AFA PRIME Perkenal Langkah Pengurusan Trafik di KLK dan LPT1 Sempena Aidilfitri
AFA PRIME Perkenal Langkah Pengurusan Trafik di KLK dan LPT1 Sempena Aidilfitri
KUALA LUMPUR – AFA PRIME Berhad mengumumkan langkah pengurusan trafik dan keselamatan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bagi menghadapi lonjakan jumlah kenderaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Menurut kenyataan syarikat itu, trafik harian di KLK dijangka meningkat sebanyak 70 peratus kepada 187,000 kenderaan sehari, manakala LPT1 bakal mencatatkan lonjakan sebanyak 83 peratus kepada 75,000 kenderaan dalam tempoh 27 Mac hingga 6 April ini.
Bagi memastikan perjalanan lebih lancar, AFA PRIME Berhad akan menambah tenaga kerja bahagian tol dan trafik sebanyak 21 peratus. Selain itu, pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV), anggota RELA serta perkhidmatan kecemasan 24 jam turut ditempatkan di lokasi strategik sepanjang lebuh raya.
Perjalanan Lebih Lancar dan Selamat
Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, langkah ini bertujuan memastikan pengguna lebuh raya dapat pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa dan selamat.
“Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk bersama keluarga, dan kami komited memastikan perjalanan pulang kampung berjalan lancar serta bebas kebimbangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kemudahan di sepanjang KLK dan LPT1 turut dipertingkatkan. Kawasan rehat tertentu akan dilengkapi dengan tandas mudah alih, tempat letak kenderaan tambahan, serta kakitangan pembersihan yang lebih ramai. Semua stesen minyak di sepanjang lebuh raya juga akan beroperasi 24 jam bagi memenuhi keperluan pengguna.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, AFA PRIME Berhad dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) akan mengagihkan 2,000 pek iftar kepada pengguna lebuh raya di Plaza Tol Gombak pada 27 Mac.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kemas kini trafik serta bantuan kecemasan dengan menghubungi talian LPT-Line di 1-700-818-700 atau mengikuti media sosial rasmi syarikat itu.