6 CARA AJAR ANAK MAKAN SAYUR
Oleh Miss Ain
6 Cara Ajar Anak Makan Sayur Dari Awal Usia
Ajar anak-anak makan sayur dari awal usia. Sayur mempunyai banyak khasiat kepada anak-anak yang sedang membesar dan aktif. Jangan biasakan anak-anak makan makanan yang tidak sihat kerana mereka juga boleh menghidapi penyakit obesiti.
Walaupun sayuran nampak tidak menarik dan tidak enak, tetapi sebagai ibu bapa perlu tahu cara yang betul untuk ajar anak-anak makan sayur. Ikut citarasa mereka dan jadi lebih kreatif.
Beri Sokongan
Beri sokongan yang positif untuk merangsang anak-anak supaya lebih bersemangat dan hilangkan rasa takut untuk makan sayur. Jangan tanamkan perkara negatif terhadap anak seperti sayuran hijau adalah makanan yang tidak sedap. Sebaliknya bagi mereka tindak balas yang positif setiap kali berjaya makan sayur.
Masak Bersama
Selain daripada menjadi kreatif, ibu bapa boleh masak bersama anak. Daripada membeli barang, menyediakan bahan masakan dan memasak. Lakukan bersama. Berikan mereka peluang untuk menghias makanan sambil anda terangkan khasiat sayur. Anda juga dapat meluangkan masa bersama.
Makan Bersama
Anak akan ikut apa yang dia nampak di persekitaran. Inilah masa terbaik ibu bapa menunjukkan contoh kepada anak-anak. Hidangkan beberapa jenis lauk sayuran setiap kali sesi makan. Makan bersama-sama. Secara tidak langsung, anak-anak akan makan sayur tanpa masalah.
Kreatif
Penyediaan makanan biasanya dibuat oleh ibu. Ibu perlu memikirkan idea yang menarik supaya anak berminat untuk makan sayur. Sediakan makanan yang menarik dan comel. Selain sayur hijau, berikan juga sayur seperti lobak merah, jagung, brokoli dan bunga kubis untuk nampak lebih cantik. Pelbagaikan cara memotong sayur. Cara hidangan sangat mempengaruhi anak. Jadikan menu mereka seperti bentuk beruang, kucing atau corak yang cantik.
Snek
Jangan bagi anak-anak makan makanan ringan yang penuh dengan pewarna tiruan dan perisa yang tidak baik. Sediakan mereka snek yang sihat. Jika anak lapar, berikan mereka snek sihat seperti buah dan sayuran. Potong buah dan simpan di dalam peti sejuk. Anda juga boleh rebus brokoli, bunga kobis atau lobak merah.
Jus
Selain makan, anda boleh jadikan jus. Sayur yang sesuai seperti tomato, lobak merah atau timun. Kisar sayur dan campurkan dengan jus lemon untuk elak rasa sayuran yang kuat. Hias dengan cantik.