28 pusat penamaan calon PRN Melaka ditutup
28 pusat penamaan calon PRN Melaka ditutup
Melaka: Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selesai selepas kesemua 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri ditutup pada 10 pagi ini.
Tempoh sejam bermula 9 pagi diperuntukkan bagi urusan penyerahan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan penutupan proses berkenaan di pusat masing-masing.
Sejurus pengumuman itu, semua calon yang bertanding memasuki fasa berkempen selama 14 hari sehingga 11.59 malam, 13 November ini seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.
Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.-SAHIH
#PRNMelaka #PilihanRaya #SPR #Melaka
