JURUKIMPAL MENINGGAL DUNIA DALAM KERETA
DITEMUI DI KAWASAN PARKIR PUSAT KOMERSIAL
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam keretanya yang di parkir di Pusat Komersial Belian, Jalan Batu 15, di sini, pagi tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram, berkata mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota unit peronda (MPV) polis ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu, jam 3 pagi tadi.
Menurutnya, pemeriksaan oleh anggota peronda mendapati mangsa tidak bernafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Pusat Jantung Kota Samarahan.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur perlakuan jenayah ke atas mangsa memandangkan semua barang peribadi serta dokumen pengenalan dirinya masih ada.
“Pemeriksaan fizikal pada mangsa tiada kesan kecederaan di bahagian badan dan berlaku pergelutan. Tiada senjata berbahaya dijumpai di tempat kejadian,” katanya.
Lelaki berusia 37 tahun itu dari Kampung Stakan Melayu, Kota Samarahan bekerja sendiri sebagai jurukimpal sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.
Butiran maklumat isteri mangsa, suaminya keluar rumah pada pagi semalam dan kali terakhir menerima panggilan telefon daripadanya pada lebih kurang jam 11 pagi.
“Suaminya mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah ditahan dan dirawat tiga kali di hospital dan sudah berhenti makan ubat sakit jantung,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan ditempatkan di bilik mayat HUS untuk bedah siasat.
Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).