PRN Melaka bukan medan caci maki lawan – Anwar
PRN Melaka bukan medan caci maki lawan – Anwar
MELAKA: Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebagai medan mencaci maki pihak lawan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pencapaian kerajaan bagi meraih sokongan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang kempen perlu dimanfaatkan untuk menjelaskan rekod pentadbiran Kerajaan MADANI serta usaha yang dilaksanakan sepanjang hampir empat tahun menerajui negara.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, gabungan itu mempunyai keupayaan untuk meraih kemenangan dengan mengetengahkan pencapaian sebenar kerajaan tanpa perlu menyerang pihak lawan.
“Kita tidak gunakan peluang ini untuk caci maki orang. Kita guna kesempatan ini menerangkan apa yang kita lakukan dan apa yang mampu kita tingkatkan.
“Kita boleh menang dengan menceritakan apa yang kita lakukan. Kalau dulu kita janji, sekarang hampir empat tahun kita perintah, kita terangkan apa yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam Sabtu.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keupayaan PH mentadbir di peringkat Persekutuan mampu diterjemahkan di Melaka sekiranya gabungan itu diberikan mandat menerajui kerajaan negeri.
Katanya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak membuktikan keberanian Kerajaan MADANI melaksanakan pembaharuan bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia, selain mengurangkan ketirisan.
“Kita membuat reformasi subsidi minyak yang tidak pernah ada kerajaan sebelum ini berani buat, tetapi kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berani membuat perubahan.
“Kita pastikan subsidi hanya untuk rakyat Malaysia. Ini satu kejayaan hasil daripada rasionalisasi subsidi, kita dapat menjimatkan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap keputusan dasar kerajaan di bawah kepimpinan Anwar mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, sebarang cadangan perubahan dasar akan diteliti secara menyeluruh sebelum dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.-SAHIH
#PRNMelaka #PakatanHarapan #AnwarIbrahim #KerajaanMADANI
