KAJI SEMULA PERUNTUKAN SEKTOR PELANCONGAN
RM50 JUTA TIDAK CUKUP UNTUK KERJA SELENGGARA NAIK TARAF FASILITI PELANCONGAN
PEKAN: Kerajaan perlu memberi pertimbangan semula terhadap peruntukan disediakan bagi sektor pelancongan diumumkan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, jumlah RM50 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan pelancongan tidak realistik dan tidak mencukupi untuk dikongsi dengan 14 negeri.
“Walaupun secara umumnya apa dibentangkan semalam adalah sangat positif, namun sektor pelancongan tidak menerima perhatian sebaiknya daripada kerajaan… bayangkan nasib pekerja yang mengharapkan pendapatan harian seperti pemandu pelancong, apa nasib mereka… begitu juga pemandu bas dan lain-lain perkhidmatan yang (pendapatan) hanya bergantung kepada jumlah pelancong menggunakan perkhidmatan mereka.
“Saya fikir jumlah RM50 juta bagi kerja selenggara dan naik taraf kemudahan tempat pelancongan di seluruh negara adalah sangat tidak mencukupi… bayangkan jumlah itu perlu dikongsi bersama 14 negeri di seluruh negara, memang tidak cukup.
“Kita harap kerajaan boleh semak balik jumlah berkenaan… kita tak boleh nafikan sumbangan besar sektor pelancongan kepada pendapatan negara… banyak pemain industri (pelancongan) yang terjejas teruk sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, kena ambil kira perkara ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pahang di Pusat Penyelidikan Tasik Chini, di sini, hari ini.
Dalam Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz petang semalam, beliau mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong.
Peruntukan itu juga dilihat sebagai tidak membantu pekerja yang terbabit dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Sebelum ini, perkara sama disuarakan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang kecewa kerana belanjawan itu gagal menyediakan program bantuan yang kukuh untuk melindungi pekerjaan dan perniagaan dalam sektor itu.
“Dalam keadaan industri yang terjejas teruk, belanjawan kali ini tidak mengambil kira kebajikan 3.6 juta pekerja serta syarikat kecil dan sederhana di sektor ini.
“Sekatan perjalanan menyebabkan keperluan untuk melancong akan terus berkurang sehinggalah vaksin ditemui,” katanya.