HAYATI, HORMATI TITAH YDP AGONG
CAMERON HIGHLANDS: Semua pihak wajar menghormati dan menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Mesyuarat Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, petang semalam.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali berkata, sudah sampai masanya pihak kerajaan dan pembangkang berhenti berbalah dan menumpukan sepenuhnya kepada agenda pemulihan negara yang masih terkesan akibat COVID-19.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali
“Kami di pihak BERSATU Cameron Highlands sangat menyembah takzim dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berharap ahli politik lain juga dapat menerima (keputusan) dengan hati terbuka.
“Saranan Seri Paduka supaya semua pihak berhenti berpolitik adalah sangat tepat dan bersesuaian dengan situasi politik semasa (dalam negara) yang begitu kurang menarik di mata pelabur dari luar.. sudah tentu ia akan menjejaskan perancangan kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa semua parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional dapat terus bersama-sama membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas membantu rakyat dengan lebih lancar.
Katanya, kerajaan Persekutuan ketika ini sangat prihatin dengan kesukaran didepani rakyat sejak COVID-19 mula melanda Malaysia awal tahun ini.
“Kita sudah melihat kesukaran dihadapi kebanyakan rakyat ketika fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu… kerajaan Persekutuan sudah cuba sedaya upaya memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat dan ini adalah antara usaha yang perlu diteruskan.
“Sudah pasti kita sangat meminta kerjasama semua pihak untuk berhenti bermain politik kerana wabak COVID-19 masih belum menunjukkan akan berakhir dalam masa terdekat… biarlah kerajaan Persekutuan meneruskan usaha membantu rakyat dan hormatilah titah Yang di-Pertuan Agong, demi kebaikan kita semua,” katanya.