POLIS AMBIL KETERANGAN YOUNG SYEFURA
SEPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Pahang daripada DAP, Young Syefura Othman, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang malam ini, bagi memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.
ADUN terbabit tiba di IPD Sepang pada jam 9.15 malam dengan ditemani lima rakan terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki.
Kehadiran ADUN terbabit dipercayai susulan gambar percutiannya bersama rakan-rakan di Avani Sepang Gold Coast Resort, Bagan Lalang, yang tular di media sosial dan mengundang kecaman kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Mereka dilihat tidak mematuhi penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.
Lapor BH Online, ketika ditemui media di IPD Sepang, Young Syefura enggan memberi sebarang komen berhubung kehadirannya ke IPD Sepang.
“Nantilah saya jawab,” katanya secara ringkas.
Ketua Polis Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan kehadiran ADUN Ketari terbabit bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Beliau berkata, polis memanggil ADUN berkenaan untuk diambil keterangan susulan dua laporan polis yang diterima jam 5 petang tadi.
Katanya, ADUN terbabit berdepan siasatan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).