MESYUARAT PENTING MKT MALAM INI
Berita Politik
MESYUARAT PENTING MKT MALAM INI
KUALA LUMPUR: UMNO memanggil semua anggota Majlis Kerja Tertingginya (MKT) hadir mesyuarat penting malam ini yang dijadual bermula jam 8 malam.
Mesyuarat itu antara lain akan memperincikan pelbagai cadangan dan pendapat yang dikemukan hasil pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) petang ini.
Antara yang utama, memuktamadkan pendirian UMNO dan BN sama ada kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika ini atau sebaliknya.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, ketika dihubungi mengesahkan semua ahli MKT dipanggil untuk hadir mesyuarat itu.
“Semua ada (dipanggil),” katanya ketika ditanya sama mesyuarat malam ini hanya akan membabitkan ahli MKT tetap saja atau termasuk ahli MKT lantikan.
Keputusan berkait sokongan kepada PN yang dijangka diambil pada mesyuarat malam ini dilihat penting berikutan perkembangan politik semasa.
Pertemuan Ahli Parlimen BN petang ini, yang majoritinya dari UMNO, membuat keputusan untuk memberi mandat kepada ahli MKT UMNO menentukan keputusan akhir.
BH Online