Penantian berakhir, Ahmad Murad pikul amanah DUN Tahan
Penantian berakhir, Ahmad Murad pikul amanah DUN Tahan
JERANTUT: Penantian penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan untuk mendapat penyelaras baharu berakhir susulan pelantikan Tuan Haji Ahmad Murad Mat Hasim @ Idris bagi menggalas tanggungjawab berkenaan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Murad atas pelantikan itu selain menyifatkan kepercayaan yang diberikan sebagai satu amanah besar untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau berkata, pelantikan itu juga diharap dapat memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya penduduk di kawasan DUN Tahan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahmad Murad atas pelantikan sebagai Penyelaras DUN Tahan.

“Saya yakin dengan kepercayaan yang diberikan oleh Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, beliau mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Razak berkata, penduduk DUN Tahan juga diharap dapat memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ahmad Murad bagi membolehkan segala urusan serta perancangan membabitkan kepentingan masyarakat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, kerjasama antara penyelaras dengan masyarakat setempat amat penting terutama dalam memastikan setiap permasalahan rakyat dapat dibawa kepada perhatian pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Pelantikan ini diharapkan dapat menjadi penghubung yang lebih rapat antara rakyat dengan kerajaan negeri selain memastikan suara masyarakat DUN Tahan terus mendapat perhatian.
“Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama membantu beliau melaksanakan amanah ini demi kepentingan penduduk dan pembangunan kawasan,” katanya.
Ahmad Murad yang juga Ketua UMNO Cawangan Pulau Mansuk kini diberikan tanggungjawab untuk menyelaras urusan membabitkan DUN Tahan.
Razak berkata, pelantikan berkenaan turut menamatkan penantian bagi mengisi tanggungjawab penyelaras di kawasan itu dan beliau berharap Ahmad Murad dapat memanfaatkan kepercayaan diberikan untuk terus mendekati serta berkhidmat kepada masyarakat.-SAHIH
#DUNTahan #AhmadMurad #Jerantut #Pahang
