yang sangat tidak logik dan mengelirukan.
“Buat masa ini, Makmur Gold hanya menyediakan pelaburan yang sah dengan nilai pulangan 18 peratus setahun sahaja, itu adalah jumlah tertinggi ditawarkan kepada kira-kira 200,000 ahli kami,” katanya.
Difahamkan, syarikat menawarkan skim itu mula beroperasi kira-kira tujuh bulan lalu di sebuah premis di bandar Temerloh dan pihak Makmur Gold hanya menyedari nama mereka digunakan kira-kira dua minggu lalu, selepas menerima laporan daripada seorang pelanggan yang mendakwa sudah melabur dalam skim berkenaan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Penghantar makanan bermotosikal di sekitar Kuantan boleh mengisi petrol secara percuma di Stesen Petronas, Tanjung Lumpur bermula Isnin sehingga Jumaat ini.
Yang Dipertua Kelab Keluarga Yayasan Pahang, Onn Abdul Rahman berkata, inisiatif tersebut untuk membantu meringankan beban kewangan mereka yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.
Menurutnya, kira-kira 200 penghantar makanan menerima manfaat itu dan pihaknya menjangkakan jumlah tersebut bertambah, namun agihan bergantung kepada nilai sumbangan yang diperoleh.
“Kita menganggap mereka sebagai ‘unsung hero’ yang perlu diraikan dan bantuan ini membantu meringankan beban mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Free Petrol For Food Delivery Riders, di stesen minyak Tanjung Lumpur, pada Isnin.
Menurut Onn, sebanyak RM2,000 diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut dan kutipan merupakan hasil sumbangan daripada kakitangan Yayasan Pahang.
Sementara itu, Saufi Naqman, 22, berkata, inisiatif oleh Yayasan Pahang itu disambut baik dalam usaha membantu meringankan beban kewangan penghantar makanan.
“Setiap hari saya terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM15 untuk mengisi petrol dan pada hari ini (Isnin) saya dapat menjimatkan sedikit wang.
“Kebiasaan saya terpaksa mengisi minyak tiga kali sehari kerana membuat penghantaran ke pelbagai lokasi di sekitar daerah ini,” katanya yang memulakan kerja bermula 8 pagi hingga 8 malam pada setiap hari.
Bagi Muhammad Saiful Anwar, 25, pula, dia berterima kasih kepada Yayasan Pahang di atas pemberian petrol percuma itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA JUAL AYAM MURAH BANTU PENDUDUK TERJEJAS, HILANG SUMBER PENDAPATAN
KUANTAN: Tidak dapat dinafikan tekanan dihadapi kebanyakan penduduk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja menjejaskan pendapatan, bahkan ada yang kehilangan kerja.
Menyedari bebanan ditanggung penduduk ketika ini, seorang peniaga kedai runcit, Abd Latif Abdul Wahab, 50 tahun, mengambil inisiatif dengan menawarkan ayam proses pada harga paling murah berbanding harga pasaran ketika ini.
Beliau yang sudah berniaga sejak kira-kira 30 tahun berkata, sebanyak 150 ekor ayam proses disediakan kepada pelanggan dengan harga RM5.50 sekilogram.
Latif Abdul Wahab-Peniaga runcit
“Harga ini adalah paling rendah berbanding kebiasaannya dijual pada harga RM7.50 hingga RM9.50 sekilogram di pasaran.
“Idea ini tercetus selepas menyedari kesan (pandemik) COVID-19 terhadap orang ramai. Ada yang hilang kerja, ada yang terputus sumber pendapatan, jadi, saya harap inisiatif ini dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui di kedai runcit miliknya dekat Jalan Tanjung Pasir-Bukit Goh, di sini, pagi tadi.
Abd Latif berkata, bekalan ayam proses itu diperoleh daripada pembekal di Jabor, dekat Kemaman, Terengganu dan beliau menawarkan harga murah itu kepada pelanggannya selama tiga hari, bermula hari ini.
“Untuk hari ini, sebanyak 150 ekor terjual dalam masa kira-kira tiga jam dan bagi mereka yang tidak sempat mendapatkan ayam pagi tadi, mereka boleh datang ke kedai saya pagi esok dan lusa,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nor Farini Mahad ketika ditemui memuji usaha dilakukan peniaga seperti Abd Latif dan mengakui ia sangat membantu orang ramai yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Saya rasa memang patuhlah ada peniaga sudi menjual harga macam ini… sebagai contoh, saya sendiri pun anak lima orang, jadi kita punya keperluan itu agak tinggilah ditambah pula musim macam ini,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Yasser Mohamed berkata, usaha dilakukan Abd Latif itu sangat tepat pada masanya dan wajar dicontohi peniaga lain.
“Kita memuji peniaga seperti beliau kerana sanggup memberi harga serendah ini kepada pengguna, apatah lagi ketika rakyat sedang diuji dengan masalah ekonomi, jadi apabila ada peniaga sanggup meletakkan harga serendah ini, kami semua sangat gembira dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan orang ramai,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!