Penantian 10 tahun berbaloi, Rul Azhar juara Bintang P. Ramlee 2026
Penantian 10 tahun berbaloi, Rul Azhar juara Bintang P. Ramlee 2026
KUCHING: Penantian selama 10 tahun akhirnya membuahkan hasil buat Rul Azhar apabila dinobatkan sebagai juara Bintang P. Ramlee 2026 menerusi persembahan lagu ‘Derita’, malam Ahad lalu.
Rul Azhar atau nama sebenarnya Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi yang mewakili Zon Utara berjaya menambat hati juri sekali gus mengetepikan saingan lima finalis lain pada pertandingan berkenaan.
Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil pada malam kemuncak yang berlangsung di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini.
Rul Azhar turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan berkenaan, selain menghargai peluang diberikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada peserta untuk mengetengahkan bakat masing-masing.
Menurutnya, pertandingan seumpama itu juga menjadi platform penting untuk memperkenalkan karya seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada generasi muda.
Sementara itu, Mahathir Zailani yang mewakili Zon Sarawak diumumkan sebagai naib juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi dan sijil.
Tempat ketiga pula menjadi milik Jeffryzan Jamil dari Zon Sabah yang menerima hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.
Anugerah Persembahan Terbaik menjadi milik peserta Zon Selatan, Mohd Ridzuan Md Taib yang membawa pulang RM2,000 berserta trofi dan sijil.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir menyaksikan pertandingan itu sebelum menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Pertandingan Bintang P. Ramlee menjadi antara platform mengetengahkan bakat nyanyian tempatan, selain meneruskan usaha memartabatkan karya seni peninggalan seniman agung negara itu.-SAHIH
#BintangPRamlee2026 #RulAzhar #RTM #Hiburan
