Bimbingan ulama Turkiye beri kekuatan kepada Anwar ketika susah
Bimbingan ulama Turkiye beri kekuatan kepada Anwar ketika susah
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang jasa seorang ulama tersohor dari Turkiye yang pernah memberikan bimbingan, didikan dan semangat kepadanya ketika berdepan detik sukar dalam kehidupan.
Anwar berkata, Syeikh Prof Dr Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani merupakan antara tokoh agama yang banyak memberikan dorongan dan kekuatan kepadanya ketika melalui tempoh mencabar suatu ketika dahulu.
Katanya, beliau amat menghargai kesudian ulama berkenaan hadir menyampaikan syarahan mengenai tafsir Surah Yusuf oleh Imam al-Ghazali pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, Isnin lalu.
“(Syeikh Muhammad Fadhil) beri didikan, asuhan dan semangat yang kuat dalam keadaan yang sukar dulu.
“Sebab itu bila dia sampai semalam, saya jumpa dan dia cerita tentang tafsir Surah Yusuf dari Imam Ghazali. Jadi saya kira kita manfaatkan dalam masa singkat ini,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta lebih 100 hadirin.
Syarahan selama sejam itu memberi tumpuan kepada kupasan tafsir Surah Yusuf oleh Imam al-Ghazali, khususnya dalam memahami kandungan serta pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan.
Sementara itu, Zulkifli berkata, syarahan disampaikan ulama berkenaan memberikan kupasan mendalam mengenai tafsir Surah Yusuf sekali gus membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kitab suci al-Quran.
“Ini merupakan antara tafsir ataupun kupasan yang sangat mendalam oleh Al-Imam Al-Ghazali yang disyarah dan ditahqiqkan oleh Syeikh Muhammad Fadhil,” katanya.
Menurutnya, penganjuran majlis seumpama itu merupakan antara usaha menyemarakkan budaya ilmu selain memupuk masyarakat yang memahami kepentingan adab dan akhlak.
Majlis Ilmu MADANI yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri itu diilhamkan Anwar selepas beliau dilantik menerajui pentadbiran negara pada 24 November 2022.
Program berkenaan kini turut diperluaskan penganjurannya ke seluruh negara bagi menggalakkan penghayatan ilmu dalam kalangan masyarakat.-SAHIH
#AnwarIbrahim #MajlisIlmuMADANI #UlamaTurkiye #SurahYusuf
