ALVIN GOH DITAHAN SEMULA BAWAH POCA
Berita Jenayah
ALVIN GOH DITAHAN SEMULA BAWAH POCA
KUALA LUMPUR: Suspek utama kes pengubahan wang haram, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, ditahan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Tindakan menahan Alvin, 32, di bawah POCA dibuat selepas tempoh tahanan reman ke atasnya selama tiga hari sebelum ini tamat pada hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata selepas diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, pada awal pagi Selasa lalu, Alvin ditahan reman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Permohonan reman POCA akan dimohon di Mahkamah Kuala Lumpur esok, bagi membantu siasatan lanjut berhubung kegiatan dan aktiviti yang dijalankan Alvin.
“Siasatan selanjutnya akan dijalankan sepanjang tempoh POCA dikenakan ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alvin dikesan sering bersembunyi dari satu ke satu lokasi lain selepas melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 11 Oktober lalu.
Suspek dikesan bersembunyi di sebuah residensi sebuah pusat peranginan di Pahang, bersama seorang wanita warga China dipercayai teman wanitanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, sebelum ini berkata Alvin disyaki adalah koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan bagi mengesannya sejak 12 Oktober lalu.
Alvin ditahan pada jam 1.20 pagi, Selasa lalu bersama wanita warga asing dipercayai kekasihnya oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di luar Lembah Klang.
BH Online