Isu pelarian jadi keutamaan, pertemuan Anwar dengan Presiden Myanmar bukan pengiktirafan
Isu pelarian jadi keutamaan, pertemuan Anwar dengan Presiden Myanmar bukan pengiktirafan
KOTA KINABALU: Usaha mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar yang berlarutan di Malaysia menjadi agenda utama pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan pertemuan kedua-dua pemimpin itu sama sekali bukan bertujuan memberikan pengiktirafan kepada kerajaan Myanmar, sebaliknya memanfaatkan saluran diplomatik bagi menangani isu berkenaan.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan masalah pelarian Myanmar yang sekian lama berada di Malaysia dapat ditangani secara lebih teratur.
“Pertemuan ini bukan satu pengiktirafan terhadap kerajaan Myanmar, bukan, tetapi kita adakan pertemuan ini untuk mencari jalan penyelesaian isu pelarian Myanmar yang telah lama berlarutan dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral di sini, semalam.
Fahmi berkata, kerajaan berharap pertemuan berkenaan membuahkan hasil positif, khususnya dalam mencari mekanisme terbaik bagi menguruskan kepulangan pelarian Myanmar melalui saluran yang betul.
Katanya, usaha itu turut mengambil kira kumpulan pelarian daripada 19 etnik Myanmar yang kini berada di Malaysia.
“Insya-Allah, pertemuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama Presiden Myanmar kita doakan membuahkan hasil cukup positif.
“Kita berharap kumpulan pelarian daripada 19 etnik Myanmar di Malaysia dapat dikembalikan ke negara asal dalam keadaan baik menggunakan saluran yang betul,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, satu lagi pertemuan penting membabitkan pemimpin negara dijadual berlangsung selepas pembentangan Belanjawan 2027 hari ini.
Menurutnya, pertemuan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala selain membincangkan perkembangan isu Palestin.
Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dijadual mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini hingga esok.
Lawatan itu turut membuka ruang perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara mengenai hubungan diplomatik dan isu berkepentingan bersama.-SAHIH
#kw: Anwar Ibrahim, Fahmi Fadzil, Pelarian Myanmar, Hubungan Diplomatik
